APANGAN Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) tidak berapa sesak malam itu. Hanya ada
sekumpulan dua rombongan yang menghantar ahli keluarga dan sahabat handai ke
situ. Barangkali bakal berangkat ke destinasi jauh dalam tempoh yang lama
seperti Fahim.
Mak Diah, Kak Murni dan Maira datang menaiki
sebuah kereta yang dipandu oleh Emili. Datang mereka terus dari Kedah untuk
mengucapkan selamat jalan kepada Fahim. Manakala Fahim pula sejak dua hari lalu
sudah berada di Kuala Lumpur. Dia langsung tidak menduga yang keluarganya akan
datang malam itu.
Melihat riak wajah Emili yang keruh, Fahim
dapat mengagak ini semua rancangan Emili dan Maira. Lebih mengejutkan apabila
kelibat Tauke Liew turut muncul di situ. Difahamkan, Tauke Liew menaiki
penerbangan dari Kedah semata-mata untuk berjumpa dengannya.
“Susah-susah aje uncle datang.” Fahim
berasa segan. Lelaki itu terlalu banyak jasa dalam hidupnya.
“Bukannya uncle yang memandu ke sini.Pilot yang bawak. Uncle duduk saja. Tidur pun tak sempat, sedar-sedar dah
sampai. Masa kenduri kesyukuran hari tu, uncle tak dapat nak jumpa kamu sebab
ada urusan di Johor. Ini yang uncle datang jugak. Bila lagi nak jumpa hero
uncle ni, kan?” Tersenyum bangga Tauke Liew melihat Fahim segak dengan sut
serba hitam. Hanya tali lehernya yang kontra, berwarna merah.
“Terima kasih, uncle. Terharu saya...
uncle dah banyak susahkan diri untuk saya sekeluarga.”
Tauke Liew segera menahan percakapan
Fahim. “Jangan cakap macam tu. Kita dah macam satu keluarga. Kesudian mak kamu
menjaga anak gadis uncle, langsung tak terbalas budinya. Duit boleh cari, Mat.
Tapi, kasih sayang yang datang ikhlas dan tulus dari hati tak dijual di
kedai-kedai.” Dalam maksud tersirat Tauke Liew.
Fahim mengangguk-angguk tanda faham.
Matanya sempat melirik pada Emili yang sudah bertakung air matanya. Kali ini,
wajah itu nampak asli. Tiada bulu mata palsu, tiada kanta lekap. Malah,
wajahnya neutral tanpa mekap.
Dipeluk erat tubuh tua Tauke Liew yang
masih kuat untuk bekerja. Ketika bersalaman, Tauke Liew sempat menyisipkan
angpau di tangan Fahim.
“Eh! Uncle!” Bibir Fahim terkunci untuk
terus berkata-kata bila Tauke Liew sekali lagi memberi isyarat diam.
“Terima kasih banyak, uncle,” ujar Fahim
sebak. Suatu tindakan di luar jangkaannya.
Tauke Liew hanya mengangguk. Dia berundur
sedikit untuk memberi ruang kepada Mak Diah pula. Tubuh Fahim hilang dalam
pelukan seorang ibu. Berkali-kali pipi dan dahi Fahim dikucup. Terhinjut-hinjut
bahu Mak Diah menangis. Sebak. Sedih. Gembira. Terharu. Semua bersatu dalam
satu rasa. Padat hingga menyesakkan tangkai hati tuanya.
“Im... kat sana nanti, jangan lupa diri
ya? Jangan lupa sembahyang. Doa! Doa! Doa! Mengaji jangan tinggal. Dugaan kamu
di sana lagi hebat. Pandai-pandailah kamu bawa diri di tempat orang. Jangan
mudah terpengaruh dengan benda-benda yang boleh merosak akidah ya, nak?”
“Dahlah, mak... tahulah Abang Im jaga diri
kat sana. Dia dah besar pun,” sampuk Maira. Sayu pulak tengok emaknya tenggelam
dalam lautan perasaan. Emak tetap emak. Apatah lagi berjauhan langkau benua
dengan anak tunggal lelakinya.
Fahim mengangguk laju. Air mata yang
membasahi pelupuk mata emaknya dikesat dengan belakang tangan. Matanya juga
basah. Tangan tua itulah yang pernah menenangkan dia suatu ketika dulu. Tangan
tua itulah yang pernah memimpin dia ke sekolah ketika dia takut untuk berhadapan
dengan budak-budak kampung yang suka membuli dan mengejeknya. Parut di hatinya
tergores kembali. Takkan pernah dia melupakan peristiwa itu.
“Ampunkan Im, mak. Halalkan makan minum,
Im. Mak doakan Im pulang dengan kejayaan ya?”
Mak Diah mengangguk laju. Tubuh Fahim
dipeluk lagi. Seketika, Fahim leka dalam pelukan emaknya. Terasa dunia itu
hanya milik dia. Terimbas kembali pelukan yang sama dia dapat suatu ketika
dulu. Masih sama hangatnya. Masih sama rencah sayangnya.
“Dahlah tu dik, oi. Tiga tahun bukannya
lama... bukannya tak balik langsung, kan? Silap-silap dalam masa tiga tahun ni
siap ada pakejhoneymoon lagi!” tegur Kak Murni sambil tersengih.
Mak Diah memukul lengan anak sulungnya.
Murni merupakan anak yang paling cekal dan hati kering. Dialah yang paling
susah mahu menangis. Jika adik-adiknya dibuli, dialah yang akan menjadi
penyelamat.
Mak Diah mengikut Murni ke kerusi
menunggu. Duduk di sebelah Tauke Liew. Penat berdiri, berpelukan dan tenggelam
dalam emosi. Fahim pula memandang Maira dengan tanda tanya. Matanya mencari
kelibat sesorang yang tiba-tiba hilang daripada pandangan.
“Jom, ikut adik...” bisik Maira perlahan.
Mereka berdua pantas meninggalkan ahli keluarga yang lain di situ.