APRIL datang lagi.
Aduhai… cepat betul masa berlalu. 17hb adalah ulang tahun Aira yang ke 33. Mak
ai, dah tua rupanya aku ni! Kahwin tak juga. Hai, sabarlah hati. Aira memujuk
dirinya.
Kawan-kawan
semuanya sudah ada 2, 3 orang anak, aku? Teman istimewa pun tiada. Hendak
berkahwin dengan siapa? Sakit telinga Aira dibuatnya apabila mendengar ibunya
berleter dan bertanya tentang calon menantu yang tidak kunjung tiba.
Sabar
sajalah Aira, mana tahu ditakdirkan akan berkahwin dengan lelaki yang istimewa.
Bukan sahaja baik malah tampan dan kaya, tidak perlu susah-susah bekerja.
Beranganlah
Cik Aira Latisha, tidak habis-habis dengan berangan. Angan-angan, jejaka
pilihan hati, punyai personaliti, segak tinggi.Teringat pula lagu Raja Ema yang popular suatu ketika duhulu.
Jodoh
oh jodoh! Kenapalah susah sangat untuk ditemui? Bila ditunggu, tak
muncul-muncul. Bila dicari tak jumpa-jumpa. Adakah aku akan membujang sampai ke
tua? Aira tertanya sendiri. Nampaknya kena mandi bunga lagi la aku ini, keluh
Aira.
Bilamana
diingatkan, sudah habis satu boulevard Aira kebas bunganya untuk dibuat
mandi. Kalau rakan-rakan tahu, malu satu dunia. Sekarang hendak kebas bunga di
mana lagi? Masakan hendak ambil bunga di Waterfront? Mana pulak Aira
hendak gagau? Serai dan daun pandan banyaklah di Waterfront itu.
Terbayang
landskap indah di Putrajaya yang dipenuhi dengan pelbagai pokok bunga tetapi
tiada satu pun yang mujarab! Hendak buat macam mana, asyik-asyik bunga Lantana
camara. Harap nama sahaja sedap didengar namun bunganya tidak harum
langsung. Alahai Cik Aira Latisha oi, sudah nama pun bunga tahi ayam!
“Aira… kawan-kawan kita semuanya dah kahwin, tinggal kita berdua sahaja. Tak
boleh jadi kita ni, kena cepat cari. Kalau lambat, tak berlaki kita sampai ke
tua.” Teringat Aira kata-kata Zura pada tahun lepas.
Dialah
satu-satunya sahabat tempat meluahkan perasaan juga penyimpan mohor besar
raja-raja. Ada kalanya mereka saling menyimpan rahsia kerana rasanya tidak
boleh dikongsi dengan adik-beradik sendiri.
Bulan
lepas Zura telah berkahwin dengan Johan. Semuanya bermula dengan rekomen dari
Encik Kamal, ketua jabatan tempat Zura bekerja. Johan baru sahaja kematian
isteri dan mempunyai 2 orang cahayamata. Entah kenapa dengan Johan, Zura
merasakan seperti telah lama kenal dan rasa serasi sangat.
Bak
kata orang tua-tua, kalau sudah jodoh, tidak boleh hendak ditolak-tolak. Itu
cerita Zura, aku pulak bagaimana? Aira tertanya sendiri. Someone somewhere
is made for you…tunggu sajalah Aira.
“Kita kena sentiasa bersangka baik, barulah hidup ceria dan dapat melalui
hidup ini dengan lebih tenang,” pesan Kak Anim pada suatu hari.
Kak Anim merupakan kakak angkat Aira dan juga
Zura. Bercakap memang mudah, namun agak sukar untuk sentiasa bersangka baik pada
zaman yang serba mencabar ini.
“Kalau kita sentiasa ceria, bukan setakat murah rezeki malah jodoh pun
datang tanpa dicari-cari.” Tergelak Aira mendengar nasihat Kak Anim.
Aira sememangnya amat respek dengan Kak Anim
dan suaminya, Abang Fadzil. Merekalah yang banyak menolong Aira ketika Aira
mula-mula menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur dahulu sehinggalah dia melanjutkan
pelajaran ke universiti.
Mereka
berdua sememangnya pasangan yang idea, baik dan suka menolong orang. Paling
Aira kagumi, mereka berdua sentiasa bersangka baik dengan sesiapa jua pun. Itu
yang tidak mampu dia lakukan hingga kini.
Andai
orang yang pernah menipu mereka akhirnya datang meminta pertolongan, mereka
tetap sedia membantu tanpa mengungkit kisah lalu. Bukan calang-calang orang
boleh begitu mudah memberi kemaafan tanpa diminta malah sanggup menolong pula.
Sebenarnya
selain dengan Zura, Aira juga rapat
dengan Kak Sha dan Suria. Satu persamaan mereka berempat adalah mereka ini
memang gila kerja sampai tidak fikir sangat pasal kahwin. Sebab itu walau sudah
masuk 30 tahun, masih solo lagi.
Kak
Sha bertemu jodoh dengan duda tiada anak ketika berumur 32 tahun. Sama seperti
Kak Sha, Suria juga berkahwin ketika berumur 32 tahun tetapi dengan duda
beranak satu. Sementara Zura yang berusia 33 tahun pula baru sahaja mendirikan
rumah tangga dengan duda beranak dua.
Kini
cuma tinggal Aira seorang yang masih belum bertemu jodoh. Nampaknya jodoh Aira
pasti dengan duda juga seperti tiga lagi sahabatnya. Tetapi, masakan dengan duda
beranak tiga pula? Bagi Aira, walau terdesak sekalipun Aira tidak akan setuju
langsung.
Tiba-tiba
Aira teringatkan Abang Lokman yang merupakan jiran sekampung yang dijumpanya di
Anjung Putrajaya pada minggu lepas. Kebetulan
pada masa itu Abang Lokman hendak makan tengah hari lalu mempelawa Aira sekali.
Orang sudah hendak belanja, masakan mahu menolak pula. Abang Lokman seorang ahli
perniagaan yang berjaya. Dia yang telah berpindah ke Kajang mempunyai tiga
orang anak. Dengar cerita isterinya sudah lima tahun menderita sakit buah
pinggang.
Berbagai
isu dibualkan termasuk perkembangan kampung mereka. Tiba-tiba
Abang Lokman bertanya kenapa sampai sekarang Aira masih tidak kahwin-kahwin.
Seperti biasa jawapan Aira pastilah tiada jodoh. Jawapan standard yang akan
diberi tidak kira siapa yang bertanya.
“Susah-susah abang pinang Aira sajalah.” Aira hanya tertawa kerana tahu Abang
Lokman hanya bergurau. Namun apabila diingat kembali, manalah tahu umur
isterinya tidak panjang dan dia benar-benar meminang Aira? Oh, tidak!