FAHIM duduk di meja bufet melayan tetamu yang mengambil makanan. Sambil
melayan tetamu, ekor matanya sempat memerhati kelibat Emili di sebalik tingkap
nako di atas rumah. Jarak khemah tempat dia berdiri dengan atas rumah itu
kira-kira 50 meter sahaja. Jadi, tak hairanlan matanya boleh menangkap susuk
tubuh yang sejak tadi mengekori pergerakannya.
“Tahniah, Mat! Lepas ni, jadi orang putih
la hang noo...” Pak Ali bergurau. Tangannya memegang pinggan yang hanya
mempunyai sisa tulang ayam goreng berempah.
Fahim hanya membalas gurauan itu dengan
senyuman nipis. “Jemputlah makan rojak pulak, Pak Ali. Bukan selalu dapat
kumpul ramai-ramai macam ni.”
Pak Ali menggelengkan kepalanya.
“Cukuplah, Mat. Kenyang dah ni. Nanti tak larat pulak Pak Ali nak jalan balik
ke rumah.” Lembut Pak Ali menolak pelawaan Fahim.
“Alah, Pak Ali... kalau tak larat nak
jalan suruh aje Mat hantar naik kereta besar dia tu. Bila lagi nak merasa naik
kereta mahal dia, kan? Takkan dengan orang kampung ni pun nak berkira?” sampuk
Sharip yang kebetulan sedang mencedok daging masak hitam ke dalam pinggannya
yang sudah peduh dengan pelbagai jenis lauk. Ayam goreng berempah saja tiga
ketul diambilnya.
Fahim hanya tersenyum pada Sharip, anak
sulung Mak Timah yang suatu ketika dulu pernah mengejeknya. ‘Inilah masanya!’
bisik hati Fahim.
“Betul jugak, Pak Ali... sementara saya
masih guna Honda Civic FD tu. Boleh saya bawak Pak Ali jalan-jalan sekali.
Lepas ni ingat nak tukar guna BMW pulak. Dengar kata beli di UK lagi murah dari
beli di Malaysia. Saya pulak cepat jemu pakai lama-lama kereta ni. Kalau boleh
nak tukar selalu.” Selamba Fahim menjawab. Mendada saja gayanya.
Sharip yang berniat untuk mengenakan Fahim
makin sakit hati. “Alah... sekarang kau dah kaya bolehlah kau berlagak, Mat.
Ingat sikit... rezeki kau tu ada bahagian untuk orang susah macam kami ni. Dah
senang janganlah nak berlagak pulak.” Rasa iri hati makin menebal di hati
Sharip. Manakan tidak, kereta yang dipandu oleh Fahim adalah kereta idamannya.
Dek menjadi jaguh di kampung, dia hanya mampu memandang kereta Fahim dari jauh.
“Eh! Aku tak pernah lupa pada orang susah
di kampung ni. Cuma orang kampung aje selalu buat-buat lupakan aku, Sharip.
Dulu, orang baling aku dengan batu. Manalah aku tahu sekarang ni ada pulak yang
teringin nak naik kereta dengan aku?”
Tajam. Pedas. Berapi kata-kata Fahim
hingga menyentap ke tangkai hati Sharip yang mula busuk. Dengkinya
menjadi-jadi.
“Eleh! Setakat BMW tu, aku boleh belilah.
Petik jari aje!” angkuh Sharip membalas. Tidak mahu kalah langsung! Malah, nasi
yang ditatang tadi dibaling ke tanah sebelum diludah dengan gaya yang
menjengkelkan.
“Blahlah! Baru dapat pergi luar negara dah
berlagak. Puii!” tengking Sharip lagi sebelum memecut laju motor Honda
kapcainya.
“Merasa jugaklah dia naik Honda...
walaupun Honda kapcai...” ujar Pak Ali. Bahu Fahim ditepuk-tepuk lembut.
Fahim tarik nafas dalam-dalam. Sekelumit
titik hitam dalam hatinya mula meronta-ronta. Beberapa pasang mata menoleh ke
arahnya. Majlis yang mulia itu tercalar sedikit kerana egonya.
Pak Ali kesal, rezeki yang lazat itu
terbazir di tanah dan dihurung lalat. Matanya memandang sayu nasi yang dibuang
oleh Sharip tadi. Betapa ruginya Sharip tidak menikmati rezeki Allah itu. Dia lebih rela menjulang
rasa marah. Wajah Fahim yang berubah riak, Pak Ali tenung sekilas. Terasa juga
dengan kata-kata pedas Fahim tadi.
“Sebelum kamu berangkat, Pak Ali nak mohon
maaf. Andai suatu ketika dahulu, masa kamu sekeluarga susah... Pak Ali pernah
lepas pandang akan kesusahan kamu sekeluarga. Penderitaan kamu, Pak Ali pernah
pandang sebelah mata. Ampunkan Pak Ali. Sekarang, kamu tiga beradik dah
buktikan pada kami. Ramai-ramai anak muda dalam kampung ni, kamu tiga
beradiklah yang paling menyerlah kecerdikannya.
Ternyata hidup ini umpama roda. Dulu, kamu
di bawah, dipijak, dicaci, dimaki. Sekarang, kamu di atas. Meninggalkan semua orang
kampung jauh beribu batu di belakang. Yang berjaya pun hanya layak untuk kerja
kerani. Tak seperti kamu tiga beradik. Murni dah jadi pengurus di kilang yang
rata-rata pekerjanya orang kampung ni jugak. Kamu dah jadi pensyarah. Dah nak
sambung belajar ke luar negara pulak tu. Adik kamu pun tak kurang hebatnya...
bakal peguam. Subhanallah! Janji ALLAH itu pasti. Selepas kesulitan, pasti ada
kesenangan di akhirnya.
Cuma satu yang Pak Ali nak pesan, jangan
kamu ikut perangai buruk orang kampung ni. Jangan kamu didik hati kamu dengan
perasaan riak, ujub, takbur dan dengki. Bersyukur dan mohonlah perlindungan
daripada Allah, nak.” Panjang
lebar nasihat Pak Ali.
Fahim sekadar mengangguk. Bercakap soal
orang kampungnya, hati tiba-tiba menjadi sebu. Telinganya sempat menangkap
bualan Mak Ton dan Mak Timah yang masih setia dengan hobi lama mereka...
wartawan cabuk!