| 12 |
DIA betul-betul tidak sangka, Delyna begitu
gigih menunggunya sehingga ke malam. Dia semakin tidak faham dengan wanita itu.
Kenapa wanita itu perlu muncul semula di dalam hidupnya ketika dia sudah
menemukan ketenangan jiwanya. Mahu tak mahu dia kena juga berhadapan dengan
wanita itu. Selagi dia tidak berhadapan dengan wanita itu, selagi itu wanita
itu akan terus menunggu.
Mujur dia masih punya perasaan belas kasihan
dan perikemanusiaan. Jika tidak, memang dia tidak sudi bertemu dengan wanita
itu lagi. Ingin berbual di gimnasium terasa tidak kena pula. Sudahnya dia
membawa Delyna ke sebuah restoran tidak jauh dari gimnasium di mana tempat dia
bekerja.
“So, cakaplah apa yang awak nak cakap sangat
tu,” pinta Azrin Aidil selepas minuman yang dipesan mereka tadi sudah di atas
meja.
Apa yang pasti dia sudah tahu apa yang bakal
Delyna bicarakan sebentar lagi. Sejak sampai di restoran ini tadi, baru
sekarang mereka berbicara.
<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" imageanchor="1" style="margin-left: 1em; margin-right: 1em;"><img border="0" src="http://3.bp.blogspot.com/-IQlbntm9-6Q/Uz6nchp-idI/AAAAAAAAEr8/fNIlrIjvE50/s1600/Allstars.png" /></a></div>
Delyna menarik nafas dalam lalu dihembus
perlahan. Dia akui dia cukup bersalah pada lelaki di hadapannya itu. Walaupun
terpaksa tebalkan muka berinci-inci, dia tetap tidak segan mencuba. Dia
merasakan, masih ada peluang untuknya memiliki hati Azrin Aidil semula.
“Awak masih marahkan saya lagi?” soal Delyna.
Azrin Aidil mengeluh bosan. Masuk kali ini,
hampir sepuluh kali wanita di hadapannya itu bertanyakan soalan itu sejak kali
pertama mereka berjumpa selepas dua tahun tidak berhubung.
“Saya rasa awak dah tahu jawapannya,” jawab
Azrin Aidil.
Jawapan yang sama Azrin Aidil berikan kepada
Delyna setiap kali diutarakan soalan yang sama. Dia tahu, Delyna cuba bermain
dengan mindanya dengan bertanyakan soalan yang sama.
“Tapi, setiap kali saya jumpa awak, awak macam
benci dengan saya,” balas Delyna.
Azrin Aidil mengeluh berat. Dia tidak tahu apa
yang Delyna fikirkan. Apakah wanita itu merasakan, apa yang telah dia lakukan
terhadapnya dua tahun lalu boleh dianggap enteng? Atau wanita itu merasakan,
dengan kesopanan, keayuan dan kejelitaan yang dimilikinya membuatkan dia punya
kuasa untuk menundukkan hati lelaki sepertinya yang sememangnya suka dengan
wanita yang lemah lembut dan berbaju kurung?
“Saya dah kata sebelum ni, kan. Saya dah
maafkan awak atas apa yang awak dah buat pada saya sebelum ni. Awak yang minta
perpisahan tu, saya turutkan walaupun saya rasa macam tak adil masa tu. Tapi
saya cuba untuk terima kenyataan yang awak bukan jodoh saya. Syukur
alhamdulillah, sekarang saya dah dapat lupakan semua tu,” jawab Azrin Aidil
dengan jujur.
Azrin Aidil terpaksa mengulang ayat itu setiap
kali bertemu dengan Delyna. Dia tidak pasti sama ada Delyna memang tidak faham
bahasa atau buat-buat tidak faham.
“Sejak tu jugak awak tak pernah jumpa
pengganti saya, kan?” soal Delyna kembali.
Azrin Aidil terdiam sejenak sambil memandang
lama kedua-dua anak mata Delyna. Dia cuba mencari apa yang tersirat di sebalik
pertanyaan Delyna itu melalui pandangan mata wanita itu.
“Apa kaitannya?”
“Itu bermakna awak masih belum boleh lupakan
saya sepenuhnya,” tutur Delyna dengan yakin.
Azrin Aidil tergelak kecil sambil mengacau
kopi panasnya.
“Jangan terlalu yakin, Lyna.”
“Saya tahu cita rasa awak, Aidil. Awak suka
wanita lemah lembut, ayu, berbaju kurung dan sopan santun, kan?”
“Jadi?” soal Azrin Aidil sambil memandang
tepat ke wajah Delyna.
“Ciri-ciri tu tak ada pada semua wanita.
Ciri-ciri tu hanya ada pada saya, kan? Sebab tu sampai saat ini, awak masih
belum ada pengganti saya.”
Azrin Aidil kembali mengukir senyuman. Dia
terasa seperti hatinya digeletek selepas mendengar kata-kata Delyna itu.
“Walaupun nak cari wanita yang menepati cita
rasa saya agak sukar, tapi tu bukan sebabnya saya tak ada pengganti awak.”
Kali ini Delyna pula tergelak kecil.
“Awak boleh berbohong dengan saya, Aidil.
Tapi, awak tak boleh membohongi hati awak. Saya tahu, jauh di sudut hati awak
tu, masih ada sayang untuk saya, kan?” ujar Delyna, cuba memprovokasi hati
Azrin Aidil.
Dia ingin Azrin Aidil mengaku tentang
perasaannya. Dia yakin lelaki itu masih sayangkannya dan dia juga masih
sayangkan lelaki itu.
“Hal tu tak ada kena-mengena dengan awak
selepas kita sah bukan lagi pasangan kekasih dua tahun lepas,” tutur Azrin
Aidil.
Dia sudah mula bosan mahu melayan kerenah
wanita di hadapannya itu. Mental!
“Betul kan, apa yang saya cakap? Kalau awak
masih sayangkan saya, saya jugak masih sayangkan awak, Aidil. Saya tahu saya
silap langkah dua tahun lalu. Kalau kita masih sama-sama sayang, kenapa awak
tak beri peluang pada diri awak untuk kembali menyayangi saya? Saya sedia
menerima awak semula dalam hidup saya,” rayu Delyna.
Sekali lagi Azrin Aidil tergelak kecil yang
jelas dibuat-buat. Dia sudah tidak tahu ayat yang bagaimana untuk diucapkan
kepada Delyna supaya wanita berbaju kurung di hadapannya itu faham tentang
keadaan dirinya ketika ini.
“Senangnya awak bercakap, kan? Awak ingat saya
ni robot yang boleh awak setkan hatinya? Bila tak nak, awak buang. Bila nak,
awak ambil balik, format hatinya dan setkan hatinya semula untuk menyukai awak.
Itu ke yang awak cuba lakukan?” luah Azrin Aidil.
“Eh, saya tak kata macam tu pun, kan?” nafi
Delyna.
Hakikatnya, itulah yang dia cuba lakukan pada
Azrin Aidil ketika ini. Dia sedar, semasa mereka bercinta dua tahun lalu, Azrin
Aidillah yang tergila-gilakannya. Sanggup buat apa sahaja untuknya. Sebab itu
dia terlebih yakin yang dia bisa meraih hati Azrin Aidil semula.
“Dah tu?” tanya Azrin Aidil.
Delyna diam, tiada jawapan.
“Atau mungkin awak rasa awak boleh tambat hati
saya semula sebab awak tahu masa kita bercinta dulu saya yang beria-ia,
bersungguh-sungguh dan tergila-gilakan awak,” sambung Azrin Aidil.
Delyna bagai tergigit lidah. Dia tidak
menyangka apa yang difikirkannya ketika ini bisa ditebak Azrin Aidil.
“Kalau tulah tanggapan awak, awak dah silap.
Ya, memang dulu saya tergila-gilakan awak. Sanggup berhabis dan buat apa aje
demi awak, sebab masa tu saya bodoh. Saya anggap awak adalah jodoh saya sebab
ciri-ciri wanita yang saya cari tu hampir kesemuanya ada pada awak. Tapi, bila
awak tiba-tiba minta putuskan hubungan cinta kita disebabkan awak dah jumpa
lelaki yang kononnya boleh bagi kebahagiaan pada awak sampai mati, serta-merta
perasaan tu berubah,” luah Azrin Aidil dengan panjang lebar apa yang dirasai.
“Tapi...”
“Dahlah Lyna, saya dah malas nak hadap semua
ni. Awak teruskanlah dengan kehidupan awak dan saya dengan kehidupan saya.
Lagipun, menurut awak sebelum ni, lelaki yang bekerja sebagai jurulatih di gim
ni tak ada masa depan. Jadi, lebih baik awak cari lelaki yang bekerja sebagai
CEO syarikat besar untuk dijadikan pasangan hidup awak. Saya ni tak layak untuk
awak,” ujar Azrin Aidil.
Dia sudah tidak mampu menahan bengangnya lagi
lalu bangkit berdiri untuk meninggalkan restoran itu. Sekeping not 10
diletakkan di atas meja. Dia bimbang, semakin lama dia di situ, semakin tidak
terkawal amarahnya nanti.
“Tapi, saya cuma nak awak, Aidil,” luah Delyna
sebelum sempat Azrin Aidil melangkah jauh.
Langkah Azrin Aidil terhenti. Namun, hanya
untuk seketika. Tiga saat kemudian, dia menyambung langkahnya semula. Dia sudah
tawar hati dengan Delyna. Delyna ditinggalkan sendirian di restoran itu.
**********
BUAT pertama kali dalam sejarah hidupnya, dia
memakai blaus dan jean ketat lagi sendat. Mujur Nabila tidak menyuruhnya
memakai legging. Jika tidak, haru-biru hidupnya. Ikutkan Nabila yang dengan
tiba-tiba menjadi perunding imej dan juru mekapnya, dia perlu mengenakan skirt
labuh. Tetapi apabila memikirkan dia perlu menunggang motosikal, dia memilih
untuk memakai seluar.
Hampir setengah jam menunggang motosikal,
sampai juga dia ke pusat membeli-belah ini. Dia memandang wajahnya melalui
cermin sisi motosikalnya. Rambutnya yang diikat satu di belakang dikemaskan.
Mekap tipis ala kadar di wajahnya masih kekal cantik. Mujur Nabila sudi
membantunya. Jika tiada Nabila, tidak tahulah bagaimana nasibnya.
Selepas mengunci motosikal dan helmetnya, dia
mula melangkah masuk ke dalam pusat membeli-belah itu untuk ke restoran yang
telah menjadi lokasi janji temunya dengan si tauke belacan itu.
“Eee... baju apalah yang Ila suruh aku sarung
ni. Beropol-ropol dah macam langsir bergerak aku rasa,” rungut Syahirah sambil
mengemaskan blaus yang tersarung di tubuh.
Mujur dia tidak disuruh pakai kasut tumit
tinggi. Jika tidak, tunggang terbaliklah hidupnya.
Entah macam mana, semasa dia melangkah tanpa
memandang ke depan, dia terlanggar seseorang dari arah bertentangan,
betul-betul di hadapan pintu masuk pusat membeli-belah itu.
“Eh, sorry, sorry,” pohon Syahirah.
Dia sedar dia bersalah kerana jalan tidak
tengok depan. Sibuk membetulkan blaus yang beropol di tubuhnya tadi.
“Hisy, semaklah! Jalan guna lutut ke apa?”
marah lelaki itu.
Lelaki itu terus berlalu sambil melanggar
kasar bahu Syahirah.
“Aduh...”
Syahirah memegang bahunya yang dirempuh kasar
oleh lelaki yang dilanggarnya secara tidak sengaja tadi. Dia memandang ke arah
lelaki itu yang sudah berlalu menuju ke arah kawasan parkir kereta.
“Tahulah badan kau ketak-ketak, tapi tak
perlulah nak berlagak sangat,” kutuk Syahirah.
Dia kembali menyambung langkahnya. Rambut yang
diikat satu di belakang dikemas-kemaskan kembali. Melangkah sahaja dia ke dalam
pusat membeli-belah itu, dia terus mencari restoran yang telah dimaksudkan oleh
si tauke belacan itu melalui WeChat, tengah hari tadi. Menurut tauke belacan
itu, restoran yang menjadi lokasi janji temu mereka malam ini berdekatan dengan
pintu masuk utama pusat membeli-belah ini. Dia pun terus mencari restoran yang
dimaksudkan.
Masalahnya sekarang, bukan ada satu restoran
sahaja di aras itu. Ada lebih lima buah restoran pelbagai jenis dan bentuk. Dia
mengeluarkan telefon pintarnya lalu mencari balik nama restoran yang telah
dimaksudkan oleh si tauke belacan itu dalam mesej WeChatnya.
“MK Restaurant?”
Meliar anak mata Syahirah melihat setiap papan
tanda restoran yang ada. Selepas 11 saat mencari, jumpa juga restoran yang
dimaksudkan. Telefon pintarnya kembali disimpan ke dalam poket seluarnya. Dia
melangkah masuk ke dalam restoran itu lalu mencari kelibat si tauke belacan
itu.
Dari jauh dia terlihat seorang lelaki botak
melambai ke arahnya. Syahirah mengukir senyuman sambil menghela nafas lega.
Dari gambar yang dilihat di Facebook, sahlah lelaki itu adalah Ezani, si tauke
belacan yang berjaya itu. Serta-merta jiwa Syahirah dilanda resah dan gelisah.
Debaran yang dirasai semakin berkocak. Dengan keberanian dan semangat yang ada,
Syahirah melangkah menuju ke arah lelaki botak itu dengan senyuman manis di
bibir.