Home Novel Komedi/Romantik Komedi AKU JATUH CINTA
AKU JATUH CINTA
anna nabila
7/7/2014 23:38:05
128,560
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13

Bab 13


Aina ke kantin seorang diri untuk mengisi perut yang sudah memainkan lagu irama keroncong. Dia belum berkawan dengan sesiapa pun, kawannya setakat ini baru Haqym seorang. Entah mengapa guru-guru lain macam susah sangat untuk didekati. Mungkin kerana mereka tidaksama peramah seperti Haqym.

Eh, sepanjang hari ini Aina belum melihat kelibat Haqym. Ke mana agaknya Haqym bertapa? Selalunya dia ada saja di mana-mana dengan usikan nakal yang tak pernah kehabisan stok. Ketika tiba di kantin, kebetulan Cikgu Farami baru sahaja selesai makan. Dia segera menyapa Aina dengan lagak kasanovanya.

“Hai cik adik, seorang saja?”

Aina menjawab ala kadar, “Haah, seorang. Janji makan.”

“Kalau you awal sikit, boleh I temankan. Tapi sayangnyasekarang I ada kelas, ini pun dah terlambat.”

“Tak apa. I tak kisah, seorang pun boleh makan jugak, lagi bagus ada privacy.”

Ini bukan lagi sindiran, dah terang lagi bersuluh, kalau tak faham-faham jugak, tak tahulah nak kata.

Well, in that case, I better go first, next time I’ll join you for sure.”

Aina hanya mengangguk malas. Bukannya menyetujui, hanya untuk membuatkan kasanova itu berambus segera.

‘Tak faham-faham betullah mamat ni, aku dah perli-perli pun dia boleh tak sedar diri lagi,’ rengus Aina jengkel di dalam hati.

Farami beransur membayar makanannya. Ketika hendak beredar, sempat lagi dia terkenyit-kenyit mata ke arah Aina. Ada penyakit mata agaknya dia ni. Aina tidak mempedulikan tingkahnya yang seolah-olah ingin menarik perhatian itu. Lebih baik pura-pura tak nampak, mungkin lain kali kena pakai kaca mata hitam, bolehlah buat-buat tak nampak anasir-anasir yang membuatkan matanya berbulu. Eii!

Makan lagi bagus dari sakitkan mata memikirkan kerenah Farami yang lain macam gayanya itu. Aina mengambil sedikit bihun dan telur goreng.

“Mak cik, ada kicap tak, nak bubuh atas telur ni sikit,” tanya Aina, hormat bunyinya.

“Ada dalam botol hijau tu. Cik ni guru baru, ya? Tak pernah nampak pun.” Mak Piah menjawab sambil menuding jari ke arah botol yang terletak di tepi meja.

“Haah, baru masuk kelmarin. Saya Aina Humaira, mak cik.Aina tak tahu lagi kantin kat mana, tu yang tak datang makan kat sini.

“La... kenapa Aina tak tanya cikgu-cikgu yang lain? Tak pasal-pasal ikat perutlah Aina kelmarin, ya? Kesian pulak Mak Piah dengar.”

Aina tergelak sambil menjawab, “Kebetulan kelmarin haru-biru sikit Mak Piah.Maklumlah, orang baru. Sampai lupa yang Aina tak makan lagi. Tengah hari baru terasa lapar, mujur Aina ada simpan biskut dalam beg tangan. Saja persediaan takut gastrik menyerang.”

“Hah, dah tahu ada gastrik jangan lambat-lambat makan pulak. Dah, dah, makan. Nanti kalau-kalau kena gastrik tu Aina datang aje kat sini, Mak Piah buatkan susu panas.Lega sikit nanti, insya-ALLAH.” Pelawaan orang tua itu mengharukan hati Aina. Terasa penuh sifat keibuan setiap butir bicaranya.

“Baiklah Mak Piah, terima kasih.Ni saya bayar siap-siaplah. Nanti waktu rehat, sibuk pulak Mak Piah.”

“Cikgu Farami dah suruh kirakan sekali untuk makanan Aina tadi. Staf kat sini biasanya ada buka buku hutang dengan Mak Piah. Biasanya yang lelakilah, malas nak bawa duit selalu, jadi pakai kira sajalah. Nanti hujung bulan dia orang langsaikan. Kadang-kadang siap bayar awal-awal untuk bulan seterusnya. Aina nak buka buku satu pun Mak Piah tak kisah.”

“Isk, kenapa pulak dia nak bayarkan makanan Aina, tak apalah Mak Piah, Aina bayar sendiri. Tak sukalah terhutang budi, orang tua-tua kata, mula-mula terhutang budi nanti lama-lama tergadai body. Kiralah berapa semua ni Mak Piah, dengan teh ais sekali. Aina bayar cash, takut nak hutang, mana tahu tiba-tiba Aina mati, mati membawa hutanglah nanti alamatnya.”

Mak Piah tergelak mendengar gurauan Aina, namun dalam diam dia kagum dengan sikap gadis itu. Punya pendirian dan begitu merendah diri. Bercakap pun dengan nada yang hormat, tapi masih ada kemesraan yang ketara di sebalik bicaranya.

“Ala, kalau pun apa-apa berlaku kat Aina, Mak Piah halalkan aje, bukan nak berkira. Tapi terpulanglah pada Aina, ikut yang mana lebih elok buat Aina. Tak payah minum teh ais, nanti gastrik pulak. Mak Piah buatkan susu, ya? Semua RM6.50 aje.”

Aina tertawa dan hanya mengangguk. Mak Piah membancuh minumannya sambil Aina mengorek duit dari dompetnya. Kerana ketiadaan wang kecil, Aina mengeluarkan not bernilai seratus ringgit lalu meletakkannya di atas kaunter. Dengan tidak semena-mena, ada sesusuk tubuh lampai yang baru tiba di sebelah Aina meletakkan not sepuluh ringgit ke dalam kotak duit Mak Piah.

“Nah Mak Piah, bayar Coke ni dengan Cik Aina punya sekali. Keep the change.

Danial! Tak payah menoleh pun dah tahu, kenal benar dia dengan suara itu. Angkuh gila, keep the change pulak tu. Orang banyak duit, macam itulah lagaknya! Sengajalah tu belanja Aina, supaya nanti Aina tak boleh hendak marah-marahkan dia apabila terkenangkan budinya nanti. Eii... tak mahu! Ingat Aina boleh dibeli dengan bihun dan teh ais?

“Eh, apa ni! Saya bayar sendirilah, ni dah keluar duit dah pun,” tingkah Aina segera.

“Duit Cik Aina besar sangat, Mak Piah payah nak pecah. Terima ajelah, saya ikhlas. Janji takkan ungkit punya.”

Mak Piah tersengih mendengarkan kata-kata Danial yang memang kenakalannya telah dimaklumi oleh semua orang. Belum sempat Aina membalas, Mak Piah sudah mengambil wang itu.

“Terima sajalah Aina, dah rezeki. Dari tadi tak habis-habis orang nak belanja,” gurau Mak Piah sambil menyerahkan susu panas itu kepada Aina. Mahu tak mahu, Aina terpaksa menyetujui.

Alright, many thank you.Hai, awak ni awal sangat membeli-belah kat kantin, waktu rehat pun belum lagi,” sergah Aina.

Danial hanya mengangkat kedua-dua belah keningnya tanda menerima ucapan terima kasih Aina. Danial kemudiannya meneguk air tin itu sambil menjawab ringkas,“Gastrik, Cik Aina.”

‘Gastrik apa beli Coke? Alasan! Kan dah kata, budak ni tak pernah nak jujur ikhlas punya,’ getus hati Aina geram.

“Aik, Cik Aina, minum susu ke? Macam anak kucing pulak, comelnya...” Belum habis rupanya usikan Danial.

“Saya gastriklah! Takkan nak minum Coke kot!” Aina menjerkah geram sebelum sekujur tubuh Danial melayang pergi meninggalkan sisa ketawanya yang berdekah-dekah.

Mak Piah hanya ketawa melihat Aina berhempas-pulas menahan geram dengan kenakalan Danial. Ikutkan hati, dah sampai tangannya di telinga budak itu, biar dipiat sekuat-kuat hati. Tapi susah juga nak capai misi tu, Danial jauh lebih tinggi dari Aina, Aina hanya sampai ke dadanya sahaja, sahih takkan cecah jarinya ke telinga gergasi itu. Mission impossible! Kena bawa rotan ke mana-manalah selepas ini. Bodyguard cikgu mini macam dia. Aina menyeringai lucu.


Bersambung...


*Novel AKU JATUH CINTA akan berada di pasaran pada Febuari ini! Boleh tempah dengan penulis sendiri untuk dapatkan autograf & cenderamata. Penulis boleh dihubungi di:

FB: https://www.facebook.com/anna.nabila.90

Terima kasih atas sokongan semua, moga tulisan ini dapat menghibur! xoxo.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.