Home Novel Seram/Misteri CABARAN KISAH SERAM MISTIK
06 - PERCINTAAN DEWI DENGAN IBLIS

PERCINTAAN DEWI DENGAN IBLIS

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

Kira-kira dua dekad lepas, Sarimah menuntut di Universiti Dalhousie di Nova Scotia, Halifax, Kanada. Nova Scotia terkenal sejak 200 tahun dahulu sebagai sebuah daerah yang menawarkan banyak peluang pendidikan di peringkat tinggi. Selain keindahan suasana empat musim setahun dan dekat dengan pantai yang indah, Nova Scotia juga popular dengan seni dan budaya.

Apabila ada kelapangan pada hujung minggu, Sarimah suka berjalan-jalan di Taman Victoria sambil mendengar bunyi aliran air sungai merentasi batu-batu kelikir yang besar-besar. Cukup menenangkan hati. Taman Victoria, adalah kawasan hutan yang cukup indah. Warna tumbuh-tumbuhannya hijau keemasan. Dikatakan, sesiapa yang pergi ke Truro, tidak akan lengkap perjalanannya jika tidak singgah ke taman ini. Apabila kepenatan, Sarimah akan duduk di kerusi kayu menghadap air terjun sambil membaca novel romantik Inggeris.

Suatu hari, ketika Sarimah ingin duduk di kerusi yang biasa didudukinya, dia ternampak seorang pemuda sedang tunduk termenung.

“Hai, maafkan saya. Boleh saya duduk di sini?” Begitu sopan bahasanya.

Pemuda itu mengangkat kepalanya. Rambutnya disikat ke belakang. Rupanya kelihatan seperti orang Melayu atau Indonesia. Dia memandang ke arah gadis berbadan ramping, berpakaian serba kelabu itu. Pemuda itu mengangguk sebelum berdiri untuk beredar.

“Tidak mengapa, awak boleh duduk di sini. Saya cuma ingin membaca novel. Kebetulan ini tempat kesukaan saya.” Sarimah teragak-agak untuk duduk apabila dia merasakan dirinya telah menyusahkan lelaki tersebut.

Pemuda itu tersenyum. Rupanya kelihatan manis. Matanya redup. Seketika itu juga jantung Sarimah berdebar-debar. Lelaki memberi tunduk hormat kepada Sarimah, lalu beredar pergi selepas melambai-lambai kepada Sarimah.

Hati Sarimah menjadi kurang selesa. Dia telah menyusahkan lelaki itu barangkali. Kebiasaan telah menyebabkan Sarimah ingin duduk di kerusi tersebut. Seolah-olah dia telah menjajah kawasan di situ. Sarimah mengeluh seketika sambil memandang air terjun, menenangkan semula dirinya.

-o-

Suatu hari ketika di perpustakaan awam, ketika Sarimah sedang mencari buku yang dikehendakinya, dia ternampak pemuda itu lagi. Lantas, tanpa berfikir panjang, terus Sarimah mendekati lelaki tersebut.

“Hai, kita berjumpa lagi. Saya...” tiba-tiba Sarimah hilang bicara apabila lelaki itu berpaling ke arahnya.

Wajah pemuda itu cukup manis dan mampu memikat hati mana-mana wanita yang memandangnya. Degupan jantung Sarimah meningkat lagi.

“Saya ingin minta maaf sebab mengganggu awak tempoh hari. Maksud saya ketika awak sedang duduk-duduk di Victoria Park.” Sarimah agak serba-salah. Pandangan mata redup lelaki itu membuat jiwanya kacau. Ada rasa gembira, ada rasa segan, ada perasaan yang bercampur baur.

“Tidak mengapa. Itu cuma hal yang kecil saja.” Suara lelaki itu agak dalam tetapi lembut.

“Saya tidak sangka, kita belajar di universiti yang sama.”

“Oh, saya sebenarnya belajar di Amerika, tetapi saya sedang menjalankan projek tahun akhir saya di sini.” Lelaki itu menepuk lembut buku yang ada di tangannya.

“Wow. Awak ambil kursus apa?” Sarimah nampaknya semakin berminat untuk mengenali lelaki itu.

“Mungkin awak kurang minat dengan kursus yang saya ambil.” Lelaki itu menuturkan kata-katanya secara perlahan-lahan.

“Saya rasa, tidak ada kursus yang saya tidak minat di sini atau di mana-mana universiti. Semua kursus adalah menarik bagi saya.”

“Awak pernah dengar tentang demonologi?” Mata lelaki itu bertentangan dengan mata Sarimah.

“Itu... itu kursus tentang aktiviti paranormal, bukan? Itu kursus yang unik!” Mata Sarimah terbeliak. “Jadi awak datang ke Nova Scotia untuk ini?”

“Ya. Ada beberapa kes di Nova Scotia yang saya yakin ada kaitan dengan paranormal. Brooklyn, Eel Brook, dan kebanyakan kes di Truro.” Lelaki itu memandang tepat ke arah Sarimah. “Awak tidak takut dengan bidang seperti ini?”

“Oh, tentu tidak. Saya tidak percaya. Lagi pun saya dibesarkan di Kanada sejak kecil. Walau pun keluarga kami sebenarnya dari Malaysia.” Entah kenapa, tiba-tiba Sarimah bercerita tentang dirinya.

“Awak juga dari Malaysia?” Lelaki itu membeliakkan matanya. Wajahnya semakin ceria.

“Ya. Ya, saya pun lahir di Malaysia juga. Cuma, kemudian keluarga kami berpindah ke mari dan kami sudah berbelas tahun tinggal di sini. Awak orang Malaysia?” Sarimah tergagap-gagap. Hatinya terasa ringan. Emosinya seolah-olah terangkat sedikit. Ada rasa lapang dan senang hati.

“Ya. Saya mungkin akan kembali ke Malaysia selepas tamat pengajian.” Lelaki itu dengan mudah berterus-terang. “Awak ingin kembali ke Malaysia? Saya boleh bawakan.”

Sarimah terdiam. Soalan yang ditanya oleh lelaki itu adalah soalan yang kerap kali terdetik di hatinya. Kembali ke Malaysia adalah impian Sarimah. Tidak kira betapa cantik pun Kanada, Sarimah tetap ingat tanah kelahirannya. Sarimah mengangguk.

“Nama saya Akalil.”

“Maaf, tadi saya terlupa memperkenalkan diri. Saya Sarimah.”

Sejak itu, hubungan Akalil dan Sarimah semakin rapat. Biarpun bidang pengajian mereka berbeza, mereka tetap cuba untuk meluangkan masa bersama-sama. Ada juga sesekali Sarimah berhajat untuk mengikuti Akalil menjalankan penyelidikannya tetapi lelaki itu keberatan untuk membenarkannya.

-o-

Setahun berlalu, lelaki tersebut ingin kembali semula ke Amerika. Sarimah keberatan untuk melepaskan Akalil.

“Apa kata kita berkahwin sahaja?” Kata-kata itu kedengaran mudah, tetapi entah bagaimana hubungan Sarimah dan Akalil tidak direstui oleh ibu bapa Sarimah. Bidang yang diambil oleh Akalil menimbulkan rasa takut kepada mereka.

“Kenapa pilih lelaki seperti itu? Ada banyak bidang yang lebih menjamin masa depan lagi. Jurutera, arkitek, akauntan, ahli matematik dan lain-lain bidang.” Marah benar ibu bapa Sarimah apabila mengetahui hasrat anaknya itu. “Sarimah satu-satunya anak Mama dan Papa. Mama dan Papa mahukan yang terbaik.”

Sarimah merajuk. Sejak hari itu, Sarimah langsung tidak pulang menemui ibu bapanya. Dia begitu benci dengan ibu bapanya kerana menolak lelaki pilihannya. Sesekali ibu bapanya menelefonnya, mengutus surat, tetapi langsung tidak dibalasnya. Kemarahan Sarimah cukup kuat, dendamnya cukup dalam, panas membara dan tidak ada tanda-tanda akan padam.

Konflik antara Sarimah dengan ibu bapanya berakhir apabila kedua-dua mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Sarimah yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya kini menjadi sebatang kara. Akhirnya Sarimah bernikah dengan Akalil.

Sejak kehilangan ibu bapanya, Sarimah semakin kerap pergi ke rumah orang-orang tua. Dia lebih banyak menghabiskan masanya melayan orang-orang tua. Dia lebih banyak melakukan kerja-kerja kebajikan. Dia rasa begitu berdosa kerana dan menyesal kerana bersikap derhaka terhadap ibu bapanya. Hubungan Sarimah dengan Akalil tiba-tiba menjadi suram, tetapi Akalil begitu pandai bermain kata-kata dan memujuk Sarimah.

Kegembiraan kembali datang bercahaya apabila Sarimah mengandung. Bayi yang bakal dilahirkan adalah bayi perempuan. Hubungan Sarimah dan Akalil kembali rapat. Akalil menjaga Sarimah dengan penuh kasih sayang. Bayi sulung itu diberi nama Qistina. Qistina Balqis.

Dua tahun kemudian, Sarimah mengandung lagi. Kali ini anak lelaki. Bayi itu adalah Zaqwan Haiqal. Dengan adanya anak perempuan dan anak lelaki dalam hidup mereka, keluarga Sarimah kembali bahagia.

Kebahagiaan itu bertahan selama beberapa tahun. Suatu hari Qistina Balqis diserang demam yang teruk. Sarimah membawanya bertemu dengan doktor tetapi doktor tidak dapat mengesan apa-apa perkara yang pelik. Akalil mengatakan bahawa anak mereka itu diganggu oleh syaitan. Cuma rawatan dengan menggunakan teknik yang dipelajari oleh Akalil menerusi bidang demonologi atau ilmu paranormal sahaja dapat merawatnya. Ternyata Akalil betul.

Sehinggalah satu hari, Qistina diserang penyakit misteri yang paling teruk. Akalil cuba merawat Qistina tetapi gagal. Qistina menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika itulah Akalil terdengar bisikan syaitan. Syaitan yang menggelarkan dirinya sebagai Azazil, jin petala langit dan bumi, raja sekalian syaitan. Makhluk terkutuk itu menawarkan satu peluang kepada Akalil untuk menghidupkan semula Qistina tetapi Akalil mesti menjadi pengikutnya. Kesedihan telah menyesatkan Akalil, lalu dia pun menerima tawaran tersebut. Qistina hidup kembali tetapi sikapnya telah berubah seratus peratus. Sejak hari itu, Akalil memakai sebentuk cincin. Bilangan cincinnya bertambah dari tahun ke tahun. Sarimah juga sering dilanda perasaan seram namun kata-kata manis Akalil dengan mudah dapat mententeramkan semula Sarimah.

Sarimah tidak mampu bertahan lagi. Rumah mereka bagaikan pusat pemujaan syaitan. Akalil turut mendapat sokongan daripada ramai pemuja syaitan termasuk golongan hartawan dan ahli politik. Suatu ketika, Sarimah mengambil keputusan untuk meninggalkan suaminya. Entah bagaimana, Akalil merestuinya.

“Jauhkan diri daripada Abang. Biarlah Abang dan Qistina kekal di sini sebagai mematuhi perjanjian Azazil. Sarimah dan Haiqal pergilah ke Malaysia dan tinggallah di alamat ini.”

“Abang... maafkan Sarimah.” Sarimah menangis tersedu-sedan.

“Abang yang patut minta maaf dengan Sarimah. Abang pernah berjanji mahu bawa Sarimah kembali ke Malaysia dulu tetapi sampai sekarang Abang belum tunaikan janji itu.” Begitu hiba nada suara Akalil.

Dengan duit simpanan yang masih banyak tidak terusik, Sarimah dan Haiqal pun berangkat ke Malaysia. Haiqal begitu sedih kerana terpaksa berpisah dengan kakak dan ayahnya.

“Ingat Sarimah. Mulai hari ini, Abang ceraikan Sarimah. Abang tidak lagi wujud di hati Sarimah...” begitulah kata-kata akhir suaminya. “Anggap sahaja Abang sudah mati.”

Maka bermulalah kehidupan baru Sarimah dan anaknya Haiqal di Malaysia.

-o-

Suatu hari, Azazil datang mengunjungi Akalil. Suasana di rumah agam itu menjadi begitu gelap. Angin berderu-deru tetapi hujan langsung tidak turun. Akalil dan Qistina segera sujud menyembah kepala syaitan itu.

“Haiqal dan Sarimah akan kembali menjadi pengikutku. Kau cuma perlu laksanakan apa yang aku suruh selepas ini.”

Ternyata, pemergian Sarimah dan Haiqal adalah selaras dengan rancangan jahat kepala syaitan itu. Perancangan yang memakan masa bertahun-tahun daripada makhluk yang sentiasa mengirim pengikut-pengikutnya yang terlaknat untuk mencuri rahsia-rahsia langit.

LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV(sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015:Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015:Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.