“Umi! Ucu dah balik.” Laung Qisha Mirza sebaik sahaja dia menjejaki dataran
lantai rumahnya.
Rumah dua tingkat milik mereka sekeluarga yang berlokasi di Shah Alam
ciptaan walidnya sebelum meninggal dunia akibat serangan jantung secara
tiba-tiba. Walid Qisha Mirza sememangnya mempunyai citarasa yang tinggi,
almaklumlah seorang arkitek, jadi tidak hairan dia boleh mencipta mahligai
seindah ini. Sesungguhnya mereka adik beradik kagum dan bangga dengan bakat
unik yang dikurniakan buat walid mereka. Namun sayangnya usia walid mereka
tidak panjang dan mereka kehilangan walid yang tercinta sejak usia mereka masih
remaja lagi. Pada saat itu memang agak teruk keadaan mereka untuk menerima
kenyataan ini, namun berkat kesabaran umi mereka, alhamdulillah mereka adik
beradik berjaya mengharungi liku-liku kehidupan ini dengan jaya. Syukurlah.
“Yea ... yea ... mak ucu dah balik.” Si kembar Hawariyen dan Halwani
(masing-masing berusia lima tahun) menyambut kepulangan Qisha Mirza pada hari
itu.
Baru sahaja Qisha Mirza hendak mendepa tangannya agar dia boleh memeluk mereka,
tiba-tiba terpancut keluar sebuah ayat penyata dari bibir comel si kembar itu.
“Mak Ucu, mana hadiah kami?” tanya mereka serentak. Hmm, sudah nama pun
kembar, hampir kesemuanya hendak sama. Nasib ... nasib ....
Terjegil mata Qisha Mirza memandang mereka berdua. Sakit hatinya bukan
kepalang lagi.
“Cis! Apa punya teruklah anak-anak saudara aku ni? Emak saudara balik
penat-penat bukannya nak tanya khabarkah, nak ambik air segelaskah, boleh pula
mereka minta hadiah. Ini boleh mendatangkan marah.” Qisha Mirza menghempas beg
pakaiannya dan terus menggomoli si kembar berdua itu. Terkekeh-kekeh mereka
apabila diagah dan dibuli oleh emak saudara mereka yang agak brutal. Nasib merekalah dikurniakan
emak saudara yang sebegini.
“Janganlah mak ucu. Gelilah.” Hawariyen melarikan dirinya dengan
menyembunyikan diri di belakang Aina Rahizan yang merupakan kakak kepada Qisha
Mirza dan anak kedua di dalam keluarga itu.
“Hah! Muncul pun emak budak-budak nakal ni. Ingatkan pergi meronda dengan
meninggal anak-anak dia kat sini.” Qisha Mirza terus menyerang Aina Rahizan.
Bercekak pinggang Aina Rahizan mendengar leteran yang keluar dari bibir Qisha
Mirza satu persatu. Cukup menyakitkan hatinya.
“Cis! Bertuah punya adik. Bukannya nak peluk cium kita, terus ditembaknya
kita dengan peluru kata-kata.” Aina Rahizan juga tidak kurang hebatnya dalam
mencantikkan lagi medan peperangan jika sudah tercetus.
“Kak Rahiz tak pandai didik anaklah. Qisha balik bukannya mereka nak tanya
khabar, pau Qisha lagi ada. Ini satu
pembelajaran yang tidak elok.” Qisha Mirza sudah mula menjadi cikgu di dalam
rumah itu.
“Haa ... sudah ... sudah .... jangan nak jadi cikgu pula dalam rumah ni.
Cukup di sekolah saja.”
“Dah memang betul, macam mana Qisha nak menyangkalnya. Agaknya bukan
budak-budak ni yang harus disekolahkan tapi emaknya dulu harus disekolahkan
semula.” Qisha Mirza masih tidak mahu keluar dari medan peperangan itu.
“Umi! Tengoklah Qisha ni. Suka-suka hati saja cakap Rahiz tak pandai jaga
anak.” Aina Rahiza mengadu pada Puan Nazrah sekiranya dia sudah kalah di medan
peperangan apabila bertarung dengan Qisha Mirza.
“Hmmm .... dah kalahlah tu. Umi takkan membantu Kak Rahiz dalam dunia
persekolahan Qisha. Lepas makan nanti masuk kelas. Ada faham?” semakin galak
Qisha Mirza mengusik Aina Rahizan. Mencuka masam wajah kakaknya itu.
“Boleh jalanlah.”
“Memanglah Kak Rahiz kena jalan. Takkan Qisha nak kendong kut masuk kelas.
Qisha bukan Abang Shaidin tau.” Qisha Mirza menayang sengihan nakal.
“Weh, sudahlah tu.” Aina Rahizan kelihatan agak bengang sangat dengan
adiknya di kala itu.
“Mana boleh sudah, selagi Kak Rahiz tak ajak anak-anak kakak menghormati
emak saudara mereka yang comel ini.” Berbangga diri pula si Qisha Mirza.
“Hee ... gedik betullah. Ikut perangai siapalah dia sorang ni. Macam-macam
pelik ada.”
“Umi! Tengoklah Kak Rahiz kutuk Qisha.” Giliran Qisha Mirza pula melaung
nama Puan Nazrah. Begitulah meriahnya rumah batu dua tingkat apabila semua
anak-anak Puan Nazrah sudah berkumpul semula dan ditambah pula dengan kehadiran
cucu dan menantu lagi meriah dibuatnya. Usik-mengusik sudah menjadi agenda
apabila pertemuan di antara mereka berlaku. Kadang-kadang pening kepala Puan Nazrah
hendak menenangkan anak mahupun cucunya.
“Astaghfirullahalazim ... apalah kau berdua ni macam budak-budak tak cukup umur.
Malulah sikit depan Awa dan Riyen. Ya Allah, kau berikanlah kesabaran buat aku
dalam menangani kerenah anak-anak aku ni.” Sampai begitu sekali Puan Nazrah
beristighfar sehingga terlucut senyuman di bibir Aina Rahizan dan Qisha Mirza.
“Umi apa khabar? Rindu kat Qisha tak?” Qisha Mirza memeluk Puan Nazrah
sesudah puas bergaduh dengan Aina Rahizan.
“Mestilah rindu. Mana boleh tak rindu dengan anak umi yang nakal dan pelik
ni. Qisha apakhabar? Bagaimana dengan kursus kali ni?” Puan Nazrah mencium pipi
Qisha Mirza bertalu-talu.
“Aih, kutuk nampak? Qisha baik-baik saja di sana. Seronok tau kursus kali
ni umi, macam-macam yang Qisha belajar untuk memantapkan lagi pengajaran di
sekolah nanti. Kalau Kak Rahiz masukkan umi, confirm dia tak mahu keluar dari kelas Qisha.” Dalam diam-diam
sempat lagi Qisha Mirza mengenakan kakaknya itu.
“Aih, pekena aku lagi. Memanglah budak bertuah sungguh. Hmm ... tak jumpa
sesiapakah dalam kursus tu?” Melayang satu pertanyaan yang agak nakal dan
ekstrem. Tersengih-sengih Aina Rahizan memandang Qisha Mirza. Manakala Qisha
Mirza pula menjeling geram. Adatlah bila diri masih bujang memang pertanyaan
itu akan terlucut dari setiap bibir puaka. Macamlah sudah tidak ada soalan
lain. Teruk betul masyarakat kita ni kan? Hee .. geram sungguh hati Qisha Mirza
di kala itu.
“Haa ... mak ucu dah jumpa pak ucu ya?” Halwani pula mengambil giliran Aina
Rahizan dengan mengangkat-angkat kening dan mimik wajah yang cukup melucukan.
Tergelak Aina Rahizan dan Puan Nazrah memandang ke arah si kecil itu.
“Handsome tak pak ucu kami tu?
Tunjuklah gambar dia mak ucu. Janganlah sembunyi-sembunyi.” Hawariyen pula
mengambil tempat.
Bercekak pinggang Qisha Mirza memandang anak-anak buahnya yang semakin
nakal itu. “Amboi! Dah mula nak menggatal pulak ya? Siapa yang ajar ni? Mesti
mak kau orang kan? Bukannya dia orang nak hafal ABC tapi menghafal benda lain
pula. Elok sangatlah Kak Rahiz ajar anak-anak macam ni.” Tempelak Qisha Mirza.
“Eh ... eh ... sekejap ya. Kak Rahiz tak ajar mereka tau cakap macam tu.
Mereka belajar dari tv agaknya.” Aina Rahizan membela dirinya.
“Alah, mak ucu ... kami dah lama nak tengok pak ucu. Tunjukkanlah.” Rengek
Hawariyen.
“Mana ada. Mak ucu belum jumpa pak uculah. Teruk betullah cucu umi ni. Dah
... dah .. siapa nak hadiah? Jom ikut mak ucu.” Qisha Mirza cepat-cepat tukar
topik. Nasib baik dia sudah menyediakan umpan, jika tidak akan berpanjanganlah
ayat penyata yang tidak mempunyai kesudahannya ini. Baru berumur lima tahun
tapi sudah berlagak macam orang dewasa. Huh!
“Amboi umi, kalau masuk bab pakwe, cepat saja dia tukar tajuk. Pandai pulak
tu dia sediakan umpan awal-awal.” Aina Rahizan mengadu pada Puan Nazrah.
Puan Nazrah hanya tersengih kerana dia faham benar akan sikap Qisha Mirza
yang akan mengelak apabila soal jodoh diutarakan. Bukannya anak bongsunya itu
tidak cantik tetapi tidak tahulah di mana silapnya sehingga Qisha Mirza sukar
untuk mendapat jodoh yang serasi. Ada sahaja alasan yang diberikan untuk
menolak lelaki yang baru hendak bertapak di dalam hatinya. Puan Nazrah hanya mampu
berdoa agar suatu hari nanti Qisha Mirza akan bertemu dengan lelaki yang
secocok dan yang telah dijanjikan buatnya oleh Allah swt sejak dia dari dalam
rahim lagi.
“Nak hadiahkan tak nak? Kalau tak nak tak apa, Qisha bagi semuanya pada Kak
Isfa.” Qisha Mirza sedikit mengugut.
Aina Rahizan menayangkan mimik muka tidak puas hati apabila bahagiannya
hendak diberikan kepada kakak iparnya Isfaten iaitu isteri kepada abang sulung
mereka yang bernama Fariq Hazen. Minggu ini Fariq Hazen belum menampakkan
mukanya lagi. Mungkin akan datang dalam sehari dua untuk menjenguk Puan Nazrah
dan si nakal Qisha Mirza.
“Buruk perangai. Kak Rahiz naklah.” Aina Rahizan terus menyerbu ke ruang
tamu di mana Qisha Mirza sedang mengagih-agihkan hadiah yang dibeli ketika
berkursus di Port Dickson. Begitulah Qisha Mirza yang tidak pernah sunyi dari
membeli buah tangan jika dia keluar berkursus di mana-mana.
Sambil membahagikan hadiah, sambil mulut becok Qisha Mirza bercerita
mengenai kursus yang dihadirinya. Namun nama Fulshan terus tersimpan kemas di
dalam sudut hatinya. Belum confirmmana
boleh cerita banyak-banyak.