Home Novel Komedi/Romantik Komedi Panggil Aku Kiah
Panggil Aku Kiah
liza nur
1/3/2014 20:57:42
30,107
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 1a

Bab 1


Namaku Chanelle. Glamour, bukan? Tetapi itu bukan nama sebenar. Nama sebenarku jarang aku gunakan, hanya sekadar menjadi penghias kad pengenalan. Jengkel nak kugunakan selalu. Sebutannya bagiku kuno, terencat dalam dunia serba moden ini. Nama yang padaku tidak laris, tidak masyuk kata orang. Aku lebih sukakan gelaran Chanelle.

Ruqiyyah binti Fuad. Nama yang tercatit di dalam surat beranakku dengan terang dan jelas, menggunakan font bosan yang tidak aku gemari. Nama itu seakan dasar sebuah kolam dalam yang sengaja aku keruhkan airnya, biar tidak terlihat di mata yang lain. Persetankan saja orang-orang yang menyelarku sebagai gadis yang lupa daratan. Siapa mereka untuk mempersoal kemahuanku? Apa hak mereka?

Pada pemerhatian kasar, aku serba sempurna. Cantik. Kaya. Kata mereka, bahagia itu milikku. Tetapi, benarkah? Jawapannya, mestilah! Asset papa nilainya berjuta, tak habis untuk aku berbelanja. Kalau dah bosan di Malaysia. Aku ke Paris, ke New York. Papa tak pernah marah. Kalau habis duit belanjaku, pasti akan dilambakkan dengan duit yang baru. Papa tak pernah bertanya untuk apa. Soalannya hanya berapa. Transaksinya laju dan angkanya sentiasa menyenangkan.

“Dah sampai,” ucap Hud malas sambil menekankan brek mendadak membuatkan anak menteri yang duduk di ruangan belakang kereta yang dipandunya hampir-hampir tercampak ke depan.

“Hud!” jerit gadis berlipstik Mac warna merah pekat itu. Lamunan singkatnya sekejap tadi termati sendiri dek kerana tindakan Hud.

Daun pintu Mercedez dikuak perlahan. Kain Georgette Pedreriadress hitam jenama Zara terselak sampai ke peha sewaktu si pemakaiannya melangkah keluar. Berketak-ketuk heel Prada yang tersarung di kakinya berbunyi tatkala ia menghentam lantai yang dialasi marble. Di tangannya, terselit beg Guess rekaan terbaru dengan hiasan batu-batu yang berkilauan di bawah cahaya lampu, menyilaukan mata Hud. Dia cepat-cepat menolak daun pintu semula.

“Hud!” laung Ruqiyyah Datuk Fuad sekali lagi, melepaskan amarah yang memanggang jiwanya sehingga menjadi umpama sate rentung. Mana tidaknya, laju benar tingkah Hud sampaikan hujung dressnya boleh tersangkut pada pintu kereta yang sudah dikatup dulu. Nasib baik bukan pehanya yang jadi habuan pintu kereta. Kalau tidak, pastu ada tulangnya yang retak.

“Maaf…Saya tak sengaja, cik,” luah Hud lambat-lambat, menahan geram yang membuak-buak di dadanya.

Kalau ikutkan rasa hati mahu diterajang belakang Ruqiyyah sampai gadis itu mencium lantai. Itulah tempat yang selayaknya untuk orang sombong seperti Ruqiyyah. Biar padan dengan mukanya! Meluat rasa hati dengan perangai Ruqiyyah yang mengada. Namun, otak waras Hud menghalang ketelanjuran hatinya. Dia menarik semula daun pintu. Ruqiyyah cepat-cepat menarik hujung dressnya yang sudah berkedut sedikit akibat terkepit pada pintu kereta tadi.

Tanpa ucapan terima kasih, gadis tadi terus melangkah angkuh meninggalkan Hud. Angkuh langkahnya. Dia langsung tidak menoleh, memandang lelaki yang ditugaskan menghantarkan dia ke sana. Lagi cepat kelibat lelaki itu menghilang, lagi tenang jiwanya.

“Cik Kiah!” laung Hud kuat, menarik perhatian beberapa orang pekerja yang menanti di depan hotel.

Langkah Ruqiyyah menyenget secara tiba-tiba, terkejut dengan panggilan lantang yang menikam ke gegendang telinganya.

“Cik Kiah!” laung Hud sekali lagi. Rasa seronok pula diperhatikan berpasang-pasang mata di depan sana. Hud tahu Ruqiyyah malu dengan namanya sendiri. Sebab itulah dia menggunakan gelaran Chanelle.

“Kau ni memang saja nak cari pasal!” keluh Ruqiyyah.

Terkocoh-kocoh Ruqiyyah berlari mendapatkan Hud semula. Nasib baik dia tidak terjatuh dengan heels bertumit sehalus biji asam itu. Terjegil marah kedua-dua belah matanya, terkejut dengan nama dipanggil Hud.

“Hey, Hud! Dah berapa kali aku cakap, jangan panggil aku Kiah kat luar ni. Panggil aku Chanelle…Cik Chanelle,” arah Ruqiyya marah.

“Ala, Cik Kiah ni!” sebut Hud lantang. Sengaja mahu mengetuk tiap gegendang telinga di depan sana yang sejak tadi menjadi pemerhati.

Ada yang tersengih. Ada cuba menahan tawa sambil berbisik-bisik. Hati Hud bernyanyi-nyanyi keriangan, seronok mengusik anak majikannya yang memang kuat melenting. Padan muka kau, cetus hatinya. Nama Ruqiyyah, nak suruh orang panggil Chanelle.

“Hud!” panggil Ruqiyyah, menegur tindakan Hud.

Dalam beratus arahan Ruqiyyah, barangkali hanya satu atau dua yang akan didengar Hud. Lelaki itu memang degil. Tak sedar di mana letak statusnya kalau nak dibandingkan dengan Ruqiyyah. Dia hanyalah lelaki miskin, anak seorang pemandu. Atau lebih tepat di mata Ruqiyyah, gelaran yang selayaknya untuk Hud adalah seorang pecacai.

“Ya, Cik Kiah?! Ada apa?” sahut Hud sambil tersengih mengalahkan kerang busuk.

“Ish! Kau ni kan… Kau memang sengaja nak kenakan aku kan? Tunggulah aku balik rumah nanti! Siap kau!” ugut Ruqqiyah sambil melangkah laju, mahu cepat-cepat meninggalkan Hud.

“Cik Kiah, nak balik pukul berapa?!” laung Hud lagi, meraih perhatian.

“Kau tunggu aje aku kat sini, Hud. Jangan nak ke mana-mana! Kalau tak, aku beritahu mama!” ugut Ruqiyyah yang berhenti sekejap sebelum menyambung langkahnya semula.

Next: Bab 1b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.