Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tunggu Dulu, Cinta!
Tunggu Dulu, Cinta!
Ayu Emelda
15/11/2014 11:22:33
38,440
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 2

KALUT Aivy melangkah masuk ke dalam rumah. Sempat dikerling jarum jam di ruang tamu. Dah hampir pukul lapan malam. Takut terbabas solat Maghrib.

“Hoi, Aivy!”

Belum sempat kakinya memijak anak tangga, namanya dipanggil keras. Keluhan nipis dihela lemah.

“Kau pergi mana baru balik?” soal Hairee yang tersandar malas di sofa. Gaya big bos tak sedar diri.

Aivy mengerling sekilas. 'Aku baru balik kerjalah bangang. Jangan la buat-buat tak tahu. Bukannya macam kau. Bersenang lenang 24 jam. Ah! Malas layan.' Hatinya menggerutu.

Lebih baik disegerakan solat yang sudah hujung-hujung waktu. Kakinya memijak anak tangga paling bawah.

“Hoi! Kau dengar tak ni? Susah betul kalau telinga tu pekak badak sumbu. Ni yang buat aku bengang ni!” Suara Hairee kian memetir.

Dia pekakkan telinga. Terus mendaki anak tangga. Baik tak usah layan kalau perangai macam musang tak berjanggut. Panggil orang gaya menyalak jer. Cakap-baik-baik tak boleh ke? Sedap sikit telinga orang dengar.

“Kau memang dah gatal sangat nak berlaki, kan!” Kali ini suara Hairee kedengaran cukup sinis.

Statement tak ada adab itu membuatkan tubuh Aivy jadi kaku. Memang tak ada kesopanan betullah budak ni! Kecil-kecil malas sekolah. Masa ustaz ajar agama dalam kelas, agaknya dia merewang ke tempat lain lain. Bila datang ke kelas pun sah-sah dia tidur. Dah besar inilah jadinya... perangai macam hantu! Dia berpaling.

“Woi!” Hairee jerkah.

Aivy pandang dengan jelingan tajam. Hati menggerutu. Jakun betul budak ni. Jangan kata bab agama, mata pelajaran sivik pun lingkup barangkali!

“Baru aku tahu rupanya kau memang dah miang keladi nak berlaki.” Dengan muka dan nada sinis anak muda itu jongketkan kening. Sengaja buat ayat cari gaduh. Nak menyakitkan hati. Gaya tak ada rasa bersalah langsung. Rasa hormat dengan gadis bergelar kakak itu memang tak pernah wujud.

Aivy tak tunggu lama. Dia terus buru-buru ke bilik. Tak guna layan mamat kurang asam jawa tu. Buat sakit jiwa aku jer! Nama saja adik, tapi tak tahu hormatkan kakak sendiri.

“Woiii pekak badak-sumbu-hippopotamus!”

Laungan Hairee yang semakin bingit tidak dihiraukan. Lantak kau lah labu! Tak guna bertekak dengan orang sebegitu. Entah keturunan mana agaknya.

Aivy menghela nafas panjang. Dia dan Hiree tetap adik-beradik. Mereka berdua berlainan bapa tetapi satu ibu. Sedihnya, mereka tetap berlagak macam orang asing. Agaknya kalau darah dia warna putih, darah Hairee warna hitam legam. Spesis darah minyak pelincir.

Memang sejak kecil lagi dia dan Hairee tidak pernah kamceng. Jangan kata nak jadi teman kurang mesra. Jadi musuh lebih lagi!

Kalau dulu dia memang selalu cuba merapatkan hubungan mereka adik-beradik, kini dia dah serik. Sebaik tamat sekolah menengah, hubungan mereka kian tegang. Makin meruncing.

Sekarang, secara rasminya juga dia sudah kibarkan bendera. Dah mula angkat bendera warna hitam dengan lambang tengkorak kena pangkah. Memang terang tak payah bersuluh lagi dah, dia dan Hairee tak akan berdamai! Hanya tahu perang! Perang adik-beradik macam Korea Utara dan Korea Selatan.

Budak tu memang dasar lanun! Captain Jack Sparrow pun seribu kali baik kalau nak dibandingkan dengan Hairee, kutuk hati Aivy. Tunggu tujuh keturunan sekalipun dia tahu hubungan mereka takkan mencapai kata sepakat.


SEBAIK sahaja selesai menunaikan solat, sebeban baju dilemparkan ke mukanya. Terbantut hasratnya mahu menadah tangan dan berdoa.

Mulut ternganga. Baru nak keluar maki-hamun, tapi sempat lagi dia tekan brek. Hatinya beristigfar berkali-kali. Nasib baik 'Cik Iman' ingatkan yang dia baru lepas tambah pahala check book sendiri lepas tunaikan solat tadi. Nanti tak pasal-pasal Malaikat Raqib dah mula tulis laporan baru. Percuma saja tambah dosa!

“Kenapa kau tak basuh baju aku, bodoh?” Muka Hairee kelam. Berdiri bercekak pinggang dengan pandangan tajam.

Aivy tersentap seketika dijerkah begitu. Apalagi ketika dia baru sahaja selesai sembahyang. Langsung tak tahu hormatkan orang. Kalau cakap dia bebal, marah. Tapi dah memang betul perangainya begitu.

“Kau ni memang tak makan saman, kan! Aku dah pesan banyak kali suruh kau basuh baju aku!”

“Sebab kau bukan polis trafik la aku tak makan saman.” Dia menjawab selamba dengan muka tak ada riak.

“Pemalas!” cemuh Hairee. Kakinya menyepak baju yang bergelimpangan di lantai. Kononnya nak tunjuk protes.

“Astagfirullah alazim...” Bibir Aivy menggumam perlahan. Meredakan rasa sakit hati. Cuba bersabar. Selebihnya dia mahu membuang rasa marah dan menyampah dengan adik kandungnya yang kurang asam jawa. Dia bangun menanggalkan telekung dan cuba menahan amarah.

“Pekak ke?” Hairee lebih sakit hati bila kakaknya tayang muka bersahaja. Pantang tok nenek kalau orang buat dek bila dia sedang bercakap! Darah aku rasa menggelegak jer. “Hoi!” Kemarahan Hairee semakin memuncak.

“Kau apa hal?” Terlontar juga suara nyaring Aivy tanpa sempat ditahan-tahan. Kesabarannya kian nipis.

“Yang kau tak kutip dan basuh baju aku kenapa? Berselerak. Bilik aku pun kau tak kemas. Dah bau hapak semacam. Berhabuk pulak tu. Lantai pun kau tak reti nak sapu? Kau memang perempuan cap mangkuk betul la!” jerkah Hairee dengan garang.

“Dah besar gajah, pandailah basuh sendiri. Nama pun bilik kau, kaulah jaga. Bilik bau hapak sebab kau pengotor. Kenapa aku pulak kena tolong bersihkan?! Ada kau bayar gaji aku selama ni untuk buat semua kerja tu?” Bersahaja tutur Aivy sambil duduk di meja komputernya.

Muka Hairee panas. Hatinya kian meruap bila setiap kata-katanya dibidas balik. “Woi! Jangan nak berlagak. Memang itu kerja kau dalam rumah ni. Aku cakap dengan ayah baru tahu.”

“Cakaplah... ada aku kisah? Dasar lembik... dah besar panjang masih berkepit bawah ketiak ayah. Kau ni anak jantan ke apa? Asyik mengadu jer yang kau tahu. Tak tahu malu! Elok kau pergi periksa betul-betul, manalah tau kot-kot memang silap kat mana-mana,” ejek Aivy.

“Ulang sekali lagi. Biar ayah tahu apa kau cakap dengan aku,” gertak Hairee. Melihat wajah cuak kakaknya, dia tahu kemenangan tetap berpihak kepadanya. Dia tak pernah kalah!

Aivy hanya mampu menggigit bibir. Menahan getar.

“Kalau esok aku nak pakai baju-baju ni tak berbasuh lagi, siap kau! Kau jawab sendiri dengan ayah,” bentak Hairee dengan mata mencerlung tajam. Bagai satu amaran. Atau lebih tepat satu ugutan.

Itulah saja modal Hairee. Sikit-sikit nak mengadu. Sengal! Nama saja lelaki tapi kaki mengadu.

“Bila kena marah dengan ayah jangan salahkan aku. Tahulah nasib kau nanti.” Kali ini muka Hairee cukup sarkastik. Dia tersenyum bangga. Berlalu dengan rasa puas hati. Tahu sangat kelemahan kakaknya yang seorang itu! Sampai bila-bila kau takkan menang dengan aku!

Aivy hanya mampu menahan perasaan. Mahu tak mahu dia terpaksa turutkan juga kehendak Hairee. Tak sanggup dia berdepan dengan natijahnya. Ayah Din! Ayah tirinya itu bagaikan igauan ngeri dalam hidupnya.

Setiap tindakannya tidak pernah kena di mata Ayah Din. Kata-kata yang dilemparkan kepadanya sering sahaja menyakitkan walaupun silapnya tidak seberapa. Dan lebih menyayat hati apabila nama bapa kandungnya dikaitkan sekali.

“Malang betullah bapak kau ada anak perangai begini. Aku simpati dengan Ikram. Patutlah abah kau mati cepat, sebab ada anak sial macam kau. Hanya tahu menyusahkan orang.”

Mulut Ayah Din cukup berbisa. Kata-katanya sering menyengat sampai ke tulang hitam. Hina sangatkah dia?

Hatinya cukup pedih dan sebak setiap kali Ayah Din ungkit fasal abah. Pandai pula dia mengelak daripada ibu dengar segala caci-makinya selama ini.

Dalam setiap keadaan dia selalu salah. Betul atau tidak belakang kira. Hairee dan Shark saja yang nampak baik. Dia yang asyik kena dera. Apalagi dengan perangai panas baran abang tirinya itu. Silap sikit mulalah angkat kaki dan tangan.

Lebih menyakitkan hati ada adik seperti Hairee. Memang berhati setan dengan bermulut puaka yang tak pernah tahu penat. Malang betul nasib aku ada adik seperti Hairee. Arghhh!

Tak guna betul! Membazir jer ada adik macam Hairee. Buat menyakitkan hati! Walaupun bersaudara tetapi mereka berlainan bapa. Agaknya sebab itulah perangai Hairee macam setan bertanduk tiga. Ada sahaja onarnya.

Tanpa rela dia mengutip kain baju yang berterabur atas lantai. Terpaksa walaupun memang tak rela.

“Hairee jahat!” Ayat luahan perasaan itu keluar juga.

Kalau Shark yang berperangai begitu memang dia boleh terima sebab mereka berdua cuma saudara tiri, tetapi dia sendiri tak faham kenapa Hairee begitu membenci dirinya.

Tanpa sedar bibirnya mengeluh lemah.

Lebih baik kalau dia anak tunggal yang tak punya adik-beradik. Ada pun buat menyakitkan hati sahaja. Dulu ketika Hairee masih kecil dia terlalu sayangkan adiknya itu. Tetapi hari demi hari perangainya kian berubah. Hubungan mereka kian berantakan...


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ayu Emelda