SELEPAS
semua orang selesai makan malam, Aivy turun ke dapur. Tekak berasa haus. Air
dijerang. Dia mahu membancuh air Milo.
“Jadi
ke tak?”
Aivy
tersentak. Jantungnya berdegup laju sebab terkejut. Entah bila ibu menyelinap
masuk ke dapur. Nampak tenang duduk di meja makan, sambil merenung ke arahnya.
Pandangan ibu ada makna.
“Mahu
ke tak?” soal Puan Aini sekali lagi.
“Tak.”
Sepatah sahaja jawapannya. Sudah boleh agak apa tajuk yang ibu akan bincangkan.
Tak lain tak bukan, cerita jodoh kahwin. Ibu pernah bertanya sama ada dia sudah
bertemu calon suami atau belum, tetapi dia sering mengelak. Tidak suka
membincangkan topik itu.
“Kenapa?”
tanya Puan Aini dengan mata bulat. Kotak cincin di tangannya dibelek lagi.
Sebagai ibu, sudah lama dia nantikan saat ini. Mahu anaknya disunting orang.
Dengan lelaki yang baik-baik. Dengan keturunan yang baik-baik. Dengan jodoh
yang sepadan dengan Aivy.
“Tak
naklah,ibu. Aivy
tak rasa nak kahwin lagi.” Dia bersandar di kabinet dapur sambil bersilang
tangan.
“Nak
kahwin pun boleh pakai rasa-rasa ke? Sekarang rasa apa? Kalau nak kahwin rasa
apa?” sindir Puan Aini.
“Rasa
tu sama la dengan seruan. Belum sampai seru Aivy nak kahwin lagi. Lagipun anak
ibu ni muda lagi. Bila belum jumpa calon suami yang sesuai, macam mana nak
kahwin? Bukannya boleh aci sambar mana yang datang pinang dulu.”
“Bukan
dengan Pak Berahim. Dengan anak dia la...” Puan Aini cuba meyakinkan. Dia
sendiri sudah salah sangka.
Sejak
Aivy mula rapat dengan Ibrahim, hatinya mula bimbang. Walaupun lelaki itu sudah
berumur, tetapi tetap bergaya. Bimbang juga kalau Aivy mula jatuh hati. Tapi,
nasib baik sangkaannya meleset.
“Tahuuu...”
Meleret jawapan Aivy. Jawapan paling malas. Dengan desah nafas panjang. Penat
rasanya bila cakap soal kahwin.
“Mati-mati
ibu ingat Aivy ada skandal dengan duda tu. Apa orang panggil? Sugar baby?
Sugar daddy? Nasib baik cuma salah faham. Kalau tak... tentu anak ibu
merana bermandikan air mata.”
Aivy
tersengih sambil mula membancuh Milo bila air sudah masak. Bukan setakat ibu,
dia pun salah buat perkiraan. Buat dosa kering.
“Ibu
rasa nak terima aje sebab...”
“Eh,
jangan!” Belum apa-apa Aivy dah pangkah. Dia tidak mahu terburu-buru. Yang nak
kahwin dia. Yang nak menaggung pun dia. Memang dah lama dia kenal Uncle
Ibrahim, tetapi bukan dengan anaknya.
Perangai
manusia tak sama. Rambut sama hitam, tapi hati lain-lain. Eh, cup! Rambut pun
tak sama sebenarnya. Sebab Uncle Ibrahim lebih banyak rambut warna kelabu dan
putih.
Dia
cuma tahu nama. Mereka belum pernah berkenalan. Belum pernah jumpa dan belum
sempat selami hati budi masing-masing.
“Bukan
ke sebelum ni Aivy nak kahwin sangat?”
“Ya
ke?” Muka Aivy terkulat-kulat. Bila masa dia mengaku nak kahwin? Dia sendiri
tak ingat. Dia menarik kerusi lalu duduk bertentangan dengan ibunya. Sebiji mug
disorong depan Puan Aini.
“Kalau
ada yang datang meminang, ibu terima ajelah.” Puan Aini ulang balik ayat yang
pernah keluar daripada mulut anaknya. “Bukan ke Aivy pernah cakap begitu dengan
ibu?”
“Errr...”
Aivy tersengih. “Acah aje tu...” Padan muka aku. Main sedap mulut bercakap. Kan
dah makan tuan!
“Ibu
rasa baik budak tu.”
“Baik
ke? Macamlah ibu kenal dengan dia...” Aivy jawab nak tak nak. Pura-pura sibuk
mengacau air yang dah lama siap.
“Hensemmm...”
Puan Aini angkat ibu jari.
“Ya
ke?” Aivy tergelak dengan suara sarkastik. Di mata ibu semua orang nampak
hensem. Zizan Razak tu pun ibu kata hensem. Ada ke? Betul la mata ibu dah rabun
jauh.
“Betulll...”
“Aivy
tak percayalah, ibu.”
“Kerja
pun elok.”
“Penting
ke kerja apa kalau nak pinang anak orang?” Keluar nada lain macam.
“Ibu
tak kisah dia kerja apa. Yang penting, dia boleh jaga Aivy. Cukuplah sediakan
makan pakai dan tempat berlindung.”
Dia
mencebik. Ayat klise seorang ibu. Hakikatnya, ibu mana yang tak nak tengok
anaknya kahwin dengan lelaki berkedudukan atau berharta. Zaman dah berubah
tetapi pandangan ibu bapa tetap sama.
Bezanya,
anak-anak zaman sekarang sudah pandai cari pasangan sendiri. Tak ramai yang
kahwin dengan jodoh pilihan keluarga atau pilihan emak bapak.
“Ibu
memang berkenan dengan budaknya.” Puan Aini semakin giat mengayat. “Ibu terima
ajelah. Senang. Habis cerita. Esok lusa terus arak bunga pahar... boleh terus
pukul kompang.” Membayangkannya sahaja, sudah membuatkan Puan Aini tak boleh
berhenti tersenyum.
Aivy
membesarkan mata. Dia memandang ibu yang tersenyum dengan muka bercahaya bak
bulan penuh. Kemudian dia menggeleng laju.
“Tak
elok jual mahal sangat.” Puan Aini mula propa. “Takut nanti orang lain pun
takut nak masuk meminang anak ibu.”
Aivy
menjuih. Memuncungkan mulut. Kemudian pipinya dikembungkan. Digerakkan ke kiri
dan kanan. Memang begitulah tabiatnya setiap kali memikirkan sesuatu.
Puan
Aini menjungkitkan keningnya.
“Bila
pulak ibu jumpa dia? Sejak bila ibu kenal dengan anak Uncle Ibrahim tu?” soal
Aivy bertubi-tubi. Keningnya terangkat tinggi. Musykil.
“Dia
datang masa merisik tadi. Sempatlah ibu berbual sekejap dengan dia. Sekali scan
pun ibu dah tahu. Tengok rupa, tak payah komen panjang-panjang. Superb!Memang
boleh diharap untuk jaga anak ibu seorang ni.” Puan Aini tersenyum meleret
sambil mengangkat ibu jari sekali lagi.
“Ayah
Din cakap apa?” Akhirnya soalan itu yang keluar.
Puan
Aini gigit bibir. Mendesah seketika.
“Mesti
Ayah Din dah tolak.” Aivy dah boleh agak bila pandang muka kelam ibu. Wajahnya
yang ceria beria-ia tadi boleh bertukar mendung tiba-tiba. Sebaliknya Aivy pula
tersenyum suka.
“Sabarlah...
ibu. Calon menantu boleh datang dan pergi bila-bila masa. Tapi anak ibu ni cuma
sorang.” Dia tersenyum senang. Lega! Hakikatnya, dia tidak sanggup meninggalkan
ibu seorang diri di rumah ini.
Ibu
memang seorang yang ceria dan selalu tersenyum. Wajahnya sering nampak bahagia.
Tetapi entah kenapa raut wajah itu kadang-kala bagai mengungkap sesuatu. Bagai
menyembunyikan rasa hati.
“Dah
tolak kan!”
Puan
Aini mengangguk.
Spontan
Aivy tersenyum dengan lebih ceria. Walaupun dia dan Ayah Din tak pernah
sehaluan, tapi mereka berdua memang sependapat dalam hal itu.
“Tapi,
ibu masih boleh cuba pujuk Ayah Din.” Puan Aini memberi cadangan. Sayang pula
mahu menolak jodoh Aivy kali ini.
“Tak
apalah...”
“Tak
menyesal?”
Aivy
menggeleng laju.
“Elok
juga tu. Bila ibu fikir balik, Aivy dengan dia pun memang nampak tak berapa
sepadan sangat. Kurang sesuai.”
“Hmm...?”
Aivy merenung wajah ibunya mengharapkan pengertian. Keliru! Tadi bukan main
lagi propa... apa maksud ibu tak sepadan? Tak sesuai?
“Kamal
tu hensem benar orangnya. Tinggi lampai, ada rupa... ada gaya... lagak seorang
model. Tapi, kalau tengok anak ibu ni...” Kata-kata Puan Aini terhenti. Menilik
lama muka anaknya. “Cuba bangun...”
Aivy
menurut. Walaupun tidak tahu hujung pangkal permintaan ibunya, Aivy tidak
membantah.
Dari
atas sampai bawah Puan Aini meneliti susuk tubuh Aivy. “Tinggi setakat cukup
syarat. Kalau bergandingan dengan Kamal, paras bahu pun tak lepas. Rupa tak
secantik mana. Kira so-so...”
Mata
Aivy sudah terbeliak mendengar komen ibu tentang dirinya. “Ibuuu...” Meleret
suaranya. Makan hati.
“Kamal
berduit orangnya. Ada bisnes sendiri. Tapi, anak ibu apa yang ada? Setakat
tukang masak.” Semakin seronok Puan Aivy menabur benih. Dia juga pandai gunakan
taktik reverse psychology.
Aivy
mencebik. Semangatnya sudah lebur. “Sampai hati ibu perlekehkan anak sendiri.
Koman sangat ke Aivy? Bagus sangat ke dia sampai ibu puji melambung tinggi
begitu sekali.” Suaranya dalam. Sedang makan hati cicah ulang jantung.
“Apa
kata orang muda sekarang? Bagai pinang digelek steamroll?” Puan Aini
gelak beria-ia.
Aivy
mencebik. Hatinya bagai kena tembak. Sakit wooo!
“Eloklah
anak ibu sedar diri. Bila berdiri tak sama tinggi, duduk tak sama rendah
sebaiknya kita mengalah. Biarlah Kamal cari gadis lain yang lebih secocok dan
sepadan dengan dia.”
Muka
Aivy keruh mengalahkan muara baru lepas hujan. “Bagus sangat ke dia? Tak
setanding anak ibu?” soalnya lemah.
“Hisy...
jauh sekali. Kalau tak percaya cakap ibu, Aivy sendiri pergi berjumpa dengan
Kamal. Tengok dengan mata kepala sendiri. Ibu yakin Aivy akan setuju dengan apa
yang cakap ibu tadi.”
Dalam
diam, hatinya rasa tidak sabar mahu berjumpa Kamal. Biar matanya sendiri jadi
saksi. Betul ke apa ibu cakap. Atau ibu sengaja mahu permainkan perasaannya?
Nafas lelah meniti di bibir.
“Agaknya
Aivy memang tak ada jodoh dengan dia. Ayah Din pun dah tolak, kan. Lagipun
apalah sangat anak ibu ni... semuanya serba kekurangan...” Aivy buat ayat
tangkap leleh. Ayat tangkap jiwang.
Puan
Ainy menjeling sekilas. Aishhh! Lawan taukeh pulak dia. Kita guna cara harus
dia pun pandai mengikut sama.
“Eloklah
Ayah Din dah tolak...” Ayat itu hanya di mulut, sedangkan dalam hati ada
sedikit rasa terkilan. Sedikit sebanyak kata-kata ibu tadi bercambah juga dalam
dadanya.
“Mulanya
memang la... tapi...”
Aivy
mula telan air liur apabila mendengar ayat yang baru singgah di telinganya.
Saspens!
“Tapi...
keluarga Uncle Ibrahim nampak begitu bersungguh. Ayah Din minta tempoh. Beri
kita masa untuk berbincang anak-beranak. Jadi belum ada keputusan muktamat
lagi.”
“Arrr?”
Aivy rasa susah nak percaya. Matanya sudah terbeliak sebesar bola golf.
“Mungkin
sebab nak jaga hati pihak lelaki.”
“Jaga
hati?!” Biar betul! Sejak bila Ayah Din pandai jaga hati orang lain. Bukan ke
dia cuma pandai menyakitkan hati?
“Kalau
ditolak terus nampak sangat kita tak suka. Orang yang datang membawa hajat pun
bukan calang-calang orang. Kalau tak mahu kenalah guna cara berlapik untuk menolak.”
“Betul
ke Ayah Din yang cakap begitu. I.M.P.O.S.S.I.B.L.E!” Atau sebenarnya ada udang
balik batu? Dia mengeja sebijik-sebijik setiap huruf perkataan itu. Sejak bila
perangai Ayah Din berubah? Hatinya bersoal jawab sendiri. Fikir empat, lima
kali pun dia masih tak percaya.
“Hmm...
tapi... tapi memang tak jadi, kan?” Suara cuak keluar spontan. Dia jadi kalut
tiba-tiba.
Puan
Aini mengangguk. “Walaupun belum beri kata putus... tapi begitulah nampaknya.
Kalau Aivy tak nak, nantilah ibu fikirkan macam mana nak tolak secara elok.
Sebab, Ibrahim tu nampak berhajat sangat nak jodohkan Aivy dengan anaknya.”
‘Kusss
semangat...’ Nafas tujuh harkat dihela perlahan-lahan. Manalah tahu kalau Ayah
Din buat keputusan luar cakrawala. Alamatnya tahun ni juga dia boleh tukar
status jadi bini orang.
“Ayah
Din kata, belum masanya kahwinkan kamu. Bukan Aivy tak tahu, Ayah Din kan suka
kamu kerja dengan dia. Bukan senang nak cari tukang masak sehandal anak ibu
ni.”
“Yalah...”
Ayat mendatar keluar sambil kepala terangguk-angguk.
Pujian
ibu langsung tak pernah membuatkan hatinya berbunga. Hakikatnya dia hanya kuli
di restoran Ayah Din. Dikerah dengan kerja-kerja berat dengan gaji ciput yang
sekadar cukup-cukup buat belanja.
Siang
malam kerja tanpa bayaran overtime. Kalau orang lain dapat gaji, dia
pula dibayar lambat seminggu.
Kalau
dicampur-tolak-bahagi, tarafnya lebih kurang sama saja dengan buruh asing yang
mencari rezeki di negara ini. Walaupun hakikatnya sah-sah dia memang
warganegara Malaysia.
Kalau
tak kerana ibu ada beri ‘nasi tambah’ tak mungkin dia mampu menyimpan walau
sesen dua! Tapi apa nak buat, dah nasib badan.