Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
137,552
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 2



Lega betul bila Melah sudah nampak jalan masuk ke rumahnya. Angan-angannya sebaik sampai di rumah nanti, dia hendak mandi dan tidur puas-puas. Soal makan kemudian saja.

Dia mesti melayan mata terlebih dulu berbanding perutnya. Semakin dekat jalan masuk, semakin laju Jelan mengekori. Ah, sudah! Lain pula ceritanya nanti. Apa yang Jelan mahu darinya?

Orang kampung bukannya peduli Jelan itu senget atau tidak. Yang mereka tahu Jelan itu lelaki dan Melah perempuan. Bila ada peluang untuk mengata sampai terjuih-juih mulut, mereka akan mengata.

Sudah selalu terdengar cakap-cakap dan umpatan yang mengeji, Melah begitu, Melah begini. Kadang-kadang Melah merasakan dia lebih glamor berbanding Emma Ma’Embong yang selalu terpampang mukanya di kaca tv.

“Jelan! Sini rumah aku...rumah kau depan nun lagi. Kau terus jalan depan sana.”

Melah mengingatkan, takut-takut Jelan terlupa jalan balik. Peluh yang hendak masuk ke mulutnya cepat-cepat dikesat dengan hujung lengan baju. Mukanya yang menyeringai dek cuaca yang makin terik direnung Jelan dengan lama sambil Jelan menelan air liurnya sendiri.

‘Lain macam pulak aku tengok Jelan ni. Bahaya ni,’ bisik Melah dalam hati. Ada masa cuak juga dengan Jelan walaupun dia tak waras tapi dia tetap lelaki.

“Kau masuklah...aku jaga kau. Aku kan polis. Nanti ada orang kacau kau, aku tangkap dia. Lepas tu aku masukkan dia dalam lubang jamban,” ujar Jelan beria-ia.

Dia berniat mahu menjaga keselamatan Melah. Mungkin daripada orang macam Pak Sood yang selalu buat hal.

‘Alahai kesiannya Jelan... sejak bila pulak dia masuk polis.’ Bisik Melah menahan geli hati. Dia bukan hendak menghina tapi cakap-cakap Jelan memang kelakar.

“Tak payahlah. Aku kan berani. Lagi pun hari siang lagi ni. Kau balik ya,” pujuk Melah sudahnya.

Bercakap dengan Jelan tak boleh kasar sebab dia pun manusia juga walaupun tak sempurna. Dia pun ada perasaan sedih atau marah. Lainlah kalau Jelan itu tunggul.

“Kau tak pernah datang rumah aku. Kalau kau datang, aku akan suruh kau bukak baju.” Selamba saja muka Jelan. Mata Melah pula sudah bulat buntang.

“Hah! Buat apa bukak baju. Kau gi... opsss!”

Cepat Melah menekup mulutnya sendiri. Sia-sia kalau dia bertanya Jelan itu gila atau tidak. Sememangnya sejak sebulan selepas dia menjejakkan kaki ke kampung itu, dia sudah tahu yang pemuda itu memang tak cukup akal.

Dia tak kenal sangat pada Jelan tapi daripada cakap-cakap orang kampung, mereka juga tak pasti siapakah Jelan yang sebenarnya. Jelan pemuda kurang akal yang pelik.

Jelan cuma dilihat merayau-rayau di kampung itu semasa hujung minggu, pada cuti-cuti khas atau pada cuti persekolahan. Hari-hari biasa jarang sangat nampak kelibatnya. Kalau ada pun kebiasaannya hanya pada waktu petang. Macam berjadual pula kemunculan Jelan.

“Haaa, kan... kau dah takut... kau takut aku ya,” lalu Jelan ketawa besar. Nampak anak tekaknya.

“Tak takut!” sahut Melah yakin. Dia juga yakin Jelan tak bernafsu macam lelaki dewasa yang normal.

“Tapi kenapa kau nak aku bukak baju ya?” Gatal pula mulutnya bertanya. Rasa hendak tau menguit-nguit macam ulat nangka.

Jelan tak menjawab, sebaliknya dia terlompat-lompat sambil bertepuk tangan. Selepas itu berpencak silat pula. Bila sudah penat dia berhenti. Melah pun penat dan mengah bila melihat perlakuan Jelan itu.

“Aku nak suruh kau tukar baju.”

“Buat apa?” Melah semakin mahu tahu.

“Baju pengantin! Aku nak kahwin dengan kau!” Jelan malu-malu macam anak dara sunti.

Melah ketawa terbahak-bahak. Bertambah kemerahan kulit mukanya. Dia tahu Jelan sendiri tak faham dengan apa yang diucapkannya.

Tak kisahlah, yang penting Jelan selalu berjaya membuat dia ketawa. Entah kenapa semua masalah akan terbang bila dapat berbual dengan Jelan. Rasa sedihnya pun dapat dilupakan untuk seketika.

“Kau baik. Kau doa banyak-banyak ya Jelan, supaya dapat kahwin dengan aku,” usik Melah lalu Jelan semakin malu-malu. Terlenggok-lenggok badannya dek rasa seronok.

“Kahwin dengan Melah! Kahwin dengan Melah!” jerit Jelan sambil berlari-larian meninggalkan Melah begitu saja.

Melah terus memerhati gerak-geri Jelan sampai terteleng lehernya. Keluhan ringan dilepaskan. Penglipur laranya sudah pergi. Nampaknya dia akan kesunyian lagi selepas ini. Tak ada kawan yang memahami, tak ada saudara mara untuk meluahkan.

“Agaknya kalau kahwin dengan orang gila lebih bahagia. Dengan orang tak gila, aku yang naik gila. Buat aku macam tak wujud je.”

Keluh Melah lalu melangkah masuk ke perkarangan rumah sewanya. Nama saja rumah sewa kampung tapi mahalnya boleh tahan juga. Zaman duit semuanya cukup menyeksakan.

“Assalamualaikum... ibu, bukak pintu ni bu. Melah balik.” Sambil tangan kanannya mengetuk daun pintu bertalu-talu. Salam diberi cuma sekali. Melah yakin ibunya yang bertelinga lintah akan mendengar laungannya.

Lima minit kemudian daun pintu ternganga. Mak Chah tegak depan pintu. Koyok pada dahinya masih melekat elok. Melah hendak meletakkan tapak tangan pada dahi Mak Chah. Sebaliknya orang tua itu menarik tangan Melah untuk masuk ke dalam rumah.

“Kamu ni Melah... kalau aku boleh tegak macam ni, maknanya aku eloklah tu. Belum nak mati lagi.” Punggung pipih Mak Chah dihenyak pada kerusi kayu yang bantalnya dijahit sendiri oleh Melah.

“Tak adalah bu... Melah risau je. Ibu dah makan ke nasi goreng Melah masak pagi tadi?” tanya Melah lalu duduk di kerusi sebelah ibunya. Beg hijau keras diletak di bawah kaki.

“Sudah... ada ibu tinggalkan sikit untuk kamu.”

“Banyak kamu jual hari ni?” tanya Mak Chah lagi.

“Habuk bu... tak ada hasil. Dahlah tak berjaya jual, yang berhutang pun liat nak bayar. Dorang ni cuma tau buat hutang je, time bayar ada je alasan.”

“Suami belum gajilah, nak pakai duit pergi klinik sebab ceret-beretlah. Itulah, inilah... ermmm, nampaknya makin kayaplah Melah macam ni bu.”

Berubah muka Mak Chah. Mendung dan malap. Badannya disandarkan pada badan kerusi dengan keras. Kadang-kadang terkilan juga dia. Dalam umur yang masih muda Melah sudah janda. Semuanya sebab suami yang tak guna.

Terpaksalah Melah berusaha sendiri untuk terus hidup. Nasib baik Melah tak ada anak. Kalau ada, silap-silap anaknya akan kurus kering tak cukup zat. Mak Chah juga rasa bersalah sebab selalu menyusahkan Melah.

Kalau diikutkan hati mahu saja Mak Chah menyumpah orang yang menyakiti Melah menjadi jongkong emas supaya boleh digadai atau dijual terus pada kedai emas. Harga emas boleh tahan juga sekarang ini.

Hidup Melah akan senang lenang dan tak payah bersusah payah menjaja dari rumah ke rumah. Mak Chah tahu Melah terpaksa menebalkan muka untuk berjualan yang belum tentu lagi hasilnya.

“Maafkan ibu, Melah. Kalau tak disebabkan Arie tentu kamu tak jadi macam ni.”

Kesal betul Mak Chah. Kalau ada pilihan dia malas hendak menyebut nama Arie tapi terpaksa juga disebut. Itu pun, nama itu lalu tak lalu saja di tepi bibirnya yang kering itu.

“Jangan cakap macam tu, bu. Semua dah takdir Melah. Melah kena terima. Walaupun kadang-kadang Melah rasa nak bomohkan je Arief tu, bagi menggeletek macam ikan tak cukup air tapi Melah sedar semua tu kerja sia-sia. Melah kena teruskan hidup Melah.”

Setiap kali nama Arief disebut, badan dan semangat Melah akan lemah. Baginya Arief tak lebih daripada aura hitam legam yang perlu dinyahkan daripada sejarah hidupnya. Aura hitam itu busuknya mengalahkan air limbah di belakang rumah.

“Kamu ni baik sangat, Melah. Ibu ni dah buat macam-macam pada kamu tapi kamu masih nak maafkan ibu. Ibu malu.” Keluh Mak Chah.

‘Alahai ibu ni, nak berdramatik pulak. Bila masa aku nak dapat lupakan semua ni kalau ibu asyik ungkit-ungkit je kisah yang sepatutnya dah dibenam dalam lubang kubur. Ermmm... tapi aku faham perasaan ibu.’ Keluh Melah pula.

“Tak baik berdendam kan bu. Melah pun tak nak ingat lagi. Sekarang ni Melah akan jaga ibu selagi Melah mampu. Ibu duduk sini dengan Melah.”

Topik yang panas itu membuat Melah semakin panas. Ditarik kain tudung yang melitupi kepala. Kain tudung itu digunakan untuk mengelap muka yang berpeluh. Badannya pula sudah lekit. Melah sudah membayangkan sejuknya air kolah di bilik mandi.

“Melah... Melah.”

Mak Chah kagum dengan Melah. Janda muda tanpa anak yang cekal. Melah tak menangis sewaktu diceraikan macam dia menangis semasa dinikahi dulu. Cerai itu sakit tapi ada kebaikannya juga bagi seorang perempuan bernama Melah.

“Bu, Melah mandi dululah. Lepas tu nak tidur sekejap, sebelum masuk Zuhur. Ibu jangan lupa kunci pintu, bu.”

“Selagi Melah tak bangkit tidur, ibu jangan nak bukak pintu dan jenguk-jenguk keluar. Melah tak nak apa-apa jadi kat ibu lagi. Ya, bu?” sambil Melah angkat punggung daripada kerusi kayu getah.

“Iyalah Melah... pergilah.” Sahut Mak Chah yang masih tersandar pada kerusi.


********


Sementara itu di berhampiran bilik mandi rumah Pak Sood, kelihatan seseorang sedang terhendap-hendap. Anak perempuan Pak Sood yang kebetulan sedang duduk pada anak tangga rumah menyedari apa yang berlaku. Awas betul matanya walaupun dia rabun.

Perlahan-lahan dia menyarung selipar Jepun lalu berjalan terjengkit-jengkit ke arah bilik mandi yang berada di tepi halaman rumah. Besar hatinya hendak menangkap penceroboh itu. Paling kurang pun kalau dapat mencederakannya bagus juga.

“Siapa tu?” Zara bercakap sendiri.

“Amboi, nak mengintai ke tu?” ujar Zara lagi bila melihat orang itu mendekatkan kepala pada dinding bilik mandi.

Zara tak dapat melihat dengan jelas disebabkan masalah rabun jauh dekatnya. Sebab perkara itu satu kecemasan maka Zara tak sempat naik ke atas rumah untuk mengambil cermin mata berbingkai hijaunya.

Dia mesti mengenakan penceroboh yang berani-berani masuk ke kawasan rumahnya. Lebih-lebih lagi bilik mandi, satu tempat yang sangat sensitif. Ibunya pula sedang sedap-sedap mandi di situ.

“Hishhh... dah makin teruk mata aku ni. Kelabu je semuanya. Ibu pun lambat sangat mandinya tu kenapa? Dia tak tau ke ada orang nak mengintai?” bebel Zara.

“Aku mesti cari senjata ni. Haaa, kat sini-sini ada banyak beluti yang abah letak. Ambik satulah buat senjata.”

Dengan yakin Zara mengambil sebatang kayu beluti yang agak panjang. Kayu itu dipegang kuat lalu dia mendekati lagi bilik mandi. Tak cukup dengan sebelah tangan, dia menggenggam dengan kedua-dua belah tangannya.

Dia mesti bertindak untuk kebaikan ibunya yang sedang mandi. Hendak mengharapkan abangnya, entah ke mana kutu embun itu pergi. Selagi matahari belum terbenam jangan harap dia berada di rumah.

Dari dalam bilik air kedengaran berdebur-debur bunyi ibunya mencedok air kolah lalu disiram ke badan yang kepanasan. Zara faham betul bila ibunya mandi mesti badannya tak lekat kain basahan. Kata ibunya, tak puas mandi bila dilapisi kain basahan.

Zara juga tahu kulit badan ibunya sudah kendur dan gelebeh di sana-sini tapi dia tetap tak rela melihat ibunya diintai oleh orang yang tak dikenali semasa sedang mandi. Itu satu perkara aib!

Siapalah agaknya yang tak ada pendidikan sivik, sanggup mengintai orang tua yang sedang mandi pada waktu siang terang benderang seperti itu? Menyusahkan orang saja!

“Tapi apa nak diherankan. Ni kan dah akhir zaman. Dalam surat khabar tu ada je berita nenek tua kena rogol. Eiii... ngerinya!”

Membayangkan perkara itu, Zara geli geleman. Bahunya turun naik dek kegelian. Niatnya makin mantap. Dia mahu menjadi penyelamat ibunya. Musuh mesti ditumpaskan. Ibu kesayangannya mesti diselamatkan daripada mendapat malu besar. Isyyy...aib!

Kalau tak mampu mematahkan kakinya dengan kayu beluti, cukuplah kalau penceroboh itu takut dan lari lintang-pukang meninggalkan tempat itu. Tentu dia akan serik untuk datang lagi. Barulah dia tahu langit itu tinggi ke rendah.

“Hih geramnya aku tengok. Lama betul dia terbongkok-bongkok kat situ.”

Zara bertambah dekat. Apa yang Zara nampak, seluruh badannya kelabu saja. Dengan penglihatan yang terhad memberanikan diri. Bila sudah lebih dekat lagi, dia mengangkat kayu beluti itu tinggi-tinggi untuk menghentak badan penceroboh itu.

“Arghhh!”

“Arghhh!”

Lain pula yang berlaku. Kayu beluti terlepas sebaik penceroboh itu menoleh dengan pantas memandang Zara. Mereka sama-sama menjerit panjang dengan mata terbeliak besar. Hampir tercabut jantung Zara.

Mereka bertatapan. Zara yang tadinya berani sudah hilang semangat dek terlampau terkejut. Kecut isi perutnya. Tiba-tiba rasa hendak muntah. Itulah kelemahan Zara, setiap kali terkejut dia akan rasa mual.

“Apa tu Zara?” laung ibunya dari dalam bilik mandi.

Zara yang masih kaget diberi amaran supaya jangan sesekali memberitahu apa-apa kepada ibunya. Anak gadis itu terkedu sebaik melihat dengan jelas siapakah yang hendak dihentaknya tadi.

Mujur dia belum sempat berbuat apa-apa. Kalau tidak, sudah tentu dia akan sesal seumur hidup. Zara mengurut dada untuk menenangkan dirinya supaya pulih daripada kejutan yang tak disangka itu.

“Tak bu! Tak ada apa! Zara terkejutkan tupai je, bu,” jawab Zara lalu ibunya senyap tak bertanya lagi.

Tindakan Zara mendapat pujian. Belakang Zara ditepuk berkali-kali. Huh! Sebal betul Zara. Lebih-lebih lagi bila melihat orang yang berdiri depannya menyengih tak sudah-sudah.

Gigi yang tak cukup jumlah cukup dikenali oleh Zara. Cuma muka kelabunya saja yang agak mengelirukan bila dilihat dari jauh. Huh! Buat penat saja. Lebih baik dia duduk atas anak tangga sambil mengangan-angankan seseorang.

“Apa kamu nak buat tadi, Zara?” soal penceroboh yang sebenarnya ialah Pak Sood.

“Abah pulak kenapa macam ni? Macam orang jahat je Zara tengok. Abah ni menyusahkan Zara betullah. Nasib baik tak kena hempuk tadi.” Sungut Zara geram.

“Syyy... jangan bising-bising. Ibu dengar nanti.” Minta Pak Sood dengan cemas. Dia menarik tangan Zara menjauh dari bilik mandi.

“Kenapa baju, badan, muka semua kelabu ni abah? Apa dah jadi. Sampai bulu mata pun kelabu.”

Soalan Zara bertalu-talu. Dia tak peduli kalau ibunya mendengar. Dia suka bila melihat ibunya bertegang leher dengan abahnya dalam soal main kayu tiga. Selalunya Zara memilih menjadi tali barut.

Mana yang lebih menguntungkan, di situlah dia akan berpihak. Dia faham sangat, Pak Sood akan mengumpannya dengan macam-macam benda yang dia suka. Bukan dia tak sayang ibunya dan bukan dia hendak menjadi pengkhianat abahnya tapi itulah namanya permainan.

Bulan sudah abahnya menghadiahkannya alat-alat solek yang dibeli melalui jualan onlinebila Zara menyorokkan tembelang abahnya yang busuk.

Dalam bulan yang sama juga, ibunya menjahit sepasang baju baru untuk Zara disebabkan Zara menjadi mata-mata ibunya untuk mengintip pergerakan abahnya.

“Pelan-pelanlah Zara... kamu nak kasut tumit tinggi tak?” umpan Pak Sood yang mulai gelabah dengan mulut anak daranya yang tak cukup diajar itu.

“Nak! Nak!” jerit Zara teruja. Pantas Pak Sood menekup mulut Zara.

“Kalau nak, jangan bising-bising,” ujar orang tua itu lalu Zara angguk laju.

“Tapi Zara tak faham. Abah ni kenapa sebenarnya?”

“Tak ada apa... abah jatuh parit.”

“Motor mana, motor?”

“Masih dalam parit. Nanti abah suruh abang kamu angkat naik.”

Hampir hendak meledak ketawa Zara. Kalau tak memikirkan perjanjian mulut tentang kasut bertumit tinggi idaman hati, mahu saja dia ketawa sepuasnya. Tidak dapat dibayangkan bagaimana abahnya boleh masuk ke dalam parit dengan motosikalnya sekali.

Hendak dikata orang tua itu baru belajar menunggang motosikal adalah mustahil. Abahnya sudah menunggang motosikal dari zaman motosikalnya berkilat sewaktu dibeli dari kedai sampailah motosikal itu cabuk dan semput-semput.

“Peliknya,” gumam Zara tak puas hati.

“Kalau ya pun abah jatuh dalam parit, kenapa pulak terhendap-hendap tadi?” soalnya pula.

“Abah tak nak ibu kamu nampak. Sebab tu abah tunggu ibu kamu sudah mandi. Kalau dia keluar, bolehlah abah masuk bersihkan badan.” Jelas Pak Sood sejelas-jelasnya.

“Macam-macamlah abah ni.”

“Hah, tu ibu kamu dah keluar. Kamu naiklah, abah nak mandi.” Pak Sood menolak badan Zara sampai terdorong ke depan.

Zara terpaksa pergi dengan muka sebal. Punah harapannya hendak mengorek rahsia orang tua itu. Lebih banyak rahsia abahnya yang dia tahu akan lebih mudah untuknya minta itu dan ini. Tak payahlah dia bersusah payah bekerja macam mak janda yang menjadi musuh ketatnya.

Mengingatkan Melah hatinya jadi geram tak tentu fasal. Untuk memuaskan hatinya, dia berjalan dengan menghentak-hentak kaki sambil membayangkan sedang memijak-mijak muka Melah yang menjadi pujaan romeo-romeo kampung.

Disebabkan janda itu, pemuda-pemuda kampung langsung tak memandangnya yang dirasakan tak kurang cantiknya. Apa sangatlah dengan Melah berbanding dirinya. Nama Melah sudah cukup untuk membuat dia sakit hati. Apatah lagi bila berjumpa orangnya.

“La lalala lalala laaa...oh Melah. Melah ku sayang! Sabar ya tunggu haliii... apa ke dianya? Hali ke heli dabid... ah! Lupa pulak abang.”

“Unta padang pasir lagi mudah disebut. Abang akan cari unta padang pasir yang Melah nak abang adakan. Tunggu ya sayang.”

Sambil mandi Pak Sood berangan-angankan Melah yang menjadi idaman kalbu. Muka lawa Melah terpampang dalam air kolah depan mata. Pak Sood cuba menyentuh muka Melah dengan jari kasar kematunya. Melah senyum suka. Pak Sood apatah lagi. Berganda sukanya.

“Melah... Melah.” Orang tua berumur 60 tahun itu terus melayan angaunya.

Dummm... prakkk. “Oh mak kau! Apa tu?”

Angan-agannya bertempiaran lari bila Pak Sood terkejut yang teramat. Sebiji kelapa tua yang jatuh di atas bumbung bilik mandi sudah cukup membuat jantung Pak Sood hampir tercabut dari tempatnya. Pak Sood mengurut dada dan dia terlupa sekejap tentang Melah.

Mujur orang tua tak pengsan atau mati terkejut. Masih panjang umur rupanya. Badannya yang tinggi terasa lemah dek denyut jantung yang melaju tiba-tiba. Dadanya yang nampak sususan tulang terus diusap-usap.

Pak Sood yang pernah menjadi anggota RELA pada zaman mudanya itu dipenuhi dengan semangat juang. Dia nekad untuk terus berjuang memikat Melah yang muda dan menggoda. Bukan Melah yang suka menggoda tapi si tua bangka itu yang perasan dirinya digoda.

“Aku akan miliki kau jugak Melah!”

Dia senyum-senyum di dalam bilik mandi.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.