Jam di dinding berdenting enam kali. Fahim
pandang sekilas ke dinding. Luar pejabatnya juga sudah sunyi. Lengang. Hanya
dia yang masih tekun di meja pejabat. Barangkali ada dua, tiga orang rakan
sejawatnya yang masih di bilik masing-masing. Dia sendiri tidak tahu dan tidak
ambil peduli. Yang penting, kerja yang berbaki harus disiapkan sebelum bercuti
panjang untuk membuat persediaan ke United Kingdom.
Usai menyemak tugasan pelajar, Fahim
membelek pula skrin desktopnya. Kotak e-mel
dibuka. Bibir Fahim mengukir senyum. Ada tiga e-mel yang belum dibaca daripada
Emili. Pantas jarinya menekan-nekan butang tetikus. E-mel terbuka.
My dear Mat,
Tahniah! Tercapai juga impian awak nak ke
UK, buat Ph.D kan? Saya tumpang gembira... tapi dalam masa yang sama, saya juga
sedih. Lepas ni, kita akan terpisah lebih jauh. Awak belum pergi saya dah
rindu. Manakan tidak, ada telefon, nak jugak awak guna e-mel! Nak tunggu awak
balas satu hal. Bercintalah saya dengan laptop ni. Menjadi penunggu setia.
Kalau laptop ni boleh cakap, dah lama dia cakap. “Bosan aku tengok muka kau
hari-hari!”
Sengihan Fahim
melebar. “Lagi bagus guna e-mel daripada telefon. Kalau e-mel bolehcontrol sikit perasaan tu.
Kalau telefon? Haiya... Mili... entah serius ke tak budak ni,” gumam Fahim.
Bibirnya diketap. Cermin matanya yang tersangkut di batang hidung dibetulkan
sebelum meneruskan bacaan.
Bila awak nak berterus terang dengan
keluarga awak? Saya takut dia orang tak boleh terima hubungan kita. Sampai bila
kita nak berahsia? Apa yang awak takutkan sangat? Sampai bila kita nak teruskan
percintaan jarak jauh kita ni? Bila dekat macam tak kenal, macam tak rapat.
Cakap pun malu-malu... Tapi bila jauh... bukan main lagi berbalas e-mel.
Awak... awak betul-betul sayang saya, kan?
Saya ada bagi klu pada Mak Diah. Tapi...
Mak Diah nampak macam terkejut aje. Tak sudi ke dia kalau betul-betul saya jadi
menantu dia? Agak-agak Maira boleh terima tak kalau bestfriend dia jadi kakak
ipar dia? Saya takut keluarga awak tak boleh terima. Saya sayang keluarga awak.
Kita dah macam satu keluarga. Saya risau, kerana cinta kita keluarga awak dah
tak nak sayang saya lagi. Mana tahu dia orang tak boleh terima?
Bulat mata Fahim membaca perenggan itu.
“ALLAHUAKBAR! Mili ni biar betul? Serius ke dia? Kan ke muda lagi? Baru umur 22
tahun dah fikir nak kahwin? Mampus Tauke Liew kejar aku nanti!”
Dada Fahim sesak tiba-tiba. Jantungnya
berdegup kencang. Bait-bait gadis itu menunjukkan kesungguhannya dalam hubungan
rahsia ini. Fahim kaget!
Fahim... saya rasa lebih baik kita
berterus terang dengan keluarga awak tentang hubungan kita sebelum awak
berangkat. Saya bimbang. Awak jauh... dan akan pergi lagi jauh. Saya macam
boleh rasakan yang... suatu hari nanti awak akan terus menjauhi dan melupakan
saya.
Kalau hubungan ini betul-betul serius, ada
baiknya kita suarakan. Untuk apa dirahsiakan? Ke mana hala tuju hubungan kita?
Adakah akan sampai ke jinjang pelamin atau hanya saya yang beria-ia? Saya
perlukan kepastian...
Regards,
Emili
Fahim menanggalkan cermin matanya lalu
diletakkan di atas meja kerja. Pelipisnya diurut berkali-kali. Tiba-tiba
dunianya terasa berpusing. Wajah Emili dan Mak Diah silih berganti. Diganti
juga dengan wajah adik-beradiknya, Kak Murni dan Maira. Selama ini, dia lebih
suka berahsia tentang hubungan itu. Tapi... permintaan Emili ini dirasakan
berat untuk ditunaikan.
“Sebab ini ke Mili tak nak sambung
belajar? Sebab leka dibuai cinta?” Hati Fahim mula bimbang. Macam-macam perkara
buruk singgah di mindanya. Tentang masa depannya dan masa depan gadis Cina itu.
Malah, tidak terkecuali juga tentang air muka keluarganya. Fahim kusut. Wajah
Tauke Liew yang telah banyak menabur budi turut terlayar di kotak fikirannya.
“Macam mana kalau Mili tahu aku sebenarnya
tak menaruh harapan tinggi pada hubungan ni?” Fahim berbicara sendiri. Dia cuba
meneka reaksi gadis Cina yang kecil molek itu. Akan terhapuskah keceriaan di
wajahnya? Akan terputuskah hubungan silaturahim yang terbina? Fahim buntu.
Hatinya berbelah bahagi. Lalu, Emel itu dipandang sepi. Terimbas peristiwa yang
merapatkan hubungannya dengan Emili dua tahun lalu.
Dua tahun lalu...
Fahim resah. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah terasa lambat meskipun
kereta yang dinaikinya meluncur laju melebihi had kelajuan lebuh raya. Hatinya
dipagut rasa bimbang. Panggilan telefon daripada Emili yang diabaikan akhirnya
membuatkan dia menyesal sendiri. Dia langsung tidak menyangka panggilan Emili
kali ini betul-betul penting.
Sebelum ini, gadis itu suka membuat
panggilan kosong. Sekadar bertanya khabar. Jadi, Fahim yang sudah terbiasa
menekan butang ‘reject’ terus melakukan perbuatan yang sama tanpa berfikir
panjang. Natijahnya... menyesal pun tak berguna!
“Im! Kat mana ni? Kenapa tak jawab Milicall tadi?” Bertubi-tubi soalan Kak Murni tatkala dia menjawab panggilan
itu. Tika itu, dia baru selesai makan malam bersama ahli-ahli panel seminar
yang dihadirinya.
“Im adameetingtadi. Seminar tentangresearch Im. Kenapa ni,
kak?” reaksi Fahim masih rileks. Belum dapat meneka apa yang terjadi. Tapi,
sedikit sebanyak suara cemas kakaknya turut mengundang rasa debar di hati.
“Mak! Mak masuk hospital! Akak dahon
the waybalik ni. Im balik cepat okey? Mili kata
mak dah kritikal...”
Saat itu, Fahim rasa dunia sekelilingnya
kelam. Berita itu bagaikan renjatan elektrik yang menghentikan degupan
jantungnya buat seketika. Lidah Fahim kelu. Dadanya berombak deras.
“Im! Im! Dengar tak ni?” panggil Kak
Murni, nyaring.
Corong telefon bimbit itu Fahim lekapkan
rapat-rapat ke telinganya. “De... dengar kak. Akak kat mana? Jauh lagi ke?
Macam mana mak sampai boleh masuk hospital ni? Siapa ada dengan mak?” Giliran
Fahim pula menyerang Murni dengan soalan bertubi-tubi. Kala itu, dia langsung
tidak peduli berpasang-pasang mata yang melihat air matanya tumpah.
“Mili... dia yang ada dengan mak. Dah dua
hari dia tunggu mak kat rumah, jaga mak. Kakak outstation dua hari ni. Hari tu, dia cakap demam biasa aje, tapi malam ni mak
makin teruk. Bila Mili bawa ke hospital terus kena tahan. Doktor cakap mak kena
denggi...” hurai Kak Murni serba ringkas. Matanya masih terfokus pada pemanduan
yang sedikit terganggu apabila sebelah tangannya terpaksa memegang telefon
bimbit.
Fahim hilang kata-kata. Dengar saja
penyakit denggi, badannya seram sejuk. Adakah peristiwa hitam dalam keluarganya
akan berulang kembali? Fahim kaget.
“Im! Im! Akak tak boleh lama pegang
telefon ni. Kakak tengahdrive. Balik segera
okey! Ini akak terus ambil Maira di kolej. Im terus ke hospital aje,” pesan Kak
Murni lagi sebelum mematikan talian.
Fahim terus terduduk di lantai. Seketika,
dia cuba mengutip semangat yang berbaki. Macam-macam benda buruk terlayar di mindanya.
Tiada satu pun yang elok. Bayangan kisah silam melatari sekelilingnya. Dia
bagaikan ternampak susuk tubuh ayahnya memeluk tubuh seorang kanak-kanak lelaki
yang terkulai lemah sudah tidak bernyawa. Dadanya berdengup kencang. Tangan
Fahim menggeletar ingin menggapai susuk tubuh itu. Dahinya berpeluh-peluh.
Fahim kaku terduduk
di lantai lobi. Hanyut dalam dunianya hinggalah teman sekerjanya menegur,
barulah Fahim kembali ke dunia realiti. Lenyap semua ilusi yang dilihatnya
tadi. Wajahnya diraup. Bibirnya beristighfar panjang.
“Awak okey?” tanya Dr. Fendi, teman
sekerja merangkap penyelia projek penyelidikan yang disertai oleh Fahim.
“Maaf, doktor... saya kena pulang ke Kedah
sekarang. Mak saya tengah tenat di hospital,” ujar Fahim dengan nada lirih. Air
liurnya ditelan berkali-kali. Kerongkongnya terasa kesat. Dia cuba fikirkan
benda yang baik-baik, tetapi gagal. Perasaan negatif lebih banyak menguasai
diri hingga tubuhnya menggigil.
Dr. Fendi terkedu. Melihat reaksi Fahim
begitu, dia yakin bukan suatu petanda baik. “Baik awak gerak sekarang, Fahim.
Atau awak nak kami semuaescort awak balik? Saya
tiada masalah. Seminar ni pun dah dapat kata sepakat. Untuk program esok dah
tak penting. Kita boleh tangguh. Mak awak lebih penting sekarang ni.”
Fahim tak mampu untuk membuat keputusan.
Otaknya tak boleh berfikir secara normal. Terlalu banyak benda yang difikirkan
ketika itu. Sedar-sedar, Fahim sudah berada di dalam kereta Honda Accord milik
Dr. Fendi. Sepanjang perjalanan, dia cuba bertenang dan beristighfar.
KETUKAN di muka pintu bilik Fahim mengejutkannya daripada lamunan
panjang. Hilang bayangan hospital. Yang ada di hadapannya kini wajah lelaki
berkumis nipis, berkaca mata tebal dan perutnya yang agak memboyot. Fahim
angkat kening.
“Jauh termenung, Im? Nak tidur kat ofis
ke? Dah azan maghrib pun. Bawak-bawaklah balik rumah... kerja tu tak akan
habis, Im...” Prof. Hafiz menegur Fahim yang nampak leka merenung skrindesktop. Pada fikirannya, Fahim leka dengan kerja hingga tak sedar waktu solat
sedangkan hakikatnya Fahim melamun jauh.
Fahim termalu sendiri. “Eh, dah magrib ke?
Tak sedar pulak saya. Memang dah nak balik pun. Sajacheck e-mel sebelum balik. Mana tahu ada e-mel penting.”
Prof. Hafiz mengangguk tanda faham.
“Eloklah macam tu. Jangan sebab leka mengejar kerja di dunia, kita terlupa
kerja kita dengan TUHAN, ya Im?” pesan Prof. Hafiz. Sekadar mengingati sesama
umat. Fahim juga merupakan bekas pelajarnya. Kecemerlangan Fahim dalam akademik
menjadi kebanggaannya. Justeru, adakala dia suka menjadi penasihat tidak
berbayar kepada anak muda itu. Bimbang bekas anak murid kesayangannya tersasar
daripada landasan yang benar dan diredhai kerana kejarkan hal duniawi.
Fahim mengangguk sambil tersenyum. Dia
bingkas mengemas meja kerja dan menutup komputer kerjanya. Perihal e-mel Emili
terus dia terlupa dengan sendirinya.
EMILI terkebil-kebil melihat skrinlaptop. Peti e-mel masih sama. Tiada pesanan baru yang singgah. Gelisah.
Bimbang. Rasa ingin tahu. Semuanya bercampur baur. Saat itu, Emili rindukan
teman rapatnya untuk berkongsi cerita. Hingga kini, setelah hampir dua tahun
serius bercinta dengan Fahim, rahsia itu masih kukuh tersimpan di lubuk
hatinya. Kali ini, dia sudah tidak mampu menahan rahsia ini seorang diri.
Sesorang harus berkongsi perasaan dengannya!
“Tengok reaksi Mak Diah... gerun pulak aku
nak berterus terang yang aku bercinta dengan anak teruna dia dalam diam.
Tapi... kalau tak bagitahu... aku yang makan hati. Aduh, macam mana ni? Aku
perlukan kau, Maira,” bisik Emili perlahan.
Wajah Mak Diah sekeluarga yang terpampang
di skrinlaptop dipandang lama. Dalam banyak-banyak wajah
itu, matanya hanya terfokus pada seraut wajah yang sentiasa menjadi igauan
mimpi. Membuai lena-lena indahnya.
“Terima kasih banyak, Mili. Saya tak boleh
bayang apa akan jadi kalau awak tak ada dengan mak saya. Terima kasih banyak
sebab ambil berat pasal mak saya. Saya... saya...”
Terimbau detik pertama kali Fahim berbual
dengannya tanpa rasa segan atau malu-malu. Sebelum ini, Fahim hanya berbalas
senyum atau sekadar menegurnya sepatah dua kata. Tapi, sejak peristiwa Mak Diah
dimasukkan ke wad akibat denggi... hubungannya dengan Fahim makin mesra.
Sebelum ini, dalam diam dia menyukai
lelaki itu. Semuanya dipendam jauh di lubuk hati. Tetapi, sejak peristiwa di
hospital dua tahun lalu... sejak Fahim mengetahui dialah yang mendermakan darah
pada saat-saat kritikal itu, lelaki yang sedingin ais sudah bertukar menjadi
seramah-ramahnya. Sudah boleh diajak berbual dan bergurau. Dan bibit-bibit
cinta pun mula bercambah. Perasaan yang disimpan kemas makin kembang mekar.
Cuma... sebagai menghormati permintaan Fahim, dia terpaksa bersetuju untuk
merahsiakan hubungan cinta mereka dan mengikut syarat-syarat ketat Fahim.
“Tak boleh jadi ni. Lagi lama aku
pendam... satu kerja pun tak boleh buat!” rungut Emili. Dia bingkas bangun dan
menarikbag-pack yang tergantung di belakang pintu.
Beberapa helai pakaian disumbat ke dalam beg itu.
Usai mengemas serba ringkas, Emili terus
keluar. Destinasinya cuba satu. Senyuman lebar mula terukir di bibirnya.
Menghapus resah yang menyelubungi tangkai hatinya tadi.