Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Cik Perfect 10 & Encik Devil
Cik Perfect 10 & Encik Devil
anna nabila
18/8/2014 20:33:37
6,463
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Cik Perfect 10 & Encik Devil


      “Tengku Aidil Reqal! Tunggu!”

      Aduh! Ini yang buat Aidil lagi nak lari pecut 100 meter. Geli-geleman tengok Tipah yang badannya macam ahli sumo itu separuh berlari anak separuh merangkak mengejarnya. Aidil baru berjalan lenggang kangkung pun Tipah dah termengah-mengah mengejar, kalau Aidil hendak buka langkah seribu, silap haribulan kena telefon ambulans supaya bawakan bekalan oksigen untuk Tipah. Aidil tidak mahu mencalarkan imej bersihnya, nanti tak pasal-pasal terpampang di muka depan berita, ‘Tengku Aidil Reqal Dijatuhkan Hukuman Membunuh Tanpa Niat Kerana Mengakibatkan Seorang Gadis Sumo Kehabisan Oksigen’. Oh tidak, masa depannya terlalu cerah untuk dimusnahkan. Dia Tengku Aidil Reqal, berdarah bangsawan, atlit harapan, jejaka paling tampan, dan Tokoh Pelajar Tahunan. Cukuplah Aidil rumuskan tentang dirinya dalam pantun empat kerat itu. Kalau hendak senaraikan semua pakejnya, sepuluh lembar pun tak habis.

      Aidil menghentikan langkah, menunggu Tipah sampai. Hampir lima minit baru Tipah sampai di hadapannya, walhal jarak antara mereka tak sampai pun 100 meter.

      “Stop! Jangan datang dekat sangat, kau cakap dari sana pun aku boleh dengar.” Masih ada 10 meter jarak antara mereka berdua.

      “Aidil...”

      “Tengku Aidil,” Aidil membetulkan.

      Angkuhnya! Tapi Tipah tetap cintakan Aidil sepenuh raga.

       “Bermohon sembah, sembah berhajat, hajat berasal kayangan puri, wahai Tengku Aidil…”

      Gila minah ni. Siap copy paste lirik lagu Noraniza Idris lagi.

      “Wahai Tengku Aidil, Tipah ada hajat nak disampaikan...”

     “Aku tahu. Kau cintakan aku kan?” Aidil memotong. Tak sanggup dia nak mendengar ayat bunga-bunga Tipah. Tipah mengangguk macam burung belatuk.

      “Sepenuh jiwa raga Tipah.” Tangan Tipah memegang dadanya, penuh perasaan. Mata dikelip-kelipkan, semenawan yang mungkin.

     “No.”

     “Hah?” Tipah terpinga-pinga.

     “Permohonan anda ditolak.” Ayat macamlah Tipah nak memohon bantuan BR1M!

     “Tapi-”

     “No tapi-tapi. Aku paling pantang perempuan nak terhegeh-hegeh kejarkan aku. Aku takkan cintakan kau, atau mana-mana perempuan. Sehinggalah aku bertemu dengan seorang gadis yang perfect. Mulai saat ini, kau boleh berhenti berharap, Tipah.” Lagu Berhenti Berharap dari Sheila on 7 tiba-tiba berkumandang. Tipah ternganga 10 saat. Lepas tu Tipah mula meraung.

      Itu dia. Skrip lazimnya sudah dikeluarkan. Dah rasa macam menghafal skrip, hari-hari Aidil kena bawa keluar skrip ini kerana hampir tiap hari ada saja yang mahu mencuba nasib melamar cintanya. Tak serik-serik. Dan tak faham-faham. Aidil terpaksa berlaku kejam, sebab dalam hatinya dia telah menetapkan dia hanya akan menyerahkan hati Tengku Aidil Reqal kepada seorang Cik Perfect 10, gadis yang sempurna serba-serbi, dan paling penting, gadis yang tidak akan tergila-gilakannya. Ya, perempuan macam itu yang Aidil mahukan.

      Raungan Tipah makin menjadi-jadi. Aidil perlu segera beredar sebelum Tipah terjun dari tingkat dua itu.

      “Aku harap kau akan bertemu dengan gadis yang tak tergila-gilakan kau Tengku Aidil Reqal! Dan aku harap gadis itu tak akan gilakan kau sampai bila-bila! Abracadabra Pocahontas!

     Err... Dia ni ahli sihir ke, siap bermantera bagai? Tiba-tiba meremang bulu roma Aidil. Aidil terus angkat kaki. Arah tujuannya cuma satu, kolam renang sekolah. Kena mandi bunga tujuh jenis, nak buang sial. Dibuatnya sumpahan Tipah mujarab, mampus dia. Bahaya betul Tipah ni.


                           *******************************************************


     SEKOLAH MENENGAH SERI MURNI.

     Erk... Kenapa nama sekolah barunya macam jenama minyak? Ah, sudah terlanjur daddy daftarkan Rose di sekolah itu, masuk sajalah. Daddy bagitahu sekolah ni bagus, yang bersekolah di sini semuanya anak-anak orang berada, malah anak-anak tengku pun ada. Ada kolam renang, gym, bilik muzik, taman bunga, restoran lima bintang dan macam-macam lagi kemudahan lain. Sekolah ini juga terkenal kerana berjaya menggilap bakat atlit negara, ahli sumo, ahli jimnastik, ahli muzik dan banyak lagi. Daddy hendak Rose jadi pemain piano terbilang yang akan buat persembahan di Royal Albert Hall, sebab itu daddy hantar Rose ke Sekolah Menengah Seri Murni. But again, aneh rasanya nak sebut jenama minyak sebagai nama sekolahnya. Boleh tak agak-agak minta PIBG tandatangan petisyen untuk tukar nama sekolah itu?

     Rose berfikir-fikir sambil melangkah masuk. Kerana asyik menoleh melihat itu ini, tanpa disengajakan Rose terlanggar dengan sesusuk tubuh yang berdiri macam tembok Berlin di hadapannya.

Ouch!

     “Hei!” Halilintar membelah bumi.Eh bukanlah, suara lelaki di depan Rose rupanya. Rose mengangkat muka takut-takut. Wow boleh tahan kacak mamat ni, tall, dark and handsome. Oops, kemeja putih yang dipakai lelaki itu sudah bertukar menjadi coklat disebabkan cawan milo yang dipegangnya tadi kini sudah mendarat di dada jejaka itu.

      “What the fish?!

      “Err, fish, mana fish?” Kepala Rose terjengah-jengah mencari. Takkan ada ikan dalam cawan milo tadi?

     Grr. Boleh buat lawak bodoh pula awek ni!

     “Ignore it.”Tak sanggup Aidil nak terangkan. Tangan Aidil mengibas-ngibas baju. Habislah blazer Armani yang dipakainya.

     “Sorry…” Eh tangan dia ni pun sibuk nak tolong bersihkan juga.

     “Jangan gosok macam tu, nanti tambah teruk corak kotoran ni. Eh tepilah tangan tu, biar saya yang bersihkan.” Tangannya ditepis. Aidil terkedu.

      Rose mengeluarkan tisu basah dari beg sandangnya. Digosok-gosok berulang kali, kotoran masih begitu juga. Mungkin Rose tidak menyedari, jarak mereka begitu rapat. Aidil memerhati wajah cantik yang sedang bersungguh-sungguh membersihkan kotoran di dadanya. Ini amat mencabar iman. Wajah Rose putih cerah, sedikit kemerah-merahan pada pipinya. Penat menyental mungkin. Matanya bundar, hidung yang kecil, bibir merah asli, ada bau harum dari rambutnya yang ditocang. Cantiknya dia ni! Sempurna.

     Rose tidak sedar Aidil sedang meneliti wajahnya dari jarak dekat. Rose masih sibuk membersih. Kenapalah kotoran ni degil sangat? Rose tiba-tiba menyeluk saku beg dan mengeluarkan peluntur jenama Vanish, dicolek sedikit ke baju Aidil. Aidil ternganga.

      “Serius? Awak bawa Vanish dalam beg? What for?

     “Persediaan. Untuk kejadian yang tak dijangka macam ni,”

      Dia buat persediaan untuk kejadian yang tak dijangka? Ini dah terlampau sempurna.

     Melihat reaksi Aidil yang seperti kebingungan, mahu tidak mahu Rose terpaksa menjelaskan.

     “Saya tak boleh tahan kalau ada benda yang kotor. Saya nak semuanya sempurna. I am a perfectionist.” Atau mungkin penyakit OCD. Rose tak pernah diperiksa.

     Oh ow. Cik Perfect. Wajah cantik, check. Suara merdu, check. Kemas, check. Harum mewangi, check. Berbudi bahasa, check. Sopan, check. Perfectionist, check. Dah tujuh item.

     “Okey dah siap.”

     Yep, memang baju Aidil dah bersih macam baru.Boleh buka kedai dobilah dia ni.

      “Ops kejap.” Rose menyeluk beg lagi.

     “Sembur ni sikit.” Febreeze?! Aidil ternganga makin besar. Beg dia ni kedai runcit ke apa?

      “There you are. AlrightBye.” Si cantik manis terus berlalu pergi. Tanpa menanyakan namanya.

    Gaya jalan macam model, check. Rambut bertocang, check. Yang paling penting, tak hegeh gilakan Aidil, check. Definitely. Ini Cik Perfect 10. Sempurna serba-serbi.


                           *******************************************************

     

     “Awak!” Siapa yang terawak-awak ni? Oh, jejaka milo tempoh hari.

     “Lajunya awak berjalan, tunggulah kejap,” Aidil mengeluh. Terpaksa Aidil berjalan di sampingnya supaya dapat bersembang.

     “Oh sorry, saya nak cepat. Saya ada latihan muzik,”

     “Awak main muzik?”

    “Piano.”

    Wah, dia boleh main piano.

     “Oh, latihan untuk apa?”

     “Persediaan untuk konsert sulung saya.”

     “Konsert piano?”

     “Sambil menyanyi.”

     Wow, maksudnya dia juga boleh menyanyi? Rare.

     “Awak nak jadi penyanyi?”

     “Taklah. Hobi saja.”

     Erk? Macam ni pun ada?

     “Okey, saya dah sampai bilik muzik. Bye.

     Sekali lagi Aidil ditinggalkan begitu saja. Nak tanya nama pun tak sempat. Ini kali pertama ada gadis yang tak hairankan dirinya. Aidil semakin penasaran.


                                  *******************************************************


     “Awak!”

     Dia ni lagi.

     Kali ini Aidil menggunakan tubuhnya untuk menghadang Rose. Takut ditinggalkan sekali lagi sebelum dia sempat mengutarakan niat. Terpaksa hari ini Aidil menjadi stalker, menunggu di luar bilik muzik itu macam orang dungu. Tapi untung juga, dapatlah Aidil mendengar suara Cik Perfect 10 menyanyi sambil bermain piano tadi. Merdu sampai melting hati Aidil. Aidil telah membuat keputusan yang harus disampaikan kepada Cik Perfect 10 dengan segera.

    “Ada apa?”

     “Saya nak bagitahu awak, saya rasa awak Cik Perfect 10 yang saya cari-cari selama ini. Saya rasa antara ramai-ramai pemohon, awaklah orang yang paling sesuai untuk menerima lamaran hati saya. Mulai saat ini, awak akan jadi girlfriend saya.”

     Macam tu nak melamar? Bukan kerana cinta atau tangkap feeling, tapi sebab dia orang yang paling sesuai? Siap ada ciri tapisan lagi nampaknya, nak yang perfect 10 ya? Dahlah tu, sikit pun tak tanya dia sudi ke tak, tiba-tiba dia dah dinaik tarafkan jadi girlfriend? Oh please la!

     “Maaf saya tak berminat. Awak boleh bagi peluang kat orang lain. Hot stuff sangat kan?”

     “Ha? Tak berminat nak bercinta atau tak berminat dengan saya?”

     “Dua-dua.” Rose menyelit di bawah tangan Aidil yang sengaja didepakannya tadi lantas terus berlalu pergi.

     Oh my! Adakah sumpahan Tipah Sumo sudah terpalit kepada Aidil? Bila Aidil bertemu dengan seseorang yang tak hegeh pada Aidil, gadis itu langsung tak hendakkan Aidil sampai bila-bila? Tapi, hatinya sudah dicuri... Oh no!


                             ******************************************************

    

       “Wafiey! Siapa nama awek bertocang tu?”

     “Oh, budak baru tu...”

     “Aku tanya nama dia, aku tahulah dia budak baru... ke nama dia budak baru?” Kalau nama Cik Perfect 10 tu budak baru, sanggup Aidil cancel niat. Tak rela nak melafaz akad nikah nanti berbunyi; ‘aku terima nikahnya Budak Baru binti Polan dengan mas kahwinnya dua ratus ringgit tunai.’

     “Eh, bukanlah! Nama dia Amanda Rose Parker.”

     Terbuntang biji mata Aidil, air sirap yang sedang dihirup hampir tersembur. Nama macam pelakon Hollywood. Bombastik gila!

     Bagaikan mengerti, Wafiey cepat menerangkan. “Daddy dia mat salleh. Mak dia pun pan asian. Itu yang cantik sangat. Kenapa, kau dah berkenan? Takkan hati putera salju dah mencair? Ke kau ni sebenarnya snowman, mencair bila musim sejuk dah berakhir?”

     “Eh mana ada! Aku tanya je...”

     “Yelah tu... Eh kau tau, dia join tau ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu nanti? Adventurous juga budak tu...”

     Wow! Tak sangka. Nampak lemah-lembut... Eh kalau tak silap, pendaftaran peserta untuk ekspedisi tu tarikh tutupnya hari ni kan? Kena buka langkah segera ni.

     “Eh aku baru teringat, aku ada hal la... Aku chow dulu...”

     “Ngaku je kau nak pergi daftar juga kan...?”

     Aidil tersengih macam kerang busuk. Terus menghilang macam lipas kudung mencari urusetia pendaftaran yang bertugas.


                          ******************************************************

     

     Alamak. Hari ni pemandu yang daddy tugaskan menghantar Rose ke sekolah terlambat. Tak pasal-pasal dah pukul 8.30 pagi barulah Rose menjejak kaki di pekarangan sekolah. Mana ada pelajar lain datang selewat itu. Mesti pengawas bertugas di pintu pagar sekolah pun dah balik ke kelas masing-masing. Oh tidak! Masih ada satu batang tubuh macam tembok Berlin di hadapan Rose. Encik Tall, Dark and Handsome. Rose mencuri pandang pada tanda nama di blazernya, Tengku Aidil. Di bawah namanya ada satu tanda nama lagi bertulis Ketua Pengawas. Ketua pengawas rupanya dia ni. Tengku tu pun nak masukkan dalam name tag? Oh inilah rupanya anak bangsawan tu. Patutlah kerek semacam...

     “Kenapa lewat?”

     “Tak sengaja. Maaf.”

     “Tulis nama dalam buku kedatangan tu.”

     Lor, kena juga ke...

     “Apa ternganga-nganga lagi tu... Tulislah. ” Eh kenapa dia ni dah jadi kejam? Takkanlah sebab lamarannya tempoh hari ditolak.

      “Kalau tak reti nak tulis, saya tuliskan pun tak apa. Nama awak, Amanda Rose Parker kan? Apa ke peliknya nama tu, awak suka bermandi-manda ke? Cubalah bagi nama yang kemelayuan sikit. Awak ada darah Melayu juga kan?”

     Muka Rose yang selalunya merah jambu bertukar jadi mawar merah hari ini, merah macam darah! Geramnya dia! Adakah patut namanya pun diejek! Tapi banyak pula lelaki ini dapat tahu tentang dirinya, jangan-jangan dia ni dah pergi selongkar fail peribadinya di pejabat.

      Yang dia ni diam sangat kenapa, dah macam-macam modal Aidil gunakan untuk memancing Cik Perfect 10 bersuara. Tapi masih beku. Terkena sumpahan Sang Kelembaikah?

      “Tocang tu tak dibenarkan di sekolah. Esok ikat macam biasa.”

     Soal rambut Rose pun nak ditentukan? Tuhan, tolonglah tabahkan hati ini!

      Sebenarnya Aidil geram tengok tocang tu, macam nak ditarik. Mujur sempat tahan tangan sendiri, genggam kuat-kuat dan simpan dalam poket.

     “Ha, apa tunggu lagi? Pergi kutip sampah tu... Lambat kan?”

     Uwaaaaa! Daddy.....! Tak nak sekolah kat sini dah! Ada Encil Devil bermaharajalela!


                             ******************************************************

     

      Hari ekspedisi. Seramai 30 orang guru pengiring dan pelajar telah tiba di negeri Sabah semenjak semalam. Hari ini mereka akan memulakan pendakian untuk menawan gunung Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Mesti bangga kalau dapat menawan puncaknya, lepas itu bolehlah nak mendaki gunung Everest pula.

     “Apa termenung ni, tengah beranganlah tu... Awak ingat dengan berangan awak akan sampai ke puncak?” Suara halilintar Encik Devil menyambar telinga Rose. Panas. Kacau daun betul. Ada-ada saja modal lelaki itu mahu mengganggunya. Dari dalam kapal terbang lagi dia ditakdirkan duduk di sebelah Encik Devil. Apalah malang nasibnya nak menghadap muka itu terus-menerus. Rose tidak menjawab sepatah pun, sebaliknya terus menyertai rakan-rakan yang lain untuk memulakan pendakian.

     Kenapalah Cik Perfect 10 ni jual mahal sangat? Susahnya nak mendekati dia. Semalam, terpaksa Tengku Aidil menyalahgunakan kuasa memaksa Syasya yang sepatutnya duduk di sebelah Rose untuk bertukar tempat dengannya. Kalau bukan kerana Syasya tu Timbalan Ketua Pengawas, takkan mahu dia menurut arahan Aidil. Bukan main masam lagi air muka Rose pada kala itu. Sebaik sahaja kapal terbang berlepas, kepala Rose yang sedang terlena terlentok-lentok sehinggakan Aidil dengan rela hati menyorongkan bahunya untuk dijadikan bantal Rose. Kesian kalau ada yang tergeliat leher nanti. Tak pasal-pasal terpaksa mendaki dengan kepala teleng. Bahagianya hati Aidil ketika itu hanya dia yang tahu, kembang kempis hidungnya. Siap ambil gambar selfie lagi untuk buat kenang-kenangan. Gambar itu sekarang Aidil jadikan wallpaper Samsung Note III miliknya. Mereka memang sama cantik dan sama padan. Tengku Aidil dan Amanda Rose, pasangan yang sempurna. Aidil tersengih seronok.

     “Kalau jalan slow macam ni, baik tak payah join mendaki gunung. Tiga hari tiga malam pun belum tentu sampai ke puncak. Duduk kat rumah belajar menjahit lagi bagus,”

     Tengoklah tu, tak habis-habis Encik Devil nak menyakat Rose!

     “Awak ingat saya tak boleh berjalan laju? Saya saja nak ambil angin, nak tengok pemandangan. Awak nak tengok saya jalan laju ya, baik. Tengok ni!”

     Rose berjalan dah macam berkawad. Luar biasa. Mana ada orang berkawad atas gunung? Mengah Aidil hendak menyamakan langkahnya mengejar Rose. Mana boleh bagi dia jalan jauh-jauh sangat, nanti kalau tergolek siapa nak selamatkan buah hatinya itu?

     “Jangan duduk lama sangat, nanti darah tak sampai hujung kaki, cepat cramp.” Eh serba tahu pulak Encik Devil ni, ada saja yang tak kena di matanya. Dari tadi tak sudah mengekori Rose. Benci! Blah lagi bagus.


                              ******************************************************

   

      Pukul 2 pagi. Kumpulan Sekolah Menengah Seri Murni bertolak dari kabin di Laban Rata. Cuaca sejuk menggigit hingga ke tulang sumsum. Angin agak kencang, ditambah pula dengan hujan renyai-renyai. Masing-masing menyarungkan baju hujan. Nampaknya cuaca tidak menyebelahi mereka. Beberapa orang peserta kembali ke kabin, tidak berani untuk meneruskan pendakian. Rose tidak peduli, dia mesti menawan puncak Kinabalu. Kalau Low’s Peak pun tak lepas, macam mana nak menawan Everest? Dari jauh, Rose sudah nampak kelibat Tengku Aidil yang sedang bersusah payah datang menghampirinya. Rose melajukan langkah. Tak sanggup nak menadah telinga mendengar kritikan yang tak membina dari mulut Encik Devil.

     Tanpa disedari, tinggal 1 km sahaja lagi Rose akan sampai ke puncak. Low’s Peak sudah terbentang di hadapan mata. Cantiknya! Tapi Rose sudah hampir kehabisan daya, kaki dan tangannya kejang dek kesejukan melampau.

     “Awak, makan coklat ni, untuk tenaga.”

     Aidil menghulurkan coklat di tangannya. Rose jual mahal.

     “Amanda Rose, saya kata makan. Sekarang!”

     Eee, garang betul! Rose terpaksa mengambilnya.

     “Macam mana nak makan, keras macam batu. Sejuk sangat ni, gigit pun tak lut.” Rose mengeluh.

     “Bak sini, saya patahkan untuk awak.”

     Eh, tiba-tiba Encik Devil jadi baik?

     “Saya bukan apa, dibuatnya awak pengsan kat sini, siapa yang susah nak dukung awak turun? Jauh tu!”

     Cis. Macamlah Rose nak pengsan.

     “Baju hujan awak tu dah koyak. Sini saya ikatkan. Nanti tersandung, ada yang bergolek sampai ke bawah. Dah tak payah saya susah-susah nak dukung.”

     Scuse me! Rose pun tak sudilah!Menjeling kecuraman itu, mahu tidak mahu Rose datang juga kepada Aidil. Menunggu Aidil mengikat hujung baju hujannya yang koyak. Dengan tali kasutnya sekali Aidil kuatkan ikatan. Tiba-tiba macam ada rasa terharu.

     “Dah, jalanlah. Berapa lama awak nak jadi patung kat sini? Beku betul-betul baru tahu.”

     Rasa terharu terus hilang.

     “Kenapa yang awak kejam sangat kat saya? Apa salah saya pada awak? Awak ni dahlah kuat berleter, bossy, cerewet! Saya benci awak!” Rose separuh menjerit. Kemudian Rose terus meninggalkan Aidil dengan pantas.

     Aidil ternganga. Alamak, nampaknya dia dah hantar mesej yang salah. Lain yang diniatkan, lain yang disangka. Aidil mengejar Rose. Lajunya dia ni, dah separuh berlari mendaki gunung. Tak pernah dibuat dek orang.

     “Amanda Rose! Janganlah laju sangat, saya tak larat nak kejar awak.”

     “Tak payah kejar. Duduk situ diam-diam!”

     “Saya ada benda nak cakap dengan awak ni. Tunggulah.”

     “Saya tak mahu dengar!” Degil dia ni rupanya! Tolak markah Cik Perfect 10. Tak mengapalah, cintanya sudah padu, perfect tak perfect, Aidil dah tak peduli.

     “Amanda Rose! Saya, Tengku Aidil Reqal, cintakan awak! Tolong terima cinta saya, sebab saya dah nak mati...”

      Cis, nak guna modal tu pula. Rose tidak memperlahankan langkah langsung.

     “Amanda Rose, saya betul-betul nak mati. Saya tak boleh bernafas...”

    Err, nak kata Aidil menipu, suaranya betul-betul kedengaran sesak. Rose menoleh. Aidil sudah memegang dada. Mukanya pucat. Bukan main-main. Rose berlari mendapatkan Aidil.

  “Awak ni dah kenapa? Kenapa tiba-tiba sesak nafas? Yelah yelah saya terima cinta awak. Dah, bernafas balik macam biasa…”

     “Saya…. asma…”

     “Asma?! Kenapa awak naik gunung kalau awak asma? Awak ni tempah bala, tahu tak! Mana ubat?”

     “Saya tak bawa. Dah bertahun saya tak dapat serangan asma... Kalau saya tak naik gunung, saya tak dapat peluang nak cakap dengan awak, dan awak tak akan terima cinta saya...” Dengan susah payah Aidil menerangkan.

     “Idiot!” Rose menunjal kepala Aidil dengan geram.

     “Aduh... Saya dahlah sakit...”

     Simpati terbit di hati Rose.

     “Sini.” Rose melipat kaki, menyuruh Aidil duduk bersandar pada kakinya.

     Wah...! Pucuk dicita ulam mendatang...

     “Jangan gatal! Alas dengan beg dulu!”

     Uwa, melepas!

     “Nah, gosok minyak panas ni dekat dada. Sapu sendiri!”

     Uwaaa, garangnya bakal suriku! Aidil mengeluh.

     “Kalau awak cintakan saya, kenapa awak selalu marah-marah dengan saya?” Rose tiba-tiba bertanya. Soalan maut. Silap jawab menempa bala namanya.

     “Sebab awak jual mahal sangat. Saya geram!”

     “Saya perfectionist, tapi saya bukan perfect. Saya ada banyak kelemahan… Saya garang, saya serius, saya sombong, saya clumsy…”

     “Saya dah tak peduli itu semua. Saya sayangkan awak, Amanda Rose Parker. Saya tak kisah awak macam mana, saya dah jatuh cinta pada awak. Sudikah awak terima lamaran hati saya?”

     Rose tersenyum senang. Dia dapat merasakan Aidil ikhlas. “I do, Encik Devil.

     Aidil ikut tersenyum.

     “Mungkin awak rasa awak tak perfect, tapi awak tetap sempurna di mata saya. Awak Cik Perfect 10 saya.”

     Rose tersenyum lagi mendengar bait-bait cinta yang diucapkan Tengku Aidil. Manisnya dia senyum!

     Syukur, sumpahan Tipah Sumo sudah terlerai. Hujung jari Aidil menyentuh hujung jari Rose.

     Pap! Tangan Aidil ditampar dengan beg seberat 15 kilo itu.

     “Jangan nak gatal!”

     Uwaaa, garangnya girlfriend Tengku Aidil!



                                                                TAMAT

                                *******************************************************

*Karya lain penulis:

AKU JATUH CINTA (Novel - Romantik Komedi) >>> TELAH TERBIT, KELUARAN MAC 2015, ALAF 21.

Hubungi penulis:

FB: https://www.facebook.com/AnnaNabila29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.