“Huh! Tak
boleh ke kalau tak ada lelaki dalam dunia ni. Penatlah aku macam ni! Kenapa
lelaki suka sangat cipta masalah untuk aku... eiii!”
Penat
betul Melah. Sudahlah di pekan tadi dia bertembung dengan lelaki yang suka
berlagak muda. Sakit hati Melah! Di mana-mana ada saja Pak Sood. Sudahlah
begitu, sesuka hati saja orang tua itu hendak mengganggunya. Senang-senang
berkelakuan macam Melah itu buah hati pengarang jantungnya.
Nasib
baik ada Ejul. Hairan juga Melah. Semuanya macam kebetulan saja. Ejul ke pekan
pada hari yang sama. Bezanya Melah menaiki bas sedangkan Ejul dengan kereta
Sartia Neo kesayangannya.
Sebaik
Pak Sood ternampak Ejul menghampiri Melah, kelam-kabut dia pergi. Ejul sudah
menyelamatkannya. Sesudah berbasi-basi, Melah minta diri untuk ke Kedai Emas
Poh Chong. Tak dapat membeli emas 916, dapat mencuci mata pun jadilah.
Sebelum
hari terlalu petang, Melah menahan bas untuk balik ke rumah. Ejul macam
tahu-tahu saja waktu baliknya. Entah daripada mana dia muncul, Melah langsung
tak menyedari. Macam ada magic pula
cikgu muda itu.
Ejul
menawarkan diri untuk menumpangkan Melah tapi Melah terpaksa menolak. Bukan
hendak jual mahal tapi tak sopan kalau dia menumpang kereta orang bujang.
Biarlah dia bersusah
payah menaiki bas asalkan tak ada yang akan memandang serong.
“Nak
keluar ke tak ni? Kalau aku tak keluar, parah pulak ibu.” Gelisah dan tak
senang duduk Melah dibuatnya. Punggungnya terasa panas pijar.
Hati
Melah bengkak. Sebaik sampai di rumah, Arief sudah menunggunya di ruang tamu.
Cepat-cepat Melah masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dari dalam.
Berkali-kali Mak Chah memanggilnya tapi Melah buat-buat pekak.
Beg
hijau kerasnya dihumban ke katil. Nafasnya turun naik tak keruan. Kalau
diikutkan hati hendak sangat dia menjerit supaya Arief tahu dia tak mahu
berjumpa lelaki itu lagi. Dalam keadaan penat perasaan marah memang mudah
datang. Lebih-lebih lagi bila terpaksa berdepan dengan dudanya yang asyik
menagih cinta.
“Apa
lagi yang dia nak? Tak larat aku nak layan.”
Lesu
hatinya. Badan yang memang penat bertambah penat. Melah sedar selagi Mak Chah duduk bersamanya, Arief akan selalu datang ke rumah itu. Mahu saja Melah meminta
bekas ibu mertuanya keluar dari rumah itu dan tinggal bersama Arief... tapi tak
sampai hati pula hendak meluahkan.
“Nak...
keluarlah sekejap. Kalau bukan untuk Arief, buat untuk ibu ya.”
Pujukan
Mak Chah di luar bilik membuat Melah rasa lemas. Apa lagi yang lelaki tak
berguna itu mahukan? Mak Chah pula macam tak faham-faham yang dia selalu
mengelak untuk berjumpa Arief. Ada masanya orang tua itu memang menyebalkan.
“Melah
penatlah bu... Melah nak rehat.”
Mahu
atau tak, Melah tak boleh berdiam. Dia menghampiri pintu bilik dan menjawab
perlahan. Dalam hati kecilnya mengharapkan supaya Mak Chah faham. Sayangnya Mak Chah masih tetap memujuknya.
‘Hah!
Aku masih perlu ikut kata dia ke? Dia siapa? Bencinya!...” Melah mengetap
bibir. Menahan marah dan sakit hati. Kepada siapa? Dia sendiri tak pasti.
Selalu juga dia memarahi diri sendiri sebab mencari masalah dengan menumpangkan
Mak Chah di rumah itu.
Bila
fikiran warasnya mengganti kemarahan, dia memujuk hati. Tak salah membantu orang
yang memerlukan. Tolong-menolong sesama saudara seagama amat digalakkan. Tapi...
hah! Dia selalu tersepit dengan keadaan.
“Sekejap
aje, nak. Selesaikan masalah dengan baik.” Pujukan Mak Chah masih masuk ke
lubang telinga Melah.
“Masalah
apa lagi bu? Semua dah selesai kan?” suaranya cuba dikawal sebaik mungkin. Dia
juga cuba memahami yang kasih ibu kepada anaknya tak pernah berkesudahan. Tak
ada tepiannya. Macam itulah keadaan Mak Chah sekarang ini.
“Hmmm...
entahlah Melah. Cuma ibu mintak... Melah keluarlah. Kalau tak, Arief akan lebih
lama lagi dalam rumah ni.” Ada juga munasabahnya alasan Mak Chah. Melah menarik
nafas untuk menenangkan sedikit fikirannya.
‘Arghhh!...
lelaki memang memenatkan. Sana sini lelaki. Nak elak lelaki, tetap ada jugak
dorang ni! Sampai dalam rumah aku pun ada lelaki!’ omel Melah dalam hati.
Dek
rasa marah Melah hampir terlupa akan fitrah dunia. Mana ada dunia yang tak ada
lelaki? Kaum Adam ada di mana-mana saja. Selagi ada wanita, sudah tentu adanya
lelaki. Lelaki dan wanita saling lengkap melengkapkan antara satu dengan lain.
“Melah!”
suara di luar pula tak bosan-bosan memanggilnya. Huh! Terasa hendak keluar
tanduk Melah. Marah yang cuba dikawal tetap menggoda nafsunya.
“Ya,
bu... yalah, Melah keluar ni.” Hembusan nafas kuat dilepaskan lagi. Sebal alias
jengkel!
Dengan
malas daun pintu ditarik lalu Melah keluar dengan macam-macam perasaan yang
bergabung menjadi satu. Dasar lelaki! Jangan ingat dirinya macam sebiji bola.
Ditendang bila tak suka, diambil semula bila dikehendaki.
Kalau
diberi pilihan dia lebih rela menjadi bola ragbi. Sentiasa direbut-rebut bila
diperlukan dan dipeluk-peluk bila sudah berjaya dimiliki. Dipertahankan sampai
ke titisan peluh terkahir.
Masih
adakah lelaki yang sudi mempertahankannya sebegitu? Kalau ada alangkah
bahagianya... Jelan? Ah! Jelan lagi yang muncul dalam kepalanya. Apalah yang
lelaki senteng itu
boleh lakukan? Hendak menjaga diri sendiri pun dia tak mampu.
“Jelan...
Jelan. Janganlah kau goda aku!” Tanpa sengaja bibir Melah menyebut nama Jelan.
Selepas itu dia tersenyum-senyum sendiri.
‘Ada
harapan ni! Dia senyum dengan akulah!’ desis Arief suka.
Arief
yang melihat Melah berjalan menghampirinya sudah perasan sendiri. Kalau Melah
sudi menghadiahkan senyuman kepadanya bermakna janda talak tiganya itu sudah
memaafkan kesalahannya. Ini peluang baik! Dia membuat telahan sendiri.
‘Senyum...
senyum. Lempang sekali, baru tau!’ gerutu Melah pula sebaik melihat Arief asyik
tersenyum tersengih memandangnya. Nasib baik Arief tak mendengar bisikan
hatinya.
“Melah,”
sapa Arief sebaik Melah sudah dekat. Melah angguk sedikit sambil mengintai Mak
Som. Ke mana pula orang tua itu? Tak nampak batang hidungnya. Ke dapur agaknya.
“Ada
apa datang rumah ni?” tanya Melah hendak tak hendak saja. Dia tak mahu hatinya
cair dek renungan Arief yang menggoda.
Pandangan
mata itulah yang sudah membuatnya jatuh cinta kepada lelaki itu... itu dulu.
Sekarang dia sedang berusaha memadam nama lelaki itu daripada hatinya. Kalau
tak boleh dipadam dengan getah pemadam, dia akan memadamnya dengan perkataan
TALAK TIGA.
Melah
perlu sentiasa ingat pada empat suku kata perkataan itu supaya rasa cintanya
terhadap Arief akan pudar dan terus mati. Sayangnya menunggu masa dia dapat
betul-betul melupakan Arief adalah sangat payah buat dirinya.
“Nak
tengok keadaan Mellia... nak...”
“Untuk
apa?” pintas Melah pantas.
“Sayang!...
sebab abang sayang Mellia abang datang ke sini.” Arief memberanikan diri.
Bulat
mata Melah. Sesak nafasnya. Suara jantan Arief sedang merayunya. Suara itu
masih sama sewaktu kali pertama mereka berkenalan. Romantis... ah! Melah mesti
kuat! Semua itu mesti ditepis semahu-mahunya. Usah diikut kata hati, jangan
diruntun jiwa muda. Itu amaran Melah kepada dirinya sendiri.
"Selama mana aku kasih, cinta dan cuba melengkapkan
hidupmu dulu tapi kau tak pernah membalas dengan sewajarnya... masa tu aku
sangat kecewa. Sakit! Ngilu! Apa yang kau tau?”
“Tapiii... aku pasti ALLAH dah membayar kerugian tu untuk
aku. Sekarang kau bukan lagi suamiku. Masa silam kita dah pun berlalu. Talak
antara kita tak akan pernah dapat ditebus lagi."
Susahnya Melah meluahkan. Dia sedar apa yang sudah berlalu
tak mungkin akan berpatah balik. Dia mesti melawan kemahuan hati yang
bertingkah dengan hakikat. Darah mudanya masih menginginkan untuk bersama Arief
tapi akalnya membentak-bentak melarang.
"Kita masih ada jalan! Apa
kata, cina buta?"
Arief tetap tak
dapat menerima kenyataan. Kenyataan yang dia sudah gila talak. Beria-ia dia
memberikan cadangan yang tak masuk akal itu. Mukanya dipenuhi harapan.
Mengharap kepada Melah yang sudah diperlakukan dengan buruk sebelum ini. Tak
ada perkara yang lebih buruk untuk Melah melainkan hadiah talak tiga daripada
Arief.
"Hukum mana
yang kau nak halalkan? Kalau dulu kau berfikir seribu kali sebelum menyebut
perkataan puaka tu, semua ni tak akan berlaku." Bagi Melah ia tak semudah
itu. Dia tak perlu berlembut lagi dengan Arief. Mereka sudah tak ada hubungan
istimewa lagi.
"Abang menyesal... sumpah! Percayalah!
Abang betul-betul menyesal. Kalaulah abang tau kehilangan Mellia seumpama
hilang sebahagian anggota..." Arief tunduk.
"Syhhh... tak
usah kau katakan lagi. Semua dah terlewat.” Dipintas lagi kata-kata Arief.
Panas dan pedih kolam
mata Melah. Seakan dimasuki habuk. Bila-bila masa saja air matanya pasti akan
berjejeran. Dia mesti bertahan! Mana boleh menunjukkan kelemahan depan lelaki.
Buku limanya digenggam untuk memberi semangat kepada hati supaya terus
berpegang pada pendirian.
“Mellia! Janganlah
buat abang macam ni... Mellia tau tak? Mellia tak pernah lekang dari ingatan
abang. Siang malam abang rindukan Mellia. Nak tidur terbayang Mellia, nak makan
teringat Mellia, nak mandi terkenang Mellia. Boleh jadi gila kalau hari-hari
macam ni.”
Sendu saja muka
Arief. Macam tapai basi. Dia tunduk merenung lantai dengan ibu jari kakinya menguis-nguis
kaki meja kopi yang tak tau apa-apa. Arief hendak mengumpan rasa simpati Melah
terhadap dirinya.
‘Nasiblah! Ada aku
kisah?’ bisik Melah mengejek sambil cuba menutupi perasaan sebenar. Bohonglah
kalau dia tak sayang Arief lagi. Susah betul mahu melupakan lelaki yang sudah
mengoyak hatinya menjadi serpihan-serpihan kecil itu.
Bukan mudah dia
hendak menampal hati yang sudah berlubang-lubang di sana-sini. Susah! Hatinya
yang dulu berwarna merah sudah lebam birat dek torehan luka yang lelaki itu
hadiahkan. Sekarang baru dia tahu rasa! Padan muka!
“Kalau setahun
dulu, masa aku jadi isterimu... kau bebas untuk ucapkan rindu sebab aku adalah
hakmu. Sayangnya dalam keadaan sekarang kalau kau sangka perasaan itu satu
kerinduan yang tak boleh kau tahan-tahan... kau dah tersilap.”
Melah merenung
jauh ke luar tingkap yang terbuka lebar. Angin petang menampar-nampar pipinya yang
mulus. Nasib baik angin memahami bahang hatinya. Tiupan lembutnya membantu
memberi kesejukan yang sangat nikmat.
“Maksud Mellia?” Merah
muka Arief. Malu. Dalam hati pula sudah sarat dengan kekesalan.
“Ya, kau silap.
Tak akan ada rindu seorang lelaki yang dah menjatuhkan talak pada pasangannya.”
Melah menjeling Arief yang terus tunduk.
“Yang ada cuma
nafsu, ego dan sesalan. Ucapan rindu seorang lelaki sebenarnya satu pembohongan
bila dia tergamak mencuri tabungan seorang perempuan yang sedang cuba hidup
berdikari. Sadis!”
Inilah masanya
untuk mengenakan lelaki tak guna itu walaupun dalam masa yang sama dia terpaksa
memerangi keinginannya sendiri. Keinginan untuk terus mencintai Arief. Tidak
mudah untuk Melah jatuh cinta dan tak mungkin ada cinta kali kedua selepas
Arief.
Dia sedar manusia
tak boleh terus hidup hanya dengan cinta semata. Kalau cinta sekadar mainan
bibir, ia cuma akan mengenyangkan nafsu. Nafsu akan mempermainkan akal. Akal
akan ditakluk oleh tipu daya syaitan. Manusia selalu tertipu oleh cinta. Salah
seorang daripadanya ialah Arief... dudanya yang selalu terlupa bahawa mereka
bukan lagi suami isteri.
“Abang... abang...
sebenarnya bukan niat abang nak curi. Abang cuma nakkan perhatian Mellia. Ni
hah... hah, abang pulangkan semula.”
"Tarik perhatian? Kau dah macam psiko!" tempelak Melah lalu mengetap bibir. Arief separuh malu.
Kelam-kabut Arief
menyeluk poket seluarnya. Dia mengeluarkan wallet dari dalamnya lalu menarik
beberapa keping rm50. Duit itu dihulurkan kepada Melah. Melah terkedu. Dia
merenung lama duit itu tanpa ada niat hendak mengambilnya. Tawar hatinya.
“Ambiklah... jangan buat abang rasa bersalah. Lepas ni abang akan bahagiakan Mellia! Abang janji
abang tak akan sia-siakan Mellia lagi!” senyum Arief kembang besar. Dalam
kepalanya sedang menggambarkan yang indah-indah. Dia hendak membahagiakan
Melah.
“Arief!... kau sedar
tak apa yang kau cakap? Kita tak akan mungkin bersama lagi! Kau kena terima
hakikat... antara kita dah tak ada apa-apa lagi.” Melah menegaskan.
Tanpa sedar air
matanya sudah jatuh ke pipi. Tak tahan melihat betapa Arief beria-ia mahukan
mereka bersatu semula. Kenapalah susah untuk Arief memahami semua itu? Talak
sudah keluar daripada mulutnya tapi dia selalu saja terlupa.
Melah juga susah
untuk menafsirkan perasaannya sendiri. Dendam dan bencikah dia kepada Arief?
Masih ada cinta yang berbungakah? Ah! Peduli apa dia! Benci atau cinta sudah
tak memberi apa-apa makna. Semuanya sudah berakhir! Noktah!
“Masih boleh kalau
Mellia dengar cakap abang. Kita cari cina buta!” pujuk Arief sayu. Sendu
sungguh hatinya waktu itu.
“Tak! Semua tu
karut! Aku bukan anak patung... suka-suka kau buang, suka-suka pulak kau nak
pungut semula.”
Jari-jari Melah
menyapu air mata di pipi. Dia tak suka menangis tapi air matanya murah benar
waktu itu. Entahlah... semuanya bercampur aduk. Dalam diri Arief, tersimpan
kenangan mereka bersama.
Arief pernah
memeluknya dengan kasih sayang. Pernah menghiburkan hatinya semasa sedang
berduka. Lelaki itu juga pernah memberinya impian. Sayang sekali impian itu
sudah punah dalam sekelip mata.
“Mellia menangis?
Itu tandanya Mellia masih sayang abang, kan? Masih cinta abang?” Pipi Arief turut basah.
Dia juga tak sedar air matanya sudah mengalir ke pipi. Cepat-cepat air mata itu
dikeringkan dengan tapak tangannya.
“Tak!... bahkan aku tertekan! Aku terseksa!
Tolonglah Arief... jangan ganggu aku lagi,” rayu Melah dengan pilu.
“Mellia bohong!
Mustahil Mellia dah tak sayang abang lagi! Tak cinta abang lagi!” desak Arief
yang tak mahu menerima kenyataan.
“Ya! Ya! Ya! Aku
tak cinta kau lagi! Aku benci kau! Aku benci!” esakan Melah mula kedengaran.
Dia betul-betul tertekan. Ketika dia sedang berusaha untuk bahagia, Arief
selalu saja merosakkan semua itu.
Duit dalam
genggaman Arief jatuh sekeping-sekeping ke lantai. Ia dibiarkan saja. Pada
waktu seperti itu terasa duit sudah tak berguna lagi. Tak memberi sebarang
makna. Barulah Arief sedar, kebahagiaan sebenar merupakan kasih sayang dan
pengertian antara dua hati.
“Abang tau Mellia
tipu diri sendiri. Abang yakin Mellia masih sayang abang.” Kali ini suara Arief
terdengar lirih. Dia sudah mula hilang semangat.
Tak sudah-sudah
Melah mengelap air mata. Tak penat-penat pula air mata itu mengalir. Sebal
betul Melah. Air mata bermakna dia sedang memberi kemenangan kepada Arief. Apa
boleh buat, air jernih itu memang degil. Dilarang keluar masih juga mahu mengalir.
“Kalau sayang pun
apa gunanya? Semua dah terlambat. Kita tak boleh putar masa lalu kita. Kita tak
boleh ubah takdir yang dah berlaku. Kita kena sama-sama terima kenyataan.
Jangan berharap lagi.”
Suara Melah juga
sudah lemah. Seakan habis tenaganya. Kemelutnya bersama Areif membuat dia tak
berdaya lagi. Melah juga sedar hari esok masih perlu ditempuh. Suka atau tak,
hari esok tak akan pernah sama dengan hari-hari yang sudah ditinggalkan. Melah
tunduk sedih.
“Mellia!”
Melah tersentak
sebaik mendongak. Arief sudah berdiri sangat hampir dengannya. Lelaki itu
seakan hendak memeluknya. Melah yang tersentak terus terpaku. Seluruh badannya
sudah gementar. Apa yang Arief cuba hendak lakukan? Berpeluh Melah dibuatnya.
“Peluklah abang...
sekali ni, Mellia.” Arief mendepangkan tangan. Matanya ditutup rapat. Penuh
mengharap untuk melepaskan rindunya pada Melah.
“Abang...” Hampir
lebur keteguhan hati Melah. Sudah lama dia tak merasai kasih sayang Arief.
Sejujurnya dia juga merindui masa lalu mereka. Melah sudah bersedia tenggelam
dalam pelukan Arief.
“Astaghfirullah!...
jangan! Jangan! Apa kita nak buat ni? Ni semua dosa!...” Belum sempat badan
Arief rapat ke badan Melah, Melah cepat-cepat mengelak. Dia seakan baru
tersedar daripada mimpi yang mengkhayalkan.
Tanpa memberi
peluang Arief menyatakan sesuatu, Melah sudah berlari laju. Ruang tamu dan
Arief ditinggalkan begitu saja. Melah masuk ke dalam bilik semula dan mengunci
dari dalam. Dia menghempaskan badannya ke katil sambil menangis teresak-esak.
Mukanya disembamkan ke atas tilam untuk menyorokkan bunyi tangisan.
“Mellia... maafkan
aku. Aku selalu menyusahkan kamu. Tapi... tapi, aku tak berdaya melupakanmu,
Mellia.” Punggung Arief terhenyak ke kerusi kayu. Pandangannya sudah kabur
dengan air mata.
“Baliklah, nak.
Melah bukan isteri kamu lagi... maafkan ibu. Ibu berdosa pada kamu berdua.”
Rupa-rupanya Mak Chah mendengar semua perbualan mereka. Dia berdiri di sebalik dinding dapur
sambil memasang telinga. Sama macam Arief, pipi Mak Chah turut basah. Dia kesal
sebab sudah menggadai masa depan anak menantunya sendiri.
“Arief pergi dulu
bu... Arief akan datang lagi bila-bila masa. Maafkan Arief jugak dah lepaskan
geram pada ibu. Rantai leher ibu ada Arief simpan... duit ni semua ibu tolong
serah pada Mellia.” Arief membongkok dan mengutip duit yang berserak di atas
lantai.
“Jangan ganggu
Melah lagi, nak... kesian dia,” pujuk Mak Chah. Pilu hatinya melihat keadaan
Arief.
“Arief sayang dia
bu... tak apalah, Arief pergi dulu.” Sesudah menyerahkan duit kepada Mak Som,
Arief terus pergi dengan tekad akan datang lagi untuk bertemu Melah.