Home Novel Komedi/Romantik Komedi Tunggu Dulu, Cinta!
Tunggu Dulu, Cinta!
Ayu Emelda
15/11/2014 11:22:33
35,642
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 4

SIAPA ni?” Itulah soalan pertama yang keluar dari bibirnya bila keluar private number di skrin. Tapi, bila dengar suara macho di hujung sana memberi salam, hatinya cair tiba-tiba. Dia menjawab salam dengan suara paling manis.

Buat seketika, suasana jadi sepi. Kemudian Aivy boleh dengar orang di sana berdeham beberapa kali.

“Nak cakap dengan siapa?” Dia cuba mengawal nada.

“Errr... Aivy. Boleh saya bercakap dengan Aivy.”

“Saya... tapi siapa di sana?” Kenapa cari saya? Nak apa? Kita pernah kenal ke? Di mana? Bila? Soalan-soalan dihujung itu hanya berputar dalam kepala.

“Kamal... saya Kamal. Kamal Noah bin Ibrahim.”

Aivy jadi beku. Kamal? Betul ke dia Kamal? Anak Uncle Ibrahim? Tapi kenapa dia telefon? Nak jual ‘minyak urat ke’? Rentak jantungnya kian sumbang. Gementar. Inilah perkenalan pertama mereka. Dalam telefon!

“Aivy... are you still there?” Kamal jadi saspens bila suara di sana hilang begitu sahaja.

Kalut. Apa aku nak buat? Perutnya berasa senak serta-merta. Rasa bagai kena serang diarea, gastrik dan senggugut secara tiba-tiba.

“Aivy...”

Suara macho itu menyapa lagi. Membuatkan peluh dingin mula merenek di tubuhnya. Memang boleh buat dia karam hanya dengan mendengar suaranya sahaja. Cukup berkarisma dan menggentarkan jiwa.

“Saya mengganggu ke?” soal Kamal seakan faham apa yang sedang dirasa oleh insan di sebelah sana.

“Errr... aaa... ta... takkk...” Sudah terang lagi bersuluh dia jadi kalut. Kepalanya kosong. Tak tahu nak fikir apa.

“Are you okay?”

“Eh, okay... okay. Fine. Good. Thank you.”Uwaaa... Apa yang aku dah melalut ni? Fikirannya semakin huru-hara.

Sepi lagi. Aivy mengambil masa meredakan rasa gemuruh di dada. Dia sedut nafas dalam-dalam kemudian dihela dengan mulut muncung panjang ke depan.

“Boleh saya bercakap dengan Aivy sekarang?”

“Boleh.” Sepatah sahaja yang keluar.

Bisu lagi.

“Ada apa-apa yang Aivy nak tahu? Nak tanya pada saya?” Kamal cuba pecahkan situasi kekok antara mereka.

“Uncle Ibrahim sihat?”

Dan saat itu juga dia boleh dengar ketawa di sana bergema. “Kenapa? Kenapa ketawa?” Aivy blursambil menggaru kepala. Dia tanya apa tadi, salah ke?

“Aivy... Aivy...”

Aivy boleh bayangkan lelaki itu sedang menggeleng kepala sambil mentertawakan dirinya.

“Kenapa tanya pasal abah?” soal Kamal geli hati. Bukankah mereka yang sepatutnya berkenalan? Mereka sepatutnya cuba mengenali antara antara satu sama lain dengan lebih rapat sebelum sebarang keputusan rasmi dibuat.

“Awak sihat?” Spontan.

“Sihat.” Lambat-lambat Kamal jawab. Lagi sekali ketawa di hujung sana meledak. Dia boleh bayangkan gadis itu sangat naif dan lurus orangnya.

“Salah ke soalan tu?” Dengan lurus bendul, Aivy balas balik.

“Tak. Tapi Aivy tak nak tahu pasal kita?”

“Ooo... yaaa...” jawabnya panjang.

“Keluarga saya masih menunggu jawapan. But take your time, okay. No rush.”

“Tapi kita tak pernah kenal, kan.”

Suara di hujung sana pula yang menghilang tiba-tiba.

Ah! Aku salah cakap ke. Mungkin sebab dia boleh baca penolakan di pihaknya. Dia tersentap?

“Jadi Aivy tak setuju?”

Macam mana nak jawab ni? Perlu ke dia bohong sunat untuk menjaga hati orang? Suara ibu berputar semula.

“Kalau Aivy tak nak, nantilah ibu fikirkan macam mana nak tolak secara elok. Sebab Ibrahim tu nampak berhajat sangat nak jodohkan Aivy dengan anaknya.”

“Saya tak marah atau kecil hati. Apa sahaja keputusan Aivy, saya terima dengan hati terbuka.”

Suara tenang itu membuatkan dia semakin tak tenang.

“Bukan tak suka. Cuma Aivy belum rasa nak kahwin lagi.” Jujur. Itulah yang selayaknya sebagai jawapan. Perlu berterus-terang dari mula sebelum segalanya menjadi semakin rumit.

“Belum rasa?”

“Belum masanya.” Aivy buat pembetulan.

“Jadi, memang itu keputusan Aivy?”

“Lebih kurang macam tulah.”

Diam. “Boleh saya tahu kenapa?” soal Kamal bersahaja.

“Macam saya cakap tadi. Kita tak pernah kenal. Tak pernah jumpa. Dan tak pernah bercinta. Macam mana nak kahwin?”

“Tak boleh bercinta selepas kahwin?”

“Erkkk?!” Dia bagai tercekik tulang ikan gelama.

Kamal tahu Aivy jenis yang lurus bendul. Gadis yang senang berterus-terang. Seperti kata abah. “Okey.”

“Okey?” Aivy terpinga-pinga. Pelik jika semudah itu pihak di sana boleh menerima penolakannya.

“Kalau itu keputusan Aivy, saya tak memaksa.”

Bagai air yang mengalir sahaja suaranya. Langsung tidak terjejas. Agaknya sebab ini rancangan Uncle Ibrahim? Atau dia sudah ada calon lain? Jadi penolakan itu diterima dengan senang hati?

“Cuma satu permintaan saya.”

“Hmm?”

“Saya nak jemput Aivy datang ke rumah. Cuma nak kenal siapa gadis yang membuatkan abah benar-benar jatuh hati.”

“Arrr...” Dia ternganga.

“Abah benar-benar berkenankan Aivy untuk dijadikan menantu.” Seolah-olah faham apa yang bermain di kepala Aivy, Kamal betulkan ayat.

Aivy kerutkan dahi. Gigit jari. Siapa yang nak kahwin sebenarnya ni? Dia ke Uncle Ibrahim?

“Just for dinner and meet my family.”

“Family?” Tanpa sedar bibirnya berbisik.

“Adik-beradik saya...”

“Nak jumpa saya?” soal Aivy bagai tidak percaya.

“Cuma nak berkenalan.”

“Errr... nanti saya tanya ibu dulu.”

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ayu Emelda