Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,564
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

Bab 8


Setelah selesai kenduri di rumah pihak lelaki, Aina terus masuk ke bilik. Majlis selesai lebih lewat berbanding majlis di rumah orang tuanya tempoh hari, mungkin disebabkan jemputan Dato’ Muzaffar yang lebih ramai. Kalau diikutkan keterujaan Datin Hanim, satu Malaysia hendak dijemputnya.

Keletihan yang menguasai seluruh tubuhnya membuatkan Aina yang masih bergaun pengantin terus terdampar di katil. Mengada-ngada tak kalau nak request maid untuk tolong tukarkan baju? Ala, dalam filem Downton Abbey boleh je? Waa... tak larat.

Mahu tak penat, tiga kali Aina dan Izraf menukar pakaian. Kalau tak tukar, bau hapaklah jawabnya, seharian melayan tetamu yang tidak surut-surut. Pada mulanya Aina dan Izraf memakai set pakaian pengantin tradisional berwarna hijau lumut, dihiasi dengan batu swarovski mewah. Beberapa jamkemudian, diganti pula pakaian lain berwarna kuning gading, masih set pakaian pengantin Melayu tetapi lebih sederhana. Untuk majlis makan malam pula, Aina memakai gaun satin kembang berwarna krim lembut, manakala Izraf pula segak memakai tuksedo warna senada yang dikemaskan lagi dengan bow tie hitam bersama kancing keemasan. Gaya klasik Inggeris itu sangat sesuai dengan pasangan pengantin yang sama cantik dan sama padan itu.

Rasa kejur mulut Aina kerana perlu sentiasa tersenyum, mata pula mahu saja Aina tongkatkan dengan lidi atau penyepit baju. Silap-silap kalau lama sedikit sahaja lagi, boleh rebah Aina di hadapan tetamu, tidaklah sampai pengsan tapi mungkin tertidur letih! Di saat-saat akhir itu Aina berusaha untuk bertahan dengan bateri simpanan pada paras kritikal.

Baru lima minit Aina menutup mata, pada mulanya dengan niat untuk mengecaj semula tenaga, namun tanpa dapat dikawal lagi Aina terus hilang sedar. Matanya terasa bagai digam-gam. Aina hanya tersedar seketika kemudian apabila merasakan ada hembusan hangat di wajahnya. Kenapa pendingin hawa ni jadi panas pula? Rasanya jenama yang boleh dipercayai tapi gagal berfungsi dengan baik. Ini yang nak marah, nak berehat pun tak tenang.

Mahu tidak mahu, Aina membuka matanya yang berat.Serta-merta terbuntang mata Aina gara-gara terkejut melihat Izraf yang sedang leka merenungnya pada kedudukan yang begitu hampir. Wajah mereka sudah hampir bertemu. Nafas Aina tersekat, tidak semena-mena Aina terlupa cara untuk bernafas. Muka Aina sudah naik biru kerana kekurangan oksigen.

Izraf yang menyedari perubahan Aina yang seakan mahu pengsan terpaksa menjauhkan diri demi memberi ruang kepada Aina untuk bergerak. Semput agaknya dengan bajunya yang ketat, siap pakai korset tulang ikan paus lagi. Entahlah atas arahan siapa agaknya, nak kena saman kot pereka pakaian pengantin ni!

Aina terus mengurut dada sebaik sahaja Izraf memberikan ruang kepadanya. Niat Aina hanya mahu mengembalikan ritma normal pada degupan jantungnya, sebentar tadi jantungnya terlupa mengepam darah. Bahaya betul jantung ni, nak pencen dah kot.

Kedengaran Izraf menghembuskan nafasnya yang berat, ada rasa kecewa mungkin. Traumanya Aina pada Izraf macamlah Izraf perogol bersiri. Hmm, macam inilah nasib berkahwin dengan remaja tak cukup umur. Baru nak dekat, dia dah berubah biru. Izraf tersengih.

“Comelnya sleeping beautyni tidur.” Izraf mengusik bersahaja cuba menutup rasa yang bercampur-baur.

“Oh... Aina ingat nak rehat kejap aje, tak sangka terlena pulak.” Aina yang sudah duduk di hujung katil menjawab teragak-agak.

“Letih sangat agaknya. Kita solat isyak berjemaah nak? Aina pergi mandi dulu, abang turun kejap, nak cari makanan. Tadi ramai sangat tetamu, abang tak sempat pun jamah nasi.Aina nak makan tak?” Lembut suara Izraf bertanya.

“Tak nak.Aina tak lalu. Rasa penat sangat. Aina bersiap dululah. Nanti dah siap Aina tunggu abang, kita solat sama-sama.”

“Okey, tunggu abang tau, nak merasa solat dengan isteri,” kata Izraf sempat mengenyitkan mata sambil berlalu pergi. Aina tersenyum melihat tingkah Izraf yang kadang kala agak lucu itu.

MALAM itu mereka berdua menunaikan solat berjemaah buat pertama kalinya. Rasa syahdu meresap ke segenap ruang dada, terutama apabila mendengarkan bacaan merdu Izraf dan ketika mencium tangan Izraf selepas solat. Izraf pula membalasnya dengan mengucup ubun-ubun Aina. Insya-ALLAH ia akan dijadikan tradisi dalam rumah tangga mereka nanti.

Ada suatu perasaan halus menyusup ke dalam hati Aina, indahnya bila solatnya sudah ada yang mengimamkan. Kalau tahu beginilah rupanya perasaan bila dah berkahwin, tidaklah Aina membantah bersungguh-sungguh arahan Haji Hafizuddin tempoh hari. Izraf lelaki yang baik, semoga keputusan ibu bapanya akan membawa ke syurga. Itulah harapan Aina yang kini redha dengan status barunya.

Selesai sahaja melipat telekung dan sejadah, Aina menutup suis lampu downlight yang enam biji itu, terlalu terang-benderang mengalahkan kedai lampu. Hanya lampu tidur yang malap dibiarkan menyala.Aina terus menuju ke katil dan merebahkan dirinya di sebelah kanan katil. Sekiranya dia tidur ke kanan mengikut kebiasaannya, maka tidaklah dia membelakangkan Izraf nanti. Izraf pula menghilang ke bilik air.

Sebaik sahaja Izraf menapak semula ke dalam bilik, Aina sudah terlena. Izraf merebahkan dirinya perlahan-lahan di sebelah Aina, risau benar jika sedikit pergerakannya bakal mengganggu lena isterinya itu. Hati Izraf berdebar-debar melihat Aina yang tertidur pulas. Helaan nafasnya yang teratur menunjukkan tidurnya begitu tenang. Rambutnya yang kecoklatan terurai lembut nampak begitu semula jadi. Boleh jadi model syampu, confirm laris!

Belum pernah Izraf mengkaji rambut Aina begitu, kecuali semasa dia terlena dengan pakaian pengantin yang masih membalut tubuhnya tadi. Itu pun dia sempat memandang sebentar sahaja, kali ini Aina sudah tidak sedarkan diri dek terlalu letih, tak ada masalah nak renung berjam-jam, kalau hujung rambut tu bercabang pun boleh nampak agaknya.

Tak payah tidurlah Izraf malam ni, kerja merenung Aina saja sampai ke pagi. Teruja sangat dapat isteri, tambahan pula gadis itu yang dipuja-puja selama ini. Rasa macam nak awetkan jadi patung barbie doll, nanti bolehlah kepit kat ketiak sepanjang masa. Macam ada masalah mental kurang stabil Izraf ni. Bukannya apa tapi geram tengok, Aina benar-benar kelihatan seperti puteri yang sedang beradu. Walau dalam lena dia masih kelihatan begitu anggun. Macam ada magnet, mata Izraf sudah tidak boleh dilarikan ke tempat lain. Ah, apa salahnya, Aina kan isterinya yang halal? Untuk berbuat lebih dari memandang pun tak salah.

Pandangan Izraf kembali memerhati Aina. Dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya yang runcing. Nak kata seksi, langsung tidak. Baju tidur Hello Kitty yang dipakai, siap dengan stoking gebu Mashimaro! Aduhai isteri, cubalah belajar pakai lingerie ke. Eh, tapi lebih baik jangan kot. Baru pakai baju kaftan bercorak kartun pun sudah hampir-hampirmeruntuhkan iman Izraf. Silap hari bulan, Izraf bertukar jadi kucing kan susah, kucing mana boleh tolak ikan depan mata. Melainkan kucing bandar, dia tak hairan dengan ikan, hanya Whiskas yang mampu menggoda. Tetapi Izraf spesies kucing biasa, ikan pakai baju Hello Kitty rasa lebih high class berbanding Whiskas dalam tin. Jantung ni pun tak boleh ke buat perangai sopan sikit? Dari tadi asyik bergegar-gegar, nak kata Parkinson pun takkanlah efek sampai ke jantung. Izraf bukan terrorist tapi di dalam dadanya ada bom yang tengah berdetik, tunggu masa saja nak meletup. Sebelum Aina menjadi mangsa keadaan, mata sila tolong tutup cepat-cepat!

Melihat Aina yang begitu lena sekali, Izraf tidak sampai hati mengganggu tidurnya. Lagipun, Izraf tidak mahu membuatkan Aina takut dengannya. Nanti kan susah kalau Aina berhijrah tidur di bilik air. Biarlah, Aina masih belum bersedia. Akhirnya Izraf sekadar mengucup pipi Aina perlahan, lalu dengan berhati-hati Izraf melingkarkan tangannya di pinggang Aina yang sedang tidur mengiring menghadapnya. Cukuplah. Rasa bahagia menyerbu dalam hati Izraf, menyesakkan nafasnya. Malam-malam nak buat drama air mata, nanti asma datang menyerang, siapa yang susah...Touchy sangat!


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.