Home Novel Seram/Misteri Pengabdian (Sudah Terbit)
Pengabdian (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 14:00:19
746
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 3

DARI dalam kereta, dia melihat Rozi sedang melangkah menuju ke arah keretanya selepas mengunci pintu gril bersama beg besar di tangan. Jelas wajah wanita itu kelihatan sugul dan bersedih. Khabar duka yang menyapa wanita itu petang tadi pasti membuatkan kekasihnya itu dilanda kesedihan yang tidak terperi.

"Maaf, saya lambat," ucap Rozi selepas membuka pintu tempat duduk penumpang di bahagian belakang. 

Beg di tangan diletak di tempat duduk belakang, lalu pintu kembali ditutup. 

Sufian terus menanti Rozi melangkah masuk ke tempat duduk di sebelah pemandu.

"Okey tak ni?" tanya Sufian.

Rozi duduk di sebelahnya, lalu memakai tali pinggang keledar. Jelas mata wanita itu sudah dibasahi dengan air mata. Rozi tidak terus menjawab. Air matanya yang masih deras mengalir diseka berkali-kali. Khabar duka yang diterima lebih kurang dua jam lalu benar-benar membuatkan dia terkejut dan berduka lara. Satu-satunya adik-beradik yang dia ada di dalam dunia ini sudah kembali ke negeri abadi.

"Saya masih cuba menerima berita tu. Rasa macam tak percaya Kak Ros dah tak ada. Saya rasa menyesal sebab dah lama tak jumpa dia." Rozi kembali mengongoi sedih.

Perasaan kesal semakin menebal di sanubari apabila terkenang kembali hubungan dengan kakaknya yang mulai renggang selepas wanita itu berkahwin dengan lelaki pilihan enam tahun lalu.

Sufian tidak tahu hendak berkata apa. Dia tahu kenapa hubungan Rozi dengan kakaknya renggang. Sejak Rozi dan kakaknya kehilangan kedua-dua orang tua akibat kemalangan jalan raya 15 tahun lalu, mereka membesar tanpa jagaan mana-mana waris dari sebelah emak atau abahnya. Ketika itu, Rozi baru berusia 14 tahun.

Rosmi yang menjaganya sehingga dia tamat tingkatan lima. Selepas itu, Rozi mula hidup berdikari dengan bekerja sambil belajar. Kini, dia berjaya menjadi seorang guru tadika.

Cuma, Rozi mula mengelak daripada berhubungan dengan kakaknya kerana lelaki yang mengahwini wanita itu mengundang rasa tidak selesa dalam diri Rozi. Menurut cerita Rozi sebelum ini, abang iparnya anak seorang dukun. Sebab itu, dia berasa tidak selesa dengan abang iparnya sendiri. 

"Sorry tau, sebab terpaksa susahkan awak untuk hantar saya ke rumah kakak saya. Saya tak mampu nak drive sekarang ni," ujar Rozi serba salah. Jelas kelihatan tangannya yang menggeletar. Dia masih terkejut dengan perkhabaran duka itu.

"Saya tak kisah. Lagipun, saya tak ada hal hari ni." 

Sebagai seorang pereka grafik yang bekerja sendiri, waktu kerja Sufian tidak terikat. Waktu kerjanya bebas. Jadi, permintaan Rozi itu sedikit pun tidak mengganggu waktu kerjanya. Sebaliknya, dia senang kerana Rozi mencarinya tatkala dalam kesusahan.

"Tapi ... awak betul-betul pasti nak saya hantar ke sana?" tanya Sufian.

Dia tidak mahu Rozi berasa tertekan apabila sudah sampai ke rumah keluarga mentua Rosmi selepas apa yang berlaku sebelum ini.

"Ini ajelah peluang terakhir saya untuk menatap wajah kakak saya. Lepas ni, saya dah tak dapat nak jumpa dia lagi buat selama-lamanya. Kalau ikutkan hati, memang saya tak nak pergi. Tapi, saya tak nak menyesal di kemudian hari." 

Sufian mengangguk akur. Tanpa menunggu lama, dia mula memandu menuju ke arah barat. Jam pada pergelangan tangan dipandang sekilas. Waktu sekarang menunjukkan pukul 7.59 malam.

"Saya harap semuanya berjalan lancar," luah Rozi sambil menyeka air mata.

Dengan mata yang terus fokus ke arah jalan, Sufian membuka penutup dashboard kereta dengan sebelah tangan, lalu sebuah kotak kecil berisi tisu dikeluarkan kemudian diserahkan kepada Rozi. 

"Awak akan stay sana?" tanya Sufian sambil memandang sekilas beg besar di tempat duduk belakang melalui cermin pandang belakang.

"Ya. Saya rasa sehari tak cukup nak uruskan majlis tahlil untuk Kak Ros dan suaminya."

"Kak Ros ada anak, kan? Anak dia macam mana?' 

Rozi terdiam seketika. Hal itu juga yang sedang difikirkan ketika ini. Kakaknya meninggalkan seorang anak kecil berusia lima tahun yang bernama Dani. Dia hanya tahu melalui aplikasi WhatsApp. Kakaknya memaklumkan kepadanya yang dia sudah jadi emak saudara lima tahun lalu. Cuma dia belum pernah melihat wajah terkini anak saudaranya itu.

"Salah satu sebab saya kena stay kat sana adalah disebabkan anak Kak Ros juga." 

Pertanyaan Sufian baru dijawab selepas hampir seminit perbualan mereka tergendala.

Sufian mengangguk faham.

"Siapa akan jaga anak Kak Ros nanti?" 

"Mungkin saya, mungkin juga keluarga sebelah abang ipar saya."

"Awak, pernah jumpa keluarga sebelah abang ipar awak sebelum ni?"

Rozi menggeleng. 

"Tak pernah. Masa Kak Ros kahwin dulu pun saya tak datang majlisnya sebab, saya tak selesa. Saya jumpa abang ipar saya pun sekali aje. Tak silap saya dua bulan sebelum Kak Ros kahwin dengan dia. Saya tak selesa bila dapat tahu dia anak seorang dukun."

"Dia ... anak orang asli kat sana, kan?" Rozi mengangguk mengiakan.

"Bila dapat tahu yang suami Kak Ros memang orang sana. Lagilah buat saya seriau."

"Kalau boleh saya tahu, kenapa awak rasa tak selesa dengan suami Kak Ros? Takkan hanya disebabkan dia anak seorang dukun?" Teragak-agak Sufian bertanya sambil mengawal stereng kereta.

Sebelum ini, semasa Rozi bercerita tentang keluarga kakaknya, dia memang ingin bertanyakan soalan itu. Tetapi dia bimbang buat Rozi tidak selesa. Baru sekarang dia mempunyai keberanian untuk bertanya. Dan dia berharap Rozi tidak terasa hati.

"Entahlah ... bila saya tengok dia pakai gelang manik-manik hitam. Lepas tu pakai kalung yang macam tangkal. Buat saya rasa takut. Saya risau dia mewarisi ilmu dukun ayah dia."

Lega Sufian apabila Rozi menjawab pertanyaan itu tanpa rasa tertekan.

"Dia Islam?"

"Mualaf. Dia masuk Islam sebelum berkahwin dengan kakak saya."

"Masa awak jumpa Kak Ros dengan suami sebelum mereka berkahwin, abang ipar awak dah masuk Islam?" 

Rozi menjawab pertanyaan Sufian itu dengan gelengan sahaja. Sufian menghela nafas panjang.

"Patutlah awak nampak dia pakai gelang manik dengan rantai tangkal tu. Masa tu dia belum masuk Islam. Mana tahu, lepas masuk Islam dia dah tak pakai semua tu dan dah tak masuk campur hal ilmu dukun ayah dia. Awak pun tak pernah jumpa keluarga mentua kakak awak selepas kakak awak kahwin, kan? Abang ipar awak tu kerja apa?"

Rozi menghela keluhan berat. Dia pun tidak tahu kenapa dia terlalu paranoid dengan gelaran dukun itu.

"Dia pekebun. Uruskan kebun durian. Tapi, entahlah. Saya masih tak selesa sampai sekarang. Ya, mungkin suami Kak Ros dah masuk Islam, tapi keluarga suami dia bukan Islam dan masih amalkan ilmu dukun tu. Apa yang saya tahu kalau dari keluarga dukun ni mesti ada membela. Dan apa yang dibela tu mesti nak tuntut waris dan sebagainya."

Itulah tanggapan Rozi selama ini tentang dunia perdukunan. Sebab itu, dia tidak selesa dengan keluarga abang iparnya.

"Tak semua macam tu, Rozi. Mungkin keluarga abang ipar awak tu tak ada membela yang bukan-bukan. Lagipun, abang ipar awak kan dah masuk Islam. Islam mengutuk dan mengeji perbuatan syirik."

"Tapi ...."

"Rozi, bersangka baiklah buat masa ni, okey? Dalam masa enam tahun, macam-macam boleh berlaku. Mungkin abang ipar awak tu dah tak ada kaitan dengan ilmu dukun ayah dia."

Rozi hilang kata-kata. Kata-kata teman lelakinya itu sedikit pun tidak mengubah persepsinya buat masa ini.

Perbualan mereka tergendala untuk seketika. Kenderaan yang dipandu Sufian mula menuju ke arah jalan kampung orang asli, Kuang. Ini kali pertama mereka ke kawasan itu. Sebelum ini, Rozi bertemu dengan kakaknya di kawasan bandar terdekat. Bukan di kampung kelahiran abang iparnya. 

"Betul ke jalan ni?" tanya Rozi, musykil bila melihat keadaan jalan yang dilalui mereka ketika ini hanya dipagari hutan dan semak samun yang tinggi. 

Dia perasan hanya ada beberapa buah kilang perindustrian yang jarak di antara satu kilang ke satu kilang agak jauh. Selain saiz jalan yang kecil, turapan pada permukaan jalan di kampung ini juga sudah tidak sempurna. Ada yang berlubang. Kalau bertembung dengan kenderaan lain dari arah bertentangan, salah satu kenderaan perlu memberi laluan.

Sufian melihat sistem penentu dudukan sejagat (GPS) pada skrin LED di dashboard keretanya. Jika merujuk penentu arah melalui aplikasi Google Map itu, mereka kini berada di laluan yang betul untuk menuju ke kampung orang asli, Kuang yang terletak di Rawang Selangor.

"Gelap aje ni? Tak nampak rumah sesiapa pun?" 

Rozi mula merinding. Lengannya yang terasa meremang diusap beberapa kali sambil melihat ke luar kenderaan.

"Kalau merujuk Google Map ni, dah betul," jawab Sufian antara yakin dan tidak.

Seketika kemudian, dia memberhentikan kenderaan bila terdapat dua simpang di hadapan.

"Kenapa?" tanya Rozi risau.

"Ada dua simpang. Kalau ikut Google Map ni, masuk sebelah kanan. Tapi dua-dua gelap."

Rozi semakin tidak keruan. Ini kali pertama mereka ke kawasan ini. Dia tidak menyangka masih ada kawasan perkampungan sebegini di negara ini. Sudahlah jalannya kecil, lampu jalan pun tiada. 

"Kita patah balik ajelah."

"Patah balik?" Sufian terkejut dengan kata-kata Rozi itu.

"Kita dah sampai sini, takkan nak patah balik? Lagipun, awak tak nak tengok wajah kakak awak buat kali terakhir?"

Rozi terus diselubungi rasa serba salah. 

"Bukan macam tu, kalau kita sama-sama tak tahu jalan, baik kita patah balik. Kalau kita main jalan aje, lepas tu tersesat macam mana?"

Sufian menggeleng.

"Tak apa. Kita tunggu aje kat sini. Kalau ada orang lalu, kita tanya orang tu okey?" 

"Kalau ada orang lalu, kalau tak ada, macam mana?"

"Rozi, cuba jangan fikir yang bukan-bukan. Saya yakin, kita dah dekat dengan rumah kakak awak. Cuma simpang ni aje buat kita keliru." Sufian cuba menenangkan Rozi yang mula gelisah.

Perasaan takut kekasihnya itu terlalu berlebihan. Sehingga memikirkan hal yang bukan-bukan dan tidak sepatutnya. Rozi semakin serba salah.

"Ha, see ... masin mulut saya. Ada orang kat depan tu," ujar Sufian sambil menjuih bibir ke simpang sebelah kiri yang ada di hadapan mereka. 

Di sebalik gelap malam yang agak pekat, kelihatan seseorang berpakaian putih sedang melangkah menghampiri keretanya.

Rozi menoleh ke arah yang sama. Berkerut dahinya dan mengecil kedua-dua kelopak matanya cuba mencari insan yang telah Sufian maksudkan. Namun, tidak kelihatan. Beberapa saat kemudian baru dia nampak. 

"Awak yakin ke tu orang?"

Terkejut Sufian mendengar pertanyaan Rozi itu.

"Kalau tu bukan orang, takkan hantu kut? Awak tak nampak dia tengah berjalan tu? Apalah awak ni."

"Tapi tak mustahil kan itu hantu? Dahlah tempat ni gelap, hutan kiri kanan depan belakang."

"Dah, awak jangan nak merepek. Saya keluar sekejap nak tanya orang tu. Awak tunggu dalam kereta." 

"Eh, tak payahlah awak."

"Kata orang, malu bertanya sesat jalan. Siapa nama abang ipar awak?"

Rozi diam sejenak sambil cuba mengingat. 

"Hisham."

"Okey, tunggu dalam kereta sekejap. Jangan lari pula," pesan Sufian, lalu terus melangkah keluar dari kereta.

"Awak, tak payahlah. Awak!" tahan Rozi, namun tidak diendahkan oleh Sufian. 

Dia hanya mampu melihat Sufian melangkah menuju ke arah insan berbaju putih tadi. Yang peliknya, sebentar tadi orang itu kelihatan seolah-olah sedang melangkah menghampiri mereka, tetapi ketika ini seolah-olah sedang menjauhi mereka pula. Sudahnya, dengan Sufian sekali hilang di sebalik gelap malam kerana mengejar insan itu.

Disebabkan lampu kereta lebih terarah ke arah simpang yang sebelah kanan, jadi pencahayaannya tidak sampai ke arah simpang yang sebelah kiri di mana orang tadi kelihatan dan kini sudah lenyap di sebalik gelap malam bersama Sufian.

Rozi semakin gelisah apabila kelibat Sufian masih tidak muncul lagi dari simpang kiri tadi.

"Mana Sufian ni? Kenapa lama sangat?" rungut Rozi semakin tidak tentu arah.

Kedua-dua kakinya mula laju menghentak perlahan lantai kereta menandakan dia dalam kegelisahan dan ketakutan yang tidak terkawal. Selepas hampir seminit menunggu, Sufian muncul semula dari simpang sebelah kiri yang gelap itu menuju ke kereta. Lega hati Rozi apabila melihat kelibat teman lelakinya itu kembali masuk ke dalam kereta.

"Macam mana? Dia tahu ke?" tanya Rozi, pantas.

"Betul kata saya tadi, masuk simpang kanan ni. Kata lelaki tu, terus aje masuk simpang kanan ni sampai jumpa rumah dua tingkat. Rumah abang ipar awak tu, satu-satunya rumah dua tingkat kat kampung ni," jawab Sufian, lalu kembali memandu.

Keretanya mula menyusur masuk ke simpang di sebalah kanan.

Barulah Rozi dapat menghela nafas panjang sambil menyandarkan tubuh pada kerusi kereta. Dia bimbang mereka tersesat sebentar tadi.

Perbualan mereka tergendala selepas itu. Saat Rozi memandang cermin sisi kereta, dia terpandang sesuatu. Pantas dia menegakkan tubuh, lalu mendekatkan wajahnya ke cermin sisi kereta di luar tingkap. Dia melihat seolah-olah ada kelibat makhluk berbungkus kain putih lusuh persis pocong sedang berdiri tegak di cabang simpang tadi menghadap ke arah mereka!

Dengan pantas dia menoleh ke belakang kereta. Namun, kelibat yang dilihat di cermin sisi kereta tadi sudah tiada. Dia kembali memandang cermin sisi kereta. Namun, disebabkan simpang tadi sudah menjauh, kelibat makhluk persis pocong itu sudah tidak kelihatan lagi.

Sekali lagi dia menoleh ke belakang kereta, masih tidak kelihatan apa-apa. Rasa takutnya mula bercampur baur dengan rasa hairan.

"Kenapa dengan awak ni? Nampak cemas aje? Awak tengok apa?" tanya Sufian, hairan melihat gelagat buah hatinya ketika ini. Nampak aneh. Dia memandang cermin pandang belakang, namun tiada apa-apa di belakang keretanya ketika ini.

"Tak, tadi saya nampak macam ada po ...." Rozi tidak mampu menghabiskan kata-katanya kerana dia tidak pasti apa yang dia nampak tadi benar-benar wujud atau hanya mainan perasaannya sahaja.

"Po? Pondan?"

"Bukan. Tak ada apalah." Rozi memilih untuk mengabaikan. Namun, rasa takut dan tidak selesa tetap menyaluti perasaannya. Dia merasakan ada yang tidak kena ketika ini.

Berkerut kehairanan dahi Sufian memandang Rozi  di sebelahnya.

Sekali lagi Rozi memandang cermin sisi kereta. Dia tidak nampak apa-apa selain gelap malam.

'Apa yang aku nampak tadi?' Dia tertanya-tanya di dalam hati.

DISEBABKAN malam sudah terlalu lewat, jenazah Rosmi dan Hisham yang sudah dikapankan oleh pihak hospital, hanya akan dikebumikan awal pagi esok. Pihak hospital terpaksa mengapankan kedua-dua jenazah di hospital disebabkan kecederaan yang menimpa pasangan itu agak serius di bahagian kepala dan muka. 

Tidak jauh dari ruang tamu itu, Rozi duduk bersimpuh sambil membaca surah Yasin bersama-sama penduduk kampung yang lain. Mereka bergilir-gilir membacakan surah Yasin untuk jenazah kakak dan abang iparnya.

Pilu hatinya saat memandang sekujur tubuh kaku kakaknya yang sudah dikapankan di atas tilam di tengah ruang tamu itu. Disebabkan kakaknya mengalami kecederaan yang teruk di bahagian muka, membuatkan dia tidak dapat melihat wajah kakaknya dengan jelas sebentar tadi. Pihak hospital juga terpaksa membungkus jenazah kakak dan abang iparnya dengan plastik di bahagian dalam bagi mengelak darah yang masih mengalir membasahi kain kafan.

Air mata yang mengalir lesu di pipi dilap dengan hujung selendang yang sudah basah.

Ruang tamu itu digemakan dengan bacaan surah Yasin sejak tadi. Kelihatan juga tidak jauh dari situ, seorang kanak-kanak lelaki sedang tidur lena di pangkuan seorang gadis yang turut berduka lara. Rozi yakin, itu pasti anak saudaranya. Dan gadis yang sedang memangku anak kecil itu adalah Sarah, satu-satunya adik kepada abang iparnya.

Kedatangan dia dan Sufian tadi pun disambut oleh Sarah. Menurut gadis berusia 18 tahun itu, Rosmi selalu bercerita tentangnya pada gadis itu. Sebab itu gadis itu mengenalinya. Jika tidak, mati kutu juga dia di vila dua tingkat ini kerana dia tidak mengenali sesiapa di kampung itu. Cuma, Sarah berbeza kepercayaan agama dengannya. Gadis itu berada di vila pun kerana menjaga anak saudaranya.

Asap kemenyan yang dinyalakan di bahagian kepala jenazah terus berterbangan membawa baunya di ruang tamu itu. Bau yang cukup tidak digemari oleh Rozi. Namun, dia terpaksa menghadapi demi menghormati pihak yang menyediakan semua itu.

Selesai membaca surah Yasin, Rozi bangkit berdiri untuk keluar sebentar. Giliran kumpulan seterusnya membaca surah itu. Serba salah pula dia membiarkan Sufian di luar vila terlalu lama. Dia perasan tadi, selepas selesai giliran Sufian membaca surah Yasin, lelaki itu terus melangkah keluar dari vila. Dan seperti yang diduga, lelaki itu sedang berdiri bersandar pada keretanya sambil menghisap rokok. Rozi menghampiri teman lelakinya itu.

"Awak," sapa Rozi.

Sufian tersentak akibat terkejut. Cepat-cepat dia membuang putung rokoknya ke tanah, lalu dipijak beberapa kali sehingga baranya terpadam.

"Kalau awak nak balik, baliklah dulu. Dah lewat dah ni," ujar Rozi, serba salah. 

Waktu sekarang sudah pukul 11.30 malam.

"Tak apa ke?"

"Tak apa. Awak baliklah dulu. Lagipun, jenazah kakak dan abang ipar saya akan dikebumikan awal pagi esok. Kalau awak nak datang lagi, datang pagi esok. Kalau tak datang pun tak apa. Rasanya orang kampung kat sini boleh tolong uruskan."

Sufian menghela nafas panjang. Ikutkan hati, dia ingin menemani teman wanitanya itu. Tetapi apa pula kata orang kampung nanti. Mereka belum ada ikatan yang sah.

"Saya datang lagi esok pagi. Awak okey tak ni?" 

Berat pula hati Sufian ingin meninggalkan Rozi di vila itu. Namun, dia perlu balik bagi mengelak tercetusnya tanggapan negatif daripada orang kampung.

"Saya okey, awak baliklah dulu, ya?"

"Okey, kalau ada apa-apa call or text saya okey?"

Rozi hanya mengangguk. Tidak sampai dua minit, kenderaan yang dipandu Sufian sudah meninggalkan pekarangan vila itu. Siapa sangka, selama ini kakaknya tinggal di vila dua tingkat yang indah. Jelaslah, abang iparnya telah menyediakan yang terbaik untuk kakaknya selama ini.

Langkah kembali diatur ke dalam vila tanpa menoleh ke mana-mana arah. Bunyi siulan unggas kedengaran nyaring di sekitar vila memandangkan vila ini hanya dikelilingi oleh hutan dan kebun durian. Apa yang pasti, jarak vila ini agak menjauh dengan rumah penduduk kampung yang lain. Jalan untuk ke vila ini juga agak kecil dan hanya muat untuk satu kenderaan sahaja.

"Kak Rozi nak makan?"

Pertanyaan itu menyapa Rozi saat kakinya baru sahaja melangkah masuk ke dalam vila. Pantas dia menoleh ke arah suara itu. Kelihatan Sarah sedang melangkah menghampirinya.

"Kak Rozi nak makan? Kalau nak makan, Sarah sediakan," ulang Sarah lagi.

Sejak tadi, hanya Sarah yang ramah dengan Rozi.

"Tak apa Sarah. Akak tak lapar." 

Sarah mengangguk faham.

"Kalau macam tu, Sarah tunjukkan bilik akak, ya?

Jom."

Sarah mula melangkah menuju ke tepi almari perhiasan yang berada tidak jauh dari situ. Beg pakaian Rozi yang terletak di tepi almari perhiasan itu dicapai, lalu dia terus menuju ke arah tangga untuk ke atas. 

Tanpa berlengah, Rozi mengekori langkah Sarah. Dalam kakinya melangkah matanya terus meliar melihat gambar-gambar yang digantung pada dinding menghadap tangga.

Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyuman saat melihat gambar-gambar perkahwinan kakaknya. Cantik sungguh kakaknya saat memakai gaun pengantin. Namun, senyumannya memudar apabila melihat gambar kakaknya bersama keluarga mentua wanita itu. Bukan dia tidak suka dengan keluarga mentua kakaknya. Cuma, melihat gambar ayah mentua Rosmi yang berwajah sedikit garang dan memakai rantai seakan-akan tangkal di leher, membuatkan dia rasa tidak selesa. Tanpa sedar langkahnya terhenti betul-betul di hadapan gambar itu.

"Kalau Kak Rozi datang majlis perkahwinan abang dengan Kak Ros enam tahun lepas, mesti Kak Rozi pun ada dalam gambar ni sekali." 

Kata-kata Sarah menyentak lamunan Rozi. Terkejut dia apabila Sarah sudah berada di sebelahnya. Hanya senyuman janggal yang diberikan sebagai balasan untuk kata-kata Sarah itu.

"Oh ya, kak. Jomlah Sarah tunjuk bilik akak. Akak tinggal sini lama, kan?"

Rozi menghela keluhan halus. Dia sendiri tidak pasti berapa lama dia akan tinggal di vila ini. Kemudian, dia kembali mengekori langkah Sarah. Mereka menuju ke sebuah bilik yang bersebelahan  dengan bilik utama.

"Ini bilik Kak Rozi. Sebelah ni bilik Kak Ros dengan abang. Depan ni bilik Dani. Kak Ros ada bagi tahu Sarah sebelum ni, bilik ni memang dia buat khas untuk Kak Rozi. Sebab dia yakin satu hari nanti pasti Kak Rozi akan datang melawat dia. Sebab tu dia sediakan bilik ni khas untuk Kak Rozi. Tak ada siapa pernah tidur dalam bilik ni tau?" jelas Sarah panjang lebar.

Sebagai adik ipar yang paling rapat dengan Rosmi, dia kerap berkunjung ke vila ini untuk bertemu dengan kakak iparnya selepas pulang dari sekolah. Kadangkala, dia juga akan membantu kakak iparnya menjaga Dani, satu-satunya anak abangnya bersama Rosmi.

Sekali lagi hati Rozi tersentuh hati selepas mendengar penjelasan Sarah tadi. Ternyata selama ini kakaknya tidak pernah melupakannya sehingga sanggup menyediakan bilik khas untuknya kerana Rosmi yakin yang suatu hari nanti dia pasti akan ke vila ini.

Tetapi siapa sangka akhirnya dia memang benar-benar bertandang ke vila ini. Malangnya, kedatangannya bukan untuk melepas rindu yang terputus. Sebaliknya, kedatangannya ke vila ini untuk melawat kakaknya yang sudah tidak bernyawa. Rindu yang terputus selamanya. Daripada tersentuh bertukar tangis yang dipendam. Sungguh dia kesal kerana menjauhi kakaknya selama ini.

Sarah menghampiri Rozi lalu diusap belakang wanita itu. Dia cuba menenangkan wanita itu melalui sentuhan. Dia faham perasaan sedih Rozi ketika ini walaupun dia tidak tahu kenapa wanita itu tidak pernah muncul selama ini. Dia ada juga bertanyakan kepada kakak iparnya, namun kakak iparnya tidak pernah menjawab.

"Kak Rozi berehatlah dulu. Kalau nak mandi ke apa, bilik air pun ada dalam bilik ni. Kalau ada apa-apa yang Kak Rozi nak tanya, Kak Rozi boleh cari Sarah kat bawah ya?"

Rozi hanya mengangguk sambil menyeka saki-baki air mata yang masih bersisa di kelopak mata. Selepas kelibat Sarah hilang di sebalik pintu bilik yang dibiarkan terbuka, Rozi mengatur langkah ke dinding yang bersebelahan dengan katil. Sekali lagi dia menahan sebak apabila melihat potret dirinya tergantung di dinding itu. Turut dibingkaikan gambar-gambar lama mereka sekeluarga.

Air mata yang mengalir lesu tadi kembali deras apabila kenangan lalu kembali menggamit memori. Sungguh dia rindu dengan emak dan abahnya selama ini. Selepas ini, rindu itu bertambah untuk kakaknya pula. Kini, dia sudah tiada sesiapa di dunia ini. Semua ahli keluarganya sudah dijemput ILAHI. 

Duk! Duk! Duk!

Tiba-tiba kedengaran seperti ada seseorang sedang menghentak sesuatu di lantai konkrit. Bunyi seperti di luar bilik itu. 

Pantas Rozi memandang ke arah pintu bilik yang masih terbuka luas. Buat seketika, dia menanti bunyi itu lagi, namun tidak lagi kedengaran. Mungkin bunyi datang dari aras bawah. Itulah yang dia fikirkan ketika ini.

Rozi kembali menatap gambar-gambar lama pada dinding di hadapannya.

Duk! Duk! Duk!

Bunyi itu kedengaran lagi! Kali ini lebih jelas. Seperti bunyi orang sedang melompat laju.

Sekali lagi dia memandang ke arah pintu bilik. Dia yakin bunyi itu kedengaran betul-betul di luar bilik. Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke muka pintu dengan rasa berdebar.

Tinggal beberapa langkah sahaja lagi sebelum sampai ke muka pintu. Tiba-tiba muncul kelibat persis pocong melompat laju melintasinya ke arah bilik hujung.

Rozi terkedu dan terkejut.

Disebabkan terlalu terkejut, lidahnya kelu untuk menjerit. Kakinya juga membeku tidak mampu digerakkan. Mindanya pula masih ligat mencari jawapan tentang kelibat yang melintasi bilik itu sebentar tadi. 

Apa yang pasti, kelibat yang dia lihat tadi benar-benar persis pocong! Sama dengan apa yang dilihat di simpang menuju ke vila ini beberapa jam yang lalu! Walaupun takut dan cemas, kakinya tetap melangkah menghampiri muka pintu bilik atas dorongan perasaan ingin tahunya itu.

Sampai di muka pintu, dia terus memandang ke luar bilik. Tiada sesiapa. Kemudian, dia memandang pula ke arah bilik hujung aras itu. Dia yakin nampak kelibat persis pocong sedang melompat laju ke arah bilik itu sebentar tadi.

Dia memandang ke arah pintu bilik hujung yang tertutup rapat. 'Bilik apa tu?' Dia tertanya di dalam hati.

Kaki kembali melangkah. Kali ini menuju ke bilik hujung itu. Hatinya mula merasakan pasti ada sesuatu di bilik itu. Terkadang, apabila perasaan ingin tahu lebih menguasai diri, hilang terus rasa takut.

"Kak Rozi cari apa?"

Pertanyaan itu membuatkan langkah Rozi mendadak terhenti. Pantas dia berpusing ke arah datangnya suara itu. Ternyata suara itu milik Sarah.

"Err ...." Rozi teragak-agak untuk memberikan jawapan.

Sarah melangkah menghampiri Rozi dengan senyuman tipis.

"Bilik tu tak pernah sesiapa masuk. Penah juga Sarah tanya pada Kak Ros dan Abang Sham pasal bilik tu. Tapi, mereka berdua tak jawab. Dan bilik tu sentiasa berkunci," jelas Sarah seolah-olah dapat membaca apa yang bermain di fikiran Rozi.

"Oh ... tapi kan, Sarah pernah dengar bunyi pelik-pelik tak selama Sarah kat vila ni?"

Berkerut dahi Sarah memandang Rozi di hadapannya.

"Bunyi pelik-pelik?"

Rozi mengangguk laju. Jika Sarah turut mendengar apa yang dia dengar tadi, ini bermaksud apa yang dia lihat tadi bukan mainan perasaan atau pandangannya. 

"Mestilah pernah dengar. Sekarang pun tengah dengar."

"Sekarang pun Sarah dengar?" Rozi terkejut sambil memasang telinga. Cuba mendengar bunyi seperti orang melompat tadi, namun tidak kedengaran. 

"Ya, bunyi unggas kat hutan tu. Kadang-kadang, bunyi monyet. Paling seram bunyi musang menangis. Macam suara puntianak menangis tau? Tapi, semua tu benda biasa kat sini. Kak Rozi tak perlu takut, okey? Binatang tu semua tak kacau orang."

Rozi mengeluh kecewa. Dia menyangka Sarah mendengar apa yang didengarinya sebentar tadi.

"Tempat ni tak pernah ada gangguan ...." Kata-kata Rozi terhenti di situ.

"Gangguan? Gangguan apa yang Kak Rozi maksudkan?" soal Sarah tidak faham.

"Tak ada apalah. Abaikan. Akak masuk bilik dulu ya. Nak mandi," jawab Rozi, lalu cepat-cepat dia melangkah masuk ke biliknya dan terus menutup daun pintu.

Sarah hanya memandang hairan sambil terkebil-kebil untuk seketika.

Di dalam bilik, Rozi menarik nafas dalam, lalu dihembus panjang. Dia cuba mengabaikan apa yang dia dengar dan lihat sebentar tadi. Mungkin mainan perasaannya sahaja.

Beg pakaiannya di atas katil dicapai, lalu zip dibuka. Selendang yang membaluti kepala ditanggalkan dan dibentangkan di atas katil. Dia mahu membersihkan diri sebelum kembali ke aras bawah bergilir-gilir membaca surah Yasin buat jenazah kakak dan abang iparnya.

Selepas mengeluarkan pakaian ganti, tuala dan barangan peribadinya, dia terus melangkah ke bilik air. Tanpa disedari oleh Rozi, kelihatan sebatang tubuh berbungkus kain putih lusuh persis pocong sedang berdiri tegak di dahan salah satu pokok durian yang tumbuh besar betul-betul di luar tingkap bilik itu. Kelibat makhluk persis pocong itu berada di situ untuk seketika sebelum melompat ke atas, lalu hilang di sebalik gelap malam.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.