Tak cukup dengan Shah Alam, sampai ke
Putrajaya Maira membawa Emili meronda. Semuanya semata-mata nak mencari tempat
lepak yang memenuhi piawaian Maira.
“Taubat nasuha aku nak bawak kau lepak
sambil bincang di restoran. Malu gila kot!” tempelak Maira. Kereta Viva Emili
dipandu dengan kelajuan sederhana. Emili pula hanya bungkam di kerusi sebelah
pemandu.
“Kau pun satu! Agak-agaklah nak kenakan
aku! Kau memang sengaja nak kenakan aku tadi, kan?”
Emili tidak menjawab. Pandangannya redup.
Mata sepetnya berubah kuyu. Hatinya terasa dengan penerimaan Maira tadi. “Kalau
aku cakap aku serius macam mana? Kau jangan tekan brek mengejut!”
Emili terlambat beberapa saat untuk
memberikan amaran itu. Kaki Maira lebih laju menekan brek hingga berdecit bunyi
tayar kereta itu.
Emili mengurut dadanya. Mujurlah dia
memakai tali pinggang keledar. Kalau tak, sah-sah mukanya melekap didashboard kereta. Itu pun kalau nasibnya baik. Kalau tak baik, silap-silap boleh
terpelanting keluar dari cermin hadapan keretanya. Mujurlah tiada kereta di
belakang mereka. Emili pejam mata. Cepat-cepat dia membuang semua prasangka
‘kalau tidak’ itu.
“Kau ni! Drama tu sikit-sikit dahlah.
Turun! Bagi aku drive! Karang belum
sempat aku bersanding dengan abang kau, tak pasal-pasal aku mati muda pulak!”
tempelak Emili geram.
Maira pandang tepat wajah serius Emili.
Sudah masuk kali ketiga Emili mengulang ayat yang sama. “Jadi, pengakuan kau
tadi memang betul?”
Emili tidak segera menjawab. Dikuak kasar
pintu kereta dan dia terus menuju ke pintu sebelah pemandu. “Turun! Akudrive!”
Maira akur. Dalam fikiran yang masih tidak
sepenuhnya normal, dia menonong berjalan ke sisi sebelah penumpang. Elok saja
masuk, duduk Maira dihala ke arah Emili dan bukannya ke jalan raya. Matanya
tepat mencari mata sepet gadis itu.
“Ini gurauan ke betul-betul?”
‘Sama aje soalan mak dengan anak...’
rungut hati Emili. Bibirnya diketap kuat. Tiada jawapan yang keluar hingga ke
destinasi yang dituju. Tasik Putrajaya!