Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
47,776
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 10

PERSIAPAN dilakukan sesedarhana mungkin dan sesegaranya. Neor hanya memaklumkan kepada Makcik Rominah   melalui telefon.  Makcik Rominah   merestui dan hasrat akan mengadakan kenduri kesyukuran sepulangnya dia dari menunaikan umrah.  Neor bersiap seadanya, menyediakan apa yang sepatutnya disedia pengantin lelaki dalam keadaan terdesak.  Kenduri kahwin dan majlis persandingan akan diadakan di kediaman mewah Tuan Jaafar dan Puan Sumila hanya seminggu berselang dari kepulangan mereka dari Brunai.

Meski masih terlalu cetek perkenalan ke dua mereka namun, Mutiara    pasrah demi permintaan Tuan Jaafar.  Bagi Neor pula, bagaikan orang mengantuk disurungkan batal dan bagai bulan jatuh ke riba, disambut dengan seribu kesyukuran.  Surat kebenaran bernikah di luar negara tidak sempat diperoleh dengan alasan kesuntukan masa.  Meski penegak undang-undang syariah namun Mutiara  akur dengan masa yang seakan tidak memberi izin.  Berusaha dia memejam mata dari melihat kesalahan itu demi melaksana permintaan Tuan Jaafar yang hanya punya 50% harapan pulih.  Dia sedar, perbuatan mereka akan didakwa di bawah kesalahan  Akta Enakmen Keluarga Islam Malaysia.

Bagi Neor, senggang yang singkat sementara menunggu pengambaran drama seterusnya diguna sebaik mungkin.  Katanya dia cuma ada kurang dua minggu untuk segala urusan rasmi dan tidak rasmi.  Selepas dari tarikh itu nanti, dia akan kembali sibuk.  Mutiara  tidak bersoal banyak sedang fikiran sendiri semak dengan kebimbangan pada kesihatan Tuan Jaafar dan keadaan Puan Sumila yang cemas sepanjang waktu.

Ezeti membantu seadanya, sekadar memberi motivasi dan sokongan moral.  Kepada Neor tidak sempat diterangkan apa perhubungan dia dengan Mutiara   dan kemelut yang mungkin dihadapi.  Dia sendiri bergelut dengan kesibukan saban waktu. 

“Zet ikutlah kami….”  Sudah berkali-kali Mutiara   merayu.

Sorry Ira, aku sibuk sangat. Jadual sudah disusun, kalau gagal melunasnya, bakal menyusahkan banyak pihak.  Setakat disaman, tak kisah lagi.  Berapalah sangat nilai saman itu berbanding hari bahagia engkau orang.  Tapi aku tak sanggup menghampakan permintaan pelanggan yang sudah menempah lama khimat aku.”

“Tapi tak bestlah…”

“Tak mengapa, yang penting, Neor, umi dan walid.  Semua orang ni gembira, aku akan rasa gembira.”

Mutiara  mengangguk beberapa kali, berharap harapan Ezeti itu terlaksana.  Dalam dingin ruang kamarnya, berkali-kali dia terimbau pelbagai kenangan.  Ingatan kepada Tuan Jaafar yang ditemuinya dalam keadaan tenat dan uminya yang bengkak mata menangis, bernafas dalam kebimbangan. Semua itu menambahkan semangatnya untuk menunai amanat lelaki itu walau baharu sedikit benar diketahui berkenaan bakal suami. 

Asal keturunannya, pekerjaannya, kaum keluarganya serta keperibadiannya.  Jika bakal pengantin lain sibuk menyelami kegemaran bakal suami dari sudut makan minum, pakaian dan gaya hidup, Mutiara  langsung tidak terfikir untuk mengetahui apa-apa.  Asal membahagiakan uminya dan melapangkan fikiran ayahnya, bersedialah dia  mempersembahkan Neor ke pangkuan mereka sebagai menantu.  Sementelah cintanya sendiri sudah tertambat di tangkai hati lelaki itu.

“Apa yang perlu saya sediakan?”  itu tanya Neor sebaik keputusan diambil.

“Pasport dan keterbukaan hati awak.”  Hanya itu yang dipintanya.  Tidak ada menyebut emaskahwin, wang hantaran atau cincin berlian.  Pekej berbulan madu juga tidak termasuk sama sekali.  Dia pasrah segalanya.

Selama empat hari itu, penumpuannya 100% pada tugas yang tertunggak dan bakal dikerjakan minggu hadapan.  Mereka tidak memerlukan cuti panjang untuk berbulan madu, cuma untuk majlis perkahwinan yang sederhana dan bersama Tuan Jaafar serta Puan Sumila.

Mutiara  meletak dokumen yang siap diteliti di atas meja Luisa. Sudah menjadi kebiasaan, Mutiara  akan memangku sementara tugas yang sepatutnya dilakukan Liya apabila rakan kongsi itu bercuti sakit.  Mutiara   menunggu seketika seraya memantau sekitar, menjejak gadis awal dua puluhan itu.  Dari kejauhan kelihatan Luisa tergesa-gesa.

“Maaf puan, saya ke tandas tadi.”

“Tak apa.”  Fail yang diletak di atas meja dibukanya untuk menunjuk perkara yang sepatutnya diberi penekanan sewaktu gadis itu membuat pembetulan.

Terangguk-angguk Luisa, memahami apa yang diinginkan ketuanya.  Mutiara   puas pada penerangannya, baharu sahaja dia mahu meninggalkan meja Luisa, matanya jatuh pada senaskah majalah hiburan di atas meja sederhana besar itu.    

“Majalah siapa tu?”

“Saya.  Saya baru membelinya, lupa nak simpan.”  Sedikit gugup menjawap.

Mutiara    tidak mempeduli alasan itu, gambar di kulit majalah juga terus menjadi tumpuan.  Matanya bagaikan dicungkil, sakit. 

“Saya tak baca waktu kerja, puan.”  Lagi dia beralasan, juga tidak dipeduli Mutiara.

“Bagi saya pinjam sekejap boleh?”  tidak menunggu permohonannya diluluskan, majalah di atas meja sudah dicapai.

“Boleh.”  Luisa membantu Mutiara   yang menghulur tangan mahu mencapai majalah.

“Pelakon perempuan ni pernah ke sini  dan pulang dalam keadaan marah-marah bila puan tolak permohonannya.”  Cuba dia berdalih, sekadar mahu menyejuk ketua yang mungkin akan menuduhnya ‘curi tulang’ waktu hakiki.

Mutiara  angguk perlahan.  “Mencari peguam bela untuk tuduhan sebutan kes di Mahkamah Syariah seksyen 136, meminum arak di khalayak ramai.” Mutiara mengingatkan.

Luisa angguk, ingat.

“Kes dia tak selesai lagi dan rasanya harapan tipis.  Mungkin didenda maksimum lima ribu ringgit, atau tiga tahun penjara?”

“Tu tak serik lagi tu.  Pakaian bukan main seksi.”  Luisa menambah.

Mutiara angguk seraya mengeluh berat. “Akan lebih malang kalau ditambah dengan enam kali sebatan.  Tapi harap-harapnya dia menang kes.”  Tidak berminat Mutiara   memperbualkan berkenaan artis wanita muda itu lagi, yang menarik perhatiannya adalah sekujur foto lelaki di sisi wanita muda yang bergelar ibu  tunggal yang masih muda itu.

“Tapi memang ramai yang nampak dia mabuk malam tu.”  Bersungguh-sungguh Luisa menyatakan apa yang diketahuinya melalui gosib artis.

“Dik tipisnya harapan menang, maka saya menolaknya.  Lagipun saya tak nak bersubahat.”  Mutiara    terus merahsiakan apa yang pernah dilihatnya beberapa bulan sebelum itu. Waktu itu dia sedang membeli minuman beralkohol tinggi di sebuah pasaraya yang beroperasi dua puluh empat jam, lewat tengah malam.  Meski mengenakan fesyen berlainan dengan sewaktu ke pejabatnya, Mutiara   sudah terpelajar dan berpengalaman luas dalam pengecaman.

“Harapnya ada keajaiban.”

“Kalau bersalah, tetap juga salah, puan.  Allah tidak akan menghalalkan apa yang sudah diharamkannya.”  Pintar bunyinya dia.

 Mutiara   mengangguk cuma.  Semakin tidak berminat dia untuk sabarang hujah tambahan, perhatiannya sudah menjadi satu cuma. Lelaki itu.  Meski langsung tidak berminat pada dunia hiburan namun, berpura-pura juga dia demi melindungi apa yang   memedihkan.  Dia tidak pernah  ambil peduli pada  dunia hiburan dalam mahupun luar negara.  Dia sudah dididik  orang tuanya, hanya menumpu pada pelajaran dan perkara yang bersangkutan dengan realiti.  Segala bentuk hiburan dan cabang seni hanya melalaikan, tidak berfaedah serta memundurkan masyarakat.  Itu tanggapan Tuan Jaafar dan pegangan itu ditanam pada mereka sejak dia di zaman kanak-kanak. Namun, prinsib itu jelas beda dengan yang dimiliki Ezeti dan dik curamnya jurang pemikiran itu maka perhubungan dia dan Ezeti kian renggang dan saling melukai.

Mutiara  terus kembali ke bilik, pintu bilik ditutup perlahan. Perlahan juga meletak punggung di kerusi di belakang meja besarnya.  Persekitaran tidak lagi dipeduli.  Mata terus tertancap pada sehelai demi sehelai lembaran majalah yang bakal memperturunkan rencana berkenaan gambar di kulit luar majalah.  Dia mencari-cari   dengan debaran kuat dan berdoa juga agar apa yang disangkanya di kulit majalah tidak benar sama sekali.

Pastinya  pelanduk dua serupa….  Itu juga doanya sejak tadi.  Terpejam seketika dia waktu otak tiba-tiba terimbas peristiwa suatu hari, pertemuan tidak sengajanya dengan Neor di luar studio Ezeti.  Neor mengenakan pakaian begitu tetapi blazer hitam sudah ditanggal, hanya digantung di lengan.  Tangan kanan sibuk pula membersih solekan di muka dengan tisu basah, tampak tergesa-gesa mahu meninggalkan studio, tidak bersedia bertemu dia.  Sewaktu bertegur sapa, haruman dari jenama terkenal dari luar negara yang diguna Neor menusuk.  Tidak pernah dia sewangi itu dan penampilan juga tidak pernah sekacak serta sekemas itu.  Mutiara    tidak mencurigai apa-apa, cuma beranggapan itu adalah hari berseri bagi Neor, mungkin sehabis pertemuan penting berkenaan kerja.  Tidak dinafikan, dia benar-benar gemarkan keterampilan begitu dan tergoda juga namun kini Mutiara   rasa tertipu dan dibohongi juga.  Menggeleng dia perlahan, mahu menolak perasaan pelbagainya.

Selakkan halaman oleh Mutiara  mati, jatuh matanya pada seraut wajah glamour mengukir senyum nakal, membiar keberanian gadis yang tidak silu berpakaian sedikit keterlaluan memaut pinggangnya.

Tersandar Mutiara   diserang kebingungan.  Siapa dia sebenarnya?  Pelbagai persoalan muncul dan menyemak di fikiran.  Sudah timbul beberapa kali kenyataan menidakkan kenyataan benar itu.  Menggeleng kepalanya namun tanpa sedar, angguk juga mengiakan tafsiran otak yang ligat berfikir.  Sepatah demi sepatah perkataan dibaca, merangkak bagaikan baharu mengenali dua suku kata sekali membaca.  Akhirnya semuka penuh rencana itu selesai dilafas.   Pun begitu dia kekal bingung, seakan tidak memahami apa-apa.  Bodoh benar dia.

‘Neor’.  Itu nama yang tertera.  Berkerut kening Mutiara.  ‘NEOR, PENYANDANG LELAKI MELAYU TERAKHIR dan menjuarai pertandingan ‘ARTIS LELAKI PALING SEKSI’. 

Huh, gelaran apa tu? Paling seksi? Apanya yang seksi?   Berkerut lagi keningnya.

Naifnya dia pada dunia hiburan sehingga gelaran dan pertandingan begitu tidak pernah didengar.  Menggeleng lagi dia, berusaha sungguh menolaknya.  Dibaca lagi ayat-ayat seterusnya.  Berharap Neor bukanlah Meor   Rezamudin.  Sewaktu lelaki itu memperkenalkan diri sebagai Neor, disangkanya adalah singkat dari perkataan Meor Rezamudin.

Promosi drama berangkaian terpanjang yang akan diterbitkan di televisyen  swasta berbayar tidak lama lagi, dibaca Mutiara    lagi.  Dari kata-kata di dalam semuka penuh itu, betapa dua pelakon itu begitu berbakat, begitu popular dan glamour menghiasi industri seni tanah air.  Salain berlakon dalam rangkaian drama berepisod itu, pelakon lelaki kegilaan ramai itu turut mencipta lagu dan menyumbangkan suaranya untuk beberapa buah lagu dalam slot lakonannya.  Neor juga sudah menyediakan dua buah lagu untuk filem arahan pengarah hebat  tanah air.

Sungguh tak masuk akal!  Sakit dada Mutiara   bertumbuk sendiri.  Kebas pula jemarinya membentuk penumbuk kemas sendirian di bilik dingin itu.

Ini hanya kebetulan, pelanduk dua serupa.  Tak mungkin dia….  Lagi dia membujuk sendiri.

Komputer riba di atas meja dicapainya, dicari laman sesawang yang memungkinkan pemaparan lebih lanjut berkenaan pemuda yang sedang dibicaranya di mahkamah hati.  Nama seperti tercatat di dalam majalah ditaip lancar.  Diketuk kekunci ‘enter’ dengan jari telunjuk kanan, kuat.  Hanya beberapa detik yang singkat terpapar pelbagai cerita yang enak dan busuk terdampar di dada skrin.  Pelbagai aksi dari pemuda yang ternyata diberi jolokan pelakon lelaki versatile itu, terhidang di hadapan mata.  Mutiara  jadi mabuk sendiri, berasa mual benar namun ditelan air liur cair bertalu-talu.  Dari satu cerita ke satu cerita, pelbagai pujian dari peminat dan wartawan juga dijawab pelakon lelaki itu sendiri.  Semakin jauh ke dalam, semakin jelas siapa Neor dan semakin jelas persamaannya dengan Meor Rezamudin.  Gambar-gambar di awal penglibatannya dalam bidang hiburan turut dipapar.  Jelaslah lelaki itu adalah orang yang sama. Sama benar, bukan sahaja serupa.

‘Neor, pelakon lelaki berbakat dan pernah memenangi anugerah pelakon lelaki seksi, murah senyuman’.  Itu jenama yang diberi kepadanya.  Huh!

Mutiara  benar-benar terpukul.  Senak lagi pedih. Tidak dinafikan dia semakin jatuh cinta pada aksi-aksi seksi Neor di dalam gambar namun dia menyedarkan diri di mana prinsibnya berada. Telefon bimbit di sisi lengan kiri dicapai, mahu segera menghubungi Ezeti, menyatakan apa yang baharu diketahui.  Dia mahu Ezeti turut merasa apa yang dirasanya.  Namun belum sempat nombor Ezeti dicari dan ditekan, telefon itu bernada panggilan pula.  Pantas ibu jari menekan kekunci jawab tanpa melihat nama yang tertera di skrin telefon.  Gelojoh benar dia.  Mata masih diletak pada skrin komputer riba.  Kacaknya  actor lelaki itu menambat matanya.  Terpikat benar dia.

Sekilas mendengar salamnya dijawab pemanggil, bulat matanya dilempar ke daerah lain.  Monitor komputer riba ditinggalkan namun tidak pasti apa yang mahu dijamah, sekadar mahu menumpu pada  suara pemanggil.

“Ya, umi. Kenapa?”  terhenti rasa nafasnya, sesak sungguh mendengar sedan Puan Sumila.

“Walid sesak nafas lagi.  Sekarang ini masih di unit kecemasan hospital.”

Ya Allah, walid….  Tergamam lagi dia sendiri.  “Umi tenanglah.  Walid pasti tidak akan apa-apa, percayalah pada kerja Tuhan.”

Tidak kedengaran apa-apa cuma tangis dari kejauhan.

“Umi, tenanglah…”  lagi dia membujuk dari tempatnya.  “Apa punca walid diserang lagi?”

“Tadinya walid  menyebut-nyebut  nama Ira.  Rancak berbincang majlis nikah dan persandingan Ira bersama tukang reka kamar dan anjung sanding.  Tiba-tiba walid sakit dada, terus sesak nafas lagi.”   Laju di celah sedan yang masih serupa.

“Doktor kata keadaan walid   sangat-sangat tidak stabil.  Walid  di line critical.  Doktor suruh kita bersedia.”

“Ya Allah. Umi, jangan takutkan Ira.”  Sudah pedih matanya.  Bergenang sudah lopaknya.  Jantung juga kian rancak degupnya.  Digosok juga berkali-kali dada itu, menyabarkan sendiri.

Senyap di hujung talian, pastinya Puan Sumila sedang menelan hiba sendirian.

“Ya Allah walid…”  terlalu perlahan, hanya desiran kecil.

“Pulanglah nak. Umi takut tak sempat.”

“Ya, petang ni Ira fly.”

“Pulang bersama Neor ya?”

Mutiara   mengalih kembali mata pada skrin komputer riba di hadapannya.  Ditatap kembali wajah Neor yang tampak berbeza benar dari yang ada di hatinya.  Melihatkan karisma dan ketampanannya tidak mustahil ramai peminat dan artis wanita menggilainya.  Dia bangga memiliki lelaki segagah itu, sekiranya dia adalah Meor Rezamudin yang tidak terlibat dengan dunia hiburan.  Kini rasa bangganya menjunam terhempas, berkecai sudah hatinya.  Tidak jijik pada kedudukan lelaki itu dalam masyarakat tetapi dia pasti, Tuan Jaafar tidak sama sakali akan menerimanya sebagai menantu.  Tidak sanggup dia mengecewakan orang tuanya, tidak bersedia mengingkari.

“Umi dah minta Pak Kiai uruskan pernikahan kalian di mana sahaja, walau terpaksa dilakukan di hospital ini.”  Itu kata akhir Puan Sumila sejurus sebelum menamatkan perbualan runcing.

Mutiara   mengeluh perlahan namun ditelan, tidak mahu dimuntah.

“Ira dan Neor sudah bersedia….”  Hanya itu yang mampu.  Digosok dada perlahan. 

Tika suara Puan Sumila sudah sedikit lama senyap, telefon bimbit itu juga sudah diletak di tempat asalnya.  Di sisi lengan kiri tetapi kata-kata Puan Sumila masih bergentayangan jauh di dalam salur telinganya. Mata sudah kembali terpaku pada seraut wajah manis Neor di skrin komputer riba.  Pelbagai aksi menggiurkan dengan lirik mata menggoda dan senyum seksi. Menyandar  kaku Mutiara, terperosok sakit.  Mahu memutuskan perhubungan yang baharu bermula tetapi Tuan Jaafar sedang geruh.  Harapan tinggi Puan Sumila dengan pernikahan dia dan Neor, Tuan Jaafar akan punya kekuatan, lalu sembuh.

Pintu diketuk perlahan dari luar, Mutiara   mendengar tetapi seakan bingung benar.   Hanya melempar renungan ke arah pintu, menunggu pintu terkuak sendiri.  Tidak lama masa senggang, benar pintu ditolak perlahan dari luar.  Terjengul wajah Luisa tanpa badan di celah pintu yang tersendeng.

Mutiara   angguk cuma, gaya memberi arahan masuk.  Terus juga dia terpaku longlai menyerah diri pada penyandar kerusi berpenyandar tinggi.  Kusut benar.

“Puan, puan ok?”

Mutiara   mengangguk lagi, namun lemah benar.

“Kalau puan nak apa-apa, atau nak berkongsi apa-apa, saya bersedia.”  Patuh benar pekerja itu.  Berdiri tegak di hadapan meja besar.

No, thanks.  Sekejap tadi saya menerima berita ayah saya….”  Tidak berjaya disudahkannya ayat ringkas itu.  Takut menyebut tenat dan tidak mahu sama sekali mengungkapkannya, bimbang akan menjadi doa.  Dia hanya mampu menggeleng perlahan.   Telefon bimbit kembali digenggam, tidak terfikir untuk menghubungi sesiapa, cuma satu tindakan luar sedar. 

Luisa merenung gayanya, sedar perlakuan cemasnya, Mutiara  mengeluh perlahan.  Telefon bimbit diletak kembali.  Luisa yang memang sudah maklum keadaan orang tua Mutiara   sepulangnya peguam muda itu seminggu lalu, turut mengeluh perlahan, mengangguk juga, faham.

“Sabarlah, esok puan dah nak bertolak, kan?  Cutilah lama sikit.”

Mutiara   mengangguk lagi.  

“Saya nak berangkat petang ni, kalau boleh.”

Luisa mengangguk, bersetuju.  “Nak saya tukar tarikh penerbangan?”

Mutiara  mengangguk juga.   Dia membetulkan duduk agar tampak lebih  bersemangat seraya mengeluh perlahan.  Luisa sudah meletak sekeping fail nipis di atas meja, hampir benar  dengan Mutiara.  Dibukanya seraya menunjuk tempat untuk ditandatangani.

Mutiara  akur, pen terpacak di atas meja dicabutnya sambil membaca surat pertama sepintas lalu sebelum menurunkan tandatangan.  Surat ke dua dibaca juga sepintas lalu dan dilakukan perkara serupa.  Ditutup sekeping fail nipis itu lalu dihulur semula kepada Luisa saraya mengucap terima kasih, perlahan.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.