Kesemua peserta kursus sudah bangun menuju ke tempat sarapan. Mata
masing-masing bagaikan tidak mahu terbuka tetapi mereka terpaksa
menyengkangkannya kerana pembentangan akan dilakukan sebentar lagi. Kalau boleh
diletakkan lidi, sudah lama mereka lakukannya. Teruk betul imaginasi
masing-masing tetapi imaginasi itu sudah pastilah kepunyaan Qisha Mirza. Di
luar alam sungguh.
“Selamat pagi ladies. Saya join sarapan sekali tak apa, kan?” entah
dari mana datangnya tiba-tiba sahaja tegur kedua-dua wanita (seorang sahaja
wanita dan seorang lagi masih gadis. Hik hik hik) itu.
Qisha Mirza tersentak lalu dia terkaku. Macam-macam perasaan yang
bertandang di dalam hati pada waktu itu. Main acilut sembunyi pun ada juga.
Sekejap perasaan malu, sekejap perasaan gembira, sekejap perasaan menyampah dan
entah apa-apa perasaan lagi yang mengacah di dalam hati Qisha Mirza. Teruk
benar bunyinya.
Manakala Nursuzry pula sudah tersengih-sengih bagaikan kerang yang terlebih
masak. Suka benar dia melihat rona di wajah Qisha Mirza di kala ini. Bagaikan
gadis melayu terakhir pun ada juga. Kontrol ayu sahaja. Ceh! Kononnya hendak
jadi wanita idaman setiap lelakilah tu. Bukannya Nursuzry tidak tahu permainan
Qisha Mirza. Walaubagaimanapun, dia suka. Inilah saatnya untuk dia mengusik
wanita itu.
“Kami tak ada masalah pun kalau awak join.
Seronok lagi adalah. Iyalah bagai ditemani putera kayangan pula sarapan pagi
ni.” Nursuzry menyusun ayat yang sedap di dalam lubang telinga Fulshan.
Ceh! Melampau betul ayat! Agak-agaklah kalau nak puji pun. Hambur Qisha
Mirza di dalam hati. Dia cuba tersenyum tetapi langsung tidak menjadi. Malahan
Fulshan ketawa tanpa dapat ditahan-tahan pula.
Kelakar betul dua sahabat ni. Tak sia-sia aku kenal dengan mereka. Fulshan
masih ketawa.
Ini kau punya pasallah Suzry.
Bukankah dah malu aku? Geram
betullah mak budak ni. Mencerlung Qisha Mirza memandang Nursuzry yang berlagak
selamba tapir.
“Tinggi betul naikkan darjat saya. Siapa yang beri mandat ni?” Fulshan
menyuapkan makanan ke dalam mulut sambil memandang wajah mereka seorang demi
seorang.
Nursuzry tidak mampu hendak berkata apa lagi. Manakala Qisha Mirza melantak
makanan di dalam pinggannya dengan rakus. Di dalam hati, dia ingin cepat
habiskan sarapannya dan terus masuk dewan. Malunya bukan main lagi.
“Saya masuk dewan dulu. Jumpa awak di dalam.” Qisha Mirza terus melangkah
dengan laju masuk ke dalam dewan.
“Weh, lipas kudung. Cepat betul kau.” Nursuzry melaung nyaring tetapi
dipekakkan telinganya. Malas Qisha Mirza hendak melayani sahabatnya itu. Nanti
entah apa-apa mandat pula dikalungkan buat Fulshan.
Sebuah demi sebuah kumpulan mempersembahkan pembentangan mereka.
Kebanyakkan kumpulan yang bercerita terlalu hambar dan sering kali mengundang
menguap di landasan bibir Qisha Mirza.
Wah! Mengantuknya. Nasib baiklah pegawai botak tu tak perasan aku menguap.
Kalau tak, percuma saja aku disindirnya. Kenapalah pembentangan mereka bosan
sangat ni. Tak menarik langsung. Qisha Mirza memandang Fulshan yang berada di
sebelahnya sambil menjelajah segenap inci wajah jejaka itu. Entah bagaimana,
dia menjadi ralit pula bagaikan ada suatu daya tarikan yang menarik matanya
menghala ke wajah jejaka itu.
“Seronok tenung muka putera kayangan?” Fulshan mengenyitkan matanya ke arah
Qisha Mirza.
Cait! Bila masa pula dia perasan aku tenung dia? Adehlah. Malunya aku tahap
tenuk. Rona wajah Qisha Mirza sudah berubah ke warna merah. Namun dia tetap
kelihatan menawan.
“Perasan. Saya tengah fikir ni, apa kata kalau kita semua berlakon ketika
membentangkan cerita kita? Bosanlah kalau kita juga macam mereka. Mengantuk
tau.” Qisha Mirza memberikan cadangannya untuk menutup malu.
Fulshan tersenyum nakal. Tahu dengan permainan Qisha Mirza. Namun, dia
tidak mahu memalukan wanita itu dan terus bersetuju dengan apa yang dicadangkan
oleh Qisha Mirza. Dalam waktu yang singkat, Fulshan sudah memberikan arahan
kepada rakan-rakan sekumpulannya.
Tiba kumpulan Qisha Mirza yang merupakan kumpulan terakhir untuk sesi
pembentangan ini, mereka telah melakonkan cerita yang terdapat di dalam gambar
yang dilukiskan semalam. Setiap seorang memegang satu watak dan mereka telah
melakonkan watak-watak itu dengan pelbagai suara menggunakan Bahasa Inggeris
sebagai medium bahasa utama. Kelakar dan cukup menarik persembahan kumpulan
terakhir ini. Dari mula sampailah akhir, tidak kering gusi peserta termasuk
pegawai yang melihatnya. Alhamdulillah, akhirnya mereka berjaya dalam
melaksanakan tugas yang diberi. Tepukan gemuruh diberikan buat kumpulan Qisha
Mirza dengan persembahan yang menakjubkan.
“Tahniah untuk kumpulan yang terakhir membuat pembentangan mereka di dalam
sesi cerita bergambar. Sepatutnya beginilah bentuk persembahan jika kamu semua
hendak menarik minat pelajar cilik kamu untuk menguasai penggunaan Bahasa Inggeris.
Saya harap, kamu semua dapat mempelajari sesuatu dari kumpulan yang terakhir
ini.” Pegawai itu memberi pujian tinggi menggunung. Kembang kempis lubang hidup
setiap peserta yang berada di dalam kumpulan tu. Bangga dan riak jangan
cakaplah tetapi mereka tidak menunjukkannya cuma bersorak di dalam hati.
“Sebelum menamatkan kursus pada kali ini, saya ingin mengumumkan sesuatu.
Setiap kumpulan yang membuat pembentangan sebentar tadi telah dinilai dari
segenap segi dan kumpulan yang berjaya memenangi hadiah misteri ini adalah
kumpulan keenam. Dipersilakan kesemua ahlinya naik ke atas untuk menerima
hadiah dan juga sesi bergambar kenangan.” Kumpulan Qisha Mirza bersorak riang
setelah diumumkan sebagai pemenang oleh pegawai yang berkepala botak tadi. Suka
hati mereka tidak terkata. Tidak sia-sia mereka menghiburkan seisi warga di
dalam dewan ini kerana apa yang mereka lakukan akhirnya berbaloi-baloi.
Alhamdulillah.
Seusai kursus yang diadakan dan sesi bergambar kenangan, Qisha Mirza meluru
ke ruang dewan untuk mengisi perut. Laparnya tidak terkata. Buruk benar
perangai. Nursuzry hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Ni nombor telefon saya. Jika awak kesunyiankah atau kesepian, bolehlah
hubungi saya. Talian saya percuma 24 jam.” Fulshan menghulurkan kad namanya
sesudah mereka selesai menjamu selera pada tengah hari itu.
Tersentak Qisha Mirza mendapat respon yang tidak diduga. Amboi! Talian
percuma tapi bilnya aku juga yang akan bayar. Banyaklah kau punya songeh. Qisha
Mirza menyambut juga huluran kad dari Fulshan walaupun bebelannya bermain di
pinggir bibir.
“Terima kasih tapi saya taklah desperate
macam tu sekali.” Macamlah aku ni gila jantan. Minta maaflah kalau kau ingat
aku macam tu. Mood Qisha Mirza
bila-bila sahaja boleh bertukar corak. Memang pening untuk orang baru seperti
Fulshan hendak mengikut rentak Qisha Mirza jikalau orang itu tidak mempunyai
kesabaran yang tinggi.
“Saya tak cakap pun awak macam tu. Cuma saya suka berbual dengan awak. Oh
ya, ini ID Whatssapp saya dan juga forum yang selalu saya lepak. Kalau awak ada
masa lapang nanti, bolehlah awak join
saya dalam laman-laman sosial ni.” Fulshan masih tidak berputus asa dengan
sikap dingin Qisha Mirza. Dia yakin wanita ini tidaklah sekeras mana pun tetapi
kena ada caranya untuk menawan hatinya. Jika tidak, memang gigit jarilah
jawabnya.
“Hmm ... tengoklah kalau saya rajin online.
Saya nak berkemas ni. Semoga berjumpa lagi.” Qisha Mirza terus memantaskan
langkah ke biliknya. Nursuzry yang melihat dari jauh hanya tersenyum kecil.
Tak berubah juga perangai gila si Qisha ni. Suka-suka hati saja nak
bertukar angin. Nursuzry mengikut jejak Qisha Mirza sehingga ke dalam bilik
hotel mereka.
“Amboi, seronok ya dapat contact
dari Fulshan? Eh, kau tak beri nombor telefon kaukah pada dia?” Nursuzry
berbual kosong.
“Dah. Kami tukar-tukar kad tadi. Seronok gila aku bila dia tunjuk minat kat
aku. Ada canlah nak berdating semula.” Qisha Mirza menayang
sikap ala gedik lagi gatai.
“Woi! Dia mula dah tunjuk sikap miang ala gatai.” Nursuzry mencebik.
“Ha ha ha ... suka hati akulah. Jom balik. Aku penat ni.” Qisha Mirza terus
menjinjing beg pakaiannya ke kereta sebelum memecut kenderaan pacuan empat roda
itu ke destinasi yang terlekat di kepalanya. Rindu benar pada umi.