Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
139,612
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8



Keesokan hari Melah keluar rumah pada awal pagi lagi. Hari itu dia hendak ke pekan untuk menyimpan saki-baki duit yang tinggal. Kalau biskut raya, orang kata cuma tinggal serdaknya saja. Biarlah dia bersusah payah ke pekan asalkan duitnya yang sedikit itu tak dikebas orang lagi.

Sampai depan padang bola Kampung Kemboja Melah berhenti. Matanya liar memerhati ke sekeliling. Tak nampak sesiapa yang berada di padang bola itu. Yang ada cuma 3 ekor kambing sedang meragut rumput yang baru hendak tumbuh di tepi padang.

Rumput di tengah padang pula sudah botak di sana sini. Maklumlah padang bola kampung. Kadang-kadang ada perlawanan kecil antara kampung-kampung. Kerap kali pula cuma jadi padang ragut lembu dan kambing.

“Manalah Jelan ni? Isyyy... dah merata tempat tunggu tak ada jugak dia.”

Melah masih tetap dengan keinginan hendak berjumpa Jelan. Entah kenapa hatinya selalu mendesak-desak. Kalau dalam masa satu jam Jelan tak juga muncul, Melah tak boleh tunggu lagi. Dia tak mahu lambat sampai ke pekan.

Sedang matanya melilau, Melah nampak Ejul dan Khairil sedang berlari-lari. Rajin betul dua sekawan itu berjogging. Segan pula Melah kalau-kalau mereka menegurnya nanti. Lebih-lebih lagi Ejul yang suka mengusiknya.

“Amboi, nak ke mana ni cik puan kita pagi-pagi ni?”

Kaki Ejul macam ada brek angin. Terus berhenti berlari bila sampai depan Melah. Khairil pula terus berlari perlahan ke depan sedikit sebelum berhenti lalu membuat lompat bintang. Dia terus bersenam tanpa mahu mengganggu urusan Ejul.

Melah memerhati Ejul. Seluar trak berwarna hitam berline merah di tepinya membuat cikgu muda itu nampak segak. T-shirt tebal yang dipakai mungkin untuk memudahkan badan berpeluh. Apa saja yang disarung ke badan Ejul nampak ‘kena’ saja dengan pemakainya.

“Nak ke pekan.” Tiga patah perkataan yang keluar daripada mulut Melah. Malu. Dia tunduk memandang tanah. Ejul senyum-senyum penuh makna.

“Kalau nak ke pekan, buat apa kat sini?” Berbunga-bunga hati Ejul bila dapat mendengar suara Melah.

‘Alaaa... banyaknya soalan dia!’ sungut Melah dalam hati.

“Errr... tunggu Jelan. Ada hal nak jumpa dia kejap.” Terpaksa juga Melah menjelaskan.

“Jelan? Alamak!” Ejul nampak cemas. Dipandang Khairil yang beria-ia bersenam. Selepas itu dia menggaru-garu kepala.

‘Kenapa dengan dia ni? Gelisah semacam je.’ Melah pelik melihat Ejul yang tiba-tiba jadi tak menentu.

“Ya... saya nak jumpa Jelan. Kenapa?” Melah memberanikan diri bertanya.

“Errr... tak ada apa. Ermmm... macam ni... awak tunggu je sini. Dalam 15 minit lagi Jelan akan datang.” Yakin betul Ejul. Melah pula rasa semakin pelik. Ditambah pula bila sikap Ejul yang gugup tak menentu.

“Macam mana cikgu tau Jelan akan sampai dalam masa 15 minit lagi?” Kali ini Melah pula yang menggaru kepala. Tak faham sungguh dia dengan cikgu muda itu.

Soalan Melah membuat Ejul bertambah gugup. Untuk menyorokkan perasaan serba tak kenanya, Ejul buat-buat bersenam. Lompat setempat, tarik nafas dan hembus nafas. Penat pula Melah melihatnya. Penat juga menunggu jawapan untuk pertanyaan yang Ejul belum jawab.

“Saya beransur dulu ya... Melah tunggu je sini. Nanti Jelan datang.”

Bila Ejul sedar Melah sedang memandangnya dengan muka pelik, cepat-cepat dia minta diri. Dia berlari-lari anak ke arah Khairil. Sampai di tempat Khairil berdiri, cepat ditarik tangan kawannya itu. Khairil mengikut saja. Kedua-duanya berlari pecut dengan laju.

Melah cuma melihat dari belakang kemudian ketawa sendiri. Memang betul-betul pelik sikap Ejul. Entah apa pula yang hendak dikejarnya dengan berlari selaju itu.

“Setau aku yang tak betul dalam kampung ni cuma Jelan sorang je. Tak sangka pulak cikgu tu pun macam tak betul jugak.”

“Haishhh! Jelan ni mana pulak?” Melah mula gelisah. Hendak ditunggu lagi atau tak? Hatinya mula berbelah bagi.

Dia tak boleh lama di situ. Takut motosikal cabuk yang semput akan datang lagi dengan tuannya yang selalu berlagak muda. Melah sudah tak kuasa hendak berdepan dengannya lagi.

Jam di tangan dijeling. Hmmm... kalau mengikut kata Ejul, Jelan akan muncul dalam masa 15 minit lagi. Perlukah percaya pada cakap-cakap Ejul? Entah bila pula cikgu muda itu sudah bertukar kerjaya menjadi tukang ramal pula.

“Nak tunggu ke tak ni? Jelan pun satulah!” Muka Melah sudah berkerut. Bosan.

“Baik aku jalan pelan-pelan. Kalau aku tertonggok kat sini adalah nanti mulut yang kata aku cari jantan. Susah kalau jadi janda ni,” bebel Melah tak sudah-sudah.

Payung merah jambunya dibuka walaupun cuaca masih belum cukup panas lagi. Dia sengaja melangkah lambat-lambat sambil berkali-kali menjeling jam tangannya. Melah hendak cuba mempercayai kata-kata Ejul... Jelan akan muncul 15 minit lagi.

Lima minit sudah berlalu. Debaran Melah mula laju. Tujuh minit, dia terus berjalan dengan lemah. Hatinya masih mengharap. Ah! Sembilan minit yang sia-sia. Cuma berbaki beberapa minit saja lagi. Melah memujuk hati... lupakan saja tentang Jelan. Enam minit yang tinggal, Melah tak meletakkan harapan lagi.

“Aku pun satu... yang ditunggu orang yang tak sihat akalnya. Cari penyakit betul aku ni.” Sambil berjalan dimarahi diri sendiri pula.

“Bus stop pun dah dekat. Ke pekan teruslah aku.” Melah berkira-kira.

Diam-diam dia berjanji tak akan melakukan kerja bodoh lagi. Lebih-lebih lagi dengan mengharapkan kemunculan Jelan yang kurang akal itu. Dalam masa yang sama matanya masih mencuri-curi menjeling jam tangannya. 15 minit sudah berlalu dan kakinya sudah memijak lantai bus stop.Dia meletakkan punggung di bangku batu dengan malas.

“Ermmm... bodohnya aku.” Kesal dengan diri sendiri. Nafas ditarik lalu Melah merenung jauh ke sebelah sana jalan. Debarannya juga sudah mengendur.

“Bodoh kenapa?” suara dari belakang membuat debaran Melah merasuk semula. Terangkat sekejap punggungnya. Terkejut betul dia bila tiba-tiba saja mendengar suara. Cepat Melah berpaling.

“Jelan! Kau ni muncul dari mana?”

“Dari rumah!” balas Jelan sambil menggaru-garu rambut yang serabai.

Berbunga-bunga senyuman hati Melah. Kupu-kupu yang berwarna-warni berterbangan mengelilingi bunga-bunga yang tumbuh di hatinya. Ada yang hinggap pada kuntuman bunga. Ada yang terbang tinggi dan cuba menyentuh pelangi.

‘Betul jugak kata Ejul... ermmm, cuma Jelan lambat dua minit aje,’ bisik Melah.

“Jelan!”

“Hah!” garang betul Jelan... tapi Melah senyum besar.

“Aku nak cerita kat kau. Kau mesti dengar. Kalau kau tak suka... dengar jugak. Boleh tak?” Sesudah memaksa, bertanya pula boleh tidaknya. Melah... Melah.

“Dengar? Boleh! Boleh!... dengar. Cerita... dengar, boleh! Boleh!” Jawapan Jelan tunggang-langgang.

“Okey... aku cerita. Kau dengar baik-baik.”

Melah menarik nafas. Dia mesti bercakap dalam bahasa yang Jelan mudah faham. Susah juga. Sambil-sambil itu dia memerhati pakaian yang tersarung pada badan Jelan hari itu. Eh! Lain macam saja. Jelan tak memakai pakaian yang selalu tersarung pada badannya.

“Jelan... trak suitkau sama macam yang Cikgu Ejul pakailah! Kau nampak lainlah hari ni. Mana seluar panjang sebelah kau?” Melah sudah terlupa tujuan asalnya. Semua gara-gara Jelan yang tak macam Jelan.

Sepantas kilat Jelan melihat seluar traknya. Alamak! Betul kata Melah. Seluarnya cantik dan bersih, tak pendek sebelah macam selalu. Jelan jadi gelabah. Ditepuk dahinya berkali-kali. Warna mukanya agak kelabu. Serba tak kena.

“Aku pinjam Ejul... lepas tu Ejul pinjam aku... lepas tu aku pinjam Ejul lagi... Ejul...”

“Dah! Dah! Adoi, pening aku!” pintas Melah yang sudah pusing dengan jawapan Jelan.

“Kita lupakan fasal seluar kau. Ni... dengar aku nak cerita.”

Jelan angguk-angguk. Tangannya mengusap dada, lega sebab Melah hendak melupakan saja kisah seluar yang dipakainya. Jelan duduk di hujung bangku sebelah sana. Dia bersila sambil menghadap Melah. Menunggu cerita dari Melah.

“Jelan... aku sedihlah. Suka-suka hati aje orang kampung ni nak gelar aku macam-macam. Sedangkan aku ni tak buat pun benda tu semua. Aku terpaksa keluar hari-hari sebab cari rezeki... tapi dorang kata aku nak menggatal.” Bermulalah cerita Melah. Jelan fahamkah?

Dia tak dapat bercerita secara terperinci, takut Jelan tak akan faham. Sewaktu meluahkan semua itu, hati Melah jadi pilu. Sebak tak terkata. Sesekali nafasnya ditarik berat. Bahagian hidupnya tak segembira mana tapi dia selalu mencuba untuk terus tersenyum dan ketawa.

Bila berdepan dengan Jelan, Melah sedar ada orang lain yang lebih kurang bernasib baik berbanding dirinya. Sudah tentu hidup Jelan sangat membosankan. Tak ubah macam budak yang belum cukup umur. Pak Sood pula suka menghina tak tentu fasal.

Mungkin disebabkan itu dia suka berdampingan dengan Jelan. Dalam Jelan tak sedar, dia sudah menjadi penguat semangat untuk Melah terus berdepan dengan masyarakat.

“Kesiannn...” balas Jelan sepatah. 

Jelan nampak sedih. Muram saja dia. Mungkin dia dapat membayangkan keperitan hidup Melah yang selalu menjadi umpat keji orang. Melah pula senyum bila ada tindak balas dari Jelan walaupun reaksinya agak lambat.

“Dahlah macam tu, bekas suami aku selalu kacau aku. Ganggu mak mertua aku. Aku tertekan bila tengok dia macam dah gila talak,” sambung Melah.

“Kesiannn...” 

Sama macam tadi. Jawapan Jelan tetap sepatah. Muka Jelan semakin mendung. Baginya kisah Melah memang menyedihkan. Melah masih juga senyum. Dia tahu Jelan sudah mendengar ceritanya. Itu sudah memadai dan dia puas hati. Sebaknya beransur pergi.

“Aku ni kan Jelan... kalau dibagi pilihan, aku tak nak jadi janda. Tapi dah takdir aku macam ni.”

“Kesiannn...” 

Jawapan masih tetap sama. Tak kisahlah. Melah senang hati. Apa yang terbuku di dada sudah berkurangan.

“Kalau boleh aku nak cepat-cepat kahwin supaya tak jadi buah mulut orang lagi,” luah Melah tanpa ragu-ragu. Pada pendapatnya, tak rugi bercerita dengan Jelan sebab Jelan tak tahu apa-apa. Dia cuma mahukan pendengar yang mendengar ceritanya.

“Yang itu aku setuju! Elok kau kahwin cepat. Takkan kau tak ada calon... tapi kalau tak ada, Cikgu Ejul tu kan ada.” Bertambah laju jawapan Jelan. Kali ini panjang, padat dan tepat.

“Jelan, kau cakap apa?” Malangnya jawapan Jelan sudah memberi kejutan buat Melah. Melah tak menyangka percakapan Jelan kali ini tak ubah macam orang yang tak gila. Dengan kata lain, NORMAL alias WARAS!

‘Erkkk! Apa aku dah cakap tadi? Alahaiii... apalah aku ni?” tempelak Jelan dalam hati. Dia marah pada diri sendiri. Kali ini hatinya pula yang berdebar-debar bila melihat perubahan Melah.

“Jelan... Jelan. Nasib baiklah kau biol. Kalau tak, nak jugak aku kahwin dengan kau. Bila tengok lama-lama kau ni dalam kategori lawa jugak. Tapi tulah... dah nasib kau kan. ALLAH jadikan kau tak sempurna.” Perlahan saja suara Melah.

‘Fuuu... lega aku! Dia tak fikir bukan-bukan tentang aku. Selamat!’ bisik Jelan lagi.

“Kahwinlah dengan aku. Aku suka!” Bila sudah lega, lapanglah dada Jelan.

“Ha ha ha... Jelan, Jelan. Aku memang suka kau tapi kita tak boleh kahwin.” Senyuman Melah tetap ada setiap kali habis bercakap. Seronok dapat berbual-bual dengan Jelan. Lenyap semua masalah.

“Kenapa tak boleh?” Jelan membongkok lalu mengambil seketul batu kecil. Batu itu ditimang-timang dan dibaling ke sebelah sana jalan.

Kenderaan yang lalu-lalang tak terlalu sibuk. Macam itulah keadaan jalan kampung. Yang memenuhi jalanraya cuma kenderaan kecil. Bas yang ditunggu masih tak nampak bumbungnya. Bagus juga. Bolehlah Melah berbual-bual lama sedikit dengan Jelan.

“Tak bolehlah... sebab kau tak sihat.” Melah menjawab sejujurnya. Bezanya dia masih tak mahu menggelar Jelan sebagai orang gila. Itu perkataan yang dia paling tak suka.

“Nanti aku carikan kau orang yang sihat ya... namanya Cikgu Ejul!” teruja betul Jelan bila menyebut nama Ejul.

“Ejul lagi,” sahut Melah pula. Cepat Jelan mengangguk... senyum dan angguk lagi.

Muka Jelan direnung lama. Melah mahu mencari apa kelebihan yang ada pada Jelan. Ah! jelan senget memang lawa. Cuma mukanya comot dan hitam di sana sini. Percakapannya juga tak menentu, sekejap main cakap saja, sekejap lagi macam orang yang berfikir juga. Entah apalah yang membuat dia jadi gila. Renungan Melah membuat Jelan tersipu-sipu. Geli hati Melah melihatnya.

"Kau nak tau tak Jelan? Aku ni kalau boleh nak kahwin dengan orang yang betul-betul ikhlas. Sayangkan aku yang miskin dan tak ada orang tua ni. Aku tak nak orang yang nakkan aku sebab nafsu aje. Aku dah penat dengan semua tu." Melah meluahkan lagi.

"Aku tak kisah orang tu tak kaya. Aku pun tak kisah kalau dia tak lawa. Yang penting mesti sayangkan aku," sambungnya.

Hendak saja Jelan meluahkan isi hatinya tapi takut-takut Melah akan pitam bila mendengarnya. Melah tak tahu dalam hati Jelan, dia sukakan Melah. Sayangkan Melah. Kalau boleh hendak kahwin dengan Melah. Sungguh! Jelan tak tipu.

Tentu Melah tak akan percaya. Lebih-lebih lagi cakapnya yang tak menentu. Cakap-cakap Jelan selalu merapu. Cuma sekali-sekali saja Jelan nampak macam orang pandai.

"Aku sayang kau!" suara Jelan tegas dan jelas. Dia hendak mencuba nasib. Sayangnya Melah cuma ketawa.

"Yalah Jelan... aku pun sayang kau. Kita kan kawan. Kau kawan baik aku." Jawapan Melah membuat Jelan tunduk. Hampa. Kenapalah Melah tak faham isi hatinya?

“Aku nak dengar cerita kau pulak, Jelan. Boleh?” Minta Melah sesudah melihat Jelan diam saja.

Cepat-cepat Jelan memandang tempat lain. Dadanya tiba-tiba jadi berat. Sebak. Kisah lalunya sudah cuba dilupakan. Tiba-tiba Melah bertanya. Jelan mengambil masa untuk berfikir. Haruskah dia menceritakannya kepada Melah?

“Sedih.” Sudahnya Jelan mula bercerita.

“Apa yang sedih?” Melah membetulkan kain yang hendak tersingkap bila ditiup angin.

Nasib baik dia cepat bertindak, kalau tidak sudah tentu Jelan akan nampak kakinya yang putih melepak.

“Memang sedih,” ulang Jelan. Melah penat mendengar jawapan yang sama.

“Kenapa kau jadi tak sihat, Jelan?” lalu dia bertanya hal yang berbeza.

Muka Melah ditatap. Melah menghadiahkan senyuman untuk Jelan. Kembang sedikit hati Jelan. Kalaulah hari-hari dia dapat melihat senyuman mak janda itu, bahagia rasa hatinya. Tentu luka lamanya akan dapat diubati. Renungan tajam Jelan membuat Melah pula yang tersipu. Merona mukanya.

“Aku mati kekasih.”

“Kekasih kau meninggal?” Melah mahu memastikan.

“Ya... dia dah kena tanam. Aku sayang dia!” jelas Jelan.

Air matanya jatuh tiba-tiba. Jernih dan laju turun ke pipi. Jelan tunduk lama. Tangan kanannya mengesat air mata yang datang tak diundang. Melah yang melihat jadi sebak. Bagi Melah air mata orang gila sangat jujur dan tulus. Sudah tentu terbit daripada hati yang bersih dan tanpa niat mahu meraih simpati.

“Sabar ya Jelan... ALLAH sayang dia tu.” Melah berharap pujukannya akan melegakan Jelan.

“Aku dah nak kahwin... seminggu lagi majlis kahwin.” Jelan masih mahu bercerita lagi.

“Ya? Lepas tu apa jadi?”

“Kekasih aku kena langgar masa balik kerja. Orang yang langgar tu terus lari. Dia mati kat tempat kejadian.”

Jelan sedang dibawa kepada kenangan lalunya. Dia bercerita dengan pandangan mata yang merenung jauh entah ke mana. Matanya sayu tak bercahaya. Di tepian mata masih ada baki air mata yang tersekat dan ditahan daripada mengalir keluar.

‘Jelan ni kadang-kadang pandai jugak bercerita. Tersusun aje cakap-cakap dia.” Puji Melam diam-diam.

“Memang sedih kisah kau, Jelan. Tak apalah... sabar aje ya.” Pujukan kedua Melah diharap akan menjadi.

“Ha’ah... sabar. Kau pun sabar ya Melah.” Jelan membersihkan sisa air mata.

“Aku pun akan cuba sabar. Kita sama-sama sabar.” Melah senyum... entah kali ke berapa. Jelan angguk dan senyum juga.

“Bas pun lambat sangat datangnya.” Barulah Melah terasa bas yang ditunggu lambat tiba.

“Bas memang lambat. Naik kereta tak lambat.” Jawapan jelan macam budak-budak semula.

“Aku tak ada kereta.”

“Oh! Tak ada ya?”

“Tak ada.”

“Kau tunggu sini je. 15 minit lagi ada kereta tumpangkan kau.” Yakin betul Jelan. Sama yakin dengan Ejul yang mengatakan Jelan akan muncul dalam masa 15 minit lagi.

“Mana kau tau?”

“Aku taulah.” Serentak dengan itu Jelan bangkit lalu berlari laju meninggalkan Melah yang terlopong sendiri. Pelik betul Jelan. Sama pelik dengan Ejul. 

Melah tak mahu menunggu. Bila bas sampai saja dia akan terus masuk ke perut bas. Baginya masa itu emas. Lebih berharga daripada emas 916. Tak boleh disia-siakan. Lagi pula dia malas hendak menumpang Ejul. Melah mahu menghindari fitnah.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.