Home Novel Seram/Misteri Pengabdian (Sudah Terbit)
Pengabdian (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 14:00:19
741
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

SELEPAS berfikir hampir tiga hari, akhirnya dia membuat keputusan untuk menerima projek terbaru daripada Tuan Haji Ismail. Walaupun ada rasa tidak yakin yang dia mampu menyiapkan manuskrip terbarunya nanti, dia tetap ingin mencuba. Dan pagi ini, dia pergi ke satu-satunya hospital sakit jiwa swasta yang ada di negeri ini. 

Kelmarin dia telah menghubungi pihak pengurusan hospital itu untuk membuat janji temu dengan pesakit yang akan membantunya untuk menyiapkan manuskrip terbarunya nanti. Syukurlah, pihak hospital telah membenarkan. Namun, mereka tidak dapat menjamin yang pesakit mahu bertemu dengannya ataupun tidak.

Semuanya bergantung kepada nasib. Walaupun kemungkinan untuk dia bertemu dengan pesakit itu adalah 50-50, dia tetap mahu mencuba. Manalah tahu, nasibnya baik hari ini. Menurut sumber yang diperoleh daripada Tuan Haji Ismail, pesakit itu sengaja ingin diletakkan di dalam hospital sakit jiwa itu atas sebab-sebab peribadi.

Sebab yang sebenar, hanya pesakit dan pihak hospital sahaja yang tahu. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Hal itulah yang dia perlu sahkan. Selepas mengunci pintu kereta, langkah terus diatur menuju ke lobi hospital. Tidak banyak kenderaan di kawasan parkir kereta pelawat ketika ini. Termasuk keretanya, hanya ada lebih kurang 10 buah kenderaan sahaja yang ada di kawasan parkir itu. Mungkin kerana ini hospital sakit jiwa, jadi tidak ramai pelawat. Tidak seperti hospital biasa.

Sebaik sahaja masuk ke dalam ruang lobi hospital, dia terus melangkah menuju ke kaunter pertanyaan. 

"Selamat pagi, boleh saya bantu?" sapa jururawat yang ada di kaunter itu.

"Selamat pagi. Kelmarin saya ada call nak jumpa pesakit yang bernama Rozi," jawab Fuadi terus  ke tujuan utamanya.

"Oh, Encik Fuadi ya?" soal jururawat itu, ingin memastikan.

"Ya, saya."

"Sebelum tu ...." Jururawat itu mengambil bakul plastik yang ada di bawah meja kemudian diletak di atas kaunter.

"Segala benda tajam, bertali dan benda keras, perlu ditinggalkan di kaunter. Ini prosedur keselamatan untuk pesakit di hospital ni," jelas jururawat itu dengan senyuman manis.

Benda tajam, bertali dan benda keras adalah benda yang dilarang dibawa jika ingin melawat pesakit. Bimbang benda-benda itu akan digunakan oleh pesakit untuk mencederakan diri sendiri. 

Fuadi akur, lalu meletakkan beg sandangnya ke dalam bakul plastik di hadapannya.

"Encik Fuadi pakai tali pinggang ke?" tanya jururawat ingin memastikan.

Tali pinggang juga salah satu barangan yang dilarang pakai ketika bertemu dengan pesakit.

"Tak, saya tak pakai tali pinggang. Emm ... telefon boleh bawa ke?" soal Fuadi kembali.

"Telefon pun tak boleh bawa, encik. Maaf sangat. Semua kena tinggal termasuk dompet. Itu memang prosedur di hospital ni," jawab jururawat itu, jelas. 

Fuadi mengangguk akur dengan segaris senyuman. Hendak atau tidak, dia harus akur dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak hospital. Dia berharap daya ingatannya mampu mengingati segala jawapan yang dia akan peroleh nanti.

"Sekejap ya, encik."

Jururawat itu menoleh ke kiri dan ke kanan seolah-olah mencari seseorang.

"Lisa, sini sekejap." Jururawat itu memanggil rakan sekerjanya yang sedang menampal sesuatu pada papan maklumat tidak jauh dari kaunter itu.

Fuadi memandang ke arah jururawat bernama Lisa itu yang mula melangkah menghampiri kaunter. 

"Kenapa Lin?"

"Ni, Encik Fuadi, yang call nak temu bual pesakit kat bilik hujung blok sebelah tu. Boleh tak awak bawa dia jumpa pesakit tu? Kalau pesakit tu setuju nak jumpa, bawa encik ni dengan pesakit tu ke bilik pelawat," beritahu jururawat bernama Lin itu.

"Okey, baiklah," akur Lisa, lalu mengajak Fuadi ke bilik pesakit yang dimaksudkan.

Fuadi sempat mengucapkan terima kasih pada jururawat Lin di kaunter pertanyaan itu sebelum mengekori langkah jururawat Lisa tadi. 

Perjalanan yang agak jauh kerana bilik pesakit yang dia ingin temui itu berada di bangunan sebelah dan berada di tingkat yang paling atas. Hampir lima minit juga perjalanan mereka.

"Untuk pesakit ni, kami tak jamin dia akan bersetuju nak jumpa encik," jelas Lisa selepas kakinya menjejak anak tangga yang terakhir di aras empat blok dua itu.

Fuadi mengangguk faham. Dia berharap pesakit itu mahu bertemu dengannya. Jika pesakit itu menolak, dia tidak mampu berbuat apa-apa. 

"Sebelum ni, sudah beberapa kali juga pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat nak jumpa dia, tapi dia menolak. Kami dah pujuk macam-macam cara, tapi tak berjaya. Sekarang ni kami hanya mampu cuba tolong pujuk dia lagi bagi pihak encik, tapi kami tak mampu nak jamin apa-apa. Saya bagi tahu awal-awal ni supaya encik tak kecewa kalau dia menolak untuk terima pelawat macam sebelum ni," jelas jururawat itu lagi sambil melangkah menuju ke bilik paling hujung.

"Saya faham nurse," balas Fuadi seadanya. 

Bohonglah kalau dia tidak kecewa andai permintaannya ditolak. Hanya pesakit itu satu-satunya sumber yang dia ada untuk merealisasikan manuskrip terbarunya.

Perbualan tergendala selepas itu. Mereka berdua terus melangkah menuju ke bilik pesakit yang paling hujung. Sunyi sungguh hospital ini. Tidak kedengaran suara pesakit. Terasa tenang keadaannya. 

Sampai di hadapan pintu bilik yang paling hujung, jururawat bernama Lisa itu terus mengetuk pintu.

"Cik Rozi, ada pelawat nak jumpa Cik Rozi," ujar jururawat selepas mengetuk daun pintu beberapa kali.

Tiada balasan dari dalam. Itu bermakna, pesakit tidak bersetuju untuk menerima pelawat. Kemudian, dia memandang lelaki di belakangnya dengan wajah hampa.

"Nampaknya, pesakit menolak pelawat," maklum Lisa, hampa.

Fuadi mengeluh kecewa.

"Dia memang tak pernah bertemu dengan sesiapa ke sejak dimasukkan ke dalam hospital ni?"

Lisa memandang ke arah pintu wad di hadapannya untuk seketika. Dia merasakan dia tidak boleh menjawab pertanyaan itu di situ. Langkah terus diatur meninggalkan wad itu. 

Terkebil-kebil Fuadi melihat jururawat itu berlalu begitu sahaja tanpa menjawab pertanyaan. Hendak atau tidak dia turut beredar meninggalkan wad itu. 

"Sebelum ni dia memang tak pernah terima mana-mana pelawat."

Pertanyaan Fuadi baru dijawab oleh Lisa selepas mereka berdua berada jauh dari wad tadi. Sekarang barulah Fuadi faham kenapa jururawat itu tidak terus menjawab pertanyaannya sebentar tadi. Gadis itu tidak mahu jawapannya didengari oleh pesakit.

"Sejak dia dimasukkan ke hospital ni?"

"Ya," jawab jururawat itu, sepatah.

"Dia tak ada bagi tahu doktor kenapa dia dimasukkan ke hospital ni?" tanya Fuadi lagi.

Apa yang diberitahu oleh jururawat itu merupakan bahan penting. 

Lisa menggeleng, lalu mula menuruni anak tangga. Jawapan bukan lisan daripada jururawat itu membuatkan Fuadi hampa. Nampaknya, hanya satu cara sahaja dia boleh dapat jawapan untuk pertanyaan itu. Hanya dengan bertanya terus kepada tuan punya badan. Namun, itu mustahil buat masa ini.

Perbualan mereka terputus sepanjang mereka menuruni anak tangga.

"Macam nilah encik. Apa kata, tengah hari nanti encik datang lagi. Saya akan cuba maklumkan pada pesakit tu pasal tujuan encik nak jumpa dia. Manalah tahu dia nak jumpa encik tengah hari nanti? Sekarang ni pagi lagi, mungkin dia masih tidur," cadang Lisa selepas mereka sampai di aras bawah.

"Boleh ke?"

"Kenapa pula tak boleh? Lagipun, hospital ni tak ramai pelawat."

Lega Fuadi mendengar jawapan Lisa. Masih ada harapan untuk dia menemu bual pesakit itu dan dia berharap nasibnya baik tengah hari nanti. 

"Tapi, nurse ada bagi tahu pesakit tu tentang tujuan saya nak jumpa dia?" tanya Fuadi seketika kemudian sekadar ingin memastikan.

"Saya dah bagi tahu dia kelmarin, yang encik nak novelkan kisah dia."

Fuadi mengangguk akur dengan wajah kecewa. Mungkin sebab itu permintaannya ditolak. 

"Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu encik?" tanya jururawat itu selepas mereka sampai di lobi hospital.

"Tak ada. Tengah hari nanti saya datang lagi."

"Baiklah, kalau macam tu saya minta diri dulu. Jangan lupa ambil barang-barang encik di kaunter, ya?"pesan jururawat itu, kemudian berlalu menuju ke arah bilik staf.

Fuadi mengangguk dengan senyuman kecewa. Kemudian, dia melangkah ke kaunter untuk mengambil semula barang-barangnya yang ditinggalkan tadi.

Jam tangan yang baru dipakai dipandang sekilas. Waktu sekarang menunjukkan pukul 9.44 pagi. Dia menyangka, jika datang awal pagi bolehlah dia menemu bual pesakit itu dengan lebih lama. Semakin lama sesi temu bual dibuat, semakin banyak bahan yang dia boleh dapat. Namun, nasib tidak menyebelahinya. Dia terpaksa menunggu tengah hari nanti untuk bertemu dengan pesakit itu. Itu pun kemungkinan pesakit itu mahu bertemu dengannya teramat tipis.

"Apa aku nak buat sekarang ni? Takkan nak balik? Macam bazir minyak kereta pula," omel Fuadi sambil melangkah menuju ke pintu utama lobi.

"Maafkan saya." Fuadi disapa seseorang. 

Pantas dia menoleh ke arah datangnya suara itu.

"Ya?" Teragak-agak Fuadi membalas sapaan lelaki di hadapannya ketika ini.

"Encik datang sini nak jumpa pesakit bernama Rozi ke?" tanya lelaki itu.

Berkerut dahi Fuadi. Dia hairan. Bagaimana lelaki itu tahu tujuannya ke hospital ini?

"Err ... encik ni, siapa?"

Lelaki itu mengukir senyuman yang sukar untuk dijelaskan maksudnya.

'Siapa lelaki ni?' Desis di hati Fuadi yang mula disapa rasa musykil.

MEREKA berdua menuju ke kafeteria yang bersebelahan lobi hospital untuk sarapan bersama. Fuadi tidak menyangka akan dipertemukan dengan lelaki yang mungkin boleh membantunya.

Selesai membuat pembayaran di kaunter, dia terus menuju ke meja yang berada di sudut hujung kafeteria itu. Dia sekadar memesan dua cawan teh panas bersama beberapa jenis kuih-muih tradisional Melayu. Apa yang mereka akan bualkan sebentar lagi bukan sesuatu yang boleh didengari oleh sembarangan orang. Jadi, mereka memilih meja yang agak jauh dari pelanggan yang lain.

Keadaan kafeteria itu pun tidak terlalu sesak. Kebanyakannya dalam kalangan jururawat, doktor dan staf hospital yang berada di kafeteria itu. Sampai di meja, Fuadi terus menghidangkan apa yang ada di atas dulang.

"Susah-susah aje Encik Fuadi belikan teh panas untuk saya. Saya boleh beli sendiri." Serba salah lelaki bernama Sufian itu.

"Eh, tak susah pun. Saya belanja, tanda terima kasih saya sebab Encik Sufian sudi untuk ditemu bual. Ni ada kuih-muih sedikit," balas Fuadi sambil meletak pinggan berisi beberapa biji karipap dan kuih seri muka di tengah meja.

Sufian hanya tersenyum. Perbualan mereka berjeda seketika saat dua orang jururawat melintasi meja mereka. Sempat Fuadi menghadiahkan senyuman kepada dua orang jururawat itu saat mata mereka bertembung. Namun, senyumannya terus kaku apabila dia perasan kedua-dua orang jururawat itu membalas senyumannya dengan senyuman janggal. Bimbang pula dirinya telah disalah tafsir. Dia sekadar ingin beramah mesra dan bukannya untuk menggoda sesiapa.

"Sekali lagi, tak apa ke, kalau saya nak temu bual Encik Sufian bertanyakan tentang perihal kejadian yang Cik Rozi lalui sebelum ni?" Buat sekian kalinya Fuadi inginkan kepastian daripada lelaki yang duduk di hadapannya itu.

"Saya akan jelaskan apa yang saya tahu daripada pihak saya. Sebagai kekasih Cik Rozi, saya memang sentiasa ada di sisi dia sebelum dan selepas kejadian di vila tu. Dari semasa ke semasa sepanjang Cik Rozi berada di vila tu, dia akan ceritakan segalanya kepada saya sebelum dia dimasukkan ke hospital ni." 

Fuadi mengangguk faham. Ini bermakna lelaki di hadapannya itu seseorang yang penting dalam kehidupan insan yang dia betul-betul ingin temui di hospital ini.

"Kalau tak kisah, boleh ke saya rakam perbualan kita? Saya takut ada yang tertinggal. Tapi, Encik Sufian tak perlu risau. Saya tak akan hebahkan atau sebarkan rakaman ni dan tak akan mention nama Encik Sufian dalam karya saya nanti."

Fuadi meminta kebenaran untuk merakam perbualan mereka. Rasanya, merakam perbualan mereka dalam format audio lebih mudah dan dia boleh mendengar berulang kali rakaman itu andai ada kemusykilan untuk rujukan.

"Sure," akur Sufian tanpa bantahan.

Fuadi mengeluarkan telefonnya lalu aplikasi perakam suara dibuka dan diaktifkan. Kemudian, dia meletakkan telefonnya di tengah meja. 

"Sekali lagi, kalau Encik Sufian rasa tak selesa nak bercerita, Encik Sufian boleh berhenti. Saya tak nak memaksa. Yalah, hal macam ni bukan sesuatu yang biasa. Melibatkan aib beberapa pihak. Tapi, kalau Encik Sufian sudi berkongsi, saya janji tak akan mention nama-nama  yang terlibat dan akan menukar nama sebenar kepada nama lain supaya tak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak."

Sufian mengangguk faham.

"Saya cuma nak jadikan kes ni sebagai sumber inspirasi saja. Mungkin jalan ceritanya nanti akan ada perubahan sedikit supaya lebih menarik," jelas Fuadi lagi.

Setiap watak akan diubah. Hanya jalan ceritanya sahaja yang akan hampir sama. Sufian mengangguk lagi tanda faham apa yang Fuadi maksudkan. 

"Kalau tak kisah, boleh kita mulakan sekarang?" tanya Fuadi.

Sufian mengangguk sambil menarik nafas dalam. Seketika kemudian, dia mula bercerita apa yang berlaku empat tahun yang lalu.

"Kisahnya bermula pada hari itu. Tak silap saya, pertengahan bulan Ogos. Senja tu, Rozi mendapat satu panggilan ...." Sufian memulakan ceritanya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.