Home Novel Seram/Misteri Fitrah
Fitrah
Hana Mizari
3/3/2018 23:49:01
122,148
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
BAB 3

MEDICI

Sejak kematian bapanya, Airis mengambil keputusan untuk mengajak mereka sekeluarga tinggal di Bandar Medici iaitu bandar termaju dari segi teknologi perubatan di negara mereka, Negara Scientia. Dia menyangka, dengan tinggal di bandar itu dia boleh tinggal dalam persekitaran yang selamat lagi sihat untuk kesejahteraan ahli keluarganya. Dari segi statistik juga menunjukkan kadar kematian yang amat rendah di bandar itu dek kemajuan dari segi perubatan yang dikecapi.

Dia juga ingin melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan untuk membantu ahli keluarganya yang sakit dan tidak mahu mereka menerima nasib yang sama seperti bapanya. Namun begitu, hasrat murninya tidak kesampaian kerana keputusan akademiknya tidak memberangsangkan sekaligus tidak melayakkannya untuk mengambil jurusan perubatan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menjadi jururawat asalkan dia dapat berkerja dalam sektor kesihatan.

Kemajuan perubatan yang dikecapi Bandar Medici menyebabkan kurangnya orang yang jatuh sakit di bandar itu. Jika ada pun, mereka pasti dapat menerima rawatan sewajarnya dari pihak hospital sehingga sembuh. Oleh kerana teknologi perubatan di bandar itu antara yang tercanggih di Negara Scientia, malah antara yang tercanggih di dunia, amat jarang kedengaran orang yang gagal disembuhkan penyakit mereka dengan rawatan yang sewajarnya. Tidak cukup dengan itu, para doktor yang berkerja di bandar itu antara yang terbaik di dunia.

Selain itu, Bandar Medici menjadi hub kepada pelbagai institusi pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai jurusan berkaitan perubatan. Antara jurusan yang ditawarkan ialah perubatan, bioperubatan, farmaseutikal, biokejuruteraan, pergigian, kejururawatan dan lain-lain bidang yang berkaitan.

Walau bagaimanapun, tumpuan utama Bandar Medici ialah menempatkan pelbagai jenis pusat penyelidikan yang mengkaji perkara berkaitan perubatan. Antaranya ialah Pusat Penyelidikan Kawalan Penyakit Berjangkit, Pusat Penyelidikan Farmaseutikal, Pusat Penyelidikan Kanser, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Genetik dan beberapa pusat penyelidikan yang lain.

Oleh itu, jika terdapat orang yang tidak berjaya disembuhkan dengan rawatan yang ditawarkan, mereka pasti akan dicemuh dan dilemparkan dengan tuduhan bukan-bukan. Pesakit itu akan disalahkan kerana kegagalan tubuh mereka menerima rawatan dari hospital. Walaupun pihak doktor sendiri tidak pernah meyakini bahawa rejim rawatan mereka akan menyembuhkan penyakit secara total, masyarakat tetap memandang sinis kepada golongan seperti ini.

Golongan ini merupakan golongan minoriti. Kebarangkalian untuk menemui manusia seperti mereka adalah amat rendah. Natijahnya mereka disisihkan masyarakat. Hak mereka kadangkala diketepikan. Malah, mereka dituduh sebagai punca yang menyekat perkembangan ilmu perubatan. Antaranya ialah keluarga Ilya dan Airis sendiri.

Berlainan pula dengan Ilya. Dia menganggap kematian ahli keluarganya dan saudara-maranya kemungkinan berpunca daripada penyakit misteri atau ganjil. Ilya dibesarkan dalam suasana berhadapan dengan seorang demi seorang saudara-maranya mati di hospital akibat penyakit yang mereka hidapi. Keadaan ini mendorong Ilya untuk menyiasat punca seorang demi seorang ahli keluarganya ditimpa penyakit misteri tersebut.

Ilya membaca buku-buku perubatan yang digunakan sebagai buku teks rujukan para penuntut jurusan perubatan. Keadaan Bandar Medici yang dipenuhi institusi pengajian tinggi memudahkan usaha Ilya untuk mencari buku-buku tersebut. Buku-buku tersebut banyak ditawarkan di kedai-kedai buku untuk memenuhi permintaan pelajar jurusan berkaitan perubatan. Tidak cukup dengan itu, Ilya turut membaca jurnal-jurnal perubatan yang boleh ditemuinya di Internet.

Walau bagaimanapun, Ilya tidak pernah berpuas hati dengan pencariannya. Dia tidak pernah berjumpa dengan jawapan yang dia inginkan. Dia masih lagi tidak faham kenapa sesetengah manusia tidak mampu disembuhkan dengan rawatan moden. Adakah disebabkan salah teknik rawatan, atau ubat yang tidak bersesuaian dengan penyakit yang dirawat, atau kesilapan teknikal oleh staf perubatan?

Tidak mungkin ia disebabkan teknik rawatan atau ubat yang diberi, kerana para doktor telah dilatih untuk memilih teknik rawatan yang betul dan ubat yang sesuai berdasarkan EBM (Evidence-Based Medicine). Lebih-lebih lagi para doktor yang ditugaskan di bandar itu antara yang terbaik di dunia. Sudah pasti mereka mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perubatan dan amat jarang membuat silap.

Adakah ia disebabkan kaedah penyembuhan sesuatu penyakit itu berserta puncanya belum ditemui atau kegagalan pesakit sendiri mematuhi rejim rawatan? Memang, ilmu sains perubatan itu sesuatu yang berkembang dan banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki. Masih banyak lagi penyakit yang masih belum ditemui teknik rawatan yang paling sesuai dengannya. Namun begitu, orang awam yang tidak tahu-menahu tentang penyelidikan akan mudah menuding jari kepada pesakit sendiri. Akhirnya, keluarga pesakit yang menjadi mangsa.

Pesakit akan disalahkan sebagai punca dia tidak berjaya sembuh daripada penyakit yang dihidapinya. Pesakit akan disalahkan kerana menghidap sesuatu penyakit. Sakit itu adalah ibarat dosa bagi masyarakat di Bandar Medici.

Bagi Ilya pula, dia sendiri tidak tahu adakah apa yang berlaku pada keluarganya itu disebabkan kelemahan dari segi perubatan sendiri atau salah pesakit itu sendiri. Namun begitu, dia sendiri melihat di hadapan matanya pesakit lain yang menghidap penyakit yang sama dan diberi rawatan yang sama sembuh seperti sediakala.

Dia berasa sangat hairan apabila melihat pesakit itu dibenarkan pulang ke rumah seperti biasa manakala ibu dan bapanya tetap juga tidak menerima sebarang perubahan. Kekerapannya berada di hospital kerana menjaga ibunya membolehkan dia untuk membuat pemerhatian itu. Pemerhatiannya cuma pemerhatian manusia biasa, bukannya pemerhatian seperti seorang saintis.

Jikalau masalah itu berpunca dari segi kelemahan dalam bidang perubatan itu sendiri, kenapa semua orang boleh sembuh sedangkan kedua-dua ibu dan bapanya tidak? Sudah tentu rawatan yang diberikan itu telah dibuktikan berkesan dengan cara saintifik. Jadi, atas sebab apakah ibu dan bapanya tidak boleh sembuh?

Adakah disebabkan selama ini ibu dan bapanya tidak mematuhi rejim rawatan, tidak mengikuti nasihat doktor, tidak mematuhi disiplin memakan ubat seperti yang dicanang-canangkan oleh masyarakat di sekelilingnya. Setahu Ilya, kakaknya sendiri Airis akan memastikan ibunya mematuhi rejim rawatan dan mengambil semua ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor. Jadi, atas sebab apakah ibu dan bapanya tidak boleh sembuh?

Persoalan ini membawa Ilya kepada kesimpulan bahawa ibunya, bapanya dan sanak-saudaranya yang lain sebenarnya menghidap penyakit misteri iaitu penyakit yang masih tidak ditemui dalam perubatan moden.

Ilya juga berpendapat kalau betul ibunya selama ini menghidap penyakit misteri, mereka tidak perlu membuang masa menghantar ibunya ke hospital. Dia juga berpendapat, jika ibunya dirawat di hospital sekalipun, keadaannya tetap akan sama. Ibunya tetap juga akan mati disebabkan penyakit itu. Bagi Ilya, dia dapat rasakan kehadiran seluruh ahli keluarganya amat tidak dialu-alukan di hospital. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk membawa ibunya pulang sahaja dan menjaganya di rumah.

Ting! Tong!

Lamunan Ilya tersentak apabila mendengar bunyi loceng dari pintu rumahnya. Dia pasti itu adalah kakaknya Airis baru pulang kerja memandangkan waktu itu sudah lewat malam. Ilya terus keluar dari kamar tidur ibunya untuk menuju ke pintu hadapan. Apabila Ilya membuka pintu, dia dapat melihat kakaknya pulang dalam kepenatan dari riak wajahnya.

"Kak Airis, selamat pulang," kata Ilya dengan nada mendatar.

"Hah, Ilya, macam mana dengan mama?" Tanpa membuang masa Airis terus menanyakan keadaan ibu mereka kepada Ilya.

"Mama dah tidur," jawab Ilya ringkas. Airis menghela nafas lega.

Airis terus berjalan ke bilik tidur ibunya untuk menjenguk. Ilya pula mengekori kakaknya. Sampai sahaja di bilik, Airis terus melutut di sebelah katil ibunya. Lama dia merenung wajah ibunya yang sedang tidur itu. Sayu dan pilu rasa hatinya apabila melihat ibunya terlantar sakit selama lebih setahun. Ia suatu tempoh yang cukup lama bagi mereka.

"Mama, maafkan Airis mama. Disebabkan keegoan Airis selama ni, Airis tak tahu yang selama ni mama menderita." Sayu sahaja suara Airis ketika dia melontarkan kata-kata itu. Airis mengambil sebelah tangan ibunya dan meletakkan di pipinya. Air mata sudah mula mengalir di tubir matanya.

Ilya hanya memerhatikan dari luar. Dia tidak mahu mengganggu masa kakaknya bersama ibunya. Dia tahu Airis amat menyayangi ibunya sama seperti dia, cuma mereka mempunyai pendekatan yang berbeza. Sungguh, Ilya sendiri sudah buntu mencari jalan penyelesaian kepada kemelut yang menimpa mereka sekeluarga. Dia kemudian bersandar di dinding dan merenung siling.

Tidak lama kemudian, muncul seorang kanak-kanak lelaki berbadan separa lutsinar berdiri di sebelah Ilya. Dia menamakan makhluk itu dengan nama Zaf.

"Ilya!" panggil kanak-kanak itu lembut. Lagaknya persis seorang kanak-kanak riang ajak bermain.

"Zaf, kakak takda masa nak layan kamu sekarang," jawab Ilya malas.

"Kak, saya datang ni bukan nak ajak mainlah," balas Zaf semula.

"Habis tu, Zaf datang ni sebab apa?" Suara Ilya kedengaran dingin ketika menanyakan soalan ini.

"Zaf datang ni nak tolong kakak," jawab Zaf manja.

"Tolong? Tolong apa?" tanya Ilya semula dengan suara dingin.

"Tolong selesaikan masalah keluarga kakaklah, kan ibu kakak sakit kan?" Zaf menerangkan niatnya yang sebenar.

"Jadi, Zaf ada cara ke nak sembuhkan penyakit ibu kakak?" tanya Ilya seperti tidak mempercayai kata-kata Zaf.

"Ada!" jawab Zaf yakin. "Kakak pernah dengar tentang Dark Arts?" tanya Zaf lagi.

Ilya hanya menggelengkan kepalanya perlahan. Dia malas membuka mulutnya.

"Tak pernah dengar? Rumit ni. Kakak tahu tak keluarga kakak ni ada sukker?" Sekali lagi Ilya menggeleng.

"Kakak pun tak pernah dengar semua benda yang Zaf cakapkan tu," kata Ilya pula.

"Baiklah, memandangkan kakak tak pernah dengar semua tu. Zaf akan terangkan satu-persatu. Kakak dengar tau. Panjang ceritanya," ujar Zaf lagi. Ilya tidak memberikan sebarang reaksi, mengangguk pun tidak menggeleng pun tidak. Sebaliknya dia hanya merenung Zaf dengan pandangan kosong.

"Ilya!" panggil Airis yang telah pun berada di belakang Ilya mengejutkan mereka berdua. Zaf terus menghilangkan dirinya. Ilya pula memusingkan badannya ke belakang untuk berhadapan dengan kakaknya.

"Ilya, kamu cakap dengan siapa tu?" tanya Airis dalam keadaan dahinya berkerut.

"Dengan Zaf, kawan Ilya," jawab Ilya selamba.

"Kamu jangan nak berdalih dengan kakak. Kakak dari tadi tengok kamu cakap seorang diri," kata Airis tegas.

"Adalah Zaf tu, cuma kakak yang tak nampak. Lagipun spesies mereka ni pemalu sangat. Bila orang datang je mereka akan menghilangkan diri," terang Ilya dengan nada mendatar.

Airis menghela nafas berat. Sedikit pun dia tidak mempercayai kata-kata adiknya itu.

"Ilya, kamu dah makan ubat kamu?" tanya Airis prihatin. Ilya terus mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia berasa tidak selesa apabila kakaknya menanyakan soalan itu kepadanya.

"Ilya! Ni mesti tak makan ni kan, sebab tu tak jawab soalan kakak." Airis mula meninggikan suaranya.

"Saya tak sakit, nak buat apa saya makan ubat," balas Ilya membela diri. Sekali lagi Airis menghela nafas berat.

"Ilya, kalau kamu tak mampu nak jaga diri kamu, macam mana kamu nak jaga mama?" soal Airis.

"Takda kena-mengena dengan mama," bidas Ilya senada.

"Ilya, kakak dah cukup sabar dah dengan kerenah kamu ni. Dahlah kamu bawa mama tanpa pengetahuan kakak, nasihat doktor pun kamu taknak dengar. Sudah, lepasni kalau kamu gagal patuh jadual ubat kamu, kakak akan bawa semula mama ke hospital. Biar doktor dan jururawat di sana yang jaga. Kakak tak sanggup nak biarkan mama dijaga oleh seorang pesakit mental," balas Airis seperti mengugut.

Ilya hanya mendiamkan diri. Dia malas mahu bertekak dengan kakaknya. Dia tahu, tiada siapa yang akan mempercayainya jika dia bercakap mengenai makhluk yang menggelarkan diri mereka spirit. Tiada siapa pun yang boleh melihat spirit seperti dirinya. Apabila dia dibawa berjumpa doktor psikiatri secara paksa oleh kakaknya, dia didiagnos mengalami Skizofrenia. Dia dianggap mengalami halusinasi. Makhluk yang dia lihat pula dikatakan tidak wujud.

"Baiklah, kak. Saya akan makan ubat seperti yang kakak suruh." Ilya akur dengan arahan kakaknya.

"Bagus. Pergi makan ubat kamu sekarang," arah kakaknya tegas.

Dia cuma mahu menyedapkan hati kakaknya dan mengelakkan daripada ibunya dihantar semula ke hospital. Dia pasti pihak hospital akan memarahi mereka jika ibunya dibawa semula ke hospital. Keadaan ini pernah berlaku kepada sepupunya sebelum ini.

Dia pernah cuba membawa pulang bapanya tanpa kebenaran doktor dengan menandatangani borang AOR. Apabila keadaan bapa saudaranya semakin teruk, sepupunya bertindak membawa bapanya semula ke hospital. Mereka menerima bapanya semula tetapi keluarga mereka dimarah teruk oleh doktor dan jururawat. Mereka juga dimalukan di media sosial secara berjemaah sehingga menyebabkan sepupunya itu mengalami depresi yang teruk.

Selepas mengambil ubatnya, Ilya berjalan semula ke bilik ibunya. Dia merenung kosong ibunya yang sedang tidur.

'Dark Arts, ya? Nanti aku akan cari maklumat mengenainya. Aku akan buktikan kepada Kak Airis bahawa tindakan aku ni betul,' kata Ilya teruja. Dia sudah berdiri sambil memandang ke hadapan. Sebelah tangannya digenggam.

Ilya memandang semula wajah ibunya lalu berkata, 'Mama, sabar ya mama. Ilya pasti akan cari cara untuk sembuhkan penyakit mama ni.'


Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.