HAMPIR seminggu Emili mengikuti kelas
bimbingan agama dan kauseling dengan Ustazah Arbaiyah. Itu pun atas usaha gigih
Maira mencari Ustazah yang pernah mengajarnya ketika di bangku sekolah dulu.
Melalui ustazah itu, Emili belajar banyak perkara sebagai persediaan sebelum
memeluk Islam. Tentang hakikat, tanggungjawab dan persediaan ke gerbang
perkahwinan. Rupa-rupanya, banyak benda yang dia belum bersedia. Malah, kelas
bimbingan yang diikuti itu pun tanpa pengetahuan sesiapa kecuali Maira.
Setiap apa yang diajari oleh Ustazah
Arbaiyah seperti pengertian Rukun Iman, dan Rukun Islam Emili faham. Kerana
sudah lama dia didedahkan tentang itu. Malah, sejak berkenalan rapat dengan
Fahim, dia sudah mula menghafal Rukun Iman dan Rukun Islam. Cuma... hatinya
tiba-tiba keliru bila diajukan satu soalan oleh Ustazah.
“Apa niat kamu nak memeluk Islam? Adakah
sebab kamu cintakan Fahim, atau kamu benar-benar terbuka hati untuk mendalami
agama suci ini?” Soalannya ringkas. Tapi, lidah Emili kelu untuk menjawab.
Sungguh! Emili benar-benar terkedu. Saat
itu, dia rasa hidup bagaikan kosong. Jiwanya terasa dahagakan sesuatu. Tetapi,
dia sendiri tidak pasti apa yang dia perlukan. Antara agama suci dan cinta yang
berputik pada Fahim, mana satu yang lebih dominan?
Melihat Emili yang mula hilang kata,
Ustazah Arbaiyah memberikan masa untuk Emili berfikir sedalam-dalamnya. Dia
mahu Emili menilai dengan hati yang tulus. Dan bukannya dengan nafsu yang
membelenggu sekeping hati.
“Jika agama yang awak pilih, nescaya
berbahagialah awak.”
Sebaris ayat itu cukup mendalam maksudnya.
Hati Emili kecut. ‘Apakah pilihan aku yang sebenar-benarnya?’
“DAH jumpa apa yang kau cari?”
Emili menggeleng. Wajah Maira dipandang
dengan rasa sayu. “Bila aku fikir soalan ustazah tu... aku rasa kosong.
Perasaan cinta pun tiba-tiba macam lenyap. Fahim yang membisu seribu bahasa.
Hati aku pulak... macam... macam ada sesuatu yang lompong. Tapi, aku tak tahu
apa benda.”
Maira usap perlahan belakang tubuh Emili.
Wajah sahabatnya nampak keliru Demi Emili, dia sanggup pulang setiap hujung
minggu. Masuk minggu ini, sudah tiga minggu berturut-turut dia pulang ke
kampung. Mujurlah dia tiada kelas pada hari Isnin pagi untuk semester itu.
Jadi, tidaklah dia tergesa-gesa sangat.
“Okey... cadangan aku kan... apa kata kita
tangguh dulu rancangan kau nak kahwin dalam masa dua bulan tu. Lagipun masa dua
bulan tu dah nak tamat. Tinggal tiga minggu lagi sebelum abang aku berangkat.
Mana sempat nak buat apa-apa. Ini dah tolak soal adatlah. Maksud aku, prosesconvert
juga makan masa.Convertdalam erti kata
sebenar. Aku nak kau jiwai dengan hati yang tulus. Hati yang suci. Bukan dalam
keadaan tergesa-gesa. Aku nak kau ada persediaan yang rapi sebelum bergelar
isteri. Banyak benda kau belum faham. Boleh tak kali ni, kau ikut nasihat aku?”
“Maksud kau?”
“Maksud aku mudah aje. Aku nak kau
betul-betul bersedia. Jangan buat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa. Kau
orang dah pun berkongsi perasaan yang sama. Rasa cinta. Rasa sayang. Tak salah
kalau kau tahan kejap perasaan tu, dengan melakukan persediaan lain yang lebih
besar erti dan pahalanya. Bila dah lafaz syahadah nanti, kau kena ikut semua
program untuk mualaf. Kau kena ikut kelas fardu ain, kelas agama dan
macam-macam program asas untuk mualaf. Lagi satu... benda-benda ni semua
perlukan semangat yang kuat. Kalaulah... kau berangkat ke UK terus lepas kau
convert, kau tak sempat nak belajar semua tu.
Alangkah ruginya...”
Emili cuba mencerna maksud yang cuba
disampaikan oleh Maira. “Tapi... pusat untuk mualaf kan ada jugak dekat UK?
Boleh aje aku nak belajar kat sana.”
“Hmm... boleh tu, boleh... tapi aku takut
kau tak selesa.”
“Kenapa?” Emili makin bingung.
Jawapan-jawapan Maira seolah-olah tidak menggalakkan dia berkahwin.
“Dekat sana kan... kau akan belajar
agama... dalam English. Boleh ke?”
Gulp! Emili telan air liur.
Maira tahan ketawa. Bibirnya diketap kuat.
Dia tahu Emili mula menimbangkan cadangannya semula. Bukan dia tak tahu, Emili
cukup muak untuk berbahasa Inggeris. Lidahnya pelat untuk bertutur dalam bahasa
antarabangsa itu.
“O... key... aku ikut nasihat kau. Tapi
kalau kat sini, kau tak tinggal aku, kan? Kau akan tolong aku yakinkan papa
dengan Mak Diah, kan?”
“Ya. Aku kanpartner-in-crime kau!Best-friend-forever no matter what! Mestilah aku ada bila kau perlukan aku!”
“Cakap Melayu boleh tak? Tak payah nak
poyo sangat cakap bahasa Inggeris dengan slang-slang Mat Saleh tu.” Muka Emili
tiada riak. Marah pun tak, senyum pun tidak. Tapi, cukup mencuit hati Maira.
Kali ini, Maira benar-benar tak dapat nak
menahan ketawa. Nampak gayanya, memang Emili betul-betul anti dengan bahasa
Inggeris!
“Kau ni kalau dah boleh gelak... tak ingat
dunia,” rungut Emili, geram. Wajahnya mula mencuka. Sudah tahu dia ada sejarah
silam dengan cikgu bahasa Inggeris dulu hingga dia benci subjek itu, pura-pura
pula tak tahu. Nak jugak tunjuk pandai cakap dengan slang berhabuk.
“Okey, okey! Aku mintak maaf!”
Emili angkat kening. “Satu lagi...”
“Apa?”
“Kalau dalam masa dua tahun ni, hati Fahim
terpaut dengan awek Scottish macam mana?”
Polos soalan Emili membuatkan Maira
tersengih. “Kau betul-betul cintakan dia, kan?”
Emili mengangguk laju. “Mestilah! Muka
dahlah macam hero Malaya! Gila tak jatuh cinta?”
“Sabar. Kita usaha, doa dan tawakal. Tapi
untuksteppertama, belajarlah cintakan ALLAH Yang
Satu dulu. Sebab cinta DIA pada hambanya takkan mati, takkan berubah. Cinta
manusia sesama manusia biasanya ada pasang surut. Tapi kalau kau kukuhkan
tiang, insya-allah... rumah yang
bakal kau bina akan kukuh. Tapi kalau tiangnya goyah, mustahil rumah itu akan
berdiri teguh. Faham maksud aku?”
Lambat-lambat Emili mengangguk. Kata-kata
Maira ada benarnya daripada segi logik. Meskipun dia tidak dapat menangkap maksud
itu dengan jelas 100%, tapi analogi yang diberikan oleh Maira sedikit sebanyak
membantu dia untuk memahami satu konsep mudah dalam hidup. Erti sabar. Erti
kepercayaan kepada TUHAN.
“Okey, yang ni yang terakhir untuk hari ni
dan untuk minggu ni sebelum kau balik kampus.”
Maira tersengih sambil geleng kepala
dengan keletah Emili. “Ya... apa dia, Cik Mili sayang?”
“Kau agak-agak... Ustazah Arbaiyah ada
ambil suplemen tak? Aku tengok dia macam semput-semput aje. Jalan pun tak
berapa nak larat. Kalau aku promosikan suplemen yang aku jual ni dekat dia,
okey tak?” Emili bertanya tanpa perasaan.
“Kau ni!”