Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,795
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 23

Bab 23

     

     Sebaik sahaja meletakkan buku-buku dan beg kertas yang dibawanya, Aina memulakan sesi itu dengan mood yang tidak seceria awal pagi tadi. Semuanya gara-gara Haqym. Kini Aina menjadi ragu-ragu terhadap penerimaan kelasnya akan hadiah yang dibawa untuk mereka. Terlanjur telah membawanya bersama, Aina bertekad untuk meneruskan juga niatnya itu.

Alang-alang menyeluk pekasam, mahu tak mahu belakang kira. Tambahan pula, beberapa orang pelajar yang duduk di baris hadapan masing-masing berusaha memanjangkan leher macam burung unta, terjengah-jengah mahu mengintip isi kandungan beg itu. Mungkin kalau beg itu terletak betul-betul di hadapan mereka, dah masuk agaknya kepala ke dalam beg itu.

Rakus! Aina memegang beg kertas itu dengan kedua-dua belah tangannya tanpa mengeluarkan isinya lalu berjalan ke hadapan papan tulis.

“Kelas, saya tak serik-serik lagi hendak berbaik dengan kamu. Hari ini saya bawakan kek untuk kamu, saya buat sendiri malam-malam buta tau? Kesian saya, tengah demam-demam pun gigih jugak buat untuk kamu. Jadi, saya harap kamu boleh terima pemberian saya dengan baik kali ini. Tak sanggup saya nak tengok kalau-kalau ada yang mendarat dalam tong sampah. Jangan takut, saya buat sendiri bukannya nak guna-gunakan kamu. Saya belum hafal mantera lagi. Ini cuma usaha saya supaya hubungan kita sekelas akan lebih baik dari sekarang. Baik sikit pun dah kira okey.” Biarlah kalau dah sampai tahap meminta simpati.

Aina mengeluarkan bekas kek yang lutsinar sehingga menampakkan kek lapis yang berwarna-warni di dalamnya.

“Jadi macam mana, ada sesiapa tak yang sudi mencubanya?”

Suzana yang paling awal sekali bangkit menyahut seruan. Mana tahan, kek lapis itu nampak menggiurkan! Razali yang sememangnya gemar mengusik Suzana tidak melepaskan peluang itu untuk mengenakan Suzana.

“Amboi, kalau bab makan, dia mesti jadi yang first. Tak kira sempit mana pun ruang antara meja, dapat saja dia menyelit.” Berderai ketawa para pelajar kelas itu.

Wajah Suzana berubah muram. Tiada riak marah, namun jelas sekali dia cukup malu dan berasa rendah diri dengan usikan itu. Aina tidak mampu ketawa, hatinya jatuh simpati terhadap Suzana. Suzana yang ketika itu sudah berada di hadapan Aina tidak jadi mengambil kek itu. Aina menjadi marah terhadap Razali yang bergurau secara keterlaluan itu. Tidak pasal-pasal satu-satunya orang yang sudi menjamah kek itu membatalkan niatnya.

“Razali, kalau nak bergurau pun kenalah bertempat, ada batasnya setiap perlakuan kita. Tak baik awak ejek Suzana macam tu. Cuba letakkan diri awak dalam keadaan dia. Apa agaknya perasaan awak kalau awak yang jadi mangsa? Pesanan ni bukan untuk Razali seorang ya, tapi seisi kelas ini. Saya tak rasa gurauan seperti ini kelakar. Nak bergurau biar berpada-pada,” kata Aina sambil memerhati wajah pelajar-pelajarnya seorang demi seorang. Semuanya terdiam dan kelihatan serba salah. Aina tidak mahu memanjangkan lagi suasana kekok itu.

“Razali, saya tahu sebenarnya awak yang teringinkan kek ni, sebab tu awak dengki Suzana datang dulu, kan?” Aina mengusik kembali untuk menceriakan suasana.

“Oleh itu, saya akan amanahkan kek ini pada Suzana, siapa yang berminat sila tuntut bahagian kamu dengan dia. Kalau tak mahu, biar semua sekali Suzana yang ambil.” Wajah Suzana dah macam lampu lip-lap terang-benderang, terlalu gembira menerima bekas kek itu. Belum pun sempat Suzana mengambil tempat duduk, ahli kelas yang lain telah mengerumuninya.

“Sakitlah, woi!” Kedengaran jeritan kecil Cam apabila bahunya ditumbuk oleh Shafiq.

“Shafiq, kenapa awak tumbuk Cam?Awak tu lelaki, mana boleh pukul perempuan.” Aina segera masuk campur. Bahaya dibiar lama-lama, nanti ada yang bertomoi dalam kelas.

“Perempuan apa macam ni, Cik Aina? Dia ambil kek tu penuh genggam, Cik Aina potong kecil-kecil pun tak faham-faham lagi. Melantak tak ingat dunia, habis tu orang lain makan Tupperware ajelah nanti,” tukas Shafiq tidak puas hati. Cam tergelak lalu melarikan diri kembali ke tempat duduk bersama hasil yang berjaya dirembatnya. Aina turut tergelak, terhibur melihat telatah mereka.

“Kamu semua ni tak matang langsung, tahu tak? Macam tak percaya aje kamu dah 19 tahun bila tengok perangai kamu. Cuba bawa bertenang, jangan panik. Banyak lagi tu, buat apa nak berebut.”

Aina mengomel walaupun dia sendiri masih ketawa. Puas hatinya melihat mereka memberi sambutan hangat terhadap pemberiannya. Rasa begitu dihargai sekali. Hanya Danial yang tidak menunjukkan sebarang minat. Sesekali dia memandang Aina, apabila matanya bertentangan dengan mata Aina, Danial cepat-cepat membuang pandangannya ke luar jendela.

Renungannya jauh ke padang rumput yang subur menghijau itu. Seperti ada masalah lagaknya. Apa agaknya masalah dia, hari tu bukankah Danial cuba berbaik dengan Aina? Sekarang dah macam ais batu semula, sukar difahami betul! Tumpuan Aina terhadap Danial terganggu apabila mendengar namanya dipanggil oleh Hawa.

“Eh... ehCik Aina, betul ke Cik Aina buat sendiri kek ni?Tengok warna pun bukan main meriah lagi.”

“Betullah, resipi turun-menurun keluarga tu.Tak berani makan ke tengok warna tu? Atau tak sedap?”

“Eh, sedap Cik Aina! Nanti buatkan lagi tau? Kalau hari-hari lagi bagus. Boleh jimat kos, tak payah ke kantin lepas ni.” Mazlan terlebih dahulu menjawab soalan Aina dengan mulut yang sebu. Aina ketawa gembira. Macamlah boleh kenyang makan kek tu saja, tapi kalau tengok gaya Mazlan membaham, ada kemungkinan juga boleh kenyang.

Danial mengerling tidak percaya melihat kelakuan Mazlan.

“Hei, kau ni Lan, macam dah lapan tahun tak jumpa makanan! Buat malu betul!” sergahnya sambil menyiku tulang rusuk Mazlan. Mazlan terkekeh-kekeh mengelak. Jelas dia tidak ambil hati dengan teguran Danial.

“Memang sedap, Cik Aina. Mintak resipi boleh?” tanya Marliana pula.

“Lebih-lebih nampak? Sekarang ni kelas Ekonomi, bukan Ekonomi Rumah Tangga, jangan tersilap pulak. Nasib baik kamu tak ajak saya main masak-masak dalam kelas. Saya tak mahu tulis resipi kat papan tulis ni, nanti tak pasal-pasal jadi isu, silap subjek. Apa kata saya tuliskan cantik-cantik kat atas kertas, nanti dalam kelas akan datang baru saya bagi kamu? Hah, berapa orang yang nak?”

Hampir separuh isi kelas mengangkat tangan. Yang lelaki pun ikut-ikutan hendak juga.

‘Mampus! Yang aku gatal mulut nak offer tadi kenapa? Boleh patah jari nak tulis lebih kurang 20 salinan,’ Aina rasa seperti hendak ketuk kepala sendiri.

“Aidil, awak jangan nak mengada.Takkan awak pun nak buat kek jugak? Orang lain angkat tangan, awak pun ikut jugak. Pantang menolaklah kamu semua ni. Okey,kalau yang semua betul-betul nak, saya tulis satu saja lepas tu kamu fotokopi sendiri.Tak larat saya nak tulis dengan tangan satu-satu. Nanti saya bagi ya.”

Aidil tersengih bagai kerang busuk. Yang lain tersenyum girang.

“Aku nak yang original, nak bingkaikan kat bilik tidur!” Cam menyampuk seperti biasa dengan kenakalannya. Danial mengerling Cam dengan geram. Cam bersandar santai sambil menggoyang-goyangkan kerusinya seperti kerusi malas. Silap goyang sikit boleh terjerembab budak ni. Cam sengaja mengangkat keningnya ketika berpandangan dengan Danial, tanda ingin mencabar. Danial mengetap giginya rapat-rapat, nafsu T-Rex untuk makan orang ketika ini harus dikawal di hadapan Aina.

“Amboi, resipi saya awak nak buat khazanah muzium pulak ya Cam? Memang saya dah agak, tak adanya awak tu betul-betul nak buat kek. Buang tabiat kot. Suzana, simpan kek tu. Lepas kelas ni kan waktu rehat, nanti baru kamu sambung semula. Dah, masa makan-makan dah tamat, jomkita sambung topik yang lepas. Dah makan, dah bertenaga, sekarang tengok saya ajar betul-betul. Jangan bazirkan tenaga yang saya bekalkan tu dengan bersembang atau buat kerja lain yang tak relevan.” Aina berleter seraya menuju ke arah papan tulis.

Fuh, kuat berleter juga si cantik manis ni rupanya. Kena belajar rajin tadah telinga lepas ni.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.