“SEGANNYA saya Kak Sha…” ujar Zafri setelah Puan Kamariah
beredar dari pejabatnya. Kak Sha turut tersenyum melihat gelagat bosnya.
“Anyway, kenapa saya tak jumpa-jumpa perkataan angau ni dalam kamus? Saya yang
salah eja atau penerbit yang salah cetak?” tanya Zafri yang masih tidak puas
hati.
Sekali lagi Kak Sha menahan tawa apabila mendengarnya.
“Kalau cari perkataan angau memang tak jumpa bos. Cuba cari perkatan gila,
pasti jumpa perkataan angau di sebelahnya tapi Kamus Dewan la ya…” jawab Kak Sha sambil tersenyum.
“Perkataan gila? Apa kena mengena dengan angau?” soal Zafri pelik.
“Angau tu adik-beradik dengan perkataan gila. Di mana ada gila, di situ
ada angau.” Saja Kak Sha melawak. Dia turut tertawa sebab sudah tidak tertahan.
Apa
sudah jadi dengan bos aku ini? Tak habis-habis dengan angau? Kalau bangau ada
juga kaitan dengan seni bina landskap kejur kerana street lighting di boulevard Putrajaya memang
berbentuk bangau. Kak Sha menggelengkan kepala.
“Bos ni dah nak kahwin ke?” Saja Kak Sha bertanya.
“Hmm… kalau jumpalah, kan.” Zafri jawab sambil mengeluh.
“Siapakah gerangannya?”
“Ini yang malu nak beritahu,” jawab Zafri.
“Dengan Kak Sha pun nak malu jugak ke?”
“Sebab tidak tahu siapa namanya…”
“Pulak?” ujar Kak Sha sambil mengerut dahi.
Kemudiannya Zafri berlalu masuk ke biliknya, menyambung tugas yang belum
selesai.
Entahlah,
bekerja dengan bos yang handsome dan budiman ini memang menyeronokkan malah ada kalanya amat
melucukan pula. Sebut perkataan bergurau
atau berjenaka, Zafri masih boleh faham lagi, tetapi kalau sebut perkataan
bercanda, dia sudah mula naik hairan dan terkebil-kebil. Akhirnya Zafri angkat
tangan tanda tidak faham.
Sebenarnya
tidak ada niat pun di hati Kak Sha hendak mengenakan bos sendiri. Namun, ada
kalanya Zafri ini memang lurus bendul. Paling menghairankan, jejaka yang segak
bergaya ini masih lagi sendiri walaupun
telah menjangkau 34 tahun. Apabila Kak Sha bertanya, pandai pula Zafri
berseloroh.
“Saya bukan tak cari Kak Sha… tapi tulah, entah di mana bunga yang satu ni menyorok sampai
sekarang tak jumpa-jumpa," ujar Zafri sambil tersenyum.
“Sebenarnya dah segenap pelosok saya cari, namun tetap tak jumpa juga
bunga idaman hati ini,” sambung Zafri buat Kak Sha terkedu.
Segenap
pelosok? Amboi, pandai pula Zafri menggunakan perkataan yang jarang-jarang
digunakan. Mana pulak mat salih ini belajar? Kak Sha tertanya sendiri.
Tiba-tiba
Kak Sha teringatkan adik angkatnya. Hai, apalah khabar adik angkat aku yang
seorang ini, detik Kak Sha dalam hati. Hari-hari kerja saja rutinnya. Kalau
hari cuti asyik terperuk di rumah pula, mana orang hendak tahu kewujudannya?
Mana orang hendak tahu kehadirannya?
Bukan
sekali Kak Sha menasihatinya agar ambil masa untuk diri sendiri dan jangan
asyik bekerja sahaja, namun dia masih begitu. Asyik ingat pokok memanjang!
Sekali-sekala respeklah diri itu, respons dengan persekitaran dan ambil masa
untuk relaks.
Saja Kak Sha mengambil kata-kata dari
rancangan televisyen yang popular suatu ketika dahulu. Namun, adik angkatnya
hanya akan tersenyum apabila Kak Sha menegurnya.
Umur semakin meningkat tetapi masih sendiri. Entah
siapa yang ditunggunya, tidak tahulah. Kalau Kak Sha rekomen Zafri padanya
bagus juga. Zafri pun sedang mencari, siapa tahu mereka ada jodoh? Siapa tahu
mereka boleh jadi pasangan yang sesuai dan serasi bersama?
Tiba-tiba
idea itu pula yang terbayang di minda Kak Sha. Sebenarnya Kak Sha kasihan juga
dengan adik angkat yang seorang ini. Hendak kata tidak lawa, sekali pandang
macam Kajol juga. Tetapi dua kali pandang, sudah hendak hampir sama dengan
kejur pula!
Mentang-mentanglah
bekerja dalam bidang seni bina landskap, hatinya pun sama keras dengan landskap
kejur. Tidak tahulah hendak cakap apa dengan adik angkat yang bertuah ini. Semakin
kita beri nasihat kepadanya, semakin menjadi pula perangainya.
Siapa
yang berkahwin dengannya, agak susah juga hendak dikategorikan. Isteri yang
bertuah atau suami yang bertuah. Namun, yang pasti tuah adik angkat Kak Sha ini
memang di mukanya. Marah atau geram macam mana sekalipun dengan perangai dia,
bila pandang saja wajahnya, semuanya hilang terbang entah ke mana.
Entah apa ilmu yang dia pakai, tidak tahulah.
Sebab itu dia boleh bekerja di tapak pembinaan.Dia tidak kisah langsung
bekerja dengan pekerja asing yang cukup memeningkan dan selalu sahaja tidak
faham bahasa. Pekerja asing dari Bangladesh, Indonesia mahupun Myanmar tidak
kisah langsung andai hari-hari kena marah dengan adik angkat Kak Sha ini.
Mereka
langsung tidak ambil hati malah tunduk sahaja ketika dia marah. Senyum sahaja
mendengar leteran dan bebelan satu-satunya konsultan wanita di boulevard
Putrajaya. Pertama, memang mereka telah buat salah selebihnya memang tidak
faham yang diri itu kena marah!
Peliknya
sampai sekarang adik angkat Kak Sha ini tidak kahwin-kahwin juga. Lelaki yang
pernah jatuh cinta padanya bukan calang-calang orang namun semua ditolaknya.
Itu yang buat Kak Sha tidak faham.
Padahal, bukan sukar untuk adik angkatnya mencari pasangan. Dia bukannya bekerja
terperuk di dalam pejabat. Dia bekerja di site dan boleh dikatakan
setiap hari pasti ada kenalan baru yang boleh dijumpa. Di site sahaja
ada berbaris senarai calon, pilih sahaja lelaki yang berjawatan apa untuk
dijadikan teman hidup.
Hendak
yang berjawatan tinggi dan bergaji besar boleh sahaja pilih pengurus projek,
arkitek atau jurutera. Kalau hendak yang sedang-sedang saja pilihlah yang
berjawatan seperti juruukur bahan, pegawai hortikultur, pereka landskap,
koordinator dan banyak lagilah cuma tinggal pilih sahaja. Malah hendak orang
luar negara pun ramai juga cuma takut diri pula yang tidak berkenan.
Saban
hari Kak Sha tetap berdoa semoga TUHAN membuka hati adik angkatnya untuk insan
yang bernama lelaki. Semoga suatu hari nanti adik angkatnya bertemu jodoh
dengan lelaki budiman yang bertanggungjawab dan hidup bahagia hingga akhir
hayat.
Jika
diikutkan, Kak Sha bukanlah siapa-siapa juga tiada apa-apa hubungan darah
dengan adik angkatnya. Namun, kasih Kak Sha bagai kasih kakak kepada adik
kandungnya sendiri. Kak Sha tetap risau, tetap bimbang walau adik angkatnya
boleh sahaja hidup sendiri.