*MIMPI 20*
‘Senyuman paling manis..’
Harith melangkah perlahan ke arah katil setelah mulai merasa mengantuk. Namun, belum sempat dia merebahkan badannya ke atas tilam katil yang empuk itu, tiba-tiba datang seorang makhluk Allah ini yang terus melompat ke atas katil dan melapangkan kedua-dua belah tangan dan kakinya. Humaira baring betul-betul di tengah-tengah katil seperti tidak mahu memberikan sedikit ruang pun untuk Harith.
“Hoi.. Apa ni? Aku ngantuk dan penatlah, wei.. Bagilah ruang sikit untuk aku nak baring kat katil ni..”
Humaira hanya menutup matanya sambil bernyanyi kecil seperti sangat selesa dengan katil yang amat dirinduinya itu. Kata-kata Harith itu langsung tidak dihiraukan. Harith sudah mula bengang dan mengecilkan matanya sambil merenung ke arah Humaira yang sedang bersenang lenang di atas katil itu. Tidak sampai beberapa saat Harith sudah mendapat sebuah idea. Tanpa melengahkan masa dia terus melompat ke atas katil dan menghempap sebelah tangan dan kaki Humaira yang sengaja dilapangkan itu.
“Aaargh..! Sakitlah..! Wei, bangunlah! Kau ni dah la tulang berat!”, jerit Humaira sambil berusaha menarik kembali tangan dan kakinya yang dihempap oleh Harith itu.
“Eh, sorry tak perasan pula..”, kata Harith dengan selambanya.
“Eeesh!”
“Shh.. Senyaplah. Nanti mak dengan ayah dengar macam mana?”
Humaira terdiam seketika. Mukanya sudah ditarik masam sambil merenung tajam ke arah Harith yang sudah berbaring di sebelahnya. Humaira memandang bantal peluk panjang di bahagian kepala katil dan mencapainya. Dia mencampakkan bantal peluk itu ke tengah-tengah katil bagi menjadikannya sebagai sempadan pemisah antara dirinya dan Harith.
“Terima kasih.” Harith yang terasa ada bantal di tepinya lantas menarik bantal itu dan dipeluknya erat. Dia sengaja berbuat begitu walaupun dia sudah dapat menangkap tujuan sebenar Humaira itu
“Hei.. Bak sini balik. Aku bukan nak bagi kau lah. Bantal tu letak balik kat tengah tu. Sempadan supaya kau jangan masuk ke kawasan aku kat sebelah sini.”
“Haha. Kau yakin? Kau takkan masuk kawasan aku pula? Then, kau yakin kau takkan terpeluk aku yang sado ni time kau tengah tidur? Untuk pengetahuan kau, aku bukan nak kata apa la kan, tapi ramai orang kata badan aku ni memang sedap untuk dipeluk dan memang lena kalau kau dapat tidur dalam pelukan aku..”
“Ah, tak payah nak perasan. Dah, letak balik bantal tu kat tengah ni. Letak balik aku kata..”, jawab Humaira dengan tegas.
“Yelah, tuan puteri..”
Mereka berdua sudah mula berbaring di dalam kawasan sempadan masing-masing. Tidak sampai lima minit selepas itu, Harith sudah mula dengan idea jahatnya untuk mengacau Humaira. Tangannya sengaja dimasukkan sedikit ke dalam kawasan sempadan Humaira dengan perlahan-lahan. Tiada sebarang reaksi daripada Humaira. Tangannya digerakkan lagi dengan perlahan-lahan sampai akhirnya tangannya itu tersentuh sebelah lengan Humaira. Harith pantas menoleh. Tiada reaksi lagi. Humaira masih menutup matanya dengan rapat. Kaki Harith pula digerakkan sedikit demi sedikit sehingga dapat memeluk bantal itu dengan sepenuhnya. Masih tiada sebarang reaksi. Harith tersenyum melihat Humaira dari pandangan sisi.
“Dah tidur ke..?”, tanya Harith dengan berbisik ke telinga Humaira.
Humaira lantas membuka matanya dan dengan sekelip mata dia menolak sambil menendang Harith dengan sekali tolakan sampai Harith terjatuh dari katil. Sekali gedebuk bunyi Harith terjatuh dari katil.
“Aaargh! Aduh!”
Humaira yang melihat Harith mengaduh kesakitan itu tertawa kecil sambil menutup mulutnya. Sebenarnya, dari awal lagi dia sudah perasan dan dapat merasakan segala gerakan daripada Harith dengan cubaan untuk memasuki kawasan sempadannya itu. Namun, dia hanya mendiamkan sahaja sehinggalah dia berasa telinganya geli apabila Harith mula membisik ke telinganya. Langsung dia memberikan tindak balas sebegitu.
“Kau.. Ee, kau ni kan..!” Harith sudah mula bersuara keras.
“Shhh.. Jangan cakap kuat-kuat.. Nanti mak dengan ayah dengar..” Humaira bercakap dengan suara perlahan seperti membisik. Dia sengaja mengulangi ayat yang Harith katakan pada awal tadi.
“Kau ni kan.. Aku tak nak bawak kau pergi Water Park esok karang baru kau tau.” Harith turut bercakap perlahan sambil mengawal suara marahnya.
“Eleh, setakat Water Park. Apa ada hal.. Kau tak nak bawak aku, nanti aku pergi je la bawak mak dengan ayah jalan-jalan kat tempat lain. Biar kau pergi situ seorang-seorang. Lagipun kau kan tak ada kawan dekat sini kan. Padan muka kau seorang-seorang. Lonely.. I am so lonely.. I have nobody.. All on my own.. Owowowowowowooo..”, jawab Humaira selamba. Sempat juga dia menyanyikan chorus part lagu Lonely yang dinyanyi oleh Akon. Dia terus memusingkan badannya dan sambung berbaring mengiring membelakangi Harith.
“Ya Allah, sabar je lah aku dengan perempuan ni.. Nasib baik kau perempuan.. Ada juga karang aku tarik dara kau awal-awal ha..”
Mendengar sahaja ayat itu, Humaira terus menoleh memandang Harith yang masih terduduk di atas lantai tepi katil. Humaira menjeling Harith dengan tajam. Jelingannya itu dibalas dengan renungan tajam daripada Harith.
“Weh budak, cakap tu jaga sikit eh.. Kau tu bawah umur lagi, ‘dara’ orang jangan nak main-main. Jaga sikit mulut tu eh.”
“Apa budak-budak? Kau tu pun, aku yang mengajar kau. Nanti aku tak halalkan ilmu kau karang baru kau tahu..”
“Yaaa.. Alah, kau ni pun.. Kalau nak merajuk pun janganlah sampai tak nak halalkan ilmu bagai.. Aku gurau je pun.. Ala, meh sini meh. Yang kau duduk bawah lama-lama tu kenapa? Orang gurau sikit, touching. Kalahkan perempuan lah kau ni.”, ujar Humaira sambil tersengih.
“Tau pun takut tak halal ilmu..”
“Alololo.. Dah, tak mau merajuk, marah-marah lagi dah. Nanti muka tu cepat tua, dah nak sama dengan muka aku ni karang. Kalau nanti muka kau jadi makin tua macam sama dengan umur aku, then, tak jadi la kita macam apa orang selalu kata tu.. ‘Pasangan bercinta tak mengenal usia’? Ehehehehe.”
“Banyaklah kau. Bercinta pun tak tahu.. Ada hati..”
“Alah, nanti aku bercinta la.. Kau sakit ke jatuh tadi? Nak aku tolong urut, meh?”, ujar Humaira sambil tangannya sudah mula menyentuh lengan Harith seperti mahu mengurut.
Harith sudah mula berbaring di atas katil membelakangi Humaira. Lengannya yang masih diurut oleh Humaira itu dibiarkan sahaja.
“Ala, kau merajuk ke? Tak baik tau suami tidur membelakangkan isteri.”, ujar Humaira seraya menghentikan urutannya itu. Kata-katanya itu membuatkan Harith menoleh.
“Eh, ustazah kau yang mana yang cakap macam tu? Sepatutnya, isteri tu yang tak baik kalau tidur membelakangkan suami, bukan sebaliknya. Inikan pula, siap ditendangnya sampai jatuh katil lagi.”
“Haha. Alah, aku saja je nak test kau. Tengok, kan kau dah senyum tu. Hehe. Dah la jom tidur. Nanti esok aku nak bangun awal buat sarapan untuk kau. Aku pun dah mengantuk juga ni dengan esoknya nak jalan-jalan and main air kat Water Park dengan kau lagi. Hmm.. Selamat malam. Assalamualaikum, sayangku..”
Humaira sudah mula menarik selimut dan menyelimutkan Harith sambil mengukir senyuman paling manis untuk suaminya itu. Orang kata, isteri perlu selalu tunjuk muka manis dekat suami, barulah bahagia rumah tangga sampai ke syurga macam tu..
Harith hanya tersenyum melihat gelagat Humaira yang tiba-tiba mula mengambil hatinya semula. Ada sahaja kata-kata manis yang keluar dari mulut gadis itu.
“Aku tau aku cantik. Tapi, tak payah la nak tenung aku lama-lama. Tak dapat tidur aku dibuatnya.”, ujar Humaira walaupun masih menutup mata.
“Oh, tak tenung eh?”, ujar Humaira kembali setelah membuka matanya dan menoleh Harith di sebelah.
“Aku rasa kau tu yang tak dapat tidur selagi tak tenung muka aku ni.”, jawab Harith yang masih menutup matanya. Dia tergelak kecil dengan telatah Humaira yang masih lagi dengan jenakanya yang tidak pernah habis itu.
Humaira turut tergelak kecil mendengar jawapan jujur Harith itu. Humaira sudah mula mengiring menghadap Harith. Dia merenung wajah Harith tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Manakan tidak, ini merupakan pertama kali dia tidur dengan bertemankan seorang lelaki yang bergelar suami di sisi. Menipu lah sekiranya dia mengatakan bahawa dia tidak merasakan apa-apa tentang itu. Humaira terus merenung wajah tenang itu sampai dia sendiri mulai mengantuk dan akhirnya terlena.
≈ ≈ ≈ ≈ ≈
“Wuuooo.. Besar juga Forest City ni kan? Laluan nak masuk ke kawasan ni tadi pun dah macam highway nak masuk ke bandar besar. No wonder la nama dia pun Forest City. Tak sangka betul kat JB ni masih boleh ada kawasan luas macam ni.” Humaira masih lagi dengan keterujaannya dari mula memasuki jalan besar sampailah mereka sudah menjejakkan kaki ke dalam kawasan Forest City itu.
“Lawa kan tempat ni..”, kata Pn. Zahrah yang turut teruja melihat keindahan kawasan itu. Kata-katanya itu dibalas dengan anggukan daripada Humaira dan yang lain.
“Heee.. Macam ni Aira dah ada target place baru untuk jadikan town escape kat JB ni.. Lepas ni, setiap kali Aira balik cuti je kita wajib kena singgah sini tau. Walaupun tempat ni jauh ke dalam Aira still sanggup untuk drive...”
“Aira, belakang..”, belum sempat Harith menghabiskan kata-katanya Humaira sudah tersandung tangga batu kecil di belakang kakinya kerana dia berjalan sambil mengundur ke belakang.
Pn. Zahrah dan En. Raikal yang melihat Humaira terjatuh terduduk itu terus bergegas menghampiri. Harith yang sememangnya berjalan lebih hampir dengan Humaira itu sudah mencapai lengan Humaira untuk membantunya bangun. Namun, Humaira tiba-tiba mengadu kesakitan kerana tangannya terluka.
“Aira, ok tak ni? Ada scratch ke?” Harith memeriksa tangan Humaira dan ternyata telapak tangannya sedikit berdarah akibat bergesel dengan batu-batu di atas jalan.
“Aah.. Tsk..”
“Ya Allah.. Tu la lain kali jalan tu pandang ke depan.”, ujar Pn. Zahrah dengan wajah kerisauan.
Padahal, mereka baru sahaja sampai di situ tetapi sudah timbul masalah pula. En. Raikal hanya menggelengkan kepalanya seraya menyuruh Harith untuk pergi membeli air mineral dan plaster di kedai runcit berhampiran. Harith pun mengangguk dan bergegas mencari kedai yang menjual plaster. Ternyata kawasan dalam bangunan Forest City itu sungguh luas dan Harith terpaksa berlarian untuk mempercepatkan langkahnya. Akhirnya, dapat juga dia membeli barang yang diperlukan. Lalu, Harith berpatah balik ke tempat tadi dengan langkah yang panjang. Harith tercari-cari mereka bertiga dan akhirnya dia dapat melihat tiga beranak itu sedang duduk di kawasan wakaf yang terletak di sebelah kolam mandi kecil.
Dari jauh kelihatan Humaira sedang duduk di tepi kolam mandi itu sambil bermain air dengan keadaan tangan sebelahnya yang luka tadi terangkat ke udara. Harith berjalan menghampiri Humaira dengan plastik yang berisi air minuman dan sekotak plaster tergantung di tangannya. Pn. Zahrah dan En. Raikal yang sedang duduk berehat di wakaf sudah ternampak Harith yang sedang berjalan menghampiri mereka, lalu mereka hanya tersenyum. Harith yang sudah berdiri di belakang Humaira terus memegang lengan Humaira.
“Jom.”, ujar Harith sambil menunjuk ke arah wakaf. Dia ingin menyuruh Humaira memakai plaster yang sudah dibelinya tadi.
Humaira yang ditarik lengannya secara tiba-tiba itu mengaduh kesakitan, sedangkan Harith hanya menarik tangannya dengan lembut. Namun, Humaira yang sudah lama mencangkung di tepi kolam dari tadi membuatkan kakinya menjadi kejung sedikit dan sukar untuk dia berdiri seperti biasa.
“Yaa, ahjussi (panggilan ‘pakcik’ dalam bahasa korea)!”
“Kenapa? Cramp? Tu la orang pernah ajak jogging tak nak ikut. Kan dah berat, badan tu..”
“Adeh, adeh.. Tsk.. Eh, macam mana nak jalan ni? Adoi..”
Humaira yang mula berjalan terdingkut-dingkut kerana kakinya masih terasa bersemut-semut itu membuatkan Harith, Pn. Zahrah dan En. Raikal tergelak kecil. Macam-macam betul perangai Humaira. Kejap terjatuh, kejap tangan berdarah, kali ini kakinya pula yang bersemut-semut.
“Haa.. Lega sikit dapat duduk.”
“Mak, ayah, kalau nak minum air Rith ada belikan ni tadi.”
“Oh, terima kasih.. Macam tahu-tahu je kita orang tengah haus.”, ujar Pn. Zahrah seraya menyambut plastik yang berisi air mineral itu.
“Haha. Sama-sama..”, ujar Harith sambil tersenyum.
Humaira yang masih mengurut kakinya yang mungkin masih lagi bersemut-semut itu dipandang Harith sekejap. Harith mengeluarkan beberapa plaster daripada kotak dan meletakkannya di sebelah Humaira. Harith kemudian mengambil tempat duduk di sebelah Humaira dan tangannya ligat membuka penutup botol mineral lalu mencapai tangan Humaira yang terluka itu. Dia menjiruskan sedikit air ke atas luka di telapak tangan Humaira lalu meniup sedikit bahagian luka itu supaya ia cepat kering. Beberapa keping plaster ditampal dengan berhati-hati supaya dapat menutup luka itu. Humaira yang sedang menerima rawatan secara tidak langsung itu hanya memandang setiap perbuatan Harith.
“Dah siap.”, kata Harith sambil menolak kembali tangan Humaira yang sudah siap ditampal dengan plaster.
“Hm.. Thanks..”, jawab Humaira pendek. Dia membelek-belek tangannya yang sudah berplaster itu.
“Nampaknya lepas ni tak dapatlah nak main Water Park kan? Dengan tangan yang ber-plaster tu?”
“Hahaha. Aira ni Rith, selagi dia tak terlantar atas katil selagi tu la dia aktif je nak buat semua benda. Setakat ber-plaster tangan tu tak kisah langsung pun dia.. Kan, Aira? Haha.”, jawab En. Raikal bagi pihak Humaira.
“Mm.. Eh, saya nak pergi kat tepi pantai tu lah. Mak, ayah, Aira jalan ke sana dulu eh. Nanti mak dengan ayah pergi la kat sana juga, kita tangkap gambar sama-sama tau.”
Harith memandang Humaira dengan pelik. Dia terperasankan perubahan Humaira yang secara tiba-tiba itu. Sebaik sahaja Humaira melangkah pergi Harith turut sama meminta izin kepada kedua-dua mertuanya untuk mengikuti Humaira. Harith memperlahankan langkahnya untuk memberikan sedikit ruang kepada Humaira berjalan di hadapannya.
Humaira yang sudah berjalan menjauhi kawasan wakaf itu menebarkan pandangannya bebas ke kawasan pantai yang terbentang luas di hadapannya saat itu. Angin pantai yang meniup lembut membuatkan Humaira terpaksa memeluk tubuh supaya shawl-nya tidak ditiup ‘angin seksi’. Langkahnya terhenti di sebelah sebatang pokok kelapa yang sedikit condong mungkin akibat tiupan angin laut yang kuat dengan berkali-kali.
“Apa pasal kau senyap?”, tanya Harith. Humaira hanya memandang Harith sekilas dan kemudian dia mengalihkan semula pandangannya ke arah laut yang luas.
“Biasa je.”, jawabnya perlahan.
“Kau merajuk sebab aku cakap kau tak dapat pergi Water Park tu ke?”
“Hah? Tak ada lah..” Humaira sekadar tertawa kecil.
“Habis tu?”
“Habis tu, apa?”
“Kau ok tak ni?”
“Aku ok je la.. Kau tak payah nak overthink sangat boleh tak. Aku just nak menikmati keindahan alam ni je ha.. Bukan senang kan nak dapat pergi pantai macam ni. Kat Ipoh tu aku tak pernah pun pergi mana-mana pantai. Just nampak orang lain post gambar kat IG (Instagram) je.”
“Oh.. So, now you already here in front of this very nice view. Kau tak nak ambil gambar ke?”, kata Harith sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar.
Harith menangkap beberapa gambar pandangan laut yang cukup tenang. Kamera telefonnya difokuskan ke arah pemandangan laut dan digerakkan ke kiri perlahan-perlahan sehinggalah kehadiran Humaira di sebelahnya itu turut memasuki lensa kameranya. Dia menangkap gambar Humaira beberapa kali tanpa pengetahuan Humaira. Nasib baik dia sudah menukar ke silent mode supaya tiada bunyi "klik" yang kedengaran sewaktu dia menangkap gambar. Gambar candit perlu diambil dahulu, manalah tahu Humaira jenis yang tidak mahu dirinya diambil gambar. Paling kurang dia sudah dapat beberapa gambar.
“Hey, look here. Smile!”
Humaira yang mendengar panggilan Harith itu menoleh dan langsung tersenyum memandang ke arah kamera. Harith yang menangkap gambarnya dari pelbagai sudut itu kelihatan agak lucu bagi Humaira. Senyumannya pun makin melebar. Terasa bagaikan sesi penggambaran model majalah pula gayanya. Mood drama queen Humaira pun sudah on semula membuatkan dia ber-posing dengan pelbagai gaya ala-ala model Hollywood.
“Wooo.. Nice loh.. Muslimah next top model, beb. Haha.”
Galak Humaira ketawa mendengar pujian Harith yang sudah pastinya auta semata-mata. Dalam masa itu, angin laut kuat meniup ke arah Humaira dan keadaan itu membuatkan baju dan kain shawl yang dipakainya kelihatan bergelombang. Maka, Harith tidak melepaskan peluang itu untuk menangkap beberapa lagi gambar Humaira. Namun, debu-debu pasir yang turut sama bertempiaran ditiup angin laut itu menerpa muka Humaira dan termasuk ke dalam matanya. Harith terhenti daripada meneruskan menangkap gambar setelah melihat Humaira yang sudah terkelip-kelip mata dan menggosok mata dengan tangan.
“Aira, kau ok tak? Kenapa? Pasir masuk mata ke?”, tanya Harith sambil mencuba untuk melihat mata Humaira.
Tangan Humaira yang masih menutup mata yang terasa pedih itu menghalang pandangan Harith langsung dia memegang tangan itu dan mengalihkan ke tepi. Muka mulus itu dipegang dengan kedua-dua belah tangannya dan diangkat sedikit muka Humaira untuk memudahkan dia melihat terus ke dalam mata Humaira.
“Kejap, kau jangan gerak. Biar aku tengok. Cuba kau buka mata.”, ujar Harith lagi seraya meniup halus mata Humaira yang sudah terbuka sedikit. Dia meniup beberapa kali supaya mata Humaira mengeluarkan air mata untuk membasuh pergi debu pasir itu. Setelah Harith dapat melihat ada beberapa debu pasir halus yang meniti di bawah mata Humaira yang sudah berair itu dia pun cuba membersihkannya menggunakan ibu jari dengan begitu berhati-hati.
Setelah menutup dan membuka mata beberapa kali mata Humaira yang pedih itu sudah berkurangan dan dia sudah dapat melihat dengan jelas semula. Kini, apa yang sedang terpamer di hadapan mata Humaira saat itu membuatkannya tiba-tiba berdebar dan mukanya mula terasa panas. Wajah Harith begitu dekat dengan mukanya sambil kedua-dua tangan sasa itu masih lagi menyentuh pipinya. Humaira terpana buat seketika dan lidahnya menjadi kelu.
Humaira yang mula terkebil-kebil tanpa bersuara itu membuatkan Harith sedikit risau sekiranya sepasang mata itu masih terasa pedih. Lantas, Harith makin mendekatkan wajahnya ke wajah Humaira dan cuba melihat ke dalam mata Humaira sekiranya masih ada sisa debu pasir di dalam mata itu. Keadaan itu menambahkan lagi debaran kencang di dada Humaira. Dia terasa dadanya bagaikan ingin meletup pada saat itu.
“Ada pasir lagi ke? Pedih lagi ke?”
Wajah Harith makin mendekat untuk meniup kembali mata itu, namun dengan pantas Humaira menutup matanya dan cuba menepis tangan itu. Dia memusingkan badan membelakangi Harith bagi menyembunyikan mukanya yang sudah merah padam mengalahkan buah tomato agaknya.
“Aa.. Tak apa, tak apa. Aku dah ok. Serious. Aa.. Eh, aku nak pergi sana la weh. Kesian pula mak dengan ayah tunggu lama nanti.”, ujar Humaira dengan sedikit gugup.
“Oh, ok. Jom lah pergi sana sekali. Mak dengan ayah memang tengah pandang dah tu.”
Harith seperti masih tidak menyedari situasi yang dialami Humaira itu dan dia hanya mengekori Humaira dari belakang. Manakala Humaira pula sudah menyentuh kedua-dua belah pipi dengan belakang tangannya demi meredakan rasa panas di muka yang seperti tidak mahu surut. Humaira juga sudah mula mengipas-ngipas mukanya dengan tangan. Seboleh-bolehnya dia berjalan dengan laju supaya Harith tidak berjalan menyainginya di sebelah.
‘Allah, Aira.. Apa kena dengan kau ni ha..? Tu lah orang kata, kalau dah berdua-duaan tu ada je makhluk yang ketiga iaitu Nates (‘Setan’ apabila dibaca terbalik). Siapa suruh kau stay je macam tadi tu? Kan dah malu sendiri, adoi.. Fuh, fuh.. Aira, kau kena cool.. Malu kalau dia dapat tau ni..’
“Aira, Rith, dah puas ambil gambar dah? Ayah tengok seronok betul awak berdua bergambar kat sana tadi. Siap ber-posing lama bagai. Hahaha.”
“Of course best, ayah.. Mak dengan ayah patut pergi sana sekali, boleh kita ambil gambar sama-sama. Eh, ni sebelum kita gerak tengok dalam bangunan apa kata kita ambil gambar ramai-ramai dulu nak? Ambil gambar dekat bahagian sana la, cantik sikit. Jom.”, ujar Harith dengan rasa teruja. Dia meminta tolong kepada seorang pengunjung yang berdiri berdekatan mereka untuk menangkapkan gambar mereka berempat.
Humaira sudah berdiri di sebelah kanan Pn. Zahrah dan di sebelah kiri Humaira yang kosong itu diisi dengan kehadiran Harith di sebelah. Mereka berempat tersenyum gembira. Itu merupakan gambar pertama mereka bersama setelah hari pernikahan yang lalu. Kemudian, untuk gambar yang seterusnya Harith tiba-tiba meletakkan tangannya di atas kepala Humaira dengan bersahaja dan itu membuatkan Humaira menoleh ke arah Harith. Harith turut menoleh ke arah Humaira sambil tersengih. Akhirnya, tangan itu jatuh berjuntai di atas bahu Humaira pula, manakala tangan sebelah Harith menolak pipi Humaira untuk melihat ke hadapan.
Klik! Klik! Klik!