JAGA PEKAN BARU
(Inspirasi daripada
kisah benar yang tidak dapat dipastikan kebenarannya)
Penulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
Petang itu, Sudir yang berusia pertengahan 20-an, menapak
kakinya sendirian di Pekan Baru. Betul kata orang, pekan itu sunyi seperti baru
lepas dilanda wabak maut. Kata orang, ada banyak kisah pelik dan seram di pekan
tersebut. Ramai orang telah tinggalkan pekan tersebut. Entah kenapa Sudir
begitu berani menerima jawatan jaga di Pekan Baru.
“Tugas kamu senang
sahaja. Kamu pusing-pusing, jaga Pekan Baru, jangan bagi sesiapa pecah masuk
kedai-kedai di situ.” Begitulah pesan penyelia di syarikat Pekaba Sekuriti
kepada Sudir.
Sudir mengangguk tanda faham. Dapat bekerja di Pekan Baru
pun sudah cukup buat hatinya melonjak-lonjak gembira. Baginya upah RM3000
sebulan untuk menjaga keselamatan di Pekan Baru pada waktu malam sangat
lumayan. Sebenarnya Sudir ada tujuan lain untuk datang ke Pekan Baru.
“Pekan Baru tu kawasan larangan. Kalau kau nak masuk sana,
kau kena jadi jaga.” Salah satu maklumat awal yang disampaikan kepada Sudir
ketika dia mengkaji pekan tersebut.
“Pekaba Sekuriti yang uruskan jaga di pekan tu.”
“Pekan Baru tu kawasan perkampungan jin. Kau berani nak
kerja malam-malam di situ?”
-o-
“Anak ni, Sudir, jaga baru tu ke” Pak Asan, tauke gudang
tepung, berbadan kecil dan gendut, adalah orang pertama yang ditemui Sudir.
“Ya, pakcik.” Sudir tersengih-sengih.
“Berapa lama nak kerja sini?” Mata Pak Asan yang agak
kemerahan merenung tepat ke wajah Sudir. Sebelah anak matanya berwarna putih.
Pak Atan buta sebelah matanya barangkali.
“Saya tak pasti lagilah Pakcik. Gaji pun tinggi, mungkin
bertahun juga.” Sudir menjawab dengan selembut-lembut nada.
“Harap-harap begitulah. Anak ni memang kuat semangat. Senang
hati Pakcik, ada jaga di sini. Anak tengok-tengoklah gudang pakcik ni.
Takut-takut ada pencuri masuk, tangkap aja.” Pak Asan menepuk bahu Sudir. “Pakcik
pergi dululah, ya?”
“Pakcik, saya nak panggil Pakcik apa?” Tergesa-gesa Sudir
bertanya selepas bersalaman dengan Pak Asan.
“Maaf, Sudir. Terlupa nak perkenalkan diri. Panggil saja
Pakcik, Pak Asan.” Pak Asan tersenyum sambil menolak motosikalnya
perlahan-lahan ke jalan raya.
Sudir memandang gudang tepung Pak Asan. Sunyi betul. Tak
pasti pula berapa orang pekerja di sini. Sudir berpaling semula ke arah Pak
Asan tetapi Pak Asan sudah pun menghilang.
‘Laju betul Pak Asan bawa motosikal,’ getus hati Sudir.
Sudir memerhatikan meter minyak motosikalnya. Tinggal
sesuku. Sudir menghidupkan enjin, sekali tujah motosikalnya pun bergerak. Sudir
mencari stesen minyak. Ketika itu jam sudah hampir pukul 7.00 malam.
-o-
Lengang. Lampu-lampu di stesen minyak itu masih menyala
tetapi langsung tidak ada orang di stesen minyak itu. Sudir menjenguk ke
kaunter. Kosong.
‘Solat maghrib dululah,’ bisik hati Sudir.
Apabila Sudir mendekati surau, kedengaran alunan merdu suara
imam membaca surah-surah Al-Quran. Terdapat dua orang lelaki sedang berjemaah
menunaikan solat maghrib. Sudir cepat-cepat mengambil wuduk. Masih berbaki satu
rakaat. Semasa Sudir melanjutkan solatnya, kedua-dua lelaki tadi terus menetap
di bilik surau sambil berzikir. Kedua-duanya kelihatan tenang. Mungkin sudah
lama mereka bekerja di stesen minyak tersebut.
“Kamu ni jaga baru sini ke?” Salah seorang pekerja stesen
minyak itu bertanya.
“Ya. Baru mula malam ni. Kamu berdua dah lama kerja di sini?”
Sudir berjabat tangan dengan kedua-dua pekerja stesen minyak tersebut.
“Kami dah kerja di sini sejak dari mula stesen minyak ni
dibuka. Oh, ya, jaga lama apa cerita?” Sambil berbual-bual, Sudir dan kedua-dua
pekerja stesen minyak itu perlahan-lahan melangkah kembali ke arah
motosikalnya.
“Jaga lama dah masuk hospital sakit jiwa.” Jawapan daripada Sudir
sedikit pun tidak membuatkan pekerja tersebut tersentak. Mereka tetap kelihatan
tenang.
“Kejap ya, ada pelanggan datang.” Pekerja stesen minyak itu
bergegas ke kaunter. Dia kelihatan sedang bercakap seorang diri.
“Dengan siapa dia bercakap tu?” Sudir terpinga-pinga melihat
keanehan yang berlaku di depan matanya.
“Kau tak nampak ke pelanggan tengah bayar duit minyak kat
depan kaunter tu, Sudir?” Pekerja yang seorang lagi itu membalas semula dengan
pertanyaan.
“Eh, macam mana kamu tahu nama saya? Saya belum beritahu
nama saya lagi?” Sudir memandang pekerja stesen minyak di depannya dengan rasa
curiga. Jantungnya sudah mula berdebar-debar.
“Maaf, kami pun terlupa nak perkenalkan diri. Saya Anip dan
kawan saya yang tengah bertugas di kaunter tu, namanya Arip. Minyak motosikal
kamu, saya dah isi dah penuh, tak perlu bayar selagi kamu ikhlas bekerja jadi
jaga di pekan ini.”
Sudir mengalihkan pandangannya ke arah motosikalnya, tempat
duduknya masih tertutup. Dia belum lagi menyuruh kedua-dua pekerja itu mengisi
tangki minyak motosikalnya. Peluh dingin memercik dari dahi dan hidung Sudir.
Apabila Sudir memandang semula ke arah Anip, jasad Anip telah pun hilang. Sudir
memandang pula ke arah kaunter stesen minyak, Arip juga telah tiada!
Lutut Sudir terasa lemah dan mula menggeletar. Anip dan Arip
sudah pasti bukan manusia. Manusia takkan hilang semudah itu. Sekarang Sudir
sudah faham kenapa jaga yang lama boleh sampai diserang sakit jiwa.
-o-
Malam beransur larut. Sudir terus memandu motosikalnya
mengelilingi pekan kecil itu. Lot-lot kedai-kedai yang lengang pada mulanya
tiba-tiba sahaja jadi meriah. Lampu-lampu kedai menyala, dan bunyi-bunyi enjin
kenderaan menggegarkan jalan-jalan. Suara-suara laungan orang-orang berniaga
juga kedengaran. Anehnya, Sudir tak dapat melihat sesiapa pun di situ.
“Aku ni sedang bermimpikah?” Sudir bertanya kepada dirinya
sendiri.
“Taklah, anak ni tak bermimpi.” Tiba-tiba sahaja muncul
seorang makcik tua di samping Sudir. Berpakaian kebaya tradisional.
“Eh, terkejut saya, Makcik!” Sudir menarik nafas
dalam-dalam. Degupan jantungnya melaju.
“Anak ni nampak macam tak sihat saja, kulit muka pucat
semacam. Kenapa?” Makcik tua itu tersenyum simpul.
“Saya tak tahulah nak cerita apa...” Urat-urat di badan
Sudir masih belum berhenti bergetar.
“Anak ni jangan buat-buat pelik. Terima ajalah. Inilah
keistimewaan Pekan Baru.” Pantas, makcik tua itu memotong percakapan Sudir.
“Apa yang istimewanya Pekan Baru ni, Makcik?” Pemikiran Sudir
ketika ini sudah cukup berserabut.
“Anak sendiri boleh jawab soalan tu. Makcik tak nak cerita
apa-apa.” Jawapan makcik tua itu menambahkan lagi rasa kusut pada pemikiran
Sudir.
Melihatkan Sudir kelihatan tertekan, makcik tua itu
mempelawa Sudir untuk makan di kedai makannya.
“Jom, Sudir, Makcik belanja Sudir makan mi rebus dan sirap
limau. Kedai makcik di depan tu saja.”
Sudir yang masih kusut pemikirannya mengangguk saja.
-o-
Semangkuk mi rebus dan segelas sirap limau kelihatan cukup
menyelerakan. Bau harum sirap limau dan aroma yang dimesejkan daripada wap-wap
mi rebus sudah cukup mengecurkan air liur Sudir. Sudir menyebut nama Allah,
sebelum menenggelamkan hujung sudu besinya ke dalam mangkuk mi rebus. Tekak
Sudir terasa haus tiba-tiba, oleh itu dia pun menyedut air sirap limau yang
dingin dengan straw berwarna hitam. Sedap! Segar! Memang pandai makcik ni
membancuh sirap.
Sudir menghirup sup mi rebus. Rasa masin dan masam cukup
seimbang. Kesedapan mi rebus masakan makcik tua tersebut membuatkan fikiran
Sudir kembali tenang. Untung dia menerima pelawaan makcik tua tersebut tadi.
“Makcik, kenapa kedai makcik tak ada orang, sedangkan makanan
di sini sedap-sedap? Tinggi ‘umph’nya makcik. Nanti saya ajak
kawan-kawan saya ke, sedara-mara saya ke, datang sini.” Sudir tersengih-sengih.
“Eh, kedai di sini memang tak ada orang tetapi jin-jinnya
ramai yang jadi pelanggan tetap makcik. Tengok sekeliling kamu tu, nak.”
Sudir terpegun mendengar kata-kata makcik tua tersebut. Dia
pun memandang ke sekitarnya. Berpuluh-puluh pelanggan memenuhi meja makan di
kedai tersebut. Bulu roma Sudir meremang. Mana tidaknya, pelanggan-pelanggan
yang datang itu ada yang matanya seperti ular, seperti kucing dan ada yang bertelinga seperti
kuda dan anjing. Ada yang dewasa, anak kecil dan bayi. Kesemua pelanggan itu
tiba-tiba memandang ke arah Sudir.
Sudir rasa terancam. Dia meletakkan kedua-dua belah tapak
tangannya ke atas kedua-dua belah pehanya seperti pengantin lelaki sedang
bersanding di atas pelamin. Sudir tunduk tetapi matanya masih terus menjeling
dan melilau melihat makhluk-makhluk alam yang sedang memandangnya.
‘Habislah, aku seorang manusia di sini. Makcik tua ni pun
tentu jin juga,” bisik hati kecil Sudir.
“Nak, kamu jangan takut dengan kami. Kamu dah kerja jadi
jaga di sini pun kami dah cukup berterima kasih. Hal-hal masalah manusia mesti
diuruskan oleh manusia juga. Kalau kami, jin yang masuk campur, nanti satu
kampung kami kena halau atau dipaksa pindah. Kami tak mahu cari pasal dengan
manusia tetapi kadang-kadang manusia suka kacau tempat-tempat kami. Khidmat
jaga seperti anak ni, memang perlu ada di sini.” Tiba-tiba salah satu daripada
makhluk Allah itu bersuara.
“Ya, betul tu. Jangan esok, kamu dah berhenti kerja pula.
Kami tak kacau anak-anak Adam seperti kamu selagi kamu tak ganggu kampung kami,”
sahut pelanggan yang lain pula.
“Kalau anak berkenan dengan mana-mana anak dara kami, pun
boleh kami tolong kahwinkan cepat-cepat.” Kata-kata gurauan jin tersebut
disahut dengan gelak ketawa jin-jin yang lain. Sudir yang masih kebingungan
tersengih-sengih dalam gementar.
“Makcik, berapa semua ni? Saya nak bayar dah ni.” Sudir
tiba-tiba sahaja mahu beredar dari situ. Dia berharap hari siang akan cepat
tiba. Dia perlu menenangkan fikiran dan membuat keputusan sama ada mahu terus
bekerja atau berhenti saja.
“Alah, kan tadi makcik cakap, makcik belanja. Terima
kasihlah ya, sebab sudi singgah kedai makan makcik ni.” Makcik tua tadi berdiri
di sebelah Sudir.
“Terima kasih ya, Makcik. Saya beransur dululah, nak kena
sambung kerja.”
Makcik tua tersebut tersenyum sambil mengangguk-angguk.
Sudir melambai-lambai ke arah pelanggan-pelanggan lain yang
ada di gerai tersebut. Namanya kini sudah mula meniti di telinga-telinga penduduk-penduduk
bukan manusia di sekitar pekan itu.
Sudir kelihatan agak kekok untuk berjalan keluar dari kedai
tersebut. Tiba-tiba sahaja semua pelanggan dan makcik tua tadi lenyap. Keadaan
kembali menjadi sunyi dan lengang. Sudir menggeleng-gelengkan kepala. Perutnya masih terasa kenyang dan wangian
daripada air sirap limau yang diminumnya tadi masih dapat dihidunya. Dia pasti
bukan bermimpi.
-o-
Semasa dia cuba menghidupkan enjin motosikalnya dia
ternampak ada empat orang berpakaian serba hitam sedang cuba mengopak pintu
sebuah kedai yang tertutup.
“Siapa kamu semua, hah?” jerit Sudir. Sudir menghalakan
lampu suluh ke arah mereka berempat.
Keempat-empat lembaga hitam itu, yang diyakini adalah
manusia berhenti seketika. Mereka semua memandang ke arah Sudir. “Eh, ada jaga
lagi rupanya. Jeman, kau cakap jaga tu dah berhenti kerja, habis ni siapa pula?”
Salah seorang daripada pencuri tersebut bersuara.
“Kenapa kau sebut nama aku?” Seorang pencuri berbadan kurus
tinggi marah-marah dan mengetuk kepala pencuri pertama yang bersuara tadi.
“Aduh! Ini semua salah kau, kau cakap hari ni tak ada jaga!”
Pencuri yang pertama menengking kembali ke arah rakannya tadi.
“Mana aku tahu tiba-tiba ada jaga malam ni? Kita dah rancang
baik-baik tau.”
“Alah, kita ni berempat, dia tu seorang saja. Apa lagi, kita
belasah dia bagi pengsan dulu!”
Mendengar kata-kata pencuri yang pertama tadi, ketiga-tiga
pencuri yang lain pun mengangguk. Keempat-empat pencuri pun mendekati Sudir. Di
tangan masing-masing ada senjata seperti tukul, spanar, gergaji dan pisau.
Sudir berundur ke tempat yang lebih lapang.
Keempat-empat pencuri itu nampaknya nekad mahu membelasah
Sudir. Sudir cuma ada dua pilihan, melawan atau melarikan diri. Tiba-tiba kata-kata berikut terngiang-ngiang di telinganya:
“Tugas kamu senang sahaja. Kamu pusing-pusing, jaga Pekan
Baru, jangan bagi sesiapa pecah masuk kedai-kedai di situ.”
“Minyak motosikal kamu, saya dah isi dah penuh, tak perlu
bayar selagi kamu ikhlas bekerja jadi jaga di pekan ini.”
“Anak ni memang kuat semangat. Senang hati Pakcik, ada jaga
di sini. Anak tengok-tengoklah gudang pakcik ni. Takut-takut ada pencuri masuk,
tangkap aja.”
“Kamu dah kerja jadi jaga di sini pun kami dah cukup
berterima kasih. Hal-hal masalah manusia mesti diuruskan oleh manusia juga.
Kalau kami, jin yang masuk campur, nanti satu kampung kami kena halau atau
dipaksa pindah. Kami tak mahu cari pasal dengan manusia tetapi kadang-kadang
manusia suka kacau tempat-tempat kami. Khidmat jaga seperti anak ni, memang
perlu ada di sini.”
Keberanian Sudir mula membara di dadanya. Sudir merenung
tajam ke arah keempat-empat pencuri tersebut.
“Hah, marilah kalau kamu semua berani! Kalau kau semua tak
berani, cepat-cepat berambus dari pekan ini dan jangan datang lagi.” Sudir
mengenggam hulu cota di pinggangnya.
Sikap berani dan tegas Sudir telah mula membuatkan
keempat-empat pencuri tersebut ragu-ragu.
“Aku rasa elok kau saja yang berambus. Kami berempat, kau
seorang. Kami memang perlukan duit sekarang ni.”
“Aku dah telan minyak motosikal percuma, aku dah makan mi
rebus sedap dan air sirap limau percuma, aku dah janji akan jaga Pekan Baru
ini! Aku akan jaga Pekan Baru ini daripada orang-orang seperti kalian semua!
Haih!!” Sudir membuka langkah silatnya. Bunga-bunga yang entah diilhamkan dari
mana, dipersembahkannya sahaja di depan pencuri-pencuri tersebut.
Sudir makin berani. Dengan aksi bunga silatnya, Sudir
menapak makin dekat ke arah pencuri-pencuri tersebut. Pencuri-pencuri tersebut
tidak berani menyerang Sudir dan mula berundur.
“Kita nak lawan ke tidak ni?” Salah seorang pencuri
memandang ke arah kawannya.
“Kau serang dulu!” Pekik pencuri yang lain pula.
“Satu, dua, tiga... serang!” Keempat-empat pencuri pun
meluru ke arah Sudir.
Sudir seperti pasrah, bersiap-sedia untuk menyambut serangan
pencuri-pencuri tersebut. Serangan pertama mula menyinggah ke muka Sudir,
tetapi sepantas itu juga, Sudir terdengar bisikan seseorang mengarahkannya
menepis tangan penyerang tersebut dengan lengannya, kemudian entah daripada
mana datangnya kekuatan, Sudir dengan pantas menumbuk rusuk di bahagian lengan
musuh yang ditepisnya sebelum merebahkan pencuri tersebut dengan kaki yang
diselakkan dari belakang kaki penyerang pertama tersebut. Penyerang pertama
jatuh terlentang dan meraung kesakitan.
Serangan pencuri kedua pula tiba, Sudir tiba-tiba berguling
ke samping untuk mengelak serangan tersebut sebelum bangkit dan menendang tepat
ke arah pinggang penyerang kedua. Belum sempat pencuri tersebut rebah, Sudir
melompat dan lututnya hinggap ke tengkuk belakang pencuri. Tindakan yang amat
pantas dan bertenaga itu sekali lagi berjaya menumbangkan penyerangnya.
Melihat dua rakan mereka telah rebah dengan begitu pantas,
kedua-dua orang pencuri yang lain mula berhati-hati sebelum bertindak.
“Kau semua elok berambus sekarang. Hari ini aku maafkan
kalian semua. Kalau berani datang lagi, kau semua memang cari nahas.” Nafas
Sudir berombak kencang.
“Terima kasih, bang! Terima kasih, bang. Kami tak buat
lagi...” Kedua-dua orang pencuri itu pun memapah kedua-dua orang rakan mereka
yang tercedera lalu beredar dari situ.
Sudir mengangkat kedua-dua belah tangannya, menghala telapak
tangannya ke langit. Sudir berasa sangat bersyukur.
-o-
Setahun lalu, ada seorang pemuda yang dianggap paling
lembik, pengecut dan tidak berguna di sebuah kilang. Dia berhenti kerja selepas
tidak tahan diejek oleh rakan-rakan sekerjanya. Pada mulanya ingin sahaja dia mempelajari ilmu hitam dan
mengenakan rakan-rakan sekerjanya tetapi apa gunanya membalas dendam kemudian
diri sendiri pun akhirnya berkesudahan dengan azab di neraka. Selepas
beristighfar beberapa kali, Sudir tidak jadi berbuat demikian dan memutuskan
untuk berhenti kerja. Berbulan-bulan lamanya dia menganggur. Ibunya mula
marah-marah. Beberapa lama kemudian dia mengetahui wujudnya jin Islam yang
boleh mengajarnya ilmu mempertahankan diri di suatu tempat yang bernama Pekan
Baru. Sudir mencari peluang untuk menemui jin tersebut. Hinggalah akhirnya,
hari ini, dia berjaya mendapat kerja di tempat tersebut.
-o-
“Saya tahu Pakcik dan Makcik ada di sini. Terima kasih
Pakcik dan Makcik kerana mengajarkan saya ilmu persilatan sebentar tadi.” Sudir
bercakap seorang diri.
Tiba-tiba, satu-persatu lembaga jin muncul di sekeliling Sudir.
“Terima kasih Sudir sebab sudi jaga tempat kami. Kami
jin-jin Islam di sini sudah beberapa kali berpindah-randah. Semuanya berpunca
daripada perbuatan kami mengenakan anak-anak Adam. Setiap kali mereka
memudaratkan kami, kami membalas tetapi akhirnya kami dihalau ke sana dan ke
mari. Kali ini kami nekad untuk tinggal harmoni bersama manusia, malangnya
manusia masih terus akan mengganggu kami.” Pakcik Asan muncul dan bersuara.
“Sudah tanggungjawab saya sebagai jaga di Pekan Baru ini,
Pakcik. Saya akan cuba buat yang terbaik.”
Satu demi satu jin datang menghampiri dan bersalaman dan
menepuk bahu Sudir. Kini Sudir tidak lagi berasa takut dengan jin-jin tersebut.
-o-
Subuh menjelma. Sudir menuju ke surau di stesen minyak untuk
solat Subuh. Stesen minyak itu sunyi. Tidak ada kelibat Anip mahupun Arip.
Selepas selesai solat Subuh, Sudir mengangkat tangan dan berdoa. Dia bersyukur
kerana selamat sepanjang hari pertama bertugas di pekan tersebut.
Sudir kepenatan. Dia mahu cepat pulang ke rumah untuk tidur.
Waktu bekerjanya sudah tamat. Sudir melangkah keluar dari bilik surau tersebut.
Sudir terkejut. Dia sangat-sangat tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya.
Pokok-pokok besar beberapa pemeluk yang berusia ratusan tahun, dengan pokok-pokok menjalar yang
terjurai dari celah-celah dahannya menyambutnya di luar bilik surau tersebut. Ini
memang kawasan hutan!
Apabila dia menunggang motosikalnya mengelilingi kawasan itu
didapatinya langsung tidak ada satu bangunan pun di situ. Minda Sudir sarat
dengan seribu satu persoalan. Sudir memecut motosikalnya dengan laju, menuju ke
pejabat Pekaba Sekuriti bagi mendapatkan penjelasan.
LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):
05 JUN 2015: Cerpen Jin Galah
06 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES
18 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI
20 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU
21 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI
23 JUN 2015: Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI
28 JUN 2015: Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam
3 JULAI 2015: Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT
15 OGOS 2015: Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular