Home Novel Seram/Misteri Pengabdian (Sudah Terbit)
Pengabdian (Sudah Terbit)
Meja Editor
22/4/2025 14:00:19
141
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

Tiga bulan lalu ....

BUNYI menandakan ada mesej baru diterima daripada telefon pintar yang ada di atas meja kecil di sisi katil telah mengganggu lenanya. Kedua-dua kelopak matanya yang terasa kering cuba dibuka. Dengan perlahan-lahan dia mula meraba meja kecil di sisi katil, mencari telefon pintarnya yang berbunyi sebentar tadi.

Selepas telefon pintarnya berada dalam genggaman, ibu jari kanannya ditekan pada skrin telefon, membuka kekunci telefon pintarnya menggunakan imbasan cap jari. Tidak sampai lima saat, skrin telefon pintarnya terus menyala.

Mata yang masih terasa pedih digosok perlahan dengan tangan kiri, cuba membasahkan kelopak mata yang terasa kering. Melihat nama si pengirim mesej tadi membuat dahinya berkerut kehairanan. Rasanya, sudah lama dia tidak menerima mesej daripada insan itu. Tanpa menunggu lama, mesej itu dibuka.

'Fuadi, apa projek terbaru awak sekarang? Awak free tak hari ni? Datang ke ofis saya, boleh?'

Habis sahaja membaca mesej pendek itu, dia yang masih berbaring mamai terus mendudukkan diri. Buat seketika dia membaca lagi mesej pendek itu beberapa kali. Cuba menyedarkan dirinya sama ada dia tersilap baca atau tidak. Selepas menggosok kedua-dua kelopak matanya yang mula terasa basah, dia membaca lagi mesej pendek itu untuk sekian kalinya.

Ya, mesej itu masih sama dengan apa yang dia baca tadi. Jika diingatkan kembali, rasanya sudah lebih dua tahun dia tidak menerima mesej daripada insan itu. Bila perkataan 'projek' ada dalam mesej itu, bermaksud ada projek baru untuknya. Dan dia berharap projek baru itu nanti sesuatu yang boleh menaikkan namanya semula.

Tiba-tiba, ingatannya mengimbas kembali tentang projek yang pernah diberikan sebelum ini. Beberapa tahun lalu, dia juga pernah ditawarkan projek khas daripada orang yang sama. Namun, dia gagal menyiapkan projek itu kerana kekangan masa dan projek itu sudah pun bertukar tangan kepada orang lain. Projek itu juga sudah berjaya di pasarkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

'Kalau projek kali ni pun aku tak mampu nak siapkan macam projek sebelum ni macam mana?' Tertanya dia di dalam hati.

Dia berbelah bahagi dan juga bimbang akan mengecewakan orang itu buat sekian kalinya. 

Apa yang pasti, sejak Covid-19 mula merebak ke seluruh dunia dua tahun lalu, industri yang dia ceburi ini mengalami kesan yang amat mendalam. Pandemik virus yang berasal dari negara China itu benar-benar hampir membunuh kariernya dan hampir melumpuhkan banyak sektor ekonomi di seluruh dunia. Sehingga kini pun, kesannya masih terasa dan belum dapat dipulihkan sepenuhnya. Jadi, mungkin ini masanya untuk dia kembali bangkit selepas menyepikan diri dalam tempoh yang agak lama.

Tubuh kembali direbahkan di atas katil dengan satu dengusan berat. Telefon dicampak perlahan ke tepi. Dia masih berkira-kira. Buat seketika, dia bermain dengan fikiran sambil memandang siling bilik yang kosong. 

'Perlu ke aku terima projek baru tu?' Dia masih berkira-kira kerana risau tidak mampu siapkan seperti sebelum ini.

Dia kebuntuan. Telefon di sisinya kembali dicapai. Mesej yang masih terpapar di skrin telefon, dilihat lagi. Perlukah dia membalas mesej itu?

WALAUPUN hatinya berbelah bahagi, namun kakinya tetap juga melangkah untuk bertemu dengan lelaki yang menghantar mesej pagi tadi. Jika mahu ikutkan rasa malu dan serba salahnya, tidak berpendapatanlah dia selepas ini. Mahu atau tidak, demi kelancaran hidup, Fuadi gagahkan diri bertandang ke pejabat lelaki itu.

Lif berhenti di aras tiga, lalu pintunya mula terbuka perlahan. Dia berada di aras bahagian editor karya fiksyen dan bukan fiksyen. Langkah terus diatur menuju ke meja penyambut tetamu yang tidak jauh dari lif.

"Selamat pagi, boleh saya bantu?" tanya si penyambut tetamu saat langkahnya sampai di hadapan meja gadis genit itu.

"Tuan Haji Ismail ada?" tanya Fuadi dengan segaris senyuman.

"Ada, tapi encik ada buat temu janji dengan tuan haji ke, sebelum ni?" tanya si penyambut tetamu itu sopan sekali.

"Ya, ada. Dia yang suruh saya datang ke sini." 

"Boleh saya tahu nama encik?"

"Fuadi. Ahmad Fuadi."

"Oh, Encik Fuadi novelis seram tu, kan? Maaf saya tak perasan tadi," ucap gadis ayu bertudung itu dengan rasa serba salah.

"Tak apa."

"Kalau macam tu, encik ikut saya. Saya bawa Encik Fuadi ke bilik tuan haji."

Fuadi mengangguk akur, lalu mengekori langkah gadis genit itu.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama dia ke pejabat ini. Sebelum ini sudah beberapa kali juga dia ke pejabat ini untuk bertemu dengan Tuan Haji Ismail. Seingatnya kali terakhir dia ke pejabat ini adalah dua atau tiga tahun yang lalu sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Apa yang dia perasan, tiada perubahan yang ketara di pejabat ini. Susunan perabot semuanya masih sama. Cuma pekerja mereka sahaja yang dia perasan banyak wajah-wajah baru termasuk si penyambut tetamu di hadapannya ketika ini.

Sampai di hadapan pintu bilik yang tertera nama TUAN HAJI ISMAIL – Ketua Editor, gadis di hadapannya terus mengetuk daun pintu beberapa kali, lalu ditolak ke dalam.

"Tuan haji, maaf mengganggu. Novelis Ahmad Fuadi dah sampai," maklum gadis itu.

"Dia dah sampai? Suruh dia masuk." 

Kedengaran suara Tuan Haji Ismail dari dalam. Jelas suaranya masih sama seperti sebelum ini.

"Encik Fuadi boleh masuk," suruh gadis si penyambut tetamu tadi, lalu memberi ruang untuk novelis syarikat mereka itu masuk ke dalam billik ketua editor. 

Fuadi mengangguk akur, lalu melangkah masuk selepas mengucapkan terima kasih. Daun pintu pejabat kembali ditutup.

"Fuadi, saya ingatkan awak tak datang," ujar Tuan Haji Ismail, melangkah menghampiri Fuadi.

Mereka berjabat tangan dan berpelukan untuk seketika.

"Lama kita tak jumpa, kan?" tanya Tuan Haji Ismail selepas pelukan terlerai.

"Tak silap saya, kali terakhir kita berjumpa di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC setahun sebelum pandemik," balas Fuadi yang turut mengimbau saat kali terakhir mereka bertemu.

"Betul, lama dah tu. Pesta Buku Antarabangsa pun dah kurang meriah sejak pandemik."

Fuadi hanya mengangguk setuju dengan kata-kata ketua editornya itu. Pandemik Covid-19 yang berlaku sejak awal tahun 2020, benar-benar memberi impak yang berat kepada industri penerbitan buku dan industri-industri lain. Disebabkan virus jahat itu, banyak juga penerbit buku di negara ini terkesan sehingga ada yang terpaksa gulung tikar disebabkan jualan yang merudum teruk. Hanya penerbitan besar dan punya perniagaan lain sahaja yang terus bertahan sehingga kini. Jika penerbit buku terkesan, sudah pasti pengkarya atau penulis novel seperti Fuadi juga turut menerima nasib yang sama.

"Jemput duduk," pelawa Tuan Haji Ismail.

Fuadi melangkah ke salah sebuah kerusi yang ada di hadapan meja Tuan Haji Ismail.

"Awak nak kopi atau kopi?" soal Tuan Haji Ismail sambil tersenyum.

"Kopi ajelah," balas Fuadi, lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi itu.

Daripada pertanyaan Tuan Haji Ismail, dia sudah tahu cuma ada kopi di bilik itu. Sebab itu lelaki itu menawarkan 'kopi atau kopi' sahaja. 

Tuan Haji Ismail tergelak kecil. Dia yakin salah seorang novelis kesayangannya itu sudah faham dengan apa yang dia maksudkan melalui pertanyaannya tadi. Dia melangkah ke belakang meja. Di situ ada sebuah mesin pembancuh kopi segera. Sengaja dia meletakkan mesin pembancuh kopi segera itu di biliknya kerana dia malas mahu berulang-alik ke pantri yang terletak agak jauh dari biliknya.

"So, apa projek baru awak sekarang?" tanya Tuan Haji Ismail sekadar berbasa-basi sambil meletakan salah satu cawan berisi kopi panas di hadapan Fuadi dan satu lagi cawan diletakan di hadapannya. Kemudian, dia melabuhkan punggung di atas kerusi empuknya.

"Emm ...." Fuadi mencari ayat yang sesuai.

"Tak ada projek baru pun tuan haji. Last projek saya, novel Janin Setan tu ajelah. Lepas tu, dah tak ada. Sebab pandemik kan? Saya tengok penerbit pun macam kurang terbit buku sebab jualan lembab. Kedai buku pun diarah tutup masa perintah kawalan pergerakan dulu. Tu yang saya stop menulis sekejap." 

Cawan di hadapannya dicapai, lalu dihirup sedikit kopi itu.

"Betullah tu. Syarikat ni pun hold dulu terbit novel dan buku baru sejak pandemik. Tahun lepas, 2022 baru boleh start nak grow up balik. Harapnya, tahun 2023 ni kembali meriahlah industri buku kat negara ni." Tuan Haji Ismail bersetuju dengan kata-kata Fuadi.

Industri penerbitan buku juga antara industri yang paling teruk terkesan disebabkan pandemik Covid-19. Fuadi hanya mengangguk dan mengharap hal yang sama.

"So, dua tahun ni memang awak tak ada siapkan manuskrip baru?"

Fuadi menggeleng dengan senyuman hambar. Selain ketandusan idea, tekanan hidup disebabkan pandemik juga adalah salah satu punca dia tiada karya baru sejak lebih dua tahun yang lalu. 

"Nak buat come back?" tanya Tuan Haji Ismail lagi dengan senyuman tersirat.

"Ikutkan memang nak buat come back, tapi idea tak ada."

"Sebab tulah saya suruh awak datang jumpa saya hari ni. Sebab saya ada projek baru untuk awak. Saya dah pastikan, yang projek ni belum pernah dibuat oleh mana-mana novelis seram sama ada daripada penerbit ni atau penerbit lain. Kalau awak berminat saya akan bagi sumbernya. Saya yakin, kisah ni pasti menarik."

Lama Fuadi memandang ketua editornya itu. Hatinya masih berbelah bahagi. Dia risau dia tidak mampu memenuhi harapan lelaki separuh abad itu seperti sebelum ini.

"Tuan haji yakin saya boleh buat? Saya pasti tuan haji masih ingat projek kisah hantu perigi sebelum ni, kan? Saya tak dapat siapkan dan terpaksa bagi kepada penulis lain."

Tuan Haji Ismail mengangguk tanda dia masih ingat akan hal itu. 

"Saya anggap projek tu tak sesuai dengan awak. Sebab tu awak tolak. Saya tahu, penulis ni bukan boleh dipaksa untuk buat sesuatu cerita. Kalau dia kata dia tak boleh buat, dia akan tolak. Sebab, hanya dia aje yang tahu sama ada dia boleh olah atau tidak sesuatu cerita tu. Kalau paksa diri untuk buat, bimbang hasilnya nanti bagai melepaskan batok di tangga aje. Hujungnya, bawa kerugian pada diri sendiri dan penerbit bila buku tak laku, betul tak?"

Lega Fuadi mendengar kata-kata panjang lebar daripada Tuan Haji Ismail itu. Mujurlah ketua editornya itu memahami situasinya. Jika tidak, pening juga dia mahu menjelaskan kepada lelaki itu kenapa dia menolak projek yang telah diberikan kepadanya beberapa tahun lalu.

"Tuan haji tak risau nak serahkan projek baru ni pada saya?" tanya Fuadi teragak-agak selepas beberapa saat perbualan mereka tergendala. Dia bimbang akan mengecewakan lelaki itu lagi.

"Saya tak kisah kalau awak tolak selepas mencuba macam sebelum ni. Saya risau awak tolak projek ni sebelum awak mencuba. Semasa saya dapat sumber projek ni, nama penulis yang terlintas di fikiran saya hanya awak. Sebab saya suka cara penulisan awak. Antara penulis-penulis kisah seram yang ada kat syarikat ni, saya rasa cara penulisan awak paling menarik. Saya suka konsep plot twist yang awak gunakan dalam setiap penulisan awak. Sesuai dengan konsep novel seram terbitan kami." 

Terasa bangga pula Fuadi apabila mendapat pujian itu. Namun, dia tetap rasa risau andai dia bakal mengecewakan lelaki itu buat kali kedua.

Tuan Haji Ismail menarik laci yang paling atas di mejanya. Sampul surat coklat bersaiz A4 dikeluarkan dari laci itu lalu dihulurkan kepada Fuadi. Fuadi mengalihkan cawan di hadapannya ke tepi sebelum menyambut sampul surat yang dihulur oleh Tuan Haji Ismail.

"Dalam sampul tu ada sumber untuk projek baru tu. Saya sediakan memang khas untuk awak. Dan kalau awak berminat, awak kena pastikan akan bagi hak eksklusif penerbitan karya tu nanti pada kami. Saya yakin, kalau awak berjaya buat projek ni, hasilnya pasti akan dapat sambutan meriah daripada pembaca." 

Yakin sungguh kata-kata Tuan Haji Ismail itu yang mengundang kerisauan di hati Fuadi. 

Fuadi mengeluarkan isi sampul surat di tangannya. Berkerut dahinya selepas melihat isi sampul surat itu. Ada maklumat peribadi seseorang. Dia meneliti setiap maklumat itu. Dia tidak terkejut kerana projek yang dia terima daripada lelaki di hadapannya itu sebelum ini pun sama konsepnya. 

"Projek kali ni pun base on true event?" tanya Fuadi selepas meneliti sekilas maklumat di tangannya.

Tuan Haji Ismail mengangguk, mengiakan.

"Saya dapat ni semua daripada sumber yang boleh dipercayai. Cuma, projek kali ni sumber yang saya dapat tak berapa lengkap dan tak banyak macam sebelum ni. Awak kena buat interview sendiri dengan orang tu. Nombor contact semua saya dah sertakan sekali dalam sampul tu. Saya dah ringkaskan kisah misteri yang berlaku pada orang tu supaya awak boleh senaraikan soalan yang sesuai untuk dia nanti."

Lama Fuadi memandang maklumat yang ada di tangannya ketika ini. Nampaknya projek yang dia dapat kali ini sama seperti sebelum ini. Dia perlu menemu ramah beberapa orang untuk mengetahui kisah yang sebenar.

"Saya yakin awak boleh buat dan hasilnya pasti akan menarik."

'Yakin sungguh Tuan Haji Ismail dengan katakatanya.' Fikir Fuadi.

Buat sekian kalinya, Fuadi membaca semula maklumat yang ada di tangannya. Kejadian yang dia perlu siasat, berlaku tidak terlalu lama. Hanya sekitar tahun 2018 berdasarkan maklumat yang telah diberikan kepadanya. Secara tidak langsung, jika dia menerima projek ini, lebih mudah urusannya kerana kejadian ini masih baru dan mungkin individu yang akan ditemu bual nanti masih segar ingatan tentang kes ini.

"So, awak akan terima projek ni, kan?" tanya Tuan Haji Ismail, penuh pengharapan dengan segaris senyuman. Dia inginkan kepastian. 

Lama Fuadi memandang Tuan Haji Ismail. Hatinya masih berbelah bahagi. Projek yang perlu diolah untuk dijadikan sebuah naskhah seram kali ini adalah berdasarkan sebuah kes yang benar-benar berlaku. Segala fakta perlu tepat. Mampukah dia mengolah projek ini untuk dijadikan sebuah naskhah fiksyen seram yang menarik? 

Buat seketika, Fuadi terdiam.

Terima atau tolak?

Previous: Prolog2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.