Dua tahun yang lalu di Jogjakarta
Peristiwa
yang berlaku tidak dapat disangkal lagi. Hati merintih pilu. Namun, doa
sentiasa dipanjatkan ke hadrat-Nya agar ayahnya tenang bertemu tuhan.
Sutinah mengelamun
sendirian. Dia bungkam, tiada apa yang boleh ditangisi lagi. Takdir sudah
sampai kepada ayah yang disayanginya. Apa pun penyesalan yang ada tidak akan
mengembalikan ayahnya. Semuanya sudah tertulis.
“Hidup
perlu diteruskan,” dia memasang azam untuk melupakan segala kesedihan yang ada.
Air mata yang mengalir diseka perlahan-lahan. Namun, hatinya terus menangis.
“Moga
al-marhum ditempatkan di kalangan para muslimin dan dicucuri rahmat ke atas
rohnya,” itulah panjatan doa yang selalu dipohon, seusai solat.
Dia
amat bimbang. Amilah, ibunya seakan tidak mahu meneruskan hidup lagi setelah
pemergian ayahnya, Sunarjo. Sutinah berharap ibunya dapat menerima takdir. Bahkan, ibunya tentu merasa amat kehilangan,
dahan tempat berpaut telah patah. Puluhan tahun hidup bersama Sunarjo. Susah
senang, hujan rebut, halilintar, ombak dalam kehidupan semuanya diharungi
bersama Sunarjo, sejak puluhan tahun dahulu.