Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,518
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 15

Bab 15



Hari Rabu, Kelas Ekonomi.Hari yang ditunggu-tunggu untuk Aina memuntahkan kemarahan yang disimpan semenjak kelmarin.

Semalaman Aina tidak dapat tidur lena kerana sakit hati mengenangkan tingkah pelajarnya. Izraf pun tidak pasal-pasal turut tidak tidur lena kerana Aina asyik berkalih ke kiri dan kanan katil sepanjang malam. Tidur yang gundah-gulana. Lepas ini kena belajar cara berhibernat senyap-senyap macam beruang kutub.

Hari ini tak kira apa pun yang berlaku, Aina sudah bertekad, dia akan memberi ceramah percuma kepada pelajar Kelas 6 Delta. Biar mereka merasakan pengalaman dibasuh cukup-cukup macam masuk mesin basuh kereta automatik. Yang ini, servis percuma!

Aina melangkah penuh tenaga ke kelas itu. Tenaga yang datang dari hati yang berbahang. Rasa macam seladang di gelanggang matador.

Seperti biasa, kelas itu tidak mengalu-alukan kedatangannya dengan hormat. Nak harapkan sambutan karpet merah dan bunga manggar, jauh sekali. Aina tidak membawa sebarang buku, hanya mendakap kertas ujian mereka di dadanya. Dia sudah berazam untuk menghabiskan masa satu jam dua puluh minit itu untuk aktiviti berleter.

Pelbagai nasihat dan motivasi sudah dihafalnya sepanjang malam. Lagi larut malam, lagi produktif otaknya berfikir sampai tak boleh berhenti. Sehingga ke alam mimpi pun dalam sedar tak sedar Aina masih terbawa-bawa dengan skrip leterannya. Memang luar biasa kemampuan otaknya, tapi masa nak menghafal untuk peperiksaan dulu, tak begitu produktif pula. Hairan!

Sesudah memberi salam, Aina mengagihkan semula kertas ujian yang sudah ditanda dan diberi markah itu. Hatinya semakin jengkel apabila melihatkan kelakuan mereka yang saling membandingkan markah masing-masing sambil bergelak ketawa. Tiada sedikit pun perasaan kesal terlintas di wajah mereka, malah mereka kelihatan seperti berbangga pula dengan pencapaian tersebut. Apalah nak jadi dengan budak-budak zaman sekarang. Kalau zaman Aina belajar dulu, menangis-nangis bila dapat markah tak elok, malu hendak tunjuk dekat mak ayah, padahal baru sekolah rendah. Ini yang dah besar panjang pun masih tak ada kesedaran. Teruklah Aina kalau macam inilah gayanya.

Hanya tinggal beberapa kertas sahaja yang masih berada di dalam tangan Aina, sengaja dia menyimpannya sehingga ke akhir kerana baginya markah tersebut adalah antara yang paling teruk pencapaiannya.

“Untuk pengetahuan kamu semua, hanya tiga orang yang lulus dalam ujian yang saya beri kelmarin, tahniah kepada Marliana, Norul dan Clare. Yang lain semuanyagagal dengan markah yang sangat-sangat teruk. Yang lulus, kamu jangan bangga dan berpuas hati pulak, masih banyak ruang yang boleh kamu perbaiki.” Aina bersuara tegas tanpa seulas senyuman pun di wajahnya. Marliana, Norul dan Clare mengangguk faham.

“Suzana, ambil kertas awak. Saya tak faham kenapa awak jawab dua soalan aje. Kalau awak ada masalah, saya mahu awak jumpa saya selepas kelas ini. Kalau awak tak mahu berkongsi dengan saya, tak apa. Tapi, saya tak mahu awak buat seperti ini di masa akan datang. Saya akan adakan ujian setiap bulan untuk memantau perkembangan kamu semua.”

Beberapa orang pelajar ketawa apabila Suzana yang bertubuh agak gempal itu bersusah-payah bangkit untuk mengambil kertasnya.

“Kamu, Shafiq dan Razali, jangan nak gelakkan dia pulak. Sekurang-kurangnya Suzana cuba menjawab dengan usaha sendiri. Kamu berdua jangan ingat saya tak tahu kamu meniru ya, jawapan yang kamu beri 100% sama sampaikan letak tanda koma pun sama, kalau betul tu tak apalah jugak, tapi jawapan yang kamu beri memang menyimpang jauh. Buat pengetahuan kamu, saya paling anti aktiviti tiru-meniru ni. Saya tak kisah walau sekecil kuman pun kalau saya dapati kamu meniru, saya akan kosongkan terus markah kamu. Biar ibu bapa kamu datang berjumpa saya, dan saya akan beritahu anak mereka mendapat markah kosong kerana meniru.” Nak mengugut biar hati kering, kena ada gaya mafia sikit.

Razali segera menyangkal, “Tapi Cik Aina, bukan saya yang meniru. Shafiq yang tiru saya, tak adillah saya dapat kosong jugak, penat saya jawab.”

“Saya tak peduli siapa bagi tiru atau siapa yang meniru, hukumannya sama aje. Tak adil bagi kawan kamu yang jawab dengan usaha sendiri. Kalau kamu tak mahu dihukum, maka jangan sesekali bagi tiru. Saya amat tak suka perkaramacam ni, sebab kamu seolah-olah anggap saya bodoh dan mudah dipermainkan.Jika di dalam kelas semasa menjawab latihan, saya tak kisahlah kamu meniru kalau tak tahu. Tapi kamu kena tanya kawan kamu yang tahu, macam mana dia dapat jawapan itu dan kamu kena faham sebelum kamu menyalin jawapan kawan kamu. Itu akan membantu kamu memahami cara menjawab yang betul. Namun dalam ujian, saya takkan izinkan kegiatan ini sama sekali. Tujuan ujian dan peperiksaan dijalankan adalah untuk menilai kamu.” Aina menjawab panjang lebar dengan nada tegas.

Ramai yang menundukkan kepala, manakan tidak, aura singa lapar dah mula terasa. Hanya Danial dan kumpulannya yang masih kelihatan relaks, sedikit pun tidak menunjukkan tanda risau atau takut. Apatah lagi rasa bersalah. Hampeh!

“Cam, ambil kertas awak. Saya tahu awak pandai, semua yang awak jawab betul, tapi awak nakal sangat. Arahan suruh jawab semua soalan, awak pilih soalan untuk dijawab berselang-seli. Awak nak bergurau atau awak nak cabar saya?” Soalan Aina menyebabkan ketawa mereka sekelas pecah berderai mendengar kenakalan Cam. Budak ni memang kreatif dengan macam-macam idea kelakar.

Cam yang masih selamba badak datang ke hadapan untuk mengambil kertasnya dengan perasaan bangga. Mungkin kerana Aina memujinya pandai tadi. Hanya bahagian ‘pandai’ saja yang berjaya menembusi telinga Cam agaknya. Aina mengetap bibir, geram macam hendak dipulas-pulasnya telinga Cam.

“Mazlan, Rezal dan Danial, ambil kertas kamu sekarang. Kamu langsung tak jawab apa pun tapi masih boleh gelakkan kawan-kawan kamu. Kamu benar-benar menghampakan saya, saya tak sangka kamu menolak untuk belajar sehingga ke tahap begini.”

Mazlan dan Rezal maju ke hadapan mengambil kertas mereka, ada sedikit rasa bersalah terpalit pada wajah mereka, namun Danial tidak mengambil kertasnya. Darah Aina semakin mendidih.

“Danial, awak tak mahu ambil kertas awak? Atau awak nak suruh saya frame pada dinding kelas ini untuk buat kenang-kenangan?”

Danial masih menjawab dengan santai, “Boleh jugak kalau Cik Aina teringin nak buat. Tapi Cik Aina yang mini ni dapat ke nak capai atas board tu untuk pakukan frame? Kalau agak-agak tak sampai nak panjat, bagi kepada Rezal pun boleh juga, dia tu PAsaya.” Pecah lagi ketawa pelajar kelas itu. Darah Aina menggelegak di paras seratus darjah celsius.

“Diam semua! Saya tengah marah dan kecewa dengan keputusan kamu, kamu boleh gelak lagi macam tengok filem Mr. Bean? Macam mana saya nak bagi kesedaran kepada kamu? You are now in upper six, STPM is just around the corner .Boleh pulak kamu buat sambil lewa dengan peperiksaan yang akan menentukan hala tuju kamu kelak. Kamu tak sedar lagi ke yang kamu sedang menghancurkan masa depan kamu? Sedih saya dengan sikap kamu!”

Yang lain terdiam. Alamak singa dah menunjukkan taringnya. Aina mengalihkan semula pandangannya ke arah Danial. Yang seorang inilah Aina kena tarbiah cukup-cukup, yang lain hanya ikutkan dia saja.

“Awak Danial, jangan nak loyar buruk sangat, belum apa-apa dah ada Personal Assistant! Sekarang bukan masanya untuk bergurau. Awak tu dah tiga tahun mengulang, umur pun dah 21 tahun, dah dewasa sangat, jangan buat perangai macam budak hingusan. Sedarlah sikit! Saya tahu awak anak orang kaya, dari fail awak yang saya baca, awak anak tunggal. Sudah pasti awak anak kesayangan yang akan mewarisi segala harta. Tak perlu belajar pun tak apa kerana harta untuk awak dah lebih dari cukup, sampai tujuh generasi tak habis makan. Tapi ingat, itu bukan harta awak, itu harta ibu bapa awak yang dicari dengan titik peluh mereka.Awak hanya status menumpang pada kekayaan orang tua awak! Tapi ingat kelas, sekurang-kurangnya Danial takkan merempat mintak sedekah esok-esok. Kamu yang datang dari keluarga biasa-biasa, bagaimana? Hanya dengan adanya ilmu dan dengan izin ALLAH barulah kamu akan dapat mengubah nasib keluarga kamu. Tak ada benda berharga yang akan datang bergolek, setiap satunya perlukan usaha.”

Seisi kelas terdiam setelah dijerkah Aina dengan kata-katanya yang agak kasar, 90% daripada luahan kemarahan itu ditujukan kepada Danial. Namun, di sebalik ceramah panjang itu, mereka akui ada benarnya setiap butir kata yang keluar dari mulut Aina. Aina sudah tidak peduli untuk cakap berlapik, yang penting mesejnya sampai. Lantaklah jika ada yang terasa. Tadi macam gengster sangat, kan?

Danial bingkas bangun dengan wajah merah padam lantas meninggalkan kelas tanpa meminta izin. Sempat ditolaknya kasar kerusi yang menghalang laluan sehinggakan kerusi itu terpelanting ke sudut kelas. Mungkin Danial sendiri tidak menyedari kekasarannya lantaran terlalu marah. Dia tidak mengerling sekilas pun pada Aina.

Aina terkedu dengan tindakan Danial. Berani sungguh dia buat begitu! Guru dalam kelas dibuatnya macam tunggul sahaja, keluar ikut sesedap rasa dia, langsung tak hormat! Namun, Aina tidak mampu membuka mulut untuk menghalang tindakan Danial. Akhirnya Aina terduduk di kerusinya. Aina tidak menyangka begitu sekali cabarannya mengajar kelas ini.

Kelas 6 Delta diam menikus menonton siaran langsung perang yang baru dilancarkan dengan rasminya antara Aina dan Danial. Kecut perut. Bukan mereka tak tahu perangai Danial kalau dah marah, pengetua pun boleh ketar lutut dibuatnya. Nasib baik hanya setakat itu kelakuan Danial tadi, itu pun mungkin Danial sudah menahan diri sehabis daya.

Danial ke tempat meletakkan basikal dan motor dan terus menunggang motosikal MV Agusta F4CC miliknya keluar dari pekarangan sekolah. Dia tidak perlu menunggu di kelas itu mendengar bebelan Aina.

Beraninya mulut kecil itu dengan lantang memberi komen berkenaan hidupnya? Apa yang Aina tahu tentang keluarganya, tentang ibu dan ayahnya?

Ah, Aina tidak tahu apa pun, dan dia tidak akan pernah memahami apa yang ditanggungnya selama ini! Tiada siapa pun yang mengerti!

MV Agusta bagaikan si kuda hitam yang gagah meluncur laju membelah jalan raya pada kelajuan 200KMj. Deras dipacu rasa marah yang meluap-luap.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA terbitan ALAF 21 akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.