MURID JADI MANGSA JIN HUTAN
Penulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
Beberapa
bulan lagi, peperiksaan akan bermula. Pihak sekolah bercadang mengadakan kem
motivasi untuk murid-murid darjah enam yang bakal menduduki peperiksaan. Haiqal
bercadang memberitahu ibunya Sarimah, dia ingin benar menyertai kem motivasi
tersebut. Sarimah tidak bersetuju, lalu dia pun berbincang dengan Odah.
“Haiqal
beria-ria benar mahu pergi kem motivasi tu. Aku tak tahu nak cakap apa lagi.”
Sarimah menuangkan air teh ke dalam cawan, lalu diletakkan pada Odah.
“Pergi
kem motivasi ni ada baik dan buruknya, Sarimah. Yang baiknya, kalau modulnya
bagus, baiklah untuk pelajar-pelajar. Kalau bab-bab keselamatan terjamin,
baguslah.” Odah menyambut cawan berisi air teh daripada Sarimah, lalu
meneguknya.
Ketika
itu, kes-kes berkaitan kencing tikus belum ada. Ketika itu, kawasan-kawasan air
terjun, kolam dan sungai masih bersih. Alam semula jadi masih lagi terjaga.
“Aku
risau dengan anak aku sebenarnya. Haiqal tu, dah tak macam dulu. Makin biadab
dengan aku. Kalau aku tak bagi dia pergi, aku takut dia makin memberontak,
makin melawan cakap aku.” Sarimah menyandarkan dirinya pada sofa panjang.
“Aku
dengar, dekat kem itu nanti, biasanya ada program yang akan buat budak-budak
ini insaf, sedar diri dan bila balik nanti mereka akan berubah jadi lebih baik,
lebih sopan, lebih yakin, lebih bersemangat... macam-macam benda-benda baik.”
Odah melihat ke dalam cawannya. Dia menjilat bibirnya. “Sedap air teh kau ni,
Sarimah. Boleh tuangkan lagi?”
-o-
Sarimah
dan Haiqal tiba di kawasan sekolah. Ketika itu sudah ramai pelajar darjah enam
berada di sekitar tapak perhimpunan.
“Mama, kalau Haiqal dan sampai nanti, Haiqal telefon
Mama. Mama jangan risau, ya?” pujuk Haiqal.
Sarimah keberatan berpisah dengan
anaknya. Namun sekejap sahaja, Haiqal sudah dikerumuni kawan-kawan sekolahnya.
“Haiqal, cikgu dah panggil suruh
berhimpun. Cikgu nak kira orang!” jerit Adam, yang juga merupakan salah seorang
peserta perkhemahan.
Sarimah memeluk dan mencium Haiqal
di pipi. Perbuatan itu diperhatikan dan diketawakan oleh kawan-kawan Haiqal.
Budaya orang Barat tampak berbeza dengan budaya orang tempatan.
“Dah besar pun nak peluk cium lagi,”
bisik salah seorang pelajar sekelasnya. Haiqal terdengar kata-kata tersebut tetapi
Haiqal tetap diam dan bersabar.
Haiqal teringat, ustaz di sekolahnya pernah
mengatakan bahawa orang mengata buruk kita di belakang-belakang, sebenarnya
telah memberi kita pahala percuma jika kita bersabar. Orang yang
memburuk-burukkan kita itu pula telah berhutang dosa dengan kita, hutang
akhirat di mana kalau dia tidak meminta maaf dengan kita dan kita tidak
memaafkannya, azab akhirat akan menunggunya. Selagi kata-kata buruknya tidak
memudaratkan kita, kita tak perlu risau.
-o-
Selepas dua jam perjalanan, rombongan perkhemahan
Haiqal tiba di kaki pergunungan (nama gunung dirahsiakan untuk kebaikan pihak-pihak
tertentu). Haiqal dan kawan-kawannya disambut oleh beberapa orang fasilitator.
Memang tegas layanan mereka.
“Sebelum
kamu semua berangkat ke tapak perkhemahan masing-masing, kesemua barang
larangan mesti diserahkan kepada fasilitator. Telefon bimbit, pemetik api,
rokok, permainan video dan apa sahaja barang-barang yang boleh mengingatkan
kamu kepada rumah kamu mesti diserahkan. Sekiranya selepas ini, kami masih
temui barang-barang tersebut di kalangan
kamu, semua peserta akan diminta berendam di dalam air lumpur sehingga jam 3
pagi.” Ketua komander berdiri tegak sambil berpeluk tubuh.
Haiqal
teringatkan bahawa dia telah berjanji untuk menelefon ibunya malam ini. Haiqal
mengeluarkan telefon bimbitnya lalu cuba menelefon ibunya.
“Alah,
tak dapat!” Rupa-rupanya tidak ada liputan satelit di kawasan hutan ini. Haiqal
mula bimbang ibunya akan risau.
“Saya
bilang sampai sepuluh sahaja. Jika semua barang larangan masih belum diserahkan
kamu semua akan didenda! Satu... dua... tiga...” Mendengar kata-kata fasilitator
tersebut, semua peserta pun semakin kelam-kabut mengambil dan menyerahkan
barang-barang larangan kepada fasilitator. Haiqal terpinga-pinga.
“Sepuluh....”
Ketua komander kem, memandang ke arah Haiqal. Dilihatnya Haiqal masih lagi
memegang telefon bimbit. “Kamu akan berendam di dalam air lumpur malam ini!”
-o-
Malam.
Gelap. Jarum jam sudah menganjak ke angka dua belas. Sarimah mundar-mandir di
ruang tamu. Sekali-sekala dia memandang telefon bimbitnya yang terletak di atas
meja. Haiqal belum lagi menelefonnya.
“Kau kena jenguk anak kau tu,
Sarimah...” Suara Tok Long tiba-tiba bergema di dalam telinga Sarimah. “Kau
nak dia jadi macam suami kau?”
“Betulkah ini?” Sarimah tersentak mendengar
perkataan ‘suami’ disebut oleh bisikan itu. Perasaan bimbang mula
berguling-guling meruntun hati Sarimah. Degup jantungnya bertambah kencang.
“Tak boleh jadi. Kenapa Haiqal tak
telefon-telefon lagi?” Selepas
kehilangan suaminya, Haiqal adalah satu-satunya permata hati yang mengubat
kerinduannya. Tanpa berfikir semasak-masaknya, Sarimah bertekad untuk pergi ke
kem tersebut malam ini. Dia ingin tahu keadaan anaknya.
Sarimah menutup pintu rumah
banglonya rapat-rapat. Dia membuka pintu kereta. Biarpun baru mendapat lesen
percubaan, Sarimah tetap yakin untuk memandu jauh ke kem tersebut. Lampu kereta
dihidupkan, enjin kereta mula berbunyi, tayar berpusing dan kereta yang dipandu
Sarimah pun mula meninggalkan perkarangan rumah banglo.
Di puncak hujung atap banglo,
kelihatan satu lembaga hitam kelabu berupa beruk melompat ke bawah, betul-betul
di atas bumbung kereta tanpa sebarang bunyi. Sarimah terasa keretanya berat
sedikit, tetapi kebimbangannya terhadap Haiqal telah mengatasi perasaan
curiganya tentang apa yang sedang berlaku ke atas keretanya.
-o-
Bau lumpur sangat kuat. Haiqal hampir
mahu menangis apabila melihat suasana di kawasan berlumpur itu. Gelap, berkabus
dan menyeramkan. Bunyi cengkerik begitu kuat seolah-olah turut sama
mengetawakan Haiqal.
“Masuk ke dalam lumpur, duduk di
situ. Jangan risau kerana ada fasilitator menjaga kamu.” Tegas sekali nada
lelaki muda itu. Dia adalah salah seorang fasilitator yang paling tegas di
situ. Petang tadi dia baru sahaja mendenda ketuk ketampi untuk beberapa orang
pelajar yang didapati telah melanggar peraturan. “Jangan anggap ketuk ketampi ini
satu denda kerana ketuk ketampi ini bagus untuk mencerdaskan minda. Kami suruh
kamu buat ketuk ketampi supaya kamu bertambah bijak, dan bila kamu bijak, kamu
akan berfikir dahulu sebelum bertindak.”
Haiqal menanggalkan kasutnya.
Diletakkan kasut itu di pinggir kolam berlumpur. Dia mencelupkan tapak kakinya
ke dalam air berlumpur, sejuknya terasa hingga ke tulang sumsum.
“Saya... saya minta maaf, bang.”
Tiba-tiba Haiqal bersuara. Suaranya terketar-ketar.
“Jangan jadi penakut. Setiap
perbuatan ada balasannya. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat.
Terima hukuman kamu, esok jangan buat lagi.” Tenang sahaja suara fasilitator
tersebut. “Turun!”
Tengkingan secara mengejut oleh
fasilitator itu telah menyebabkan Haiqal secara spontan terjun ke dalam kolam
berair itu. Air kolam melimpah ke pinggir dan mengenai kasut si fasilitator.
“Berendam dan jangan keluar selagi
tidak ada arahan.”
Haiqal akur. Fasilitator tersebut
pun beredar dari situ, menuju ke satu stor barang-barang yang berada kira-kira
20 meter dari situ. Sengaja mahu menguji keberanian Haiqal untuk duduk bersendirian di dalam kolam berlumpur itu.
Tiba-tiba Haiqal terasa ada benda di
sekelilingnya. Dia terasa ada benda menggeletek tapak kakinya. Kemudian benda
itu menggeletek perutnya. Haiqal tidak mampu menahan geli lalu dia pun menjerit
dan cuba berlari ke tebing kolam tetapi suaranya tidak keluar. Dia pun memandang ke
sekelilingnya. Dia rasa ada sesuatu memeluknya dari belakang. Ada sesuatu
menekap mulutnya supaya dia tidak mampu bersuara. Ada sesuatu menghalangnya
daripada menjerit.
“Uuuuuuuuop... uuuuuoopp!” Kedengaran
suara seperti suara siamang di mana-mana.
Haiqal mendapati ada beberapa ekor lembaga hitam
berbulu mengelilinginya. Haiqal lebih terkejut apabila melihat satu lembaga di
depannya. Lembaga itu mirip Haiqal. Haiqal Palsu! Haiqal Palsu tersengih
memandang Haiqal yang sebenar. Haiqal Palsu meletakkan jari telunjuknya di
bibirnya. Mata Haiqal Palsu mirip mata seekor kucing.
Haiqal meronta-ronta tetapi segala-galanya bagaikan
mimpi. Pergerakannya terasa semakin perlahan. Pandangan Haiqal gelap. Haiqal
mula terasa dirinya berada di satu alam yang serba gelap. Dalam dunia yang aneh
itu, Haiqal dapat mendengar suara ibunya, Sarimah. Suara Sarimah menyebut nama Haiqal berulang-ulang kali. Haiqal dapat melihat samar-samar jasad lembaga wanita memancarkan cahaya berwarna ungu kemerahan sedang duduk sambil memandu kereta. Itu adalah ibunya
yang sedang memandu kereta dari jauh bersama-sama seorang teman. Teman yang
berupa orang tua bongkok yang duduk di atas bumbung kereta. Orang itu ialah Tok
Long!
“Mama! Tok Long! Tolong Haiqal!” Mata Haiqal
terbeliak! Dia cuba melambai-lambai ke arah ibunya, tetapi ibunya masih fokus
memandu.
-o-
“Kau kena cepat, Sarimah! Kau mesti
cari Haiqal!” Suara Tok Long bergema lagi. Berbisik-bisik seperti seorang
penasihat.
Kereta yang dipandu Sarimah
bersendirian merentasi jalan raya. Di sekelilingnya penuh dengan hutan. Lembaga
berupa beruk yang berwarna hitam kelabu itu terus kaku di atas bumbung kereta,
seolah-olah menjaga keselamatan Sarimah!
LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga
karya ini ditulis):
05 JUN 2015: Cerpen
Jin Galah
06 JUN 2015: Cerpen
Jin Galah 0.1: SPESIES
18 JUN 2015: Cerpen
Jin Galah 0.2: SUAMI
20 JUN 2015: Cerpen
Jin Galah 0.3: RINDU
21 JUN 2015: Cerpen
Jin Galah 0.4: SRIKANDI
23 JUN 2015: Cerpen
Jin Galah 0.5: MUTASI
28 JUN 2015: Cerpen
Anak Kecil Di Tengah Malam
3 JULAI 2015: Cerpen
Jin Galah 0.6: REKRUT
15 OGOS 2015: Novel
IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular