Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tunggu Dulu, Cinta!
Tunggu Dulu, Cinta!
Ayu Emelda
15/11/2014 11:22:33
38,450
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1
“JANGAN LA... tolonglah bukan dia!” Aivy menjerit dalam hati. Sebab suaranya tidak mampu keluar. Dunia bagai sedang berputar dalam gerak paling perlahan.

Memang terasa mahu tumbang. Dalam detik-detik cemas begini dia sudah berkira-kira mahu menghubungi 999. Minta pertolongan kecemasan.

“Mayday...mayday... tolong, saya sesak nafas.” Dadanya tepu. Itulah yang Aivy rasa sebaik matanya terpandang seraut wajah lelaki itu.

“Erghhh!” Biar betul.

Ketika itu Siti melanggar bahunya. Tubuh Aivy bergoyang. Mata mereka bertembung.

“Have a sweet moment, kak.” Ayat Siti cukup sinis.

“Banyak la kau punya sweet moment. Ini bala namanya!” gerutu Aivy dengan gigi diketap.

Siti kenyitkan mata.

Gadis lepasan SPM yang bekerja di restoran sebagai tukang ambil order merangkap pembantu tukang masak itu memang sengaja mahu mengusiknya. Betuah punya sepupu! Sumpah jadi Si Tanggang baru tahu!

“Kak... ada mamat hensem nak jumpa.” Ayat Siti tadi kembali menjengah dalam kepala.

Dia angkat kening dengan mata mencerlung. “Kenapa tak cakap lelaki tu yang nak jumpa?” Sah-sah dia dah kena sabotaj dengan budak baru cukup umur. Baru belajar angkat sudip, baru belajar ketuk kuali dah pandai cipta skandal.

Siti sengih dengan kening jongkang-jongket. “Saja nak buat gempak. Akak kan suka kalau dapat dating dengan dia,” bisik Siti dengan senyum meleret.

“You're so dead!” Pandangan matanya tajam menikam. Mahunya ditelan gadis itu hidup-hidup.

“Wakakaaa...”  Siti ketawa menyindir. Berlalu dengan lenggang-lenggok mak inang yang sengaja dibuat-buat. Yang menyakitkan hati!

Malaun betul Siti! Bukannya dia tak tahu kisah tiga hari lalu. Sajalah tu nak tengok drama percuma siang-siang hari.

Gadis itu sempat berpaling. Sengaja mengenyitkan mata dengan gaya paling gedik. Kemudian melambai sebelum menghilang ke ceruk dapur.

Aivy melirik sekali lagi ke wajah lelaki itu. Rasa sakit hati menyelinap lagi. Nafasnya sudah hilang rentak normal. Gaya baru lepas habis marathon lima puluh kilometer.

“Warghhh... kenapalah lelaki tua tak sedar diri tu datang lagi?” Aivy menggumam dengan gigi berlaga.

Pandangan matanya tidak berubah. Merenung lelaki pertengahan umur yang sedang meneguk teh tarik dengan gaya cukup santai. Dialah pelanggan tetap yang selalu datang ke restoran milik keluarganya saban hari bertemankan mangkuk tingkat.

Selama lebih setahun mengenali Uncle Ibrahim, dia cukup hormatkan lelaki itu. Tetapi segalanya berubah sejak tiga hari lalu.

Dia benar-benar tertipu rupanya. Aduhai...

Selama ini bicara penuh berhemah dan sikap berbudi bahasa lelaki yang sudah melepasi umur separuh abad itu hanya lakonan. Nampaknya uban yang berterabur di kepalanya bukanlah halangan untuk menjadi miang keladi. Gawat!

Soalan yang diterjah Uncle Ibrahim beberapa hari lalu bagai melodi lagu yang berputar dalam kepalanya.

“Aivy... dah ada teman?”

Dan lebih mengejutkan bila soalan lelaki itu membuatkan dia terus jadi Statue of Liberty. Atau jadi patung di Madame Tussauds.

“Boleh uncle datang ke rumah? Boleh uncle jumpa ibu ayah, Aivy?”

“Mamma miaaa...” Ketika itu dia memang meraung dalam hati. Menyesal! Dunia! Oh, dunia! Baru kini dia tahu betapa menyesalnya mengenali seorang lelaki tua bernama Ibrahim.

Kalau ya pun agak-agak la. Ingat aku ni anak dara tak laku ke apa? Muka aku ni nampak terdesak sangat ke nak berlaki? Sampai sanggup Uncle Ibrahim nak datang rumah minta restu ibu ayah.

“Aivy, boleh ke?”

Soalan tak tahu malu lelaki tua itu benar-benar membuatkan dia hilang kata. Hilang suara. Boleh hilang ingatan sekali. Gila! Memang gila!

Selamba lelaki itu tersenyuman. Tayang muka bersahaja dengan riak wajah tidak bersalah. Muka Uncle Ibrahim ketika ini memang buat aku rasa mahu pelengkung saja kepalanya dengan sudip besi di dapur.

Agaknya lebih afdhal kalau aku hempuk dengan bontot kuali. Barangkali barulah kepala otak lelaki tua ganyut tu boleh berfungsi semula.

Giginya diketap kuat. Beristigfar berkali-kali dengan nafas laju. Menahan amarah yang kian menular.

Kalaulah dia ada tongkat sakti Harry Potter dah lama dia guna. Biar boleh ghaib terus dari situ. Tapi apakan daya. Hakikatnya dia sedang berdepan dengan masalah yang cukup tragis dalam hidupnya kini. Jiwa raga sedang tersiksa. Mana mahu lari?

“Aivy...”

Aduh! Jantungnya bagai mahu luruh ketika itu. Tubuhnya mengeras di situ. Membeku! Kantoi dah! Aku nak buat apa sekarang? Menyerah diri?

“Aivy...”

Tak rela. Tapi kaki melangkah juga. Walaupun berat tetapi bagaikan ada magnet yang menarik. Membuatkan mereka semakin dekat. Dalam hati usah dikira, sudah berkajang-kajang sumpah seranah.

Senyuman lelaki itu membuatkan hatinya semakin mendidih. Tak nak! Tak mahu! Tak sanggup! Dia tak mahu ada skandal dengan lelaki yang boleh dipanggil bapak. Lawaknya dengan Siti suatu waktu dulu seolah-olah akan menjadi kenyataan.

“Orang dah suka... takkan nak tolak tuah. Rembat jer la kak... bukan senang nak dapat lelaki kacak tapi poket tebal sekarang ni.”

“Betul jugak tu, Siti. Kalau orang dah suka, takkan akak nak jual mahal. Usia bukan penghalang. Age is just a number. Yang penting hati. Tak gitu?” ujarnya galak dengan niat mahu bergurau. Sekarang padan muka aku. Gurauan menjadi realiti. Masin mulut! Uwaaa... dia menangis tak berlagu.

“Dah beberapa hari uncle tak nampak Aivy.”

Dia tak tahu nak jawab apa. Kepala tertunduk rapat. Tak sanggup lagi memandang wajah itu. Memang dia menyampah sangat-sangat. Sakit hati tahap gaban! Tahap didih! Tahap lebur!

“Kenapa ni... ada masalah?”

Soalan mengambil berat Uncle Ibrahim seperti selalu tidak lagi membuatkan dia rasa terharu atau rasa disayangi dan dihargai macam dulu. Bahkan berganti dengan rasa meluat, menyampah dan perasaan yang sama taraf dengannya. Memang terana mahu menjolok jari ke anak tekak. Uwekkk...

“Aivy... duduklah...”

Memang gila agaknya sebab dia masih patuh dengan permintaan Uncle Ibrahim. Tak tahu kenapa dia tidak mampu menolak. Bodoh betul la... ke aku memang dah termakan dengan jampi serapah dia? Mintak simpang jauh-jauh! Fuhhh...

“Bila agaknya Aivy free?Kalau boleh nak jemput datang rumah. Berkenalan dengan Kamal, anak bujang uncle dulu. Dah lama uncle nak kenalkan cuma belum ada peluang. Dan uncle pun nak jumpa sangat dengan keluarga Aivy.”

Secara spontan kepala Aivy tegak. Matanya bulat memandang lelaki pertengahan abad itu yang sedang tersenyum ke arahnya. Wajahnya begitu berseri dan bercahaya sekali.

Ngeee... anak? Anak dia yang nak dikenalkan dengan aku? Kenapa baru sekarang Uncle Ibrahim beritahu? Kenapa tak cakap tiga hari sudah? Hatinya sudah carca-marba. Alamak!

“Tentang soalan yang uncle tanya hari tu... macam mana?”

Mulut Aivy masih ternganga ketegori mulut ikan emas. Serba salah nak jawab apa. Nampaknya apa yang dia sangkakan bercanggah sama sekali.

“Jadi... jadi...” Terketar-ketar bibirnya. Dia hilang punca beberapa saat. Berterabur ayat dalam kepala.

“Uncle berhajat benar nak jadikan Aivy menantu...”

Waaa! Hatinya meraung hebat kala ini. Ampunkan Aivy, uncle. Ampunkan Aivy dunia akhirat. Memang la aku sengaja cari bala. Buat dosa percuma! Macam mana boleh silap buat kira-kira ni?

“Aivy sudi?”

Untuk anak rupanya. Ingatkan untuk dia. Sudah berguni-guni umpat keji dan sumpah seranah dalam hatinya sejak tiga hari lalu. Ironinya, semua itu berakhir dengan salah faham. Bodohnya aku!

Previous: Sinopsis
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ayu Emelda