Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
137,696
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7



Malam itu Melah hendak bersendirian di dalam bilik. Dia hendak melegakan apa yang mendongkol di dadanya. Tak ubah macam ada batu bata yang menghimpit dadanya yang pejal itu. Seharian dia menahan sakit hati terhadap orang tua yang tak cukup gigi.

“Dasar badigol Sood. Eiii... kenapa aku dipertemukan dengan alien yang entah datang dari planet mana. Tak ada tamadun langsung!” sungut Melah.

“Kot ya pun nak menggatal, janganlah dengan aku ni. Eiii...” Geli geleman Melah.

Dada Melah terasa bergumpal-gumpal. Berpusar-pusar. Sendat betul. Dia tak senang duduk. Sekejap punggungnya diletak di tepi katil, sekejap beralih ke kerusi di meja solek dan sekejap-sekejap dia mundar-mandir sekeliling bilik.

Tak tahu macam mana Melah hendak menggambarkan perasaannya waktu itu. Serba tak kena. Disangkanya kampung merupakan tempat yang sesuai untuk dia memulakan hidup baru. Rupa-rupanya ada bala yang menunggu.

“Jelan pun satu! Bila aku nak jumpa dia batang hidungnya langsung tak nampak. Kalau tak tu, ada je dia.”

“Ermmm... esok aku akan tunggu dia lagi.” Melah nekad.

Selain berdoa dan memohon kepada Allah, sebagai manusia dia masih perlukan kawan untuk meluah. Setakat ini cuma Jelan saja calon yang sesuai untuk dia meluahkan kesedihan. Melah pun tak mengharapkan masalahnya akan diselesaikan oleh Jelan.

Jelan mesti mendengar! Sama ada dia hendak sengih, hendak ketawa atau menangis sewaktu mendengar luahannya, terpulang. Apa yang penting dia memang sangat memerlukan seseorang.

Tak dapat meminjam bahu Jelan, dapat memindahkan bebannya ke lubang telinga Jelan pun sudah lebih dari cukup. Memadai kalau ada seseorang yang mendengar ceritanya. Kalau Jelan acuh tak acuh, dia akan memaksa juga Jelan mendengarnya.

“Melah! Mari makan! Ibu dah hidang atas meja tu.”

Panggil Mak Chah di depan pintu. Suara Mak Chah membuat muka Jelan yang sedang dibayang-bayangkan lesap entah ke mana.

“Tak rasa nak makan, bu. Kenyang!” sahutnya.

Bukan tak ada selera tapi malas hendak keluar bilik. Melah hendak bermalas-malas saja malam itu. Hendak melayan perasaan. Bersolat sudah, mengaji pun sudah, sekejap lagi dia mahu tidur sepuas-puasnya.

Di luar bilik senyap. Mungkin Mak Chah sudah ke dapur semula. Kasihan orang tua itu terpaksa makan sendirian. Tentu dia akan terkulat-kulat dan kurang berselera. Ah! Biarlah! Melah malas memikirkan.

Tak tahu mahu berbuat apa, Melah menghempaskan badan ke atas katil. Berombak tilam empuknya. Bantal peluk di tepi katil ditarik lalu dipeluk kuat. Dia berbaring terlentang. Matanya tegak merenung siling.

Satu per satu rentetan peristiwa datang menghantui. Dari mula mengenali Arief hingga dia diceraikan dengan talak 3. Bukan dia tak sedih tapi untuk perceraian itu dia tak mampu menangis lagi. Semuanya sudah menjadi sejarah.

Melah belajar melupakan Arief. Misinya hampir berjaya. Malangnya tanpa disangka, Arief yang sudah gila talak datang mencarinya. Gilanya lebih teruk berbanding Jelan. Sanggup dia menjejak Melah sampai ke Kampung Kemboja.

“Ah! Malaslah ingat dia lagi! Bukan ada untung. Itulah dulu aku sayang dia setengah mati tapi dia lebih rela ikut telunjuk ibu dia. Sekarang siapa susah?” bebel Melah tak sudah.

“Ermmm... sekarang ni aku pulak hidup sebumbung dengan orang yang dah hancurkan hidup aku dulu.”

“Aku pun hairanlah dengan diri aku sendiri. Tak normal ke aku? Sanggup tinggal dengan orang yang dah rosakkan rumah tangga aku.” Bebelannya berpanjangan sambil menahan mata yang mengantuk.

“Isyyy! Entahlah. Lantaklah situ.” Matanya dipejam celik beberapa kali. Dia hendak menghalau bisikan syaitan yang cuba-cuba menghasut hatinya.

Untuk menghilangkan bosan, Melah berdendang perlahan dengan suara sumbang. Dia langsung tak berbakat untuk menjadi seorang penyanyi. Penat terlentang Melah mengereng pula.

Jari-jarinya bermain-main dengan cadar tilam. Dibentuknya huruf demi huruf walaupun hujung jarinya tak akan pernah mengeluarkan dakwat. Melah berharap dengan berbuat begitu matanya akan rasa mengantuk.

“Opsss! Pesal pulak nama Jelan yang aku eja?”

Sepantas lipas kudung Melah duduk. Bantal diambil lalu diletakkan di atas paha. Dia menopang dagu. Jelan datang lagi. Jelan senyum, Melah laju membalas. Jelan kenyit mata kanan, Melah kenyit mata kiri. Jelan hendak mencium, Melah cepat mengelak.

“Adoiii... apa dah kena dengan aku ni? Bayangkan yang bukan-bukan pulak.” Melah menutup muka dengan kedua-dua tangan sambil tersenyum tersengih tak sudah.

Melah merenggangkan jari-jari yang rapat. Dia mengintai Jelan, Jelan senyum besar. Melah malu-malu sambil senyum kambing. Jelan menghampiri Melah. Melah suka! Merah mukanya. Merona.

Jelan yang berambut serabut paras bahu dan tak terurus masih membayangi Melah. Mukanya yang boleh tahan lawa tak pernah nampak bersih, comot sepanjang masa. Singlet yang dipakai itulah satu-satunya. Seluarnya pula panjang sebelah.

“Lucu!” Melah senyum-senyum sendiri.

“Ermmm...tapi yang peliknya kenapa badan dia langsung tak busuk ek? Bohong kalau Zara kata bau dia macam sampah kat tempat pembuangan sampah.” Kemudian berfikir-filir pula.

Cuma disebabkan seorang pemuda yang kurang akalnya, Melah jadi kalut. Serba tak kena. Dia bingung sudahnya. Ejul? Melah tak pasti. Selain Pak Sood, Ejul selalu cuba-cuba memikatnya. Bezanya Ejul jauh lebih bersopan berbanding orang tua itu.

Antara Jelan dan Ejul, Melah lebih selesa bersama Jelan. Jelan tak pernah menggoda dan bercakap tak tentu hala. Dia jauh lebih bagus daripada si tua bangka, Pak Sood. Eh! Kalau Jelan tak pernah menggodanya, kenapa pula dia yang tergoda? Ah! Susahnya!

“Grrr...ya ke aku ada hati dengan Jelan? Ah! Mustahillah. Ya Allah, aku ni dah kurang waras ke apa?” Melah ketakutan.

“Huh! Makin aku nak elak, makin kuat pulak Jelan datang. Apa nak jadi ni?” Melah membaling bantal ke dinding supaya bayangan Jelan pergi.

‘Ingat Melah! Dia tu tak siuman... gila! Walaupun kau tak suka orang panggil dia gila, hakikatnya dia memang gila!’ suara hati Melah memberi amaran.

“Iya... iya... aku tau.” Gumam Melah membentak diri sendiri.

“Melah!” suara Mak Chah kedengaran lagi di luar bilik. Mungkin dia sudah makan.

“Ya bu!”

“Kalau kamu rasa nak makan, ibu ada tinggal nasi dengan lauk. Ibu nak masuk tidur dah.” Beritahu Mak Chah.

“Baik bu.”

Bekas ibu mertuanya berlalu, masuk ke dalam bilik. Melah meraba-raba perutnya untuk memastikan dia tak terlalu lapar. Bukan tak lapar tapi malas hendak berjalan ke dapur. Bukan saya malas hendak ke dapur, hendak menyuap nasi pun dia malas.

“Ibu dah masuk tidur aku pun nak tidur jugaklah.”

Lampu tidur dinyalakan mengganti lampu kalimantang. Suasana bilik menjadi suram. Melah menarik kain selimut sampai paras dada. Dia membaca apa yang perlu termasuklah doa tidur. Kelopak mata yang masih belum mengantuk dirapatkan.

Seminit, lima minit, setengah jam, satu jam... ah! Makin segar matanya. Semuanya gara-gara otaknya tak mahu berehat. Asyik bergerak ke sana ke mari. Ada-ada saja yang singgah dalam kepalanya. Termasuklah Jelan.

“Dia lagi!”

Kali ini Melah duduk melutut. Diperhatikan sekitar bilik yang suram. Sunyi. Itu baru gelap bilik tidur, belum lagi dalam kubur. Kubur? Huh! Seram! Cepat Melah menepis bayangan yang entah apa-apa. Ternyata otaknya masih hendak bergerak aktif.

Nampaknya belum sampai masa untuk Melah tidur dan bermimpi yang indah-indah. Melah teringin sangat bermimpikan Rasulullah s.a.w tapi dia banyak dosa. Entah sebesar mana dosa yang dah dilakukan. Sama ada sedar atau pun tak. Layakkah dia?

“Macam ni gayanya alamat tak tidur sampai pagi aku ni. Penat je cuba pejam-pejamkan mata.” Keluh Melah lalu baring semula.

“Jelan.” Terpacul nama Jelan dari mulutnya.

Kepalanya mula ligat berfikir. Dia hendak mengingati semuanya dengan kepala dingin. Diingat-ingati semula kali pertama kenal Jelan sampailah ke hari ini. Semua menyenangkan. Tak pernah sekali pun Jelan menyakiti hatinya.

‘Ya Allah... apa kena dengan aku? Tiap kali jumpa Jelan aku rasa aman, tenang. Rasa lapang. Macam ada sesuatu yang tarik-tarik hati aku ni.’

Mulut Melah sudah penat mengomel dan membebel. Cuma kata hatinya saja yang belum letih. Bercakap dan terus bercakap. Bila hatinya membisikkan tentang perkara yang satu itu. Otaknya tak pula menafikan. Bahkan menyokong penuh tanpa ragu-ragu.

‘Aku ni ada hati dengan Jelan ke?’ Was-was pula dengan diri sendiri.

‘Dah parah aku ni.’

‘Tak boleh jadi ni!’

Dia melompat dari katil. Memasang lampu kalimantang supaya biliknya terang semula. Risau pula bila membayangkan dia menaruh hati pada Jelan. Ah! Gawat kalau macam tu. Melah ketakutan. Takut pada perasaan sendiri.

“Pening aku! Aku yang dah tak betul ke dia yang kurang waras?” mulutnya bergumam lagi. Mengambil alih tempat hati yang hendak duduk diam-diam.

Sudah dua jam Melah duduk, baring dan mundar-mandir. Hendak tidur biji mata makin besar. Belum sekali pun dia menguap. Sedangkan jam di dinding sudah hampir pukul 10 malam. Niat hati hendak tidur cepat terbantut gara-gara seorang lelaki yang kurang siuman bernama Jelan.

“Ada ke orang yang bercinta dengan orang gila? Eh! Bukan gila... cuma tak sihat je.” Melah berusaha untuk menyedapkan hatinya sendiri.

Siapa yang berani bermain api? Sebelum berlaku permainan perasaan yang pelik lagi memelikkan lebih baik Melah memujuk rayu hatinya supaya tak melakukan yang aneh-aneh. Melah marah pada diri sendiri. Kalau boleh hendak ditampar pipi gebunya biar dia tahu diri.

“Ini semua kerja syaitan ke? Ke aku sendiri yang memang nak menempah penyakit?”

Tegak bulu roma Melah. Apa taknya, kalaulah betul dia sudah terjatuh cinta dengan Jelan, haru jadinya. Hidupnya bakal tunggang-langgang dan huru-hara. Masalah dengan Arief belum selesai sudah muncul masalah baru.

“Huh! Tak boleh layan ni. Lebih baik aku ambik wuduk, mengaji lagi. Mana tau setan yang mula nak goda aku akan lari tak cukup tanah.”

Melah bergegas ke bilik air. Dia mesti menyelesaikan masalah itu malam itu juga. Pagi esok dia tak hendak ingat apa-apa lagi. Biar karut marut perasaan peliknya itu hilang lenyap dibawa angin pagi.

Keluar dari bilik air, Melah menyarung kain telekung. Senaskhah Al-Quran diambil dari tempatnya. Dibuka dengan cermat dan dibaca dengan tertib. Mujur dia sudah khatam Quran sejak berumur 10 tahun.

Kalau tak sudah tentu lidahnya payah hendak menyebut kalimah suci yang Allah perturunkan sebagai panduan hidup hamba-NYA.

Melah memilih untuk membaca surah Yasin. Surah itu mempunyai aura yang tersendiri untuk menenangkan hati. Semoga hati yang bergolak akan setenang air yang mengalir di batuan yang licin dan sejuk.

“Mengaji ke menantu aku?” Rupa-rupanya Mak Chah juga masih belum tidur.

Orang tua itu hendak ke dapur semula untuk minum. Kering pula tekaknya. Sempat juga dia memasang telinga. Dia mengurut-urut dadanya. Rasa kesal tak berkesudahan. Sampai mati pun dia tak akan dapat melupakan dosanya terhadap Melah.

Mak Chah tahu Melah sudah lama memaafkan dirinya. Sanggup pula menumpangkan dirinya di rumah itu. Malahan makan pakainya Melah yang menanggung. Sedangkan dia belum dapat memaafkan dirinya sendiri sebab perbuatan buruknya.

“Ya Allah... Engkau pelihara hambu-MU yang berhati mulia itu. Mudahkanlah jalan hidupnya ya Allah. Berilah kebahagiaan buatnya.” Doanya buat Melah.

Tanpa sedar ada air mata panas yang jatuh ke pipi, mengalir dengan laju. Bilik Melah ditinggalkan, Mak Chah berlalu ke dapur. Dia berjalan lemah sambil sesalan demi sesalan terus mengganggunya.

Dosa akan sentiasa membayangi orang yang melakukannya. Hati tak akan tenang dan hidup akan selalu gelisah. Mak Chah sangat beruntung mendapat kemaafan daripada Melah. Dia tak mampu membalas kebaikan bekas menantunya itu.

“Tak sudah lagi dia.”

Bila Mak Chah berpatah balik selepas minum, suara halus Melah masih kedengaran. Sejak menjadi menantunya dulu, begitulah Melah. Setiap kali bersedih dia akan menjadikan Al-Quran sebagai teman. Di situlah tempatnya meluahkan perasaan.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.