Home Novel Keluarga Papa Nak Menantu!
Papa Nak Menantu!
Hasrudi Jawawi
24/1/2014 17:27:32
121,069
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
BAB 05
| 05 |

SEKEJAP-SEKEJAP dia memandang Pak Saad yang sedang menjahit manik di sofa. Apabila lelaki tua itu terperasan akan pandangannya, cepat-cepat dia melarikan pandangan lalu memfokuskan pandangan pada kain di hadapannya.

“Kau apa hal Shak? Dari tadi duk pandang-pandang aku. Cantik sangat ke aku ni sampai kau nak curi-curi pandang?” tanya Pak Saad sambil membetulkan cermin matanya.

Bukannya dia tidak perasan anak muda itu mencuri pandang sejak tadi. Seolah-olah ada sesuatu yang ingin ditanya tetapi tidak berani diluahkan.

“Eh, mana ada. Pak Saad ni perasanlah. Tak malu,” nafi Shakir.

Sebenarnya memang ada sesuatu yang dia mahu luahkan kepada Pak Saad. Cuma dia bimbang akan menaikkan kemarahan lelaki itu.

“Eleh, kau ingat aku dah buta ke? Walaupun aku dah bermata empat, aku tetap boleh nampak pandangan kau tu, tau.”

“Mana ada, Pak Saad. Perasaan Pak Saad aje kut.”

Pak Saad mencebik. Malas mahu layan. Dia kembali menyambung kerjanya. Manik dijahit dengan penuh teliti dan kemas. Walaupun kita nampak kerja menjahit manik ini seperti senang. Hakikatnya, ia bergantung pada ketekunan dan kreativiti seseorang. Bukan boleh main jahit sahaja.

<div class="separator" style="clear: both; text-align: center;">
<a href="http://2.bp.blogspot.com/-j53SGG3R1Ms/Uz6mbv7YEZI/AAAAAAAAEr0/ulfuDLW_unQ/s1600/Syahirah.png" imageanchor="1" style="clear: right; float: right; margin-bottom: 1em; margin-left: 1em;"><img border="0" src="http://2.bp.blogspot.com/-j53SGG3R1Ms/Uz6mbv7YEZI/AAAAAAAAEr0/ulfuDLW_unQ/s1600/Syahirah.png" /></a></div>

Shakir mengabaikan gunting di tangan. Fokusnya memang sudah tiada untuk terus memotong kain itu. Kerja memotong kain juga memerlukan fokus dan ketekunan. Jika hilang fokus, salah potong, siapa yang susah? Kesian Pak Saad kena jawab dengan pelanggan nanti. Sudahlah kain yang sedang dipotongnya ketika ini jenis sutera. Kalau salah potong, boleh sasau dibuatnya.

“Pak Saad, kalau saya nak minta sesuatu boleh tak?”

Akhirnya, selepas beberapa minit, dapat juga Shakir kekuatan untuk berbicara.

“Haa... kan? Aku dah agak dah. Dari tadi kau duk pandang-pandang, menjeling-menjelingku bertentang, mata kita sama memandang.”

Tiba-tiba sahaja Pak Saad menyanyi pula. Terkejut Shakir. Mujur dia tidak terkejut lalu pengsan. Boleh pulak orang tua ni menyanyi, getus hati Shakir sambil tahan kepala supaya tidak pengsan.

“Mesti kau ada benda nak cakap, kan? Aku tanya tadi, tak nak mengaku!” ujar Pak Saad sambil menjeling pada Shakir.

Shakir tersengih.

“Jawapannya tak boleh,” sambung Pak Saad.

“Eh, saya belum cakap lagi. Kenapa Pak Saad kata tak boleh?” ujar Shakir, hairan.

“Aku dah tahu apa yang kau nak cakapkan tu,” jawab Pak Saad, yakin dengan apa yang dia rasa ketika ini.

Di hati kecilnya dia tahu apa yang akan Shakir katakan sebentar lagi.

“Pak Saad ni,” keluh Shakir lalu melangkah menghampiri Pak Saad di sofa.

Kemudian terus melabuhkan punggungnya di sebelah lelaki itu sambil buat muka kasihan.

“Dah, tak payah. Aku dah tahu apa yang kau nak cakapkan,” ujar Pak Saad, tidak mahu mengalah.

“Pak Saad, dengarlah dulu apa yang saya nak cakapkan ni,” rengek Shakir, minta perhatian.

“Eee.. rimas betul aku kalau kau dah merengek. Apa yang kau nak cakapkan sangat tu? Penting sangat ke?” soal Pak Saad.

Dia sudah tertekan. Namun, kerjanya tetap tidak diabaikan. Tangannya terus ligat menjahit manik-manik yang ada pada baju yang ditempah pelanggan.

“Alaa... Pak Saad, janganlah marah,” ujar Shakir, merajuk sambil tarik muncung.

Sudah sikap dia begitu. Sabar sahajalah.

“Haiyo... perlu ke nak buat babak-babak merajuk macam tu? Geli aku tahu tak? Dah, cakaplah apa kau nak cakap. Nanti aku tukar fikiran, kau jugak yang menyesal.”

“Yalah, yalah, saya cakap. Tapi Pak Saad janji jangan marah,” pinta Shakir.

“Ya!” balas Pak Saad tidak ikhlas.

Dia sudah tertekan. Hilang terus fokus pada kerjanya.

“Err... Pak Saad tariklah balik ugutan Pak Saad tu pada Syah,” luah Shakir dengan apa yang terbuku di hatinya sejak semalam.

Dia berharap dengan bantuannya ini, dapat memberi rasa gembira pada Syahirah andai pujukan dia berjaya.

“Siapa Syah?”

Sengaja Pak Saad bertanya walaupun dia tahu siapa yang dimaksudkan Shakir itu. Dia tetap mahu nama ‘Irah’ digunakan untuk anaknya walau apa pun yang terjadi. Dia tidak mahu nama timangan lain untuk anaknya ketika berbicara dengannya.

“Maksud saya, Irah.”

“Syah konon. Geletis aku dengar,” rengus Pak Saad, tidak berkenan dengan nama timangan itu.

Terkedu Shakir seketika.

“Apa hal pulak aku nak kena tarik balik ugutan aku tu?” soal Pak Saad kembali.

Shakir mengeluh berat. Nampaknya, bukan senang untuk dia meyakinkan Pak Saad.

“Pak Saad tak kasihan ke dengan Syah... eh, Irah tu? Dia kan perempuan. Takkan nak kena cari suami? Pak Saad tak rasa ke, macam Irah tu perigi yang terpaksa cari timba? Semata-mata nak puaskan hati Pak Saad. Pak Saad ni, saya rasa dah nyanyuk kut?”

“Ewah! Ewah! Ewah!”

Tersentap terus Pak Saad apabila Shakir mengatanya nyanyuk. Terus baju di tangan dicampak di atas meja di hadapannya.

“Sedap mulut kau aje kata aku nyanyuk ya?”

Shakir tersentak lalu menikus ketakutan. Tidak sangka dia telah membuat hati Pak Saad tersentap.

“Lantaklah kalau Irah tu macam perigi cari timba pun. Ada aku kisah? Zaman sekarang ni, tak laku dah perumpamaan tu. Perempuan semakin melambak. Lelaki semakin berkurangan. Lebih-lebih lagi zaman sekarang ni, lelaki yang ada pun belum tentu tulen tau,” bebel Pak Saad.

“Dah tu, kenapa Pak Saad suruh Irah cari bakal suami cepat-cepat? Kalau dia salah pilih, macam mana? Kalau dia dapat suami yang tak tulen, siapa nak jawab? Dia yang akan menderita nanti, Pak Saad,” bela Shakir.

“Tulah yang dinamakan cabaran. Orang beli anak ikan kat pasar pun, kena pilih yang elok tau. Orang yang tak betul aje beli anak ikan yang tak elok.”

“Apa pulak kaitannya dengan anak ikan ni?”

“Ini perumpamaanlah.”

“Tapi, kalau memang dah tak ada pilihan, macam mana? Pak Saad sanggup kahwinkan Syah dengan Pak Mat jual tempe tu? Sanggup ada menantu yang sebaya Pak Saad?”

“Why not?”

“Amboi Pak Saad, speaking london nampak.”

“Haruslah. Kau ingat kau seorang aje pandai speaking? Tulah dinamakan cabaran. Aku tak kira, aku nak jugak Si Irah tu cari bakal suami. Aku sengaja buat macam ni supaya dia kenal erti berusaha dan kenal erti kepayahan. Berbuih aku suruh dia cari kerja sebelum ni. Dia buat tak dengar aje. Sekarang, rasakan nasib dia.”

Sudah nampak macam berdendam pada anak sendiri pula Pak Saad ketika ini.

“Amboi Pak Saad, macam dah tak sayang anak aje?”

“Sebab aku sayanglah aku buat semua ni. Cara ni aje yang terlintas kat kepala otak aku ni untuk ajar dia. Kau ingat membela anak perempuan ni senang ke, Shak oiii? Lagi-lagi perempuan macam Irah tu. Dahlah kasar, perangai macam jantan. Satu kampung mengata dia tu songsang. Cukuplah dulu masa aku bujang, orang duk mengata aku benda yang sama. Aku tak nak dia pulak mengalami nasib yang sama,” luah Pak Saad.

Terselit satu pengakuan di sebalik kata-katanya itu.

Shakir terdiam sejenak memikirkan kembali kata-kata Pak Saad itu. Ketika ini barulah dia faham niat di sebalik ugutan Pak Saad itu.

“Jadi, Pak Saad nak Irah kahwin sebab nak tutup mulut tempayan orang kampung yang mengata dia tu songsang?”

“Tu salah satunya, Shak. Walaupun aku tahu hati Irah tu memang lurus suka lelaki. Tapi mulut orang, kita kena ambil kisah jugak, kan?”

“Okey, sekarang baru saya faham. Tapi Pak Saad, kalaulah Irah salah pilih lelaki, macam mana? Kahwin bulan pertama atau sampai bulan kedua sahaja dia bahagia. Lepas tu, dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga, macam mana pulak?”

“Kau rasa, dengan perangai Irah macam tu, dia boleh jadi mangsa kekerasan rumah tangga ke?” soal Pak Saad.

“Err...”

Shakir berfikir sejenak. Dia sudah salah tanya soalan.

“Okey, kalau dia dicurangi atau suami dia tinggalkan dia sebab perempuan lain, macam mana? Pak Saad tak kasihan pada dia? Yang menderita dan terseksanya Irah, Pak Saad. Bukannya kita,” sambung Shakir, mahu menyedarkan Pak Saad.

Pak Saad tertunduk. Wajahnya tiba-tiba berubah muram. Situasi itu membuatkan Shakir mengukir senyuman. Nampaknya, pujukan dia seperti berjaya. Dari riak wajah Pak Saad itu seperti dia bakal menarik balik ugutannya pada Syahirah.

“Eh.” Tiba-tiba sahaja Pak Saad kembali seperti sediakala. Dia memandang serius pada Shakir.

“Oh, mak kau!” Shakir terkejut.

“Lantaklah dia nak kecewa atau derita sekalipun. Tu cabaran untuk masa depan dia. Lima bulan tu, lama tau? Macam-macam benda boleh berlaku dalam masa lima bulan ni. Aku nak dia rasa, pahit manis kehidupan ni. Selama ni, dia hidup nak senang aje.

Bangun tidur, makan, main game, buat kerja lebih kurang kat butik, lepas tu duk melepak kat bengkel Ah Seng tu dengan Fariq.

Tulah kerja dia dari dia habis SPM sampailah sekarang. Aku nak dia rasa, macam mana kecewa, macam mana derita, rasa macam mana bila apa yang kita nak tu, kita tak dapat. Rasa tangisan kesedihan dan tangisan terharu. Aku nak dia rasa semua tu.”

Shakir mengeluh hampa selepas mendengar bebelan Pak Saad itu. Nampaknya pujukan dia tidak berjaya melembutkan hati Pak Saad. Nasib kaulah Syah, desah hatinya.


Previous: BAB 04
Next: BAB 06

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.