Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
118,300
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 13

KESIBUKAN awal pagi begini sudah menjadi perkara biasa bagi Nizam. Kenderaan menderu-deru datang. Ruang parkir yang lengang pada mulanya sekejap saja hampir penuh. Setakat ini tiada apa-apa masalah.

Dia menunggang motosikal perlahan-lahan sambil memantau. Sehinggalah tiba di tingkat B2. Dia nampak seseorang gadis yang baru keluar dari kereta melambai-lambai memanggil setelah nampak kehadirannya.

Mungkin gadis itu ada sesuatu yang memerlukan pertolongannya. Lalu dia membawa motosikal menghampiri gadis itu yang berjarak hampir 30 meter.

Sesudah memberhentikan motosikal di sisi gadis yang memakai kemeja warna biru kehijauan berlengan panjang yang dimasuk ke dalam skirt warna hitam paras lutut, barulah dia perasan. Gadis semalam!

Dia melangkah turun dari motosikal sambil memandang gadis itu kehairanan. Kelihatan tiada apa-apa yang terjadi.

"Ya, cik puan. Ada masalah apa?"

Gadis itu melirikkan senyuman.

Nizam baru sedar yang gadis itu cantik orangnya. Semalam dia cuma pandang lebih kurang saja. Lagipun, suasana agak 'panas' ketika itu. Tapi pipi kiri gadis itu nampak gelap sedikit.

"Pipi cik puan lebam ke?"

"Hmm... sikit aje. Saya letak mekap, so tak nampak sangat. Jangan risau, saya okey." Gadis itu senyum seolah-olah memang dia tak rasa sakit pada lebam tersebut.

Nizam tak rasa lebam di pipi gadis itu 'tak nampak sangat'. Dia boleh nampak walau gadis itu memakai mekap.

"Oh, nah..."

Sebuah bekas berwarna putih jernih dan bertutup warna merah dihulur gadis itu kepada Nizam. Nizam memandang dengan riak berkerut tidak faham.

"Saya buat tuna sandwich. Ambillah..."

Dari tepi bekas bentuk empat segi itu Nizam nampak kepingan roti berlapiskan inti di dalamnya. Dia masih tak faham.

Gadis itu tetap menghulur supaya Nizam mengambil bekas tersebut.

"Kenapa bagi pada saya?"

Makin lebar senyuman gadis itu.

"Sebagai tanda terima kasih pasal hal semalam."

"Eh, tu dah memang kerja saya."

"Ya, memang kerja awak. Dan awak buat kerja awak dengan sangat baik," puji gadis itu masih dengan senyuman.

Nizam melihat bekas yang dihulur gadis itu sekali lagi.

"Saya buat sendiri sandwich ni."

"Awak sajalah yang makan." Nizam berat hati nak terima budi orang yang tak dikenali. Lagipun, dia tak nak ada kaitan dengan sesiapa di sini. Ada batas yang perlu dia patuh.

"Saya buat lebih. So, ni untuk awak."

Wajah gadis itu Nizam pandang sangsi. Gadis cantik, berpelajaran dan berjawatan tinggi ini kelihatan senang bergaul walaupun dengan orang sepertinya. Dia cuma pengawal keselamatan. Takkan tak ada rasa malu nak berbual mesra dengannya?

"Orang kata, rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari." Gadis itu masih berkeras mahu memberikan hasil air tangannya kepada Nizam.

Beberapa kereta yang lalu-lalang membuatkan Nizam rasa tak selesa. Risau ada yang memberi tanggapan yang bukan-bukan. Lalu, dia menyambut bekas yang dihulurkan kepadanya.

Bertambah ceria wajah gadis itu.

"Makan sampai habis ya?" pesannya pula.

Terdiam Nizam memerhati gadis itu membuka pintu kereta semula untuk mengambil beg dan bekalannya pula. Sesudah itu dia mengunci keretanya.

"Bye! Jumpa lagi..." ucap gadis itu sambil mahu beredar dari situ menuju ke ruang lif.

Nizam tak membalasnya. Cuma segaris nipis senyumannya terukir sebagai tanda dia terima budi baik gadis tersebut. Dia menunggang motosikalnya. Bekal yang gadis itu beri dia letakkan ke dalam raga. Baru saja dia mahu menghidupkan enjin motosikal, dia menangkap suara seorang perempuan.

"Hajar! Tunggu I, Hajar!"

Membulat mata Nizam kerana tersentak mendengar nama itu. Sepantas kilat dia berpaling. Dilihat gadis itu dihampiri sahabat yang dia turut lihat semalam. Gadis itu bernama Meen. Dahinya berkerut. Jadi, yang memberikan sandwic tuna itu bernama Hajar?

"You bawa bekal ke, Hajar? Wahh..."

Dan kemudian kedua-dua gadis itu ketawa. Perbualan mereka tidak lagi dia dapat dengar kerana mereka sudah memasuki ruang lif.

Dada Nizam berdebar-debar. Tak pasti apa perasaan yang sedang bergelora dalam dirinya ketika ini. Malah, perasaan itu berlanjutan. Tak henti-henti akalnya berfikir tentang gadis itu.

Pada waktu rehat, dia membuka bekas yang diberikan gadis itu. Cantik buatan sandwic tersebut. Rotinya daripada wholemeal. Ada kesan berjalur dibakar dengan gril. Dari belahan sandwic yang dipotong itu dia nampak salad, keju dan isi tuna. Direnung sandwic itu lama.

Jika benar nama gadis itu Hajar, adakah memang itu Hajar yang dia cari?

Lalu dicapai sepotong sandwic. Digigit sedikit dan mengunyahnya perlahan-lahan. Entah kenapa terasa matanya panas. Ada rasa keikhlasan pada sandwic tersebut.

Mungkin Hajar itu adalah gadis yang ingin benar dia bersua muka selama ini. Dia harus siasat siapa diri Hajar yang sebenar. 


Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.