Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
120,365
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 17

LEBAT sungguh hujan ketika ini. Petir dan kilat sabung-menyabung. Gegak-gempita suasana di langit. Angin juga bertiup dengan kuat. Sudah hampir satu jam keadaan ini berlanjutan. Bagaikan tak ada penghujungnya.

Nizam melihat jam tangannya. Sudah masuk waktu maghrib. Rasanya eloklah dia solat terlebih dahulu di surau tingkat bawah bangunan Wisma Hasbullah itu sementara menunggu hujan reda. Irwan ada memberitahu yang dia tak boleh datang disebabkan hujan. Dan dia pun dah buat keputusan mahu pulang dengan Grab saja.

Tapi mengenangkan hujan sangat lebat, sudah pasti jalan sangat sesak dan banjir kilat di mana-mana. Jadi nak tak nak, dia kena tunggu hujan reda dahulu sebelum memanggil Grab.

Dia menunaikan solat dan sesudah itu berwirid pula. Mengenangkan tidak ramai orang di surau tersebut, panjang wiridnya. Setiap zikir yang disebut bibirnya, disebut betul-betul walau hanya berbisik dan dihayati sehingga matanya dipejamkan kerana terlalu khusyuk.

Pada ketika dia hanyut dalam meratib memuji-muji ALLAH, terasa hawa dalam surau yang sebesar 6 kaki per segi itu teramat sejuk. Ya, surau itu ada pendingin hawa. Malah disebabkan hujan, ruang itu pastilah bertambah sejuk.

Tapi kesejukan yang Nizam rasa ketika ini bukan sejuk yang mendinginkan. Sukar untuk dia jelaskan apa yang dia rasa. Dia menyangka mungkin ada orang yang merendahkan suhu pendingin hawa di situ.

Dia teruskan berwirid dengan mata terpejam dan tubuhnya bergoyang sedikit ke kiri dan kanan. Semakin lama dia semakin sejuk. Sehingga dia rasa meremang pula. Tapi tak dihiraukan semua itu. Bibirnya tetap terkumat-kamit. Dia berzikir, berzikir dan terus berzikir.

Namun, bibirnya terkaku tiba-tiba. Telinganya menangkap bunyi siulan. Siulan yang sama yang didengari sebelum ini. Rentak dan alunannya sama. Lambat-lambat dan mendayu-dayu.

Bulu tengkuk Nizam meremang. Serta-merta dia membuka mata. Dilihat sekeliling. Tiada sesiapa di situ!

Tanpa berfikir lagi, bergegas dia bingkas bangun dan berlari keluar dari surau itu. Dadanya berdebar hebat. Setelah berada di luar surau, dia tak lagi mendengar siulan menggerunkan tersebut.

Dia menelan air liur. Rasa sedikit lega. Nafasnya yang tercungap tadi mula beransur tenang. Tersandar dia di dinding melepaskan nafas. Seketika kemudian barulah dia memakai kasutnya.

Dia memandang ke luar bangunan. Hujan nampaknya sudah reda. Tapi dia terfikir-fikir sama ada mahu pulang sekarang atau menunggu sehingga keadaan jalan raya tenang sedikit.

Tiba-tiba dia dengar bunyi pintu dikuak di belakangnya. Pantas dia menoleh. Pintu surau perempuan kelihatan terbuka. Matanya membulat. Apabila melihat seseorang keluar, dia menarik nafas lega. Namun apabila nampak wajah pemilik gadis itu, dia kaku. Dan gadis itu turut memandangnya.

“Nizam?”

Nizam kelu nak bersuara.

“Awak pun tak balik lagi?” Hajar menyarung kasut tumit tingginya sebelum menghampiri Nizam.

Nizam hanya memerhatikan Hajar. Sudah dua hari dia tak berdepan dengan gadis itu. Dia cuma memandang dari jauh sahaja.

“Bila hujan rasa lapar pulak kan? Jom kita makan,” pelawa Hajar pula sambil menepuk-nepuk perutnya.

“Err...” Nizam teragak-agak.

“Lepas makan, saya hantar awak balik.”

Nizam terdiam. Pelawaan Hajar itu terlalu tiba-tiba. Membuatkan dia tergamam.

**********

NIZAM meliarkan pandangan ke sekeliling. Inilah kali pertama dia datang ke restoran ini. Restoran yang terletak tidak jauh dari Wisma Hasbullah. Di luar hujan kembali merintik walau hanya gerimis. Harap-harap tidak selebat tadi.

Restoran itu cantik dengan konsep cozy dan berdekorasi mural hitam putih tipography di dindingnya.

“Awak tinggal kat mana, Nizam?”

Soalan Hajar itu terlalu tiba-tiba bagi Nizam. Selepas membuat pesanan makanan pada pelayan tadi, mereka berdua diam membisu. Terasa sangat kekok. Dia tak pernah membayangkan mereka akan duduk semeja begini. Dan sekarang Hajar menanyakan soalan tentang peribadinya pula. Dia berpaling memandang Hajar.

“Taman Jaya.” Pendek jawapan Nizam.

“Ohh... dekat aje. Duduk dengan siapa? Kenapa tak tinggal kat hostel? Syarikat security awak ada sediakan hostel untuk pekerja kan?” Bertubi-tubi Hajar bertanya.

Seketika kemudian apabila Nizam kelihatan terbata-bata, dia ketawa.

“Maaflah, saya suka bertanya. Tak nak jawab pun tak apa.”

Nizam menggeleng-geleng.

“Tak apa. Boleh saja nak tanya apa-apa pun.”

“Lega saya dengar. Ingatkan tak boleh tanya.” Hajar tergelak sendiri.

“Saya tak duduk kat hostel sebab tinggal dengan sepupu.”

“Awak asal dari mana?”

“Muar, Johor.”

Hajar terangguk-angguk bersama senyuman yang tak lekang di bibir.

Nizam masih lagi kekok dan cuba untuk menyesuaikan diri. Belum pernah lagi dia duduk berdua begini dengan mana-mana perempuan sepanjang hidupnya. Umurnya banyak dihabiskan dengan memerap di dalam bilik ketika sakitnya datang. Berbulan-bulan dia begitu sebelum baik sekejap dan kemudian sakit semula.

Dia terima pelawaan Hajar untuk makan bersama kerana inilah peluang untuk dia menyiasat siapa Hajar yang sebenar. Tapi dia berasa sangat canggung. Sehingga tak mampu untuk menanyakan apa-apa soalan pada Hajar.

“Saya tinggal jauh sikit. Kat Sri Endah. Apartment Sri Jati. Sejak kecil tinggal kat situ sampailah sekarang.”

Tanpa Nizam bertanya, Hajar sendiri rela hati memberitahu.

“Err... boleh saya tahu umur Hajar?” Akhirnya, berani juga Nizam bertanya.

“26 tahun.”

Bulat mata Nizam. Beza umur Hajar yang dicari muda setahun daripadanya. Hajar yang duduk di hadapannya sekarang juga sebaya dengan Hajar yang dicari.

Tapi Hajar pula salah menganggap. Fikirnya, Nizam terkejut kerana tak menyangka umurnya.

“Kenapa? Nampak saya tak macam umur 26 tahun ke? Nampak lagi tua?” Hajar ketawa. Tak kisah pun jika ada yang kata dia nampak sangat matang.

Nak tak nak, Nizam mengangguk mengiakan.

“Saya ingat yang jadi pengarah ni yang tua-tua. Tapi awak umur 26 tahun dah jadi pengarah kewangan.” Ada nada bangga pada kata-kata Nizam.

Dia tahu jawatan Hajar daripada maklumat lot parkir gadis itu. Setelah Hajar memperkenalkan diri tempoh hari, dia terus memeriksa maklumat tersebut dengan niat mahu tahu tentang Hajar. Namun hanya info nombor plat kereta, nama dan jawatan sahaja yang ada dinyatakan.

“Umur 23 tahun saya dah kerja, Nizam. Habis matrik terus sambung degree. Habis degree saya terus dapat kerja.”

Kagum Nizam mendengar. Hajar sangat beruntung. Diberi pendidikan sebaik-baiknya.

“Tapi saya kerja sekarang ni pun kawan papa yang rekomen. Kira, ini rezeki yang saya dapat. Saya bernasib baik.”

Mungkin cara Hajar dapatkan jawatan itu boleh dipertikai. Tapi kalau gadis itu tak bagus, tak mungkin sampai sekarang Hajar mampu menggalas tugas sebesar itu. Nizam rasa, Hajar sangat komited dengan kerjanya.

“Umur awak pulak berapa, Nizam?” Giliran Hajar bertanya.

“Saya tua setahun dari awak.”

“Ohh... 27.”

“Tapi saya cuma kerja security guard aje,” ujar Nizam lagi.

Dia membuka zip jaket hitam yang dipakai kerana mula rasa sedikit panas. Nampak baju uniform putihnya.

“Jangan cakap macam tu. Setiap orang tak sama. Setiap orang berbeza peranan. Tuhan dah atur semuanya. Yang penting kerja kita tu halal dan kita buat dengan ikhlas. Insya-ALLAH berkat walau kerja biasa saja.”

Nizam kagum dengan sifat Hajar. Sikit pun tak meninggi diri.

“Beruntung emak ayah awak dapat anak yang bijak dan baik macam awak, Hajar. Awak pun beruntung sangat dapat emak ayah yang mampu memberi pendidikan yang tinggi pada awak.”

Lebar senyuman Hajar. Dia mengangguk setuju.

“Alhamdulillah... walaupun saya cuma anak angkat, saya dapat balas budi baik mereka dengan kejayaan yang mereka mahukan. Saya dapat menggembirakan mereka.”

Nizam hampir nak tercekik air liur. Terkaku dia dengan riak wajah yang kosong. Anak angkat? Kebetulan apakah ini? Hajar yang dicari juga tinggal bersama keluarga angkat. Tubuhnya terasa sedikit menggeletar.

“Saya tinggal dengan keluarga angkat sejak kecil lagi sebab mereka tak ada anak. Tapi dah dua tahun papa dengan mama saya tinggal di Singapura sejak mereka bersara. Kampung halaman mereka kat sana. Sesekali saja mereka datang ke sini. Biasanya, saya yang melawat mereka kat Singapura,” cerita Hajar lagi dengan ramah.

Dan ketika itu pelayan datang membawakan pesanan makanan dan minuman mereka. Hajar dengan nasi goreng paprik dan sup tulang. Nizam pula hanya makan nasi goreng kampung.

“Makanlah. Saya belanja.” Hajar tak jemu-jemu melirikkan senyuman.

“Err... tak apa...”

Belum habis Nizam berkata, Hajar mencelah terlebih dahulu.

“Hari ni saya belanja awak, Nizam. Esok-esok awak belanja saya pulak.”

Tak mampu Nizam nak berkeras menolak budi baik Hajar ini. Sedangkan dia masih lagi menggeletar. Persamaan antara Hajar yang dicari dengan Hajar di hadapannya ini membuatkan dia terkesima.

Nama mereka sama; Hajar Jaafar. Umur pun sama; 26 tahun. Mereka berdua sama-sama dibela ibu bapa angkat. Dan sama-sama tinggal di Sri Petaling. Adakah Hajar inilah Hajar yang selama ini dia cari?

“Saya tak tahu kenapa saya rasa senang bercerita hal peribadi saya pada awak. Sebelum ni saya hanya cerita pada orang benar-benar rapat dengan saya aje.” Ikhlas Hajar memberitahu ketika mereka sedang menikmati hidangan makan malam itu.

“Mungkin awak pun akan jadi orang yang benar-benar rapat dengan saya lepas ni,” sambungnya lagi.

Nizam tersedak tiba-tiba. Cepat-cepat dia mencapai cawannya yang berisi air teh ais dan meneguk beberapa kali.

Hajar tergelak menyaksikan keadaan Nizam itu.

Sorry, sorry... saya gurau saja tadi.”

Selepas itu, dia masih ramah berbual dengan Nizam. Macam-macam yang dia ceritakan. Nizam lebih banyak mendengar dan mengangguk. Sesekali saja dia bersuara supaya tak nampak janggal. Sekurang-kurangnya, Hajar tak perasan yang dia sedang cuba mengaburi keadaannya yang sedang menggeletar.


Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.