Aktiviti yang dijalankan agak menarik. Buat aktiviti yang pertama ini
diberi nama Cermin Emosi.
“Cermin emosi merupakan luahan perasaan para pelajar di saat itu. Apa
sahaja yang terpamer, itulah emosi mereka. Anda sebagai guru mereka harus bijak
mentelaah emosi-emosi yang terpancar pada riak wajah mereka. Sekarang, sila
pilih pasangan di dalam kumpulan untuk melakukan aktiviti ini.” Penjelasan
serta arahan daripada pegawai yang membimbing mereka pada hari itu.
Aduh! Apa punya malanglah nasib aku. Kenapa aku tak sempat sambar pasangan
perempuan aku. Ceh! Sekarang ni aku terpaksa berpasangan ....
“Nampaknya hanya saya dan awak sahaja masih tidak mempunyai pasangan. Jadi,
mahu atau tidak, awak terpaksa menjadi pasangan saya untuk aktiviti hari ini.”
Fulshan menawarkan khidmat berserta dengan senyuman yang teramat manis.
Oh. Tidak! Aku tak mahu berpasangan dengan dia ... Hendak menjerit pun
sudah tidak berguna lagi kerana Fulshan sudah pun duduk menghadap Qisha Mirza.
Manakala Nursuzry yang mengintai temannya itu, hanya mengembangkan sengihan
sambil mengangkat-angkatkan keningnya menambahkan kebengkakkan hati Qisha Mirza
di kala itu.
Sialan kau, Suzry! Perli akulah tu. Memang malang betullah nasib aku dalam
kursus kali ni. Cait! Qisha Mirza terpaksa membungakan senyumannya yang
kelihatan cukup hambar. Dia tidak tahu bagaimana hendak memaniskan lagi
kuntuman bunga yang sedang kembang itu. Hambar sungguh bagaikan bunga tahi
ayam.
Pada sesi awal, Fulshan yang harus meluahkan emosinya ketika ini dan Qisha
Mirza terpaksa meniru apa yang sedang jejaka itu lakukan pada mimik mukanya.
Tergelak-gelak Qisha Mirza apabila diminta oleh pegawai bertukar mimik muka.
Kelakar sungguh tapi cukup-cukup enjoy.
Langsung tidak membosankan. Dia pasti akan praktikkan apa yang dipelajarinya di
sini ketika berada di sekolah nanti. Pasti budak-budaknya akan gemar akan
permainan ini untuk merehatkan minda mereka sesudah penat belajar.
Tiba giliran Qisha Mirza pula yang meluahkan emosi menerusi mimik muka dan
kali ini Fulshan terpaksa mengikut apa yang sedang dilakukan oleh Qisha Mirza.
Yang paling seronok adalah ketika waktu bertukar mimik muka dan Fulshan sering
kali terlewat menyedarinya membuatkan mereka tergelak tidak ingat orang di
sekeliling. Bukan mereka sahaja yang melalui situasi itu tetapi rakan-rakan
yang lain juga turut merasainya dan melantunkan ketawa masing-masing.
“Seronokkan sesi mencerminkan emosi ni? Memang relaks dan enjoy.” Fulshan mengail reaksi Qisha
Mirza dan gadis itu hanya mengangguk.
“Pasti budak-budak saya sukakan permainan ni. Tak sabar rasanya nak test power pada mereka.” Qisha Mirza
sudah membayangkan bagaimana para pelajarnya akan ketawa sebagaimana diri
mereka di sini.
“Haah, sesekali bagi mereka seronok dengan aktiviti yang kita rancangkan
buat mereka. Barulah tak stress
menghadapi pelajaran.” Sokong Fulshan.
“Setuju. Bukan senang nak handle
kerenah budak-budak tu. Macam-macam ragam. Jadi, guru pra sekolah memang kena
banyak bersabar. Kalau tak sabar, silap-silap haribulan, kita yang jadi
penghuni hospital bahagia.” Qisha Mirza meluahkan apa yang dirasakannya secara
tidak sengaja. Sebenarnya dia tidak sedar bagaimana boleh berkongsi rasa dengan
jejaka itu.
“Ha ha ha, awak ni, kelakar juga orangnya, Mirza.” Fulshan tidak dapat
menahan ketawanya dari terus terluah.
Erk! Suka-suka hati dia saja nak panggil aku Mirza. Ingat aku ni somebody specialkah? Baru kenal tak
berapa jam, dah nak guna panggilan asing daripada yang lain. Jual minyak urat
betullah dia ni. Qisha Mirza menayang riak wajah yang tidak senang. Mudahnya Fulshan
mengoratnya. Tidak ada thrilllangsunglah.
Sabar Qisha, dia belum kenal siapa kau. Biar dia ingat kau senang dihampiri
tapi sebenarnya cukup sukar untuk ditangkap. Ha ha ha, baru ada akal. Dia ingat
aku ni apa? Barangan cheap sale di
Tesco? Boleh jalan. Gerutu hati kecil Qisha Mirza.
Fulshan yang baru tersedar akan perubahan riak wajah Qisha Mirza tidak
seriang tadi, mula menggelabah. Dia tahu dia terlalu awal untuk memulakan
langkah. Rupanya Qisha Mirza tidak semudah yang disangka. Nampak sangat ketidakselesaan
wanita itu.
Alamak! Aku dah tersilap langkahlah. Memang bongoklah kau ni, Shan. Baru
nak kenal, kau dah spoilkan apa yang
dirancang. Kalau orang lain, cepat saja tergoda dengan aku, tapi dia ni ...
pesal lain sangat? Tingkatkan usaha kau, Shan. Jangan cepat mengalah.
Pelan-pelan aku tuang air ke atas kerak nasi yang keras ni, Mudah-mudahan akan
jadi lembut secepatnya. Fulshan memotivasikan dirinya. Namun pandangannya tidak
beralih dari melekat terus ke raut wajah Qisha Mirza yang bagaikan keibuan itu.
Dia terpaut pada riak wajah yang cukup ayu, sentiasa tenang dan sedikit kelakar
kerana itu mampu membuatnya ketawa dan tersenyum sepanjang berada di samping
gadis ini.
“Awak marah saya ya?” Fulshan cuba memujuk setelah sesi pertama selesai dan
kini menanti sesi kedua.
“Atas sebab apa saya mesti marahkan awak?” Qisha Mirza masih menayang wajah
kelat. Nasiblah, siapa suruh buat sesuatu yang dia tidak suka. Pelik betul
hatinya, walhal semalam dia sendiri tergila-gilakan seraut wajah itu tapi hari
ini cepat sungguh hatinya berubah. Kenapa ya? Dia sendiri tidak mempunyai
jawapan kerana itulah dirinya yang sebenarnya. Gila, kan?
“Sebab saya panggil awak, Mirza. Awak nampak tak selesa.” Fulshan masih
tidak putus asa untuk terus mengail perhatian Qisha Mirza.
“Sebab apa awak panggil saya Mirza?”
“Kerana saya suka nama terakhir awak.”
Ya sangatlah tu. Macamlah aku tak tahu, kau nak asingkan panggilan orang
lain dan kau pada aku. Kutuk Qisha Mirza lagi. “Terpulanglah.” Qisha Mirza
terus bangun dan pantas menghampiri Nursuzry sesudah perlepasan diberikan
kepada mereka untuk makan tengah hari. Betul-betul macam lipas kudung, tidak
sempat Fulshan menjejakinya.
“Hmm, nampak gayanya tak lama lagi kawan aku dah jumpa dengan peminjam
tulang rusuknya. Macam dah terbau-bau nak makan nasi minyak.” Usik Nursuzry.
Mencebik Qisha Mirza yang mendengarnya.
“Kau jangan merepek boleh tak? Entah siapa-siapa dia tu, kau nak
kenen-kenenkan dengan aku. Takkan baru kenal dah jatuh cinta? Tak logiklah.”
Qisha Mirza menjelir lidahnya sambil memasukkan lagi makanan ke dalam perutnya
yang masih lapar.
“Eh, cinta pandang pertama. Logik apa? Kau jangan nak menolak apa yang
telah ditetapkan.” Nursuzry tidak mahu Qisha Mirza menolak Fulshan
mentah-mentah sebelum perkenalan ini berkembang menjadi lebih erat. Kawannya
ini bukan boleh diharap, silap-silap haribulan dia tendang Fulshan ke dalam
tong sampah yang sudah bertimbun makhluk spesis Fulshan juga.
“Entah-entah dia tu laki orang, tunang orang, pakwe orang. Nanti tanpa
berdosa, aku yang dituduh perampas. Tak naklah. Lebih baik mencegah dulu
sebelum jatuh sakit dengan parah. Faham?” Qisha Mirza masih tetap dengan
pendiriannya.
“Itu sebabnya, aku suruh kau kenal dia dulu. Barulah kau akan tahu dia tu
siapa sebenarnya. Kalau benar seperti apa yang kau cakap, chowlah. Tunggu apa lagi.” Nursuzry menuang air penyejuk membuatkan
Qisha Mirza berfikir semula. Betul juga apa yang dikatakan oleh sahabatnya itu.
Tidak ada salahnya mengenali Fulshan sebelum dia menambahkan lagi dosa kering
dengan mengkalungkan pelbagai tuduhan.
“Tengoklah dulu.” Bosan hendak memikirkan tentang lelaki.
“Jangan tengok saja, terus kawan.”
“Huh! Dia pula excited. Suka hati
akulah. Dah, jom solat. Kejap lagi ada sesi kedua pula.” Qisha Mirza mengatur
langkah dengan laju menuju ke bilik hotel mereka. Dia ingin berehat sekejap
sebelum berhadapan dengan Fulshan dan kumpulannya semula.
Sesi kedua berlangsung. Kali ini mereka dikehendaki melukis dan mewarna
gambar di atas sekeping kertas kajang, kemudian bercerita mengenai apa kisah yang
dilukiskan di dalam Bahasa Inggeris. Menurut kata pegawai mereka, cara ini
untuk meningkatkan komunikasi di dalam bahasa itu di kalangan para pelajar pra.
“Saya tak reti lukis.” Qisha Mirza bersuara apabila mereka berada di dalam
kumpulan semula.
“Biar saya yang lukis. Tapi kita kenalah bincang cerita apa yang hendak
kita persembahkan.” Fulshan menatap wajah seorang demi seorang di dalam
kumpulannya tetapi melekap lama apabila tiba pada wajah Qisha Mirza. Hatinya
semakin lama memandang gadis ini semakin tertarik. Entah apalah ilmu yang Qisha
Mirza pakai sehingga dia melekat terus.
Seketika kemudian, mereka terus berbincang dan memulakan tugas mereka
sehingga lewat malam. Pembentangan akan berlangsung seawal pagi. Masing-masing
memang komited pada tugasan yang diberikan kepada mereka. Guru mithali.