"SELEPAS empat ke lima tahun jumpa psikiatri, bertukar-tukar jenis ubat... barulah doktor sahkan yang Nizam menderita Bipolar Disorder." Setelah mengimbas kembali detik-detik awal yang Nizam alami, Fauziah menceritakan pula keputusan doktor.
Irwan tekun mendengar dari awal dengan penuh minat. Sama sekali dia tak menyangka sampai begitu sekali keadaan yang Nizam lalui. Selama ini dia hanya diceritakan yang Nizam mengalami masalah kesihatan mental tanpa apa-apa penjelasan lebih lanjut.
Lagi pula, dulu masalah kesihatan mental tak begitu diperhebahkan sangat. Masyarakat tak didedahkan dengan hal ini dengan lebih terperinci. Apabila seseorang mengalami masalah mental, masyarakat terus menjatuhkan hukum bahawa orang tersebut gila.
"Masa mula-mula doktor sebut nama penyakit tu, mak uda bingung. Orang tua dari kampung macam mak uda ni manalah tahu tentang sains ni semua. Bila doktor terangkan dengan terperinci, barulah mak uda faham," sambung Fauziah lagi.
"Saya ni walaupun duduk bandar, tak tahu jugak pasal penyakit tu, mak uda. Ni pertama kali saya dengar."
Tersenyum Fauziah mendengar pengakuan Irwan itu.
"Doktor Rufi yang merawat Nizam kata, bipolar ni sebenarnya suatu gangguan jiwa. Yang terganggu tu perasaannya. Atau biasa orang sebut sebagai mood," terangnya sebiji sama seperti yang diberitahu oleh Doktor Rufi.
Irwan terangguk-angguk.
"Masalah bipolar ni mengikut kata doktor, ada empat episod mood yang mengalami perubahan. Bila seseorang tu berada dalam keadaan normal, dia boleh berbual-bual seperti biasa. Tapi nanti tiba-tiba dia gembira yang luar biasa. Kemudian dia berubah jadi sedih atau marah yang melampau. Boleh jadi jugak mood dia bercampur-campur. Dia boleh gembira, sedih atau marah melampau-lampau. Semuanya tanpa sebab." Panjang penerangan Fauziah.
"Dia boleh jadi tiba-tiba aje ke, mak uda?"
"Ya, tiba-tiba. Drastik. Tanpa sebab. Keadaan jadi lagi teruk kalau masa dia tengah alami bipolar, ada benda yang buat dia 'terpetik'. Orang putih kata 'trigger'. Yang mak uda perasan, Nizam ni tak boleh dinasihat lebih-lebih. Atau benda yang boleh buat dia pening. Lagi satu, orang yang ada bipolar ni ada yang tak boleh tidur. Ada yang tidur berlebihan. Ada yang tiba-tiba aktif banyak tenaga. Ada yang kuat makan. Macam-macam."
"Ohh..." Irwan mula faham.
"Mak uda pernah terfikir yang Nizam tu gila, Wan." Fauziah mengeluh sambil tergeleng-geleng sebelum menyambung semula.
"Tapi doktor tukar persepsi mak uda. Doktor kata, ni masalah kesihatan mental. Masalah kesihatan mental sama macam masalah kesihatan fizikal. Perlu dirawat doktor. Perlu diberi makan ubat. Nizam kena belajar kawal emosi dan stress dia."
Sungguh Irwan tak sangka sampai begitu sekali yang Nizam alami.
"Mujur selama ni Nizam tak pernah lagi cuba nak bunuh diri. Syukur alhamdulillah. Rupa-rupanya, Bipolar Disorder ni macam-macam jenis. Walaupun ada orang lain yang menderita bipolar yang sama, tapi patern dia takkan sama. Macam negeri yang sama, tapi daerah yang lain."
"Alhamdulillah, mak uda. Syukur sangat-sangat." Irwan turut berasa lega.
Fauziah tersenyum mengucap kesyukuran dalam hati.
"Dah sembilan tahun ALLAH menguji Nizam dan mak uda. Biasanya, tak lama kalau Nizam sihat. Seminggu dua minggu aje. Masa dia sihat tulah mak uda suruh dia kerja sementara kat kedai runcit depan kampung tu. Bagi dia lupa pada emosi melampau yang dia rasa. Tapi nanti dia sakit balik.
Tapi masa sebelum bulan puasa hari tu, mak uda rasa macam ada keajaiban yang berlaku. Nizam dah tak sakit lagi. Sampailah sekarang ni. Maknanya, nilah paling lama dia tak sakit. Tapi dia tetap kena makan ubat yang doktor bagi."
"So... bukan bipolar yang Nizam tengah sakit sekarang ni, mak uda?"
"Bukan." Fauziah menggeleng.
"Macam mana nak tahu sakit bipolar Nizam tu datang?"
"Selalunya Nizam akan menangis tiba-tiba. Bila dia mula menangis, dia tak boleh nak kawal. Dulu, dia pernah menangis sampai seminggu tak berhenti."
"Ya ALLAH... kasihan Nizam." Irwan melepaskan nafas panjang.
Macam manalah Fauziah boleh hadapi dugaan seberat ini sendirian menjaga Nizam selama sembilan tahun. Mak udanya itu bukan muda lagi. Daya yang ada cuma hujung-hujung saja. Itulah... kasih seorang ibu ni memang tiada galang ganti.
Dan yang paling dia terkilan, Fauziah tak pernah mengadu atau meminta tolong daripada dia sekeluarga. Sedangkan ikatan kekeluargaan mereka agak rapat. Walaupun suami mak uda itu adik ayahnya dah lama meninggal dunia, takkan terputus hubungan silaturahim antara mereka.
"Penyakit ni boleh sembuh kan, mak uda?"
"Tak, Wan. Sampai bila-bila takkan sembuh. Cuma boleh dikawal dengan ubat dan mengawal emosi. Sama aje macam masalah kesihatan fizikal bak kata doktor. Kalau kena diabetes, takkan boleh baik. Tapi boleh kurangkan risiko diabetes tu dengan ubat."
Penerangan Fauziah memberi banyak ilmu padanya. Dia semakin boleh memahami situasi pesakit bipolar seperti Nizam.
"Tapi kenapa mak uda tak pernah cerita pada saya? Pada ibu saya ke? Tak pernah mak uda mengadu masalah ni."
Fauziah tersenyum nipis.
"Bukan pada Wan sekeluarga aje, dengan sahabat baik mak uda pun mak uda tak pernah cerita. Mak uda tak nak orang salah faham. Lagipun, rasa macam menyusahkan orang lain pulak. Tak apa, Wan... mak uda tak pernah rasa susah hidup macam ni dengan Nizam. Cuma mak uda harap Wan sudi doakan yang baik-baik untuk anak mak uda tu," ujar Fauziah dengan ikhlas.
Irwan mengangguk-angguk. Nizam itu sepupunya. Sudah tentulah dia akan doakan yang baik-baik.
"Yang merisaukan mak uda sekarang ni, kenapa ada lebam-lebam kat lengan Nizam? Kat dada pun ada bekas-bekas luka warna hitam. Seumur hidup, tak pernah lagi Nizam kena macam ni." Berkerut muka Fauziah berfikir.
Irwan menjongketkan bahu. Sukar untuk difikirkan puncanya. Malam itu dia balik macam biasa dan Nizam tidak tidur di ruang tamu seperti selalu.
"Mak uda berehatlah. Dari pagi mak uda tak berehat lagi. Saya dah kemas-kemas bilik belakang tu. Makanan semua ada kat dapur. Mak uda buatlah macam rumah sendiri." Dia melihat jam tangannya.
"Saya nak pergi kerja. Nak hantar surat MC Nizam sekali. Apa-apa hal, mak uda call saya." Lantas dia berdiri.
"Mak uda tinggal kat sini sampai Nizam baik dari demam boleh ke?"
"Apa pulak tak boleh?" Irwan menyimpul senyum.
"Terima kasih, Wan." Sayu hati Fauziah tatkala mengucapkannya.
"Sama-sama, mak uda. Saya pergi dulu." Dan kemudian Irwan keluar dari rumah.
Fauziah melepaskan nafas lemah yang panjang.