SUASANA restoran Ayam Penyet Seksyen 7, Shah Alam agak penuh dengan
pelanggan yang belum putus sejak setengah jam lalu. Di sudut kanan restoran
itu, Emili dan Maira menikmati hidangan dengan penuh berselera. Maira sudah dua
kali bertambah nasi. Emili pun tidak melepaskan peluang. Kebiasaannya, dia
kurang gemar makanan pedas tetapi kali ini, dia tidak mahu kalah dengan Maira.
Biar pijar bibirnya hingga merah menyala. Digagah juga dia menelan.
Kenikmatan masakan yang cukup rencah
membuatkan Emili lupa pada pantangnya yang satu. Sanggup dia meneguk air sejuk
berkali-kali sambil disulam dengan kunyahan nasi ayam penyet. Pantang larang
yang dipegang lebur. Selalunya, Emili cukup pantang makan nasi bersulam air.
Itu petua yang dipegang untuk mengelakkan perut buncit.
Maira sudah tersandar kekenyangan. Ketawa
mereka bersatu apabila mata mereka bertentang. Satu kepuasan!
“Sekarang, aku faham kenapa kau tak
kurus-kurus walaupun kena duduk di asrama! Dan berjauhan daripada mak.”
Maira mencebik. “Eleh. Buat sakit otak aje
nak berdiet-diet bagai. Makan makanan seimbang sudah. Selagi makanan yang aku
ambil cukup nutriennya, kira okeylah tu,” balas Maira. Tak mahu mengalah
langsung.
“Masalahnya, Cik Syarifah Alya Humaira...
makanan yang kau ambik ni... cukup nutrien ke terlebih nutrien? Kalau macam ni
gaya kau makan... mimpilah kau nak dapat badan macam Erra Fazira. Apatah lagi
nak dapat pinggang kerengga macam aku ni!” Tepat, padu. Tajam ke lubuk hati
Maira kata-kata Emili itu. Pedas sambal lado yang dimakan tadi, pedas lagi ayat
Emili.
“Alah, esok akuworkout la!”
“Pukul berapa?”
“7.30 pagi!”
“Boleh percaya ke?”
“Mestilah boleh! Bulan lepas aku turun 500
gram lepasworkout...”
“Malam ni, naik lima kilo!” pintas Emili
sebelum sempat Maira memuji dirinya lebih jauh lagi.
“Weh! Apa pulak isu makan termasuk dalam
masalah ‘besar dan kecik’ kau tu. Makan untuk hidup. Perut kenyang hati senang,
beb! Lagipun... aku ni tengah studi. Bukannya jual ubat kurus macam kau! Orang
nak studi kena cukup makan minum baru otak boleh berfikir dengan kreatif dan
kiritis.” Maira paku Emili dengan hujah yang agak ilmiah. Otaknya makin ligat
mencari alasan. Dia tahu kalau Emili bersyarah tentang isu kesihatan memang dia
akan kalah!
Emili hantar pandangan tajam. Maira cukup
kenal pandangan yang mula berubah sinis itu. ‘Satu... dua... tiga...’
“Suplemen untuk slimming dah habis makan
ke belum?”
‘Kan aku dah kata!’ bentak hati Maira.
Lambat-lambat Maira menggeleng. “Alah, sikit aje lagi...”
Emili tayang muka tak puas hati.
Pinggan-pinggan yang bersusun di depannya dan tubuh gempal Maira dipandang
silih berganti.
“Ni apa hal tenung aku dengan
pinggan-pinggan ni pulak? Hah... tak payah nak buat isu ya? Poyo aje nak kira
kalori yang aku makan. Kau pun melantak tak ingat dunia tadi!” Maira
cepat-cepat menuding jari.
Emili hilang kata untuk berbahas tentang
isu suplemen dan kalori dengan Maira. Ada saja idea sahabatnya untuk mengelak isu
diet. “Okey, kau menang. Untuk malam ni aje!”
Maira tersenyum bangga. Untuk pertama
kali, Emli kalah dalam perbahasan gaya hidup sihat. Kebiasaannya, Emili yang
lantang bersuara tentang kalori. Malah, paling dia tidak boleh terima bila dia
dipaksa makan pil-pil untuk membakar lemak. Itu belum masuk bab makanan
kegemarannya dicatu tanpa belas kasihan.
“Ceritalah pada aku... apa masalah ‘besar
dan kecik’ kau tu?” soal Maira sambil menyedut air sirap bandung dengan laici.
Wajahnya nampak gembira dengan kemenangan itu. Dipandang sekilas wajah keruh
Emili.
“Aku dah jatuh cinta...”
Maira terus tersedak. Sirap bandung yang
disedut tadi berjejeh sedikit di mulutnya. Merah padam wajahnya bila
terbatuk-batuk dengan kuat. Aksi Maira itu mencuri tumpuan pengunjung lain yang
sedang menjamu selera.
Emili segera menghulurkan air kosong kepada
Maira. Tajam Maira membalas pandangan Emili.
“Kau okey?” tanya Emili selamba. Wajahnya
tanpa riak.
Maira yang baru reda dari batuk tadi
mengangguk. Perit rasa tekak dan hidungnya. Apatah lagi bila tersedak selepas
makan sambal lado yang pedas! Pijar di tekak dan dalam hidung tak dapat
digambarkan dengan kata-kata! Air kosong yang disua oleh Emili diteguk rakus.
“Aku jatuh cinta dengan abang kau!”
“Pufff!” Menyembur air kosong yang diteguk
oleh Maira tadi. Tepat kena ke muka Emili.
Maira tunduk malu. Rapat. Langsung tak
berani nak pandang muka Emili. Apatah lagi wajah pengunjung di restoran itu.