Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
118,307
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 22

JAM menunjukkan hampir pukul 1.00 pagi. Suasana di rumah itu benar-benar sunyi dan suram. Pintu bilik Nizam terkuak. Lelaki itu melangkah keluar dan terus ke dapur. Suis lampu dipetik membuatkan keadaan jadi terang.

Dia memandang sekeliling. Tajam matanya meliar melihat satu per satu yang ada di dapur itu. Dilihat ada sebuah radio di atas almari. Dia menghidupkan radio itu dan berkumandang lagu Kalau Berpacaran yang dinyanyikan Ana Rafali dan Sohaimi Mior Hassan.Volume dikuatkan.

Dia mula menggerakkan tubuhnya mengikut rentak rancak lagu itu. Dia menari-nari mengikut sesuka hatinya. Habis sahaja lagu itu, dia tak lagi menari. Dia membuka peti sejuk. Dikeluarkan segala yang difikirkan harus dikeluarkan.

Semuanya diletakkan di atas meja. Bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit dikeluarkan juga. Dikupas kesemuanya sambil ikut menyanyikan lagu yang berkumandang di corong radio. Sayur-sayur dari peti sejuk yang tadi dikeluarkan dipotong-potong.

Sehinggalah jam menunjukkan hampir pukul 4.00 pagi, dia masih membuat kerja. Sesudah itu dia masak pula. Bahan-bahan yang dia kupas tadi dijadikan nasi goreng versi ciptaannya sendiri. Diletak apa saja yang dia mahu.

Kelentang-kelentung bunyi sudip berlaga dengan kuali. Sesekali dia menari dan menyanyi sambil memasak.

Fauziah terjaga daripada tidur sejak awal tadi lagi apabila bunyi radio itu membuatkan dia tersedar. Ini bukan kali pertama Nizam berjaga pada waktu malam. Nizam kata, dia tak boleh tidur. Dan kali ini dia biarkan saja kerana ada rasa seriau nak melihat apa yang Nizam buat. Sakit dibelasah anaknya itu membuatkan dia fobia.

Sebelum ini, dia sudah biasa kena marah dengan Nizam. Cuma ini kali pertama dia dipukul. Tubuhnya masih lagi menggeletar sampai sekarang. Tapi demi mahu menunaikan solat tahajud, dia kuatkan semangatnya. Dia keluar dari bilik dan berjalan perlahan-lahan menuju ke dapur.

Di sebalik dinding, dia mengintai. Dia nampak dengan jelas Nizam sedang masak sesuatu. Diperhatikan sahaja anaknya itu tanpa berniat mahu menegur atau bertanya. Tak lama kemudian, Nizam mengangkat kuali dari dapur gas dan membawa ke atas meja. Dari kuali itu Nizam terus makan tanpa menggunakan pinggan. Hanya dengan sudu.

Dan Nizam makan penuh berselera. Sambil duduk makan pun dia sempat lagi menari dan menyanyi. Fauziah lihat riak wajah Nizam sangat ceria. Berbeza dengan riak bengis malam tadi. Namun, Fauziah tak mampu meluputkan rasa seriau dalam dirinya. Walau pukulan Nizam tak meninggalkan lebam pada batang tubuhnya, sakitnya masih terasa.

Air matanya bergenangan sebelum akhirnya gugur ke pipi. Dia rindukan Nizam yang dulu. Yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya. Yang berbudi bahasa dan sentiasa membuatkan dia bahagia. Nizam seolah-olah sudah bertukar jadi orang lain yang tak dikenali langsung.

Dia gagahkan diri dan cekalkan hati. Dia harus segera menunaikan solat tahajud. Air mata diseka dengan tuala yang dibawa bersama. Dia melangkah melalui dapur untuk ke bilik air.

Nizam yang perasan kehadiran Fauziah di situ segera berpaling bersama senyuman.

"Nizam masak, mak. Sedap."

Langkah Fauziah terhenti. Dia mengukir senyuman nipis. Mood anaknya kali ini benar-benar berbeza.

"Mak nak?"

Fauziah menggeleng.

"Mak nak mandi. Lepas tu nak solat tahajud."

Nizam menyuapkan sesudu nasi goreng ke mulut sambil tubuh bergoyang-goyang menari.

Fauziah meneruskan langkah ke bilik air. Setelah beberapa tapak, dia berpaling semula menghadap Nizam.

"Masuk waktu subuh nanti Nizam solat ya?"

Nizam masih bergoyang-goyang mengikut irama lagu yang berkumandang. Sedangkan lagu yang diputar radio itu berentak perlahan.

Fauziah masuk ke dalam bilik air. Setelah mengunci pintu, dia sambung menangis di situ.

**********

HARI demi hari berlalu. Keadaan Nizam ada pasang surut. Pagi hari minggu itu Fauziah menyediakan nasi lemak untuk sarapan selepas menunaikan solat subuh dan membaca surah al-Waqiah.

Semuanya sudah siap dihidangkan di atas meja. Ketika dia sedang membancuh air kopi O, Nizam muncul di situ dan terus duduk meja makan. Fauziah meneliti riak wajah anaknya itu. Kelihatan tenang.

"Nizam nak makan?" soalnya berhati-hati.

Nizam mengangguk.

"Tak nak mandi dulu?"

Kali ini Nizam menggeleng.

"Nizam nak makan. Perut ni dah lapar sangat. Lepas makan Nizam mandi," balas Nizam sambil mengusap perutnya.

Kemudian dia mencapai pinggan dan terus menyendok nasi lemak ke dalam pinggan itu. Diambil sesudu sambal, sebiji telur rebus, beberapa hirisan timun, secubit kacang tanah goreng dan ikan bilis goreng.

"Jemput makan, mak." Nizam mempelawa Fauziah pula.

Fauziah dapat rasa mood Nizam sedang neutral ketika ini. Bersama teko berisi kopi panas yang sudah siap dibancuh, dia duduk berhadapan dengan Nizam.

"Sebelum makan kita baca doa dulu. Nizam baca," suruhnya dengan lembut.

Lalu Nizam menadah tangan dan membacakan doa makan untuk mereka.

"Amin..." Fauziah meraup kedua-dua tapak tangan ke muka. Bersyukur dengan rasa bahagia yang sekelumit ini.

Nizam menyuap nasi lemak dengan penuh berselera. Fauziah tersenyum puas hati. Dia menyendokkan nasi ke pinggannya dan sama-sama menikmati sarapan yang amat jarang dapat dirasai berdua begini. Hampir saja dia mahu menangis di situ juga.

"Emak tak kerja hari ni?"

Soalan Nizam yang tiba-tiba itu disambut Fauziah dengan gelengan.

"Kenapa? Nizam ada nak pergi ke mana-mana ke?" soal Fauziah semula.

"Saja tanya." Dan kemudian Nizam menambah nasi lagi sesenduk.

Fauziah berharap sangat Nizam mahu keluar ambil angin. Dia sanggup temankan. Sudah terlalu lama Nizam tak keluar rumah. Tapi Nizam lebih suka memerap di rumah.

"Mak..." panggil Nizam dengan nada sayu.

"Hmm..." Fauziah merenung wajah Nizam.

"Nizam ada marah mak ke? Ada tak Nizam pukul mak?"

Soalan itu membuatkan Fauziah terdiam.

"Kalau ada... Nizam minta maaf ya, mak? Nizam tak sedar." Berubah hiba wajah Nizam. Dia tunduk.

Cepat-cepat Fauziah menggeleng menafikan. Dia tak mahu emosi Nizam kacau-bilau semula.

"Tak ada apalah. Nizam jangan fikir yang bukan-bukan. Mak okey insya-ALLAH." Entah kenapa, dia bagai sudah lupa dengan kesakitan akibat dibelasah Nizam yang dialami tempoh hari apabila Nizam memohon maaf.

"Nizam tak tahu apa yang jadi, apa yang Nizam dah buat. Kadang-kadang Nizam rasa macam dalam mimpi, tapi macam betul-betul jadi. Entahlah... Nizam macam tak berapa sedar, mak." Nizam meluahkan pula.

Dada Fauziah bergulung-gulung rasa sebak sehingga hampir sesak. Dia cuba menahannya dan berlagak seperti biasa.

"Mak faham, Zam. Mak faham. Kalau Nizam tak sedar dan Nizam tak solat, tak jatuh berdosa. Tapi kalau Nizam sedar, Nizam solat ya?" pujuknya sambil menyorokkan hiba di hati walau suaranya sedikit bergetar.

Nizam mengangguk.

"Dahlah... cepat habiskan makan. Tambah lagi. Lepas tu boleh mandi. Nah... rasa air kopi yang mak buat ni." Fauziah tak mahu emosi sedih larut dalam diri Nizam dan kemudian Nizam sakit semula.

Nizam meneguk air kopi O panas yang emaknya hulurkan. Makan nasi lemak bersama air kopi O panas adalah kombinasi yang sangat sempurna.

Mereka menyambung makan sambil sesekali berbual-bual kosong.


Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.