Home Novel Seram/Misteri ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : PENUNGGU RUMAH PASUNG
ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : PENUNGGU RUMAH PASUNG
JESSY MOJURU
17/12/2014 23:45:51
14,284
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 1

Hutan Lipur, Kampung Merudu Darat, Sabah.

Rabu, 23 Mei 2012, 08:16 Malam


Guruh berdentum diikuti panahan kilat dan halilintar. Situasi tersebut memaksanya mengintai dada langit yang tampak merudum. Tiada apa yang kelihatan di situ selain gumpalan awan yang hitam bukat. Sejurus, titis-titis hujan mula luruh satu per satu. Dia berhenti seketika. Tunaknya berlegar mencari tempat berteduh. Dia terkejut pabila terpandang sesusuk tubuh berbalam berhampirannya.

Gadis berkebaya longgar berwarna kelabu itu hanya memandangnya. Silau kilat membuatkannya berjaya mengecam gerangannya tetamu yang tidak dijangkanya itu.“Wawa?” serunya dengan nada seakan tidak percaya.

“Abang nak ke mana?” Gadis itu menapak dekat. Satu senyuman manis terukir di bibirnya.

“Wawa buat apa kat dalam hutan ni? Wawa tak takut ke?”

“Wawa dah biasa. Abang nak ke mana?” ulang gadis itu.

Dia berdecit. “Abang nak keluar dari sini,” beritahunya, masih rusuh.

“Kawan-kawan abang tak nak keluar ke?”

Kedua keningnya bertaut. “Macam mana Wawa tahu?”

“Rumah nenek Wawa kan tak jauh dari rumah pasung tu. Wawa ternampak abang dan dua orang kawan abang pergi kat situ. Wawa pun pergi periksa dan ternampak abang meninggalkan mereka berdua.” Gadis itu menjelaskan.

Dia menarik nafas. Dipandanginya gadis itu seketika. “Abang tak jadi ikut pertaruhan tu. Sekarang ni, abang dalam perjalanan nak balik.”

“Pertaruhan?” Gadis itu melangkah selangkah dari tempatnya terpacak tadi. “Hujan,” katanya sambil meletakkan kedua tangan di atas kepala.

“Ya. Hujan.” Dia mengulum bibir. Mindanya sedang bekerja ketika ini. “Wawa tahu jalan keluar dari sini ke? Rasanya abang dah tersesat.”

“Pertaruhan? Pertaruhan apa pulak?” soal gadis itu tanpa menjawab pertanyaannya terlebih dulu.

“Pertaruhan siapa berani dan tak berani. Dengan syarat peserta kena bertahan hingga besok pagi,” jelasnya. “Rumah pasung tu kan berhantu.”

Wawa ketawa perlahan. “Hantu? Rumah pasung tu tak berhantulah bang. Wawa dan nenek selalu ke situ. Rumah tu sebenarnya milik keluarga Wawa. Selepas kedua ibu bapa Wawa meninggal dunia, Wawa berpindah ke rumah nenek.”

“Nenek penjaga kubur tu ke?” Dia berasa seram. Wawa mengangguk. “Jika begitu, lebih baik kita berpatah balik.”

“Berpatah balik kat rumah tu ke?”

“Ha’ah.” Dia tersenyum. Riak wajahnya seperti kelegaan amat sangat. “Abang dah tahu rahsia rumah tu. Jadi abang kena ikut pertaruhan tu. Sebelum tu abang nak tahu, kenapa rumah Wawa tu dipanggil rumah pasung?”

“Sebabnya, ibu Wawa pernah dipasung oleh ayah. Tapi tu hal silam.” Gadis itu mengguman.

“Ibu Wawa sakit ke?”

“Agaknya. Mari... Wawa temankan abang.” Gadis itu menggeletar kesejukan. Dia mengangguk. Mereka berdua segera menyusuri denai yang dilalui olehnya sebelum ini.

“Wawa dan nenek pernah dengar apa-apa ke kat rumah pasung?”

“Tak pernah.”

“Aneh. Rumah pasung tu dikatakan berpenunggu. Tapi..” Dipandanginya Wawa. “Pelik, abang tak pernah dengar pun cerita mengenai keluarga Wawa. Setahu abang, rumah tu dah lama sangat terbiar dan berhantu.” Dia cuba mengingat. “Kalau abang tak silap, keluarga yang tinggal kat situ telah mati dibunuh. Kesemuanya. Tapi mangsa-mangsa tu bukan ahli keluarga Wawa dan abang tak tahu pula siapa pembunuh tu.”

“Semua tu hanyalah khabar angin, bang. Wawa dan nenek lebih tahu cerita sebenar berbanding penduduk kampung. Abang usah risau. Rumah tu tak berhantu dan tiada sesiapa yang pernah terbunuh di situ,” kata Wawa seraya tersenyum.

Dia terdiam seketika. Sukar untuknya mempercayai cerita yang terpacul dari mulut Wawa. “Baguslah,” katanya selang beberapa saat. “Sekarang, abang dah tak susah hati lagi nak ikut pertaruhan tu,” lanjutnya. Air muka Wawa tiba-tiba berubah. Gadis itu seperti ternampak sesuatu di belakangnya.

Dia menoleh dan terkejut apabila sepasang tangan gagah menyerkupnya dari belakang. Dia kemudiannya diheret dengan kasar. Wawa hanya memandangnya dengan muka terkejut. Gadis itu melangkah, mengekorinya dalam keadaan teragak-agak. Remang malam dan kabus hujan tidak berjaya menutupi pandangan gadis itu. Dia sudah biasa dengan suasana malam, sebagaimana dia terbiasa dengan selok belok dalam hutan nipis ini.

“Pergi Wawa! Pergi!!” suruhnya, menghalau Wawa dari situ. Namun Wawa hanya memandangnya seperti tidak mengerti apa-apa.

“Awak berkawan dengan perempuan gila,” kata lelaki yang mengheretnya. Dengus suara lelaki itu kedengaran amat kasar seolah membenci Wawa.

“Wawa tak gila! Aku dah lama berkawan dengannya! Awak siapa hah?!” Dia terkial-kial mahu melepaskan diri. Lelaki misteri itu semakin berkasar. Dia terus saja diheret secara paksa. Sesekali dia tersangkut pada belukar. Namun itu bukan alasan untuk lelaki itu berhenti dari mengheretnya. Sakit dan perit badannya hanya dia sahaja yang tahu.

“Abang!” panggil Wawa. Berlari anak mengekorinya. “Abang!” seru Wawa lagi. Dia berundur ketakutan apabila lelaki yang tidak dikenalinya itu memandangnya seolah marah.

“Jangan apa-apakan dia!” Dia risau.

Lelaki itu mendengus. “Aku akan tamatkan gadis tu selepas awak.”

Ternyata kata-kata tersebut mendorongnya untuk lebih berusaha. Pelbagai cara digunakannya agar terlepas dari rengkuhan lelaki tersebut. Dia membentak, menerjang dan cuba merungkai kedua tangan lelaki itu dari terus membelitnya. Mereka berdua terpelanting ke belakang. Peluang tersebut digunakan olehnya untuk meninju muka lelaki itu berulang kali.

Lelaki itu membalas. Tumbukan sulung lelaki itu membuatkannya tersungkur dan jatuh tercelapak. Saiz badannya agak kecil dan kurus berbanding penyerangnya. Lelaki itu menerkam lalu memijak dan menyepaknya. Dia kehilangan peluang untuk menyerang dan terpaksa berserah setelah nyawa-nyawa ikan. Kudratnya habis terhakis sesudah dibelasah tanpa henti.

Sambil ketawa keras, lelaki itu mendarat di atas badannya. Kemudian menghayun penumbuk bertubi-tubi seperti orang gila gamaknya. Dia meraung kesakitan. Mukanya terasa mengembang dan seperti koyak rabak. “Ini adalah pelampiasan dendam. Aku yang sepatutnya menyertai pertaruhan tu. Tapi aku ditolak mentah-mentah selepas awak menawarkan diri.” Lelaki itu kemudiannya ketawa terbahak-bahak dan meninggalkannya usai mengerjakannya.

Sejurus, kedengaran suara Wawa terpekik-pekik diikuti suara lelaki ketawa mengejek. Dia cuba membuka mata dan bergerak, namun segalanya terasa amat sukar. Mukanya mengebas, membengkak dan sakit berdenyut-denyut. Demikianlah juga anggota tubuhnya selepas dilanyak tadi. “Wawa,” sebutnya perlahan.

Batinnya menjerit, seiring suara Wawa yang kini menangis ketakutan. Gadis itu seperti dibelasah. Rintihan, ringisan dan jeritan gadis itu menyahihkan sangkaannya. Dia tahu Wawa sedang mengalami saat-saat sukar. Dia seharusnya melindungi gadis malang itu dari serangan lelaki misteri itu.

“Wawa,” sebutnya lagi. Perlahan dan amat perlahan. Suasana bertukar hening, gelita dan kosong. Mindanya terpadam.


Khamis, 17 Julai 2014, 07:05 Malam.


Dia menggigil. Keringat dingin yang kini membanjiri seluruh muka dan batang lehernya dikesat kasar. Dadanya turun naik menahan nafas yang menghambur serentak. Mindanya terganggu.Jeritan gadis malang itu timbul tenggelam diasak suara teman-temannya yang sedang berpesta di sebalik belukar. “Abang!” Dia tersentak. “Tolong Wawa, bang! Tolong Wawa!” Pandangannya berpinar kemudian berubah kelam.

Dia ingin mendapatkan gadis itu, namun kedua batang kakinya bagaikan sudah tertanam di situ.“Heh! Awak tak nak ke?” Azis tersengih-sengih. Lelaki kurus itu mencelah keluar dari balik rimbunan renek.

“Awak...” Bibirnya diketap. Jemarinya dikepal dan bersedia mahu menghayun penumbuk sulung. Azis sekadar mengerlingnya lantas tergelak sinis.

“Jangan pandai-pandai. Wawa hanyalah bayaran.” Azis mengingatkan.

“Bayaran untuk apa? Aku tak buat salah pun!” tempiknya, marah amat sangat.

“Bayaran terhadap kejahilan awak!”

“Aku tak pernah berjumpa dengan Wawa selepas detik hitam 2 tahun lalu. Kenapa nak babitkan Wawa? Lepaskan dia, Azis.”Dia dan Azis menoleh apabila terdengar suara Fandi. “Apa yang kau orang dah buat dekat Wawa hah?!” Dia semakin tak keruan. Dipandanginya Fandi dan Azis silih berganti. Sinar matanya menerik dan berisi syak wasangka.

Fandi tersengih. Dia berjalan selamba ke arah kereta Kancil Biru yang tersadai sepi di depan. “Panggil mereka! Kita balik!” arah Fandi. Dia terundur apabila melihat Wawa duduk membeku dalam kereta. Amat jelas di matanya, kepala gadis ituretak seperti terhantuk. Darah segar menabiri muka pucat itu. Azis yang masih memandangnya berasa hairan.

Waktu yang sama, Zaimi terkocoh-kocoh keluar dari sebalik belukar. Muka dan tubuh lelaki itu berlumuran darah. Fandi yang masih terperanjat bertambah terkejut. “Apa yang telah berlaku?” tanyanya. Suaranya hampir tidak kedengaran.

“Lari! Kita mesti lari!” Tanpa bertangguh, Zaimi menerpa masuk ke dalam kereta. Azis yang masih bingung turut meningkah mereka berdua. “Fandi! Masuk Fandi! Cepat!! Kita kena pergi dari siniii!” Zaimi semakin cemas dan panik. Diaacapkali memandang ke arah belukar di manasatu jasad menyeramkan tercongok.

“Bertenanglah!” marah Fandi apabila belakangnya ditolak-tolak olehZaimi. Dia segera menghidupkan enjin kereta dan memandu keluar.

“Err.. takkan kita nak tinggalkan dia...” Azis tersentak apabila melihat seseorang yang amat dikenalinya tercancang di depan. “Hati-hati Fandi!” jeritnya dan terkejut apabila kereta bertambah laju lalu merempuh lelaki tersebut.

Tidak diketahuinya, Fandi terintai Zaimi melalui cermin depan.Lelaki itududuk berdua dengan Wawa. Wawa kelihatan seperti mayat hidup dan sempat menyeringai kepadanya. Pemandangan aneh tersebut mendorong Fandi menekan pedal minyak hingga hilang kawalan.Pemuda yang cuba menghalang perjalanan mereka tadi terhumban kesebuah denai.

Manakala kereta Kancil itu pula terbalik beberapa kali, sebelumterseret ke arah sebatang pokok. Sejurus, satu letupan kuat kedengaran. Suasana berubah terang benderang apabila api mula menjilat rakus kereta tersebut bersama isinya. Benda terakhir yang dilihat oleh pemuda yang terdampar parah dicelahan denai ialah Wawa.

Jasad gadis itu bermandikan darah merah bugar.“Sumpah Wawa! Abang tidak tahu menahu pasal ni,” katanya. Namun hanya desis suaranya kedengaran menyusur ke lohong telinganyaDahinya berkerut.Pergerakan gadis itu kelihatan sangat aneh dan amat menakutkan. Helaian rambut gadis itu juga memanjang dan mengerbang. Mukanya pucat seperti tidak berdarah.

Gadis itu seperti melayah perlahan ke arahnya. Nafasnya seakan terhenti beraliterasi apabila gadis itu mengangkat sebelah tangan. Dia cuba bangkit namun gagal berbuat demikian. Anggota tubuhnya terasa sakit amat sangat. Pandangannya berpinar kerana terlalu memaksa diri untuk berambus dari situ.“Wawa, apa yang telah terjadi padamu 2 tahun lalu?” Sebagaimana tadi, suaranya hanya bergema dalam batang rengkung. Dia semakin tak keruan bila gadis itu kian mendekat.

Dia berasa amat takut. Gadis itu menyeramkannya. Dia seperti melihat sebatang tubuh milik mayat hidup. Namun apa yang diketahuinya, Wawa belum mati. Tiada khabar angin mengatakan gadis itu sudah permisi. Apapun, hutan ini sudah dinobatkan sebagai kawasan merbahaya selepas kes serangan yang terjadi padanya. Hampir 2 tahun lamanya dia terlantar di hospital kerana mengalami kecederaan dalaman.

Minggu lalu, dia dikeluarkan dari hospital selepas disahkan sembuh. Sungguhpun begitu, bahang kejadian tersebut masih membesit diri dan benaknya. Lebih-lebih lagi selepas mengetahui kedua sahabatnya masih hilang. Wawa dan nenek penjaga kubur juga turut hilang sejak 2 tahun lalu. Tiada seorang pun penduduk kampung yang mengetahui kedudukan mereka berempat.

Semuanya jadi misteri sehinggalah kemunculan Wawa malam ni. Kemunculan yang tidak terduga. Gadis itu berdiri di bahu jalan raya sewaktu Kancil milik Fandi lalu. Ternyata gadis itu berjaya menarik perhatian Azis, Fandi serta Zaimi. Gadis itu kelihatan menawan ketika bermandikan cahaya rembulan. Wajahnya polos dan sinar matanya mengandung rahsia.

Seharusnya pertemuan ini menjadi miliknya dan Wawa sahaja. Namun takdir tidak menyebelahi mereka berdua. Sungguh tidak disangkanya, ketiga lelaki yang baharu dikenalinya itu memiliki hati yang hitam. Kerana merekalah, dia sekali lagi kehilangan Wawa. “Wawa, maafkan abang,” bisiknya dan berasakan dunianya berputar ligat. Lembaga menyerupai Wawa itu pula semakin mendekat dan mendekat.


07:50 Malam


QUE berasakan dadanya sesak bagai dihimpit seketul batu. Jiwanya resah dan gundah gulana seolah ada sesuatu yang telah terjadi. Sesuatu yang enggan pergi dari menghantui benaknya. Sesuatu yang entah apa bendanya. Sesuatu yang sudah terpadam dalam kotak ingatannya. Walau sebenarnya, hati dan mindanya masih dihuni benda tersebut.

Dia berusaha mengingat namun masih gagal. “Tentuabang masih ingat tempat ni?” Rini menduga. Wajahnya yang persis seseorang menyentakkan Que. “Abang okey ke?” Dia salah tingkah apabila pemuda itu mencerunkan mata ke arahnya.

Dahi Que berkerut.“Sejak bila awak berada di sini?Aku kenal awak ke?”

Rini tersentak. “Ini Rinilah. Takkan abang dah lupa?” Ada nada terkilan terselit dalam suara gadis tersebut. Que menghela nafas. Pandangannya dicampakkan ke arah lain.

“Rini?” sebutnya perlahan, cuba mengingat.“Kenapa aku dibawa ke sini?Siapa agaknya yang bawa aku ke tempat ni?” soalnya setelah lama membatu.

Rini angkat bahu. “Rini tak tahu kenapa dan siapa yang bawa abang kat sini. Tetapi setahu Rini, abang ke sinidisebabkan rahsia lama tu...”

“Rahsia lama?” Kedua kening Que bertaut. Tunaknya kembali menimpa Rini. Rini mengangguk tanpa suara. Dia malas mahu berbiacara. “Rahsia apa pula tu?” Rini angkat bahu. “Takkan awak tak tahu pula? Walhal awak yang timbulkan cerita ni.” Que tidak berpuas hati. Pandangannya semakin tajam hingga terasa menikam ulu hati.

Rini bangkit lalu menapak ke tubir tingkap. “Sebetulnya, Rini pun nak tahu cerita apa yang telah abang sorokkan.” Que terpelangah. “Kerana sekelumit rahsia itulah diri abang tak aman. Rini tahu, abang lebih dari tahu tapi abang buat-buat tak tahu...”

“Heh! Apa yang awak mengarut ni? Aku tak fahamlah,” pangkasnya menekan suara. Rini mengetap bibir lantas mencebik. Hatinya tiba-tiba terasa berbahang.

“Cukuplah bang. Tak payahlah nak bersandiwara.” Kedua kolam matanya mula berkaca. Que menarik nafas dalam-dalam kemudian melepaskannya. Terasa rongga dadanya menyempit tatkala memikirkan sesuatu. Sesuatu yang tidak diketahuinya apa. Rini akhirnya pergi dari situ. Dia bosan dan semakin benci apabila disuakan kata-kata sedemikian rupa.

Ketika ini, hariditabiri malam. Bunyi cengkerik dan kodok saling meningkah di luar. Que yang masih termenung di birai tingkap menoleh apabila terdengar bunyi derit lantai. Keningnya bercantum. Disorotinya semua ceruk. Pandangannya beralih apabila ternampak susuk tubuh yang menyorok di sebalik kain langsir. “Rini?” sebutnya sedikit menyeru.

Dia menanti seketika. Susuk tubuh itu pula masih tercancang di situ.“Rini?” panggilnya sekali lagi. Benaknya dijelangi persoalan. Tiba-tiba kain langsir tersebut membungkus lalu mengetat. Susuk tubuh yang masih menyorok di situ kini terkial-kial mahu melepaskan diri. Tanpa bertangguh, Que berlari ke arah langsir tersebut dan cuba meleraikannya. Kain langsir berwarna hijau kusam itu luruh apabila disentap olehnya.

Que tersentak. Langsir tersebut seakan bernyawa. Dia tidak sempat mengelak apabila kain langsir itu terus saja membelit dan menjerutnya. Que rebah sebatang dan tergolek di atas lantai. Dia tak ubah seperti mayat hidup yang dibungkus oleh kain kafan. Nafas Que menyesak apabila kain langsir tersebut semakin mengetat.


Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.