JIN GALAH 0.5: MUTASI
Penulis: Amiene Rev
Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com
NOTA: Karya keenam dalam koleksi cerpen Jin Galah.
Putri. Itulah namaku. Aku berusia 10 tahun. Pada suatu hari,
ketika aku dan Kak Isma sedang bermain-main di sebuah taman permainan, aku
melihat bebola gergasi jatuh dari langit. Langit sangat gelap ketika itu. Bebola
itu rupa-rupanya seekor raksasa. Raksasa setinggi galah. Rupanya seperti pokok
di dalam hutan. Aku sangat takut. Kami semua lari bertempiaran. Suasana kelam
kabut, aku tidak tahu di mana Kak Isma menghilang. Kami semua sudah tidak ingat
apa-apa lagi. Ketika itu, seekor Jin Galah cuba menyambar aku. Cakarnya
mengenai belakang aku. Aku jatuh tertiarap. Di belakangku terdapat luka. Aku
bergolek-golek menahan kesakitan, Jin Galah menyerang aku lagi. Aku menangis
kesakitan. Tidak ada seorang pun yang menolong aku. Akhirnya aku berjaya
melarikan diri ke sebuah terowong paip yang besar. Aku menyorok di dalam
terowong paip itu. Badanku berdarah. Kecederaanku sangat parah. Aku tidak
sedarkan diri. Aku bermimpi. Aku ternampak Jin Galah di dalam mimpiku. Mereka
kelihatan baik terhadapku? Baik? Bukankah tadi mereka cuba membunuhku? Aku
keliru.
=O=
“Selamat pagi, Putri?”
Putri diam. Dia merenung Dr. Wahida. Matanya masih merah
menyala.
“Putri sihat hari ini?”
Putri mengukir senyuman di bibirnya.
“Bagus. Kita akan buat pemeriksaan terhadap Putri sekali
lagi. Boleh tak, Putri?”
Putri mengangguk.
“Doktor nak periksa mata Putri, dah lama merah ni.”
Dr. Wahida menyuluh mata Putri. Anak mata Putri kelihatan
stabil. Pemeriksaan itu berjalan lancar. Sejak diselamatkan tempoh hari, Putri
telah mula menunjukkan beberapa tanda yang pelik-pelik. Seolah-olah dijangkiti
sejenis virus. Virus itu menyebabkan mata Putri menjadi merah menyala. Kesan
luka yang lain walau bagaimana pun, telah sembuh dengan pantas.
=O=
“Putri, adalah satu-satunya mangsa yang terselamat dalam
serangan tersebut. Mangsa-mangsa yang lain semuanya sudah terbunuh. Keadaan
mayat-mayat tersebut sangat mengerikan,” jelas Dr. Wahida.
Aku mendiamkan diri. Aku sememangnya sangat-sangat bersyukur
apabila mendapat tahu Putri telah selamat. Dia adalah satu-satunya adik aku.
“Kami dapati Putri dijangkiti oleh sejenis virus.”
“Bahayakah, Doktor?”
“Kami belum pasti lagi. Setakat ini, belum ada gejala-gejala
yang mencurigakan, selain mata Putri semakin merah. Kami telah ambil sampel
darah dan tisu di badan Putri untuk diselidik.”
“Bila saya boleh tahu keputusannya?”
“Sebulan.”
“Itu sangat lama!”
“Itu sahaja yang kami dapat lakukan. Sejak serangan Jin
Galah, kami kekurangan teknologi yang sesuai. Kita semua harus berterima kasih
dengan Dr. Razi, sebab berjaya mewujudkan kem istimewa ini.”
“Bersabarlah, Azim.” Puan Damia memujukku.
=O=
Malam. Putri sukar sekali hendak tidur. Auman Jin Galah
masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia masih ingat bagaimana Jin Galah
menyerangnya. Putri teringatkan bekas-bekas cakaran di badannya. Dia
membelek-belek tempat cakaran tersebut. Sudah hilang. Putri sembuh dengan
sempurna! Seolah-olah dia tidak pernah dicakar oleh Jin Galah tersebut.
Secara senyap-senyap, Putri bangun dari katilnya. Dia ingin
keluar dari wad tersebut. Didapatinya masih ada orang berjaga di luar. Dia mahu
keluar menerusi tingkap. Putri sedar, dia kini di tingkat tiga bangunan
tersebut. Dia memanjat tingkap yang terbuka. Nalurinya begitu kuat menyuruhnya
terjun. Putri tidak rasa takut. Aneh, Putri seolah-olah bukan lagi Putri.
Putri memanjat ke bingkai tingkap dan terjun. Buk! Dia
mendarat dengan sempurna. Langsung tidak cedera. Putri senyum. Tiba-tiba Putri
terdengar bunyi tapak kaki orang. Itu pasti pengawal yang meronda. Dengan
sepantas kilat, Putri berlari dan menyorok. Kelajuannya tadi bukan kelajuan
manusia biasa. Putri tersenyum lagi. Dia boleh berlari dengan sangat laju!
Putri menadah kedua-dua belah tangannya. Dia merenung
kedua-dua belah tapak tangannya. Kepantasan degupan jantungnya meningkat secara
tiba-tiba. Putri dapat rasakan seperti ada tenaga mengalir. Tenaga yang sangat
segar. Jari-jari Putri berubah rupa menjadi semakin runcing. Putri terkejut.
Dia menenangkan dirinya. Jari-jarinya kembali menyusut dan pulih seperti
sediakala.
“Siapa di sana?”
Suara pengawal! Putri bergegas melarikan diri. Sepantas
kilat dia berlari. Putri tersengih. Tiba-tiba datang satu idea nakal di fikiran
Putri. Dia ingin mengusik pengawal-pengawal tersebut.
Putri pun berlari ke satu tempat yang gelap. Dia menyanyi, “La...
la... la...”
Pengawal memunculkan diri. Putri terus menyanyi.
“Siapa tu?”
Pengawal itu cuba mendekati Putri. Dia tidak mengecam Putri
kerana keadaan yang gelap di situ.
Putri pun cuba fokus terhadap tangan dan kakinya. Anggota
badannya memanjang, Putri berubah menjadi tinggi. Pengawal itu tercengang. Dia
mengacukan senjatanya ke arah Putri, bersiap sedia untuk menembak.
Naluri Putri pantas mengesan bahaya. Putri lalu melompat dan
mencengkam dinding bangunan, melarikan diri seperti seekor labah-labah berkaki
panjang. Pantas sekali pergerakannya.
Pengawal itu tidak sempat menembak. Melihat lembaga yang
menakutkan tadi sudah pergi, dia menghembuskan nafas lega.
Jantung Putri berdebar-debar. Dia mula sedar bahawa
tindakannya tadi telah membahayakan nyawanya sendiri. Tiba-tiba Putri terasa
seperti ada satu bisikan datang kepadanya.
“Ibu?”
Putri rasa Ibu ada begitu dekat dengan dirinya.
‘Ibu ada di sini! Ibu ada di sini!’ Putri menjerit
kegembiraan di dalam hati.
‘Aku akan cari Ibu,’ kata Puteri di dalam hatinya.
Putri berlari dari satu bangunan ke satu bangunan. Pantas
sekali pergerakannya. Dia melihat ke satu tingkap, tidak begitu jauh dari bilik
Dr. Wahida. Tingkap itu tertutup. Tingkat dua. Putri berlari ke arah tingkap
tersebut. Dia memanjat.
‘Ibu ada di dalam!’ Naluri Putri sangat kuat mengatakan
bahawa Ibu ada di dalam bilik tersebut. Itu adalah wad kecemasan.
Putri melihat ada lubang udara. Itu satu-satunya jalan
masuk! Putri mendapat idea. Dia menghulurkan tangannya untuk masuk ke dalam
lubang itu. Badannya berubah bentuk menjadi seperti pokok akar kayu, memanjang.
Seperti seekor ular, Putri menyusur masuk menerusi terowong udara itu, sampai
ke siling. Putri mengintip dari satu lubang udara ke satu lubang udara. Putri
tidak sedar dia telah berbuat bising.
=O=
“Ada sesuatu di di dalam siling!” seorang jururawat
memanggil pengawal.
“Mungkin tikus?” Pengawal tersebut cuba mententeramkan
jururawat tersebut.
“Tidak mungkin tikus, bunyinya begitu kuat.”
Kedua-dua staf hospital tersebut mengekori bunyi tersebut.
Bunyi tersebut berhenti di bilik Puan Suri, diikuti dengan bunyi bising.
Jururawat dan pengawal saling berpandangan. Mereka rasa
sangat berdebar.
“Buka pintu!” Pengawal itu mengacukan senapangnya.
Menjangkakan situasi yang paling buruk mungkin berlaku.
“Saya... saya pergi ambilkan kunci.” Jururawat itu bergegas
pergi.
Pengawal itu menjenguk menerusi cermin berbentuk empat segi
di pintu tersebut. Alangkah terperanjatnya dia, apabila melihat apa yang ada di
dalam bilik itu. Kelihatan Puan Suri masih dalam keadaan koma. Di sampingnya,
berdiri seorang budak perempuan, memegang tangan Puan Suri.
“Budak itukah yang memanjat ke dalam siling tadi?”
=O=
“Ibu...” Putri berbisik. Dia menggenggam tangan ibunya.
“Ibu... bila Ibu nak bangun?” Putri berbisik lagi. Suaranya
sebak.
Nafas Ibu terdengar turun naik dengan kuat sekali. Putri
memikirkan sesuatu. Putri membayangkan satu tenaga segar mengalir dari
tubuhnya, ke tangannya kemudian beralih ke tangan ibunya. Tenaga segar itu
terus mengalir hingga ke kepala ibunya. Putri memejamkan matanya. Putri
seolah-olah berada di alam mimpi.
Putri ternampak sesuatu. Ini bayangan ingatan ibunya! Putri
ternampak segala-galanya. Pada saat ibunya sedang risau apabila abangnya Azim
bertempur dengan Jin Galah Hitam, cuba menyelamatkan Isma dan Makcik Damia.
Putri nampak bagaimana ketiga-tiga orang itu berlari meninggalkan ibu.
Putri ternampak bagaimana Ibu lari dan cuba menyorok apabila
seekor Jin Galah Hitam membongkok masuk ke dalam rumahnya, cuba menangkap Ibu.
Apabila mendapati Jin Galah Hitam itu terperangkap di dalam rumah kerana
tersangkut pada perabot-perabot, Ibu terus berlari keluar dari pintu hadapan
rumah. Ibu berlari dan terus berlari. Putri nampak segala-galanya!
Pada suatu hari, Ibu sangat lapar. Ibu mencari makanan di
sebuah bandar. Ibu diburu oleh Jin Galah lagi. Ibu berlari dan berlari, sebelum
dirempuh sebuah kereta. Pandangan Ibu berpinar-pinar.
“Dia masih hidup! Dia masih hidup!”
Putri terdengar bunyi nyaring. Bunyi pelancar roket
barangkali. Putri terdengar bunyi benda meletup! Auman Jin Galah sangat kuat.
Jin Galah meraung kesakitan.
“Angkat dia, bawa dia pulang ke kem!”
Pandangan Ibu gelap. Tidak terdengar apa-apa lagi. Ingatan
Ibu tamat setakat itu. Putri cuba menerokai lagi ingatan Ibunya.
“Putri... di mana kau, Sayang? Di mana Putri, anak Ibu? Ibu
rindu dengan Putri...” Tiba-tiba suara Ibu bergema. “Ibu rindu Putri... jangan
tinggalkan Ibu, Putri...”
Putri sebak. Terasa air mata mengalir dari matanya.
Rupa-rupanya dalam keadaan yang koma itu, Ibu masih ingat Putri. Ibu
tercari-cari Putri dalam komanya. Roh Ibu merayau-rayau, barangkali. Roh Ibu
mencari-cari Putri.
Putri menangis tersedu-sedu. Air matanya mengalir semakin
laju.
Bam! Pintu terbuka! Beberapa orang pengawal bersenjata api
meluru masuk ke dalam dan memeriksa ke sekeliling.
“Cuma seorang budak!” jerit salah seorang pengawal.
“Bagaimana dia boleh masuk ke sini?”
“Aku dengar bunyi benda di atas siling. Dia masuk dari
saluran udara!”
Putri masih menangis. Dia menggenggam erat tangan Ibu. Putri
tidak sedar ada pengawal-pengawal keselamatan di dalam bilik itu, kerana
mindanya masih bersambung dengan minda Ibu.
Tiba-tiba Putri rasa badannya bergegar. Putri tersedar. Dia
terperanjat apabila mendapati terdapat ramai pengawal keselamatan di dalam
bilik itu.
“Adik... adik tak apa-apa?”
Putri membeliakkan matanya. Matanya merah menyala.
Pengawal-pengawal seram memerhatikannya.
“Aku kenal budak ini. Ini Putri, mangsa yang terselamat dari
serangan Jin Galah dua minggu lepas,” kata seorang pengawal keselamatan.
“Oh, budak yang sering mengamuk tu, ya?”
“Dah, jom kita bawa dia keluar!”
Putri berasa cemas. Dia menggenggam kuat tangan ibunya.
“Biar saya bawa dia keluar. Putri? Putri, jom ikut Akak?
Kita keluar, ya?” Lembut sekali suara jururawat itu.
Putri menunduk sedikit, dan merenung jururawat tersebut
dengan air muka yang sangat masam. Degupan jantungnya meningkat secara
tiba-tiba. Ada kemungkinan Putri akan menyerang jururawat tersebut.
“Putri, jom, balik tidur. Dah lewat malam ni, esok kita
jumpa Doktor Wahida lagi, ya?”
Mendengar nama Doktor Wahida disebut, Putri tersenyum.
“Doktor Wahida...” Putri berbisik perlahan. Nada suaranya
menaik.
“Doktor Wahida...” Putri mengulang nama tersebut. Nada
suaranya semakin menaik. Nafas Putri tiba-tiba tersekat-sekat.
“Doktor Wahida....!” Putri menempik sekuat-kuat hatinya.
Dengan secara tiba-tiba rambut Putri yang lurus itu tiba-tiba bergulung-gulung
dan bergerak-gerak seperti ular.
“Ibu... Ibu tunggu di sini...” Putri merenung wajah Ibu yang
sedang tidak sedarkan diri dengan penuh kasih sayang. Kemudian dia membeliakkan
matanya, memandang setiap orang yang berada di dalam bilik itu. Putri
melepaskan genggaman tangannya. Dia berjalan menjauhi katil ibunya. Dia melihat
lubang udara, tempat dia keluar tadi.
Putri menghulurkan tangannya ke lubang udara itu. Tangannya
memanjang ke atas. Pengawal-pengawal keselamatan terkejut. Jururawat
membeliakkan matanya, sebelah tangannya menutup mulutnya sendiri. Sepantas itu
juga Putri menghilang. Kedengaran bunyi berdentam-dentum di dalam siling.
“Kejar!”
Kesemua pengawal keselamatan bergegas pergi menjejaki Putri.
Tinggal jururawat sahaja yang masih kebingungan, terkejut melihat peristiwa
aneh tadi.
=O=
“Buka pintu.”
Jururawat membuka pintu bilik Putri di wad khas untuk
kanak-kanak. Kelihatan Putri sedang nyenyak tidur. Beberapa orang pengawal
masuk ke dalam.
“Dia ada di dalam.”
“Jadi, betulkah yang kita lihat tadi, budak ini?”
“Entah-entah hantu? Mana mungkin ada budak yang pelik seperti
itu?”
“Bagaimana sekarang, encik?”
“Tak apa. Terima kasih. Cuma tingkatkan pengawasan terhadap
pesakit ini.”
Pengawal-pengawal beredar. Jururawat yang bertugas menjaga
di wad khas kanak-kanak itu merenung Putri yang sedang nyenyak tidur. Dia
mengetap bibirnya, bersimpati dengan apa yang telah dilalui oleh Putri.
Putri masih kelihatan sedang nyenyak tidur. Nafasnya beralun
dengan tenang, seolah-olah dibuai mimpi yang sangat lena. Pintu bilik Putri
ditutup.
Mendengar bunyi pintu telah ditutup, Putri tiba-tiba
membeliakkan matanya. Matanya merah menyala. Dia tersenyum!
Di luar tingkap, malam kelihatan sangat luar biasa, tanpa
bulan dan bintang. Awan mendung masih berterusan melapisi angkasa. Sesekali petir
sambar-menyambar. Suasana masih seperti hari-hari yang sebelumnya, tidak mahu
menjadi saksi terhadap apa yang telah berlaku pada malam ini. Sesuatu telah
berlaku kepada Putri. Sel-sel manusia di dalam tubuh Putri telah bertindak
balas terhadap virus-virus daripada cakaran Jin Galah Hitam. Putri telah
mengalami mutasi.
BACA KARYA KELIMA JIN
GALAH: Cerpen
Jin Galah 0.4: SRIKANDI