Home Novel Komedi/Romantik Komedi Panggil Aku Kiah
Panggil Aku Kiah
liza nur
1/3/2014 20:57:42
30,078
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 1b

“Chanelle!” laung Erin sambil melagakan pipinya ke pipi Ruqqiyah yang baru menunjukkan muka di lobi hotel.

“Hai, Erin!” sapa Ruqiyyah.

“Kenapa muka you ni, babe? Macam tension aje?” soal Erin ramah sambil mengibas-ngibas muka Ruqqiyah yang berpeluh dengan tapak tangannya. Anginnya tak sampai ke muka. Hanya lagaknya umpama mencerna angin. Walhal tidak menyejukkan mahupun mendinginkan.

“Anak driver papa I tu! Menyampah! Tak tau nak hormat orang langsung. Tak sedar diri tu makan gaji.”

“Anak driver ke? Handsomelah,” luah Erin nakal.

Mata Erin membulat tatkala melihat lelaki muda berkemeja batik yang baru masuk ke dalam Mercedez Datuk Fuad. Elok parasnya. Manis pula senyumnya, semanis Pink Lady Australia yang rapuh dikunyah biarpun ada sekali tersisip sinisnya. Sinis yang barangkali hendak dihadiahkan buat Ruqiyyah yang sedang berombak marah. Erin tersenyum.

“What! Hud tu handsome? Nak berasap telinga ni. Apa barang si Hud tu? Sebelah mata pun I tak ingin nak pandang tau!” balas Ruqiyyah angkuh.

“Eh, barang baik tu,” cetus Erin, tergoda.

“Eee…geli! Jangan cakap lagi macam tu depan aku. Nasib baik aku tak muntah,” cetus Ruqiyyah.

Erin tersengih.

“Eh, nak ke mana pulak dia tu?!” soal Ruqiyyah terkejut sewaktu melihat kereta yang dipandu Hud dipecut keluar dari perkarangan hotel. Dia menggenggam hujung skirtnya, berkejaran ke anak tangga hotel. Hangat hati seakan sudah berasap keluar dari segenap rongganya, tidak tertahan dalam bengkung dada.

“Hud!” laungnya geram.

“Sabar, Chanelle. Tak ke mana tu. Agaknya dia cari tempat nak parking kereta,” pujuk Erin sambil mengusap-ngusap belakang Chanelle.

“Parking? Arahnya bukan kat situ. Tu jalan keluar! Dia saja aje nak tinggal I. Kurang ajar! Nahas dia nanti!” luah Ruqiyyah terkejerit-jerit sambil menghentakkan kakinya bebal. Geram segeram geramnya. Nasib baik tak patah si tumit yang melekat pada kasut tiga inchinya.

“I boleh drive you balik. Don’t worry. Lagipun, dengar kata, Reza datang hari ni,” balas Erin.

Hati Chanelle yang tadi menggelegak panas kini sedingin salju kutub utara. Dia tersengih lebar sambil membetulkan sanggul siput di atas kepalanya. Kain labuh dressnya dilepaskan semula. Takut nanti hilang indah rupa dek kerana marahnya pada Hud. Takut kalau Reza mencemuh di dalam hati, melontar kasih pada gadis selainnya. Ah, dia mahu tampak indah, manis dan berseri-seri di mata Reza. Biar tertambat mati hati lelaki itu padanya.

“Reza datang? Aku tak tau pun,” cetus Chanelle sambil menguntum senyum, mengharap yang teramat.

“Iya. Jomlah masuk. Kejap lagi sampailah tu. Dia kan memang suka dinner kat hotel ni,” cetus Erin yang melakarkan senyum di bibir Ruqiyyah.

Mereka melenggang bersama ke dalam, sebelum melabuhkan punggung atas sofa baldu merah. Di sana mereka duduk bergelak-tawa, bergossip itu dan ini sampaikan mereka terlupa tentang putaran waktu yang berlari pantas meninggalkan mereka. Di situ jua tempat mencuci mata, mencari kabel-kabel baru yang boleh membawa kesenangan yang berlipat kali ganda.

“You tau Tengku Malik, CEO terkenal tu? Anak dia kahwin lari ke Thailand tau. Dengan lelaki miskin. Eee…geli I dengar. Macam manalah agaknya dia nak hidup dengan orang miskin,” cetus Erin sambil ketawa mengkekek.

“Iya? Bodohnya. Agaknya makan pun tak cukup nanti. Nanti dah beranak-pinak macam manalah agaknya,” balas Ruqqiyah pula.

“Chanelle Datuk Fuad,” tegur suatu suara. Lembut, membelai gegendang telinganya sampaikan menyeluk ke pangkal hati.

Ruqqiyah mengangkat muka. Dibiarkan saja lelaki kacak kacukan Arab-Melayu itu mengucup dan membelai tangannya. Wajahnya ditundukkan sekejap, tersipu malu kononnya. Walhal itu bukan kali yang pertama. Tangannya cepat-cepat ditarik semula sebelum ditempatkan atas peha.

“Bila you sampai Reza?” soal Ruqiyyah. Jauh bedanya dengan nada suaranya tadi. Kali ini dia bersuara lembut, manja.

“Baru. You?” soal Reza sambil menginjak lebih dekat dengan Ruqiyyah.

“Entah. Tapi, yang I tau, I ada sebab untuk duduk di sini lebih lama,” ucap Ruqiyyah dalam nada yang menggoda.

Reza tersenyum. Tangan Ruqiyyah dikaut semula, digenggam kemas dalam tangannya.

“I rindu you sangat-sangat, sayang,” ucap Reza. Pujian itu bersinggah di bibir. Hatinya hanya menyepi, membiarkan asmara itu hangat dalam sentuhan dalam belaian, bukan rasa yang akan kekal sehingga ke mati.

“I pun,” balas Ruqiyyah.

Previous: Bab 1a
Next: Bab 2a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.