Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
118,313
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 15

PAGI ini Nizam datang ke tempat kerja dengan debaran di dada. Kejadian semalam masih terasa-rasa lagi bagaimana menggeletarnya dia dalam ketakutan. Mujur pula malam tadi tak jadi apa-apa di rumah Irwan. Dia tidur dengan nyenyak.

Semua ini membuatkan akalnya keras berfikir. Sama ada di rumah atau di tempat kerja, ada ‘sesuatu’ yang mengganggunya. Mungkin juga ‘sesuatu’ itu mengekori ke mana saja dia pergi. Memikirkannya membuatkan bulu roma Nizam meremang.

Atau ini semua mainan dalam fikiran bercelarunya yang mengganggu dan mempersendakannya? Sakit yang dia alami sudah lama tak membuatkan dia rebah. Barangkali ini yang terpaksa dia tempuhi pula.

Dia perlu serapkan seberapa banyak keberanian dalam diri untuk bertahan. Setiap di akhir solat dia panjatkan doa mengharap ALLAH menghindarkan dia daripada kejahatan makhluk. Sebenar-benar dia mengharap dalam doanya.

Pukul 8.20 pagi barulah dia nampak kereta Toyota Camry warna putih milik Hajar memasuki kawasan parkir. Setelah Hajar memberhentikan kereta, barulah dia datang menghampiri. Dia lihat Hajar seperti terkejut melihatnya.

“Saya nak pulangkan bekas ni,” beritahu Nizam setelah Hajar keluar dari kereta dan menutup pintu.

“Ohh...” Hajar tersenyum sedikit. Kabur wajah terkejutnya.

“Saya nak bagi bekas ni petang semalam. Tapi cik puan dah balik dulu.”

Hajar ketawa pula kali ini. Dia tergeleng-geleng

“Ya ALLAH... sebenarnya saya nak bagi sandwich tu dengan bekas sekali. Tapi saya lupa nak beritahu.”

Berkerut muka Nizam. Macam tak percaya.

“Tapi tu bekas Tupperware. Mahal kan?”

Nizam tahu sebab emaknya ada membeli satu set bekas Tupperware setelah berjimat cermat mengumpul duit.

“Taklah mahal mana pun. Awak ambil sajalah.”

“Eh, janganlah macam tu. Mahal bekas ni. Saya tak nak terhutang budi.” Nizam menghulur bekas tersebut pada Hajar.

Meleret senyuman Hajar. Wajah Nizam dilihat seperti sangat bersalah padanya. Tak sampai hati pula dia mahu memaksa. Diambil jua bekas itu dari tangan Nizam.

“Tak ada istilah terhutang budi bagi saya. Saya cuma nak buat baik pada orang yang dah buat baik pada saya.”

Nizam diam membiarkan Hajar berkata-kata.

“Tak salah kan?” soal Hajar pula.

Teragak-agak Nizam mahu menggeleng atau mengangguk. Sudahnya, dia masih diam.

“Tak apa... lain kali saya bagi awak bekal lagi,” ujar Hajar sambil menggoyang-goyangkan bekas tersebut di hadapan Nizam.

“Eh, tak payah... tak payah. Saya boleh beli sendiri makanan kat kafe.” Nizam seboleh-boleh tak mahu menyusahkan Hajar.

Hajar membuka pintu kereta dan mencampak bekas tersebut ke dalamnya sebelum menutup pintu semula.

“Itu harga yang awak kena ‘bayar’ bila pulangkan balik bekas tu.” Hajar ketawa melihat Nizam tergamam.

Dalam keadaan tergamam begitu Nizam masih sempat meneliti wajah Hajar.

“Lebam kat muka awak dah tak nampak,” komennya.

“Alhamdulillah... saya selalu tuam dengan ais. Lagipun, lebam ni kecil saja. Tu yang cepat baik.”

Nizam terangguk-angguk.

“Okeylah, saya naik dulu ya?” Hajar melangkah melepasi Nizam untuk ke ruang lif.

Baru beberapa langkah, Hajar berpaling semula menghampiri Nizam.

“Oh ya... lupa saya nak kenalkan diri.”

Nizam sekadar memerhati gadis itu dari atas hingga ke bawah. Hajar nampak sangat elegan dengan kameja putih yang dimasukkan ke dalam seluar panjang warna kelabu tua dan memakai blazer labuh warna merah jambu cair. Serinya bertambah dengan kasut tinggi yang dipakai. Membuatkan dia rasa seperti debu saja tatkala berdiri di hadapan Hajar.

“Lepas ni jangan panggil saya cik puan lagi. Nama saya Hajar...” Hajar menghulurkan tangan untuk berjabat.

Nizam terkelu seketika, namun tetap menyambut tangan Hajar. Mereka bersalaman.

“Hajar Jaafar,” sambung Hajar sambil menguntum senyum.

Bagai tersengat dengan elektrik, Nizam kaku. Nama itu...

“Nama awak?” soal Hajar setelah jabatan tangan mereka lerai.

Nizam teragak-agak. Dia risau kalau-kalau Hajar dapat mengecam setelah dia menyebut namanya nanti.

Hajar menunggu sambil meninggikan sebelah keningnya. Direnung wajah Nizam penuh mengharap.

“Panggil saya Nizam saja.” Akhirnya Nizam memberitahu.

Barulah Hajar senyum.

“Okey, Nizam... kita jumpa lagi nanti.” Hajar berlalu ke ruang lif semula.

Nizam menghempas nafas berat. Dipandang Hajar hingga hilang daripada pandangan.

**********

IRWAN memarkir motosikalnya berdekatan dengan pos pengawal di Wisma Hasbullah itu. Terus dia ke pondok itu bertemu Kamal. Dia duduk di kerusi kosong di sebelah lelaki itu melepaskan penat.

“Kau dari mana ni, Wan?”

“Ofis. Panas betullah kat luar tu.” Irwan mencapai surat khabar di atas meja lalu mengipas-ngipas ke mukanya. Kipas dinding dalam pondok itu tak terasa langsung.

“Esok hari gaji. Gaji masuk macam biasa kan?” Kamal tak peduli pun dengan keluhan Irwan. Kalau Irwan datang, hal gaji yang biasa dia tanya. Lagi-lagi bila tahu Irwan dari pejabat syarikat keselamatan naungan mereka.

“Jangan risaulah, Abang Kamal. Anak-anak, isteri-isteri abang takkan kebulur selagi abang kerja kat sini.”

Kamal ketawa. Irwan tahu dia mempunyai dua orang isteri dan lima orang anak yang perlu ditanggung. Dia menyambung menulis laporan di buku catatan.

“Nizam kerja okey ke, bang?” Irwan pula bertanya.

“Hmm... macam tu ajelah dia.” Kamal tunjuk riak tak berminat.

“Macam tu ajelah tu... macam mana? Tak okey?”

“Dia okey. Dengar arahan, meronda ikut jadual, buat clocking... cuma tak bergaul sangat. Jarang nak berbual. Pendiam. Dia buat hal dia aje,” beritahu Kamal. Kedengaran seperti dia sedang mengadu.

Irwan melirik senyuman nipis. Dia faham macam mana sikap Nizam. Dengan orang yang dikenali saja barulah Nizam boleh layan berborak. Itu pun sekadar borak kosong.

“Nanti lama-lama pandailah dia bergaul. Abang pun janganlah serius sangat dengan dia.”

“Bukan aku aje, dengan si Yon lagilah dia tak pernah bercakap. Yon pun suka buat kepala dia sendiri. Dengan Yon ajelah aku berborak hari-hari.”

Irwan diam. Sudah dua minggu Nizam berada di sini. Mungkin Nizam susah nak bergaul disebabkan selama ini tak pernah bermasyarakat. Biarlah masa yang menentukan bagaimana perubahan pada diri Nizam.


Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.