Home Novel Komedi/Romantik Komedi Siapa Tak Sayang Bini?
Siapa Tak Sayang Bini?
Nur Insyirah
1/4/2014 16:12:17
108,329
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 13

L

APANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) tidak berapa sesak malam itu. Hanya ada sekumpulan dua rombongan yang menghantar ahli keluarga dan sahabat handai ke situ. Barangkali bakal berangkat ke destinasi jauh dalam tempoh yang lama seperti Fahim.

Mak Diah, Kak Murni dan Maira datang menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh Emili. Datang mereka terus dari Kedah untuk mengucapkan selamat jalan kepada Fahim. Manakala Fahim pula sejak dua hari lalu sudah berada di Kuala Lumpur. Dia langsung tidak menduga yang keluarganya akan datang malam itu.

Melihat riak wajah Emili yang keruh, Fahim dapat mengagak ini semua rancangan Emili dan Maira. Lebih mengejutkan apabila kelibat Tauke Liew turut muncul di situ. Difahamkan, Tauke Liew menaiki penerbangan dari Kedah semata-mata untuk berjumpa dengannya.

“Susah-susah aje uncle datang.” Fahim berasa segan. Lelaki itu terlalu banyak jasa dalam hidupnya.

“Bukannya uncle yang memandu ke sini.Pilot yang bawak. Uncle duduk saja. Tidur pun tak sempat, sedar-sedar dah sampai. Masa kenduri kesyukuran hari tu, uncle tak dapat nak jumpa kamu sebab ada urusan di Johor. Ini yang uncle datang jugak. Bila lagi nak jumpa hero uncle ni, kan?” Tersenyum bangga Tauke Liew melihat Fahim segak dengan sut serba hitam. Hanya tali lehernya yang kontra, berwarna merah.

“Terima kasih, uncle. Terharu saya... uncle dah banyak susahkan diri untuk saya sekeluarga.”

Tauke Liew segera menahan percakapan Fahim. “Jangan cakap macam tu. Kita dah macam satu keluarga. Kesudian mak kamu menjaga anak gadis uncle, langsung tak terbalas budinya. Duit boleh cari, Mat. Tapi, kasih sayang yang datang ikhlas dan tulus dari hati tak dijual di kedai-kedai.” Dalam maksud tersirat Tauke Liew.

Fahim mengangguk-angguk tanda faham. Matanya sempat melirik pada Emili yang sudah bertakung air matanya. Kali ini, wajah itu nampak asli. Tiada bulu mata palsu, tiada kanta lekap. Malah, wajahnya neutral tanpa mekap.

Dipeluk erat tubuh tua Tauke Liew yang masih kuat untuk bekerja. Ketika bersalaman, Tauke Liew sempat menyisipkan angpau di tangan Fahim.

“Eh! Uncle!” Bibir Fahim terkunci untuk terus berkata-kata bila Tauke Liew sekali lagi memberi isyarat diam.

“Terima kasih banyak, uncle,” ujar Fahim sebak. Suatu tindakan di luar jangkaannya.

Tauke Liew hanya mengangguk. Dia berundur sedikit untuk memberi ruang kepada Mak Diah pula. Tubuh Fahim hilang dalam pelukan seorang ibu. Berkali-kali pipi dan dahi Fahim dikucup. Terhinjut-hinjut bahu Mak Diah menangis. Sebak. Sedih. Gembira. Terharu. Semua bersatu dalam satu rasa. Padat hingga menyesakkan tangkai hati tuanya.

“Im... kat sana nanti, jangan lupa diri ya? Jangan lupa sembahyang. Doa! Doa! Doa! Mengaji jangan tinggal. Dugaan kamu di sana lagi hebat. Pandai-pandailah kamu bawa diri di tempat orang. Jangan mudah terpengaruh dengan benda-benda yang boleh merosak akidah ya, nak?”

“Dahlah, mak... tahulah Abang Im jaga diri kat sana. Dia dah besar pun,” sampuk Maira. Sayu pulak tengok emaknya tenggelam dalam lautan perasaan. Emak tetap emak. Apatah lagi berjauhan langkau benua dengan anak tunggal lelakinya.

Fahim mengangguk laju. Air mata yang membasahi pelupuk mata emaknya dikesat dengan belakang tangan. Matanya juga basah. Tangan tua itulah yang pernah menenangkan dia suatu ketika dulu. Tangan tua itulah yang pernah memimpin dia ke sekolah ketika dia takut untuk berhadapan dengan budak-budak kampung yang suka membuli dan mengejeknya. Parut di hatinya tergores kembali. Takkan pernah dia melupakan peristiwa itu.

“Ampunkan Im, mak. Halalkan makan minum, Im. Mak doakan Im pulang dengan kejayaan ya?”

Mak Diah mengangguk laju. Tubuh Fahim dipeluk lagi. Seketika, Fahim leka dalam pelukan emaknya. Terasa dunia itu hanya milik dia. Terimbas kembali pelukan yang sama dia dapat suatu ketika dulu. Masih sama hangatnya. Masih sama rencah sayangnya.

“Dahlah tu dik, oi. Tiga tahun bukannya lama... bukannya tak balik langsung, kan? Silap-silap dalam masa tiga tahun ni siap ada pakejhoneymoon lagi!” tegur Kak Murni sambil tersengih.

Mak Diah memukul lengan anak sulungnya. Murni merupakan anak yang paling cekal dan hati kering. Dialah yang paling susah mahu menangis. Jika adik-adiknya dibuli, dialah yang akan menjadi penyelamat.

Mak Diah mengikut Murni ke kerusi menunggu. Duduk di sebelah Tauke Liew. Penat berdiri, berpelukan dan tenggelam dalam emosi. Fahim pula memandang Maira dengan tanda tanya. Matanya mencari kelibat sesorang yang tiba-tiba hilang daripada pandangan.

“Jom, ikut adik...” bisik Maira perlahan. Mereka berdua pantas meninggalkan ahli keluarga yang lain di situ.

Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.