09:15 Malam
Rini
bangkit lalu merapati Que. “Lepaskan diri abang dari kekangan rahsia
silam tu. Maka semua misteri ini akan ternoktah, bang.” Que menggigit
bibir. Bosan sungguh rasanya apabila disogok perkara yang tidak
diketahui hujung pangkalnya.
“Rahsia apa yang awak nak aku hebahkan?”Diliriknya Rini.
“Abang lebih dari tahu pasal tu.”
“Kerana
aku tidak tahulah, aku bertanya.” Suara Que berubah kasar. “Beritahu
aku supaya aku tahu,” pintanya berusaha mendatarkan suara. Dia
benar-benar tertekan, Jika boleh, dia tidak mahu berkasar dengan gadis
itu. Buat masa ini, hanya gadis itu sahaja pilihan yang ada untuk
dijadikan teman bicara. Dia tidak mengenali sesiapa di sini.
Rini tidak keruan dan kelihatan serba salah. “Boleh tak awak tolong aku?” pintanya selang beberapa saat.
“Nak tolong apa?” Rini bingung.
“Tolong supaya aku boleh ingat perkara yang berlaku sebelum ini.”
“Rini memang nak, tapi masalahnya Rini tak mampu.”
“Kenapa
pula tak mampu?” Sebal pula rasanya. “Awak perasan tak? Awak banyak
berdolak dalih, tahu tak?” Que berang. Mukanya berubah masam.
“Rini bukan berdolak dalih.Tetapi memang pun Rini tak tahu apa-apa,” kata Rini dengan muka seolah tidak bersalah.
“Jika
begitu, macam mana aku nak huraikan rahsia yang awak katakan tu? Macam
mana aku nak tamatkan cerita ni? Cuba awak jelaskan macam mana caranya
untuk keluar dari kemelut ni?” Que benar-benar bosan.
“Rini pun tak tahu.”
Que mencebik. “Itulah pasal, jangan suruh aku huraikan apa-apa kalau awak sendiri langsung tak membantu.”
“Maafkan Rini, bang.”
Que
mengguman kasar. Langkahnya dihela ke arah bangku. ”Sudah berapa lama
aku berada dalam rumah ni? Sejakjam 7 lebih tadi atau dah lama
sebenarnya?” Punggungnya dihenyak.
“Sekitar jam 7 tadi, bang?” Rini meningkahnya.
“Siapa yang hantar aku kat sini?”
“Rini
tak tahu. Sebenarnya, abang dah pun tercongok di sini sewaktu Rini
sampai.” Gadis itu menjelaskan. “Abang tak ingat apa-apa ke?”
Que
menggelengkan kepala. “Rongga kepala aku kosong. Tiada sekepal pun
memori tertinggal di dalamnya. Aku tak tahu siapa aku? Kenapa aku berada
dalam rumah ni dan siapa menghantarku ke sini? Aku juga tak tahu awak
siapa?” Tunaknya menghempuk muka Rini. Rini melarikan pandangan. “Lagi
aku pelik... rumah ni berhantu.”
“Berhantu?”
“Ya! Berhantu!” Pemuda itu jadi geram kerana nada suara Rini seperti mempertikaikan dakwaannya.
“Rumah ni tak ada hantulah bang.”
“Sudahlah
Rini! Jangan nak lekehkan aku.” Que meradang. “Tadi, aku ternampak
batang-batang tubuh yang dah rentung.Bergelandangan kat luar tu. Lepas
tu aku terdengar suara hantu berbual-bual.”
“Apa yang mereka bualkan?”
“Entah.
Aku pun tak faham.” Que angkat bahu. “Hantu terakhir tu pula adalah
seorang perempuan berambut panjang.” Rini segera mengangkat tangan,
menyuruh Que berhenti. Cerita tersebut membuatkannya berasa seram amat
sangat. “Aku tak perduli sama ada awak takut ataupun tidak. Sekarang ni,
aku cuma nak cerita apa yang patut aku jelaskan.”
“Tapi...” Rini keresahan.
“Aku
nak awak tahu apa yang aku lalui, aku nampak kat dalam rumah ni,”
katanya bertegas. Dia sebenarnya bosan apabila gadis itu asyik menafikan
kewujudan benda-benda mistik dalam rumah buruk ni. Disorotinya muka
Rini sejenak. Dilihatnya gadis itu seperti bimbangkan sesuatu. “Awak
takut ke?” suanya sengaja mahu menduga.
“Ya. Rini memang takut.”
“Jadi? Kenapa awak masih enggan mempercayai cerita pasal hantu tu?”
“Sebabnya,
abang belum pun sehari berada dalam rumah ni. Sedangkan Rini pula,
sudah bertahun berada di sini. Tapi tak pernah sekalipun Rini melihat
benda-benda tu tercongok kat tempat ni. Jelasnya, Rini tak pernah
mendapat gangguan.”
“Barangkali Rini bukan sasaran mereka.
Rinikata, aku menyimpan sejumlah rahsia kan? Pada fikiran aku, ada
kemungkinan rahsia yang Rini maksudkan tu berkait rapat dengan
benda-benda halus tu.” Que cuba meneka. Rini mengangguk tanda bersetuju.
Mereka berdua membatu seketika. Masing-masing cuba mencari jalan keluar
dari terus-terusan dibesit misteri tersebut. “Rini tahu tak apa-apa
pasal keluarga aku?”
“Rini tak tahu bang. Tapi mustahil abang tak ingat?”
“Itulah masalahnya, abang tak ingat apa-apa.” Que berasa tertekan. “Kalau boleh, abang nak bergantung harap pada Rini.”
Rini
memandangnya seketika lantas mengeluh. “Maafkan Rini, bang. Rasanya
abang hanya membuang masa jika cuba berharap pada Rini. Rini pun tak
tahu macam mana nak tolong abang.”
“Aku tak perduli. Yang aku tahu, awak mesti tolong aku.”
Rini
mengulum bibir. Dia melangut seketika. Dicerlingnya Que apabila
berasakan lelaki itu masih memandangnya. “Abang buat Rini bingung.”
Keluhannya bertebaran. Dia memandang arah lain sebelum memandang Que
semula. “Hantu yang abang nampak tu ada mengatakan apa-apa ke?” risiknya
ingin tahu.
Que mengangguk. “Hantu tu cakap...kenapa tinggalkan dia?”
“Rini dah faham.” Rini mula serius.
“Apa
yang awak faham?” soalnya turut serius. Mereka berdua tersentak apabila
pintu rumah tiba-tiba terbuka luas.Seolah ada seseorang yang telah
menolaknya dari luar.
RINI terpekik apabila mentol lampu
tiba-tiba meletup. Suasana bertukar gelap gelita. Que yang masih
dibayangi imej hantu perempuan berambut panjang mula menggeletar. Dia
jadi takut dan lemah longlai. Segala bayangan mengasak serentak dinding
fikirnya. Kewujudan Rini di situ, sedikit pun tidak membantu untuknya
pulih dari dihambat ingatan menyeramkan itu. “Bertenanglah,” bisiknya
apabila Rini merapatinya.
“Rini takutlah bang.” Gadis itu
berbisik. Dilihatnya batang tubuh Que bagaikan lembaga hitam tidak
berwajah. Pemandangan tersebut menaikkan bulu romanya.
“Paksa diri
awak supaya bertenang.” Que cuba berlagak berani. Langkahnya diatur
perlahan ke arah pintu yang terpokah. Rini pula berjalan teragak-agak di
belakangnya. “Cuba padam semua ketakutan awak tu,” suruhnya berbasa
basi.
“Jari-jari abang sejuk,” kata Rini pula apabila terpegang jemari Que. “Ni mesti abang pun takut macam Rini kan?”
“Takut
adalahsifat normal. Sekarang ni, kita berdua kena paksa diri untuk
mengawal ketakutan tu. Perasaan tu tak boleh dibiarkan menular, nanti
buruk padahnya.”
“Benda tu boleh membunuh ke bang?” bisik gadis itu perlahan.
“Pasal
tu aku tak tahu,” kata Que ikhlas. Dibiarkannya Rini memegang bilah
jari jemarinya. Dia amat berharap agar perbuatan tersebut dapat
menenangkan gadistersebut.
“Kita nak ke mana?”
“Kat luar. Tempat tu terang sedikit berbanding kat dalam ni.”
“Kalau ikutkan hati, Rini tak mahu tercongok kat dalam ni. Tapi Rini juga tak nak tercancang kat luar. Rini takut.”
“Kita
tiada pilihan. Kat dalam ni gelap sangat. Dekat luar tu okey sikit.”
Que terperanjat apabila ternampak sebatang tubuh berdiri di sebalik
belukar. Ketika ini, dia dan Rini sudah berada di hujung tangga.
“Bagitahu aku kalau awak ternampak sesuatu.”
“Contohnya?”
“Benda aneh atau apa-apa saja yang membuatkan awak seram.”
“Okey.” Rini hairan apabila Que hanya berdiri di situ. “Sampai di sini saja ke?”
“Ya.
Dekat rumput tu banyak nyamuk.” Demikian alasan yang disajikan oleh
Que. Punca sebenar, dia risaukan susuk tubuh yang dilihatnya masih
tercongok di sebalik belukar. “Tak sangka, hantu pun pandai menyorok
kan?”
“Maksud abang?”
“Tak ada apa-apa maksud. Saja mahu berbual dengan awak.”
Rini
sekadar berdehem tanda mendengar. Pandangannya dibiarkan merewang ke
semua arah. “Sampai bila kita berdua nak berdiri dekat sini, bang?”
Ternyata soalannya menyedarkan Que mengenai sesuatu. “Entahlah.”
“Abang kena fikirkan sesuatu. Kita tak ada mentol baru untuk gantikan lampu yang dah rosak tu.”
“Aku tahu.” Que termenung seketika.
“Abang?” Rini menggerakkan lengan Que selepas 10 minit berlalu. “Abang dah fikir ke macam mana caranya?”
“Dah. Tapi masalahnya kita tiada pemetik api untuk menghidupkan unggun.”
“Maksud abang... abang nak buat unggun api kat sini ke?”
“Ya.”
Que semakin curiga apabila melihat susuk tubuh misteri itu masih
mengendap mereka berdua. “Rumah buruk ni kosong tidak berisi apa-apa.
Kenapa mereka hantar aku kat sini tanpa bekalan makanan? Beg pakaian pun
aku tak nampak.”
“Mungkin pasal abang tak lama kat sini?” Rini meneka.
Que
mengeluh. Dia masih tidak berpuas hati. “Aku masih tidak faham apa
sebenarnya yang sedang berlaku? Kenapa aku dihantar ke sini dan
dibiarkan terkapa-kapa hingga malam?”
“Abang sakit.”
“Bodohnya
mereka. Kenapa mereka berani tinggalkan orang sakit kat sini? Apa yang
mereka fikirkan hingga tergamak bertindak begitu?” Que semakin tidak
berpuas hati. Rini tidak berkata apa-apa. Ternyata kata-katanya tadi
menaikkan suhu hati Que.
“Mungkin mereka ada alasan dan sebab yang
munasabah.” Rini tidak serik meneka. Que hanya memandangnya dalam
kesamaran malam. Lelaki itu tidak berkata apa-apa selain termenung.
“Rini.”
Haluan mukanya kembali menghadap Rini. Rini memandangnya dan bertanya
kenapa. “Aku tak faham. Aku sakit apa sebenarnya ya?”
Rini angkat
bahu tanda tidak tahu. “Setahu Rini, abang berada dalam hospital selama
ni.” Dahi Que berkerut. Penjelasan tersebut menyentakkannya.
“Takkan
aku sakit jiwa pula?” Mukanya merudum. “Sungguh tak masuk akal.Awak
nampak aku normal,bukan?” Anggukan Rini adalah satu kepastian dan
jawapan untuknya.
10:07 Malam.
ENTAH, sejak
bila Rini terlelap di sebelahnya. Gadis itu tertidur dalam keadaan masih
duduk. Quebingkas lantaran bosan dihendap lembaga misteri yang masih
terhangak-hangak di sebalik belukar. “Awak ni hantu ke apa?” bisiknya
lantai mencapai sebatang kayu buruk. Dia hampir tersungkur di depan
apabila kaki kirinya tersangkut tumbuhan menjalar. Que sempat berkata
celaka sebelum menggerumukkan tubuh.
Ditimangnya batang kayu yang
dipegangnya seraya berfikir. Dia teragak-agak mahu meneruskan kasadnya.
“Ah.. lantaklah,” ujarnya lantas meneruskan perjalanan. Dia tahu,
tindakannya hanya sia-sia jika lembaga yang hendak diserangnya itu
adalah hantu. Que menelengkan kepala apabila terdengar suara
berbisik-bisik. Suara tersebut seolah datang dari arah belukar di mana
lembaga aneh itu menyorok.
Kedua kening Que bercantum. Dia berasa
hairan kerana suara-suara tersebut seperti milikorang yang sama. Bahasa
pertuturannya juga amat jelas dan mudah difahami. “Tak mungkin lembaga
tu adalah manusia,” bisiknya tanpa suara. “Dalam alam ini, hanya aku dan
Rini manusia. Selebihnya pula hanyalah kelibat-kelibat hantu,” tukasnya
cuba meyakinkan diri.
Dia harus memaksa diri untuk percaya bahawa
dunia ini hanya dihuni olehnya dan Rini. Langkahnya tergencat sewaktu
mahu menyelit ke dalam belukar. Rentak tari nafasnya bersipongang
tatkala melihat satu kepala terjengul di situ. Kepala yang muncul dari
perdu belukar puar itu kinimendongak ke arahnya. Matanya yang hitam
berkilat mengingatkan Que kepada hantu perempuan berambut panjang.
Tiba-tiba
kepala itu mengangakan mulut luas-luas. Gigi-giginya yang berceruak
tajam mengerikan Que.Que mengundur dan jatuh terbongkang di belakang
pabila terlanggar sesuatu. Dia terkejut bila tertangkap bunyi
ranting-ranting patah dipijak. Lantas menoleh namun satu benda terlebih
dulu melayah deras ke mukanya hingga terteleng. Que tersungkur pengsan.
Lembaga
legam yang berdiri di belakangnya berkalih dan memandangnya seketika.
Sejurus, lembaga itu mula mengheret tubuh Que ke hujung tangga. Lembaga
itu berhenti dan menanti.Sesusuk tubuh muncul dari sebalik belukar dan
terkocoh-kocoh mendapatkan lembaga tersebut.
“Herman, kenapa aku seperti kenal orang ni?”
“Cepatlah. Jangan buang masa. Kita kena kembali ke hujung jalan untuk mengambil Zaidi.”
Mereka
berbisik dalam nada perlahan. Gelagat mereka berdua seolah sedang
membincangkan sesuatu. Tanpa bertangguh, lembaga itu memanggul tubuh Que
lalu membawanya naik ke atas rumah. Sementara rakannya pula mendaki
anak tangga dan terkejut apabila terdengar desahan nafas milik Rini.
Rini yang baru terjaga segera menyorok.
Matanya mencerun, cuba
menembusi kepekatan malam. Dia berasa hairan apabila melihat tubuh Que
berada dalam genggaman kedua lembaga misteri tersebut. “Siapakah
mereka?” getusnya tanpa suara. “Mereka nak buat apa kat Que?” Benaknya
terasa berserabut ditunjal persoalan. Dilihatnya salah seorang dari
lembaga itu cuba memperbaiki mentol lampu.
Lampu marak namun
cahaya yang menyimbah masih suram. “Nampaknya mereka bukan hantu,”
bisiknya kelegaan. Sungguhpun begitu, Rini enggan keluar dari lokasi
persembunyiannya. Dia mahu melihat dan menunggu apa yang akan berlaku
seterusnya. Tidak lama kemudian, kedua lembaga yang nampak samar pada
pandangan mata kasar Rini melangkah turun.
“Betullah rumah pasung ni berhantu.” Salah seorang dari mereka bersuara.
“Awak ternampak hantu ke tadi?”
“Aku terdengar desahan nafas. Bunyinya lirih dan menyeramkan.”
“Jika begitu, kita harus cepat. Tak adil kalau Zaidi terlepas saat-saat ni.”
Perbualan
tersebut meyakinkan Rini bahawa kedua tetamu itu adalah manusia. Tanpa
bertangguh, dia keluar dari tempatnya menyorok. Kedua lembaga itu
terkejut beruk tatkalakelibatnya, lantas membuang langkah seribu. Rini
ternganga lalu menoleh ke belakang. Tiada sesiapa pun tercancang di
situ. Situasi ini menimbulkan kehairanannya.
“Mereka berdua
memecut seperti ternampak hantu.” Rini tiba-tiba berasa seram. Dia
menoleh lagi kemudian memerhatikan persekitarannya. Dilihatnya
belukar-belukar yang merimbun memenuhi pekarangan bergerak. Pemandangan
tersebut berjaya mengusir Rini dari situ. Dia segera mendaki anak tangga
menuju ke atas rumah.
Kedua mata gadis itu terbeliak tatkala
melihat keadaan diri Que. “Abang?” serunya lantas menerpa. Mukanya
berkerut setelah ternampak kesan lebam di pelipis kiri Que. Ekor matanya
kemudian menjamah rantai besi yang mengikat kaki kanan pemuda tersebut.
“Sampai hati mereka buat abang macam ni.”
Dia mencangkung lalu
memegang rantai tersebut. Matanya meliar ke semua arah. “Bodohnya
orang-orang tu,” rungutnya lalu bangun. Dia meninjau-ninjau seketika.
Mencari sesuatu yang barangkali tersorok, tersisip ataupun tercampak di
situ. Tiba-tiba dia terpandang benda yang dicarinya tersangkut dekat
pintu utama. Senyumnya merekah. Dia berasa lega teramat sangat.