Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
48,467
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 6

MASIH lagi dia duduk di kerusi, menunggu Ezeti melunaskan kerja.  Tampak professional dia merakam setiap aksi pasangan pengantin itu.  Mutiara memuji sendiri, kagum.  Sesampainya dia di situ, Ezeti sudah memintanya menunggu dia menyelesai setengah jam lagi dan katanya jika dia ada urusan lain, boleh saja melunaskan kerjanya dan kembali ke situ setengah jam kemudian, selepas selesai pengambaran di studeo itu.  Mutiara  memilih untuk menunggu sambil menonton aksi-aksi bersahaja pasangan pengantin.  Tertarik dia.

Aku kekok kalau diminta bergambar macam tu, malu.  Senyum dia mendengar bisikan sendiri. 

Setengah jam berlalu, pasangan merpati itu bersedia meninggalkan studio sementara Ezeti berkemas dengan dibantu pekerjanya. 

“Hai, tak busy hari ni?”

Mutiara menggeleng perlahan.   Ezeti  mengambil tempat di sofa yang masih kosong, berhadapan Mutiara. 

“Apa cerita?”  ulangnya selepas menetapkan diri.

“Tak kan tak boleh datang melawat saudara sendiri?”

“Bukan tak boleh, tapi selalunya lawyer ni sibuk benar.  Mana ada masa untuk borak kosong gini.”

Mutiara senyum, mata Ezeti ditujahnya.  Segumpal resah cuba disembunyi namun Ezeti nampak juga.  Dia hanya menunggu.

“Lama awak tak balik?”

Ezeti senyum juga. 

“Baliklah sesekali.”

“Sibuk, nantilah free sikit aku balik.  Itu saja ke perkaranya yang membuat engkau ke sini?”  masih mahu ditembak burung yang terbang rendah.

“Dia tu orang gila ke?”  tiba-tiba itu yang ditanyakan tanpa sebarang pembayang, seakan berbisik namun jelas didengar Ezeti.

“Siapa?”  berpura-pura memerhati sekeliling.  Dalam studio sederhana besar itu tidak kelihatan sesiapa kecuali mereka berdua.

“Kawan awak hari tu.”

“O Neor, kenapa?”

“Macam tak betul je?”

“O, ya ke?  tak tahu pulak.  Tapi apa hujahnya yang menyebabkan cik peguam kata dia gila?”  serius bunyinya tapi tetap bersenda.

“Malam tadi call Ira, bagitahu perasaannya.”

“Apa perasaannya?”

“Cinta.”

“Oh, ya?”

Mutiara mengangguk perlahan.  Renungan  Ezeti disambutnya.

“Cinta pada siapa?”

Mutiara  sekadar menunjuk dada dengan jari telunjuk.

“Cinta engkau?”   masih mahu menyuluh meski sudah terang benar.

Mutiara  mengangguk perlahan, tiada senyum di bibirnya, kucam juga tidak.  Ezeti senyum manis.

“Tak kan orang gila saja tahu menyebut cinta?”  bersahaja dia.

“Jangan main-main…”

No, I’am serius.”   Ezeti menyangkal dia sedang mempermainkan.

“Ira terima tak?”

Mutiara mencebir seraya  menggeleng perlahan.

“Kenapa?”

“Datang mendadak gitu, takut.”

Ezeti tertawa perlahan, tampak mengawal tawa meski kata-kata Mutiara menggamitnya tertawa besar.  Sehabis tawa perlahan itu dia mengeluh pula juga perlahan,  tidak tampak bosan sebaliknya sedikit gembira.

“Bukankah cinta itu dari mata turun ke hati?”   manis wajahnya, Mutiara direnung.

“Tadi awak kata, cinta itu buta?”

Ezeti tertawa lagi, sedikit kuat dan berlarutan agak lama.  Mutiara menujah dengan kening berkerut.

“Apahal ni?”

“Hari ni, puan lawyer ni nampak bodoh sangat.”  Tawanya yang sudah berakhir, kembali meledak.

Mutiara menumpang tawa, tidak sekuat tawa Ezeti, sekadar tercuit hati pada  senda itu.  Mulut terus ditutup dengan tangan kanan, malu tawa yang sedikit melantun.  Itu gayanya acap kali tertawa.  Jarang memperlihat barisan mutira dalam mulutnya yang memutih cantik.

“Zet serius….”  Merayu bunyinya dia.

Ezeti melangsungkan tawanya lagi sedikit jauh sebelum mengakhiri dengan senyum manis.

“Okey, kita berbincang serius.”  Sejurus tawanya berakhir, senyum juga disimpan.

“Neor memang suka pada engkau, kali pertama dia nampak engkau melintas di hadapan restoran dekat office engkau, dia dah jatuh suka.  Berusaha dijejaknya siapa engkau, di mana   bekerja, di mana tinggal.”

Mutiara hanya diam, terus menumpu.

“Sewaktu kita ke rumah anak-anak yatim hari tu, membenihkan lagi cintanya.”

“Awak ni dah macam pakar cinta pulak.”  Mutiara  mentertawakan Ezeti yang bersungguh-sungguh namun tawanya singkat benar.  Meski tidak seberani Ezeti yang tertawa lepas, memuntahkan apa yang menggelikan namun sesekali, rentak tawa mereka seakan sama.

“Aku nampak je brutal, tapi jiwa halus….”  Serius dia namun jelas bersenda.

“Oh, okey.” Turut serius meski menyambut senda Ezeti.

“Tak salah kalau Ira  mencuba kali ni, mana tahu berjodohan, kan?”

Mutiara  tertawa perlahan, mersik tawanya.  Tidak berasa geli hati, cuma tindakbalas dari  sokongan Ezeti untuk dia menerima Neor.

“Awak pun kena mencuba juga.”

“Aku nak juga cuba, tapi belum ada yang tampil menawarkan cinta.  So… tunggu ajalah.  Dan tak salah kalau engkau mendahului.”

“Tak apa ya?”   Mutiara  senyum pula, mengusik.

Ezeti mengangguk, menyebut tidak mengapa dengan hanya gerakan bibir.

“Itu dikira langkah bendul?”

“Tak kisah, siapa dulu, didahulukan.  Tidak kan aku mintak sepersalinan.”

“Betul?”  senyum Mutiara tampak  menawan.

“O ho, yang awak menolak Neor tu bukanlah sebab tak suka, tak cinta, tapi sebab takut langkah bendullah…?”  Ezeti tertawa kuat seraya memegang tangan Mutiara lalu menariknya ke ribaan.  Gembira benar rupanya dia.

Mutiara ikut tertawa tetapi tidak sekuat tawa Ezeti.

“Ha, aku dah tau jawapannya.”  Tangan Mutiara dilepasnya lalu mencapai telefon bimbit untuk menghubungi Neor untuk menyampaikan berita baik itu.

Mutiara menghalang, malu katanya perlahan.

“Soal cinta tak boleh ditangguh, kena cepat  bertindak sebelum disambar garuda lain.”

“Ramai ke yang menunggu dia?”

Ezeti termenung, mata Mutiara ditikamnya juga.  Cuba dicari jawapan pasti, akhirnya tersenyum longgar dia seraya mencebir dan menjungkit bahu.  Mutiara mengerling seraya tersenyum juga.

“Nak aku tolong bagi jawapan tak ni?”

“Tak payah kut.”

“Kut?”  Ezeti masih mahu bersenda.

“Biarlah dulu.”

“Okeylah.  Kalau nanti engkau nak aku tolong, bagitahu aje.”   Telefon bimbit diletaknya semula.

Baharu beberapa detik terdampar di meja di sisi lengan Ezeti, nada panggilan berlagu pula.  Serentak dua wanita itu menujah ke situ.  Ezeti membaca nama tertera, senyum dia memberitahu Mutiara suara siapa dibawa gelombang.  Mutiara terpinga seketika namun tidak bertanya siapa, sebaliknya membiar Ezeti menjawap panggilan.

“Wei.”  Disambut teguran nakal itu dengan tawa nakal juga.  Begitu selalunya mereka berteguran, sering disulam gurau senda dan mesra.  Mutiara membiar, manis senyumnya.

“Neor.”  Terlalu perlahan, hanya dengan gerakan bibir, Mutiara sudah jelas siapa di kejauhan.

“Kat mana ni?”  sedikit lama menunggu jawapan Neor.

“Dah habis kerja?”  mengangguk-angguk dia perlahan, memberi erti faham penerangan Neor.

“Apa hal telefon ni?  Nak belanja minum lagi ke? Dah kembung dah, asyik-asyik belanja air aja.”  Ezeti pantas menekan butang loud speaker untuk Mutiara bebas mendengar.

“Saya ada benda nak kongsi dengan awak.”

“Apa tu?”senyum Ezeti menguja, matanya sirna merenung Mutiara yang sudah turut mendengar.

“Saya dah cuba memancing, tapi jelaslah dia tak berminat pada saya.”

“Oh, ya?”

“Dia berterus-terang tak berminat pada awak?”

Neor diam pula.

“Saya reda…”  itu pula dijawabnya meski soalan Ezeti bercorak lain.

“Usah mudah berputus asa.  Cuba lagi.”

“Mungkin saya tidak ada karisma yang dicarinya.”

Ezeti tertawa sedikit lama.  Direnungnya Mutiara  di kerusi hadapan.  Kedudukan mereka sedikit rapat, bercantum lutut, untuk memberi peluang Mutiara mendengar perbualannya bersama Neor.   Mutiara senyum malu, tertunduk menyembunyi rona merah di kulit wajahnya yang mulus.

Ezeti memberi isyarat untuk Mutiara mengambil alih, berbicara terus dengan Neor yang ternyata sedang kecewa.  Mutiara menggeleng seraya mencebir,    masih belum bersedia dia.  Ezeti akur, terus juga mempermain Neor.

“Jangan kecewa dulu ya? Kalau ada jodoh, tak kan ke mana….”   Mendatar nasihatnya seakan memberi motivasi.

Mutiara bangun selepas menunjuk ke arah tandas.  Ezeti sekadar mengangguk, membenarkan.  Butang loud speaker ditekan pula, tidak lagi mahu sesiapa mendengar suara Neor. 

“Nak saya bagitahu dia betapa jujur dan bersihnya hati awak?”

No, tak perlu.”

“Kenapa?”

“Saya cuma nak diterima seadanya saya, betapa ikhlasnya saya, begitu juga yang saya harapkan dari dia.” 

Ezeti bersetuju sahaja, tidak membantah, tidak juga memberi cadangan.  Ezeti turut mencadangkan Neor menghubungi Mutiara lagi pada malamnya.  Katanya perempuan tidak semudahnya menerima cinta lelaki yang datang   mendadak.  Sebaliknya akan mengambil kira kesungguhan.  Neor mengeluh perlahan, kedengaran berat benar tetapi bersedia menurut nasihat sahabat itu.

“Awak tak nak tahu pasal keluarganya?”

“Selepas saya mendapatkannya nanti, saya nak dia   sendiri menceritakan.  Bukan dari orang lain, tapi dari dia.”

Ezeti tertawa perlahan.

“Selepas jauh mengenalinya, saya takut awak akan kecewa apabila mengetahui siapa keluarganya.”

“Saya hendak mengahwininya bukan keluarganya.”

“Tapi mengahwininya bererti mengahwini keluarganya sekali.  Itu adalah prinsib orang Melayu, kan? Orang Timur dan orang Islam.”

“Demi cinta saya, saya tidak akan berkira sangat.  Saya akan menerima dia seadanya.  Biar dari mana dia datang,  bagaimana keluarganya, saya akan terima semua. Saya harap dia juga begitu.  Saya bukan dari keluarga berada, hartawan dan jutawan jauh sekali.”

“Okey, kalau sudah begitu kata awak.  Berusahalah untuk mendapatkannya dan bersusah senanglah dengan dia.”

 

SEMINGGU bertolak dari malam Neor mencurah rasa, Mutiara terus terbiar lengang.  Neor tidak langsung menghubungi, mengulang kata cinta tidak, bertanya khabar juga tidak. Sepi terus. Mutiara sendiri terus dihimpit kesibukan, sepanjang pagi sibuk di kamar mahkamah, pulang ke pejabat meneruskan kertas kerja-kertas kerja rumusan dan perancangan selanjutnya. Berakhir urusannya sebelum senja mendatang, memandu pula pulang ke rumah membawa padat perancangan untuk keesokannya. 

Dia sendiri sudah melupakan lamaran cinta Neor, meski sehari dua selepas lamaran pertama dia menunggu-nunggu juga lamaran ke dua dan dia rasanya sudah bersedia mengangguk ‘ya’. Namun masa berlalu, Mutiara kembali menjadi dirinya, hanya kerjaya, diri sendiri dan keluarga menjadi kepentingan ke dua dan ke tiga. Ezeti juga tidak menyebut apa-apa meski menghubunginya tengah hari itu, sekadar bertanya khabar. 

Tenang dia memandu ke mahkamah, meski jadual sebutan kesnya sudah ditetapkan jam sepuluh pagi, namun seperti biasa dia gemar bersedia lebih awal. Menunggu anak guam di luar kamar mahkamah lebih baik baginya dari menunggu panggilan mereka.  Jam di dash board kereta dikerlingnya, masih ada satu jam setengah lagi, bisiknya perlahan.  Mengangguk dia beberapa kali, berasa lega dan yakin aturan waktu olehnya sendiri.

Telefon bimbit bernada panggilan, tidak lama dibiarkan, dijawabnya sambil membetulkan alat pendengaran bebas pegang di telinga kiri.  Salam rakan kongsinya dijawab ringkas, senyum juga seperti kebiasaan.  Mutiara turut memaklumkan dia sedang memandu menuju ke mahkamah. Mengangguk beberapa kali dan menjawab ‘ya’ juga beberapa kali.  Panggilan yang tidak begitu penting itu ditamatkan selepas menjawab salam sekali lagi.  Kembali dia menumpu pada pemanduan.  Tenang mengharung kesesakan biasa.  Sudah saban hari begitu, dia sudah tidak berasa tertekan lagi sambil melayan radio yang terus  berkumandang dan sesekali jenaka DJ yang mengendali rancangan berjaya mencuit hati.

Sekali lagi telefon bernada panggp class=ilan, dia memberi salam sambil lewa, menyangka setiausahanya terlupa sesuatu dan mahu memaklumkan waktu itu juga.  Salamnya disambut suara lelaki, Mutiara masih bersahaja, menyangka panggilan itu seperti panggilan-panggilan yang  biasa diterima.  Alat bebas pegang di telinga dibetulkan lagi, mahu lebih jelas, lebih tepat mendengar.

“Siapa ni?” itu ditanyanya selepas lelaki di kejauhan bertanya perkara santai yang sering ditanyakan rakan-rakan.

“Tak save nombor saya lagi ke?” 

“Maaf, saya tak tengok nombor yang masuk, sebab saya sedang memandu.”

“O, sorry.  Kiranya salah waktulah saya call?”

No, saya guna year phone.  So, saudara boleh teruskan.”  Lembut teratur mengucapannya.

“Pertamanya, saya Neor.  Meor Rezamudin  Meor Ahmad.”  Berterus terang, membuat Mutiara terkedu sedetik.

Hello?”  Neor menyapa lembut, menyangka Mutiara sudah tiada di talian.

“Ya, I’am here.”

Sorry menganggu.”

“Tak apa.”

“Saya bercadang nak ajak you breakfast.”

Sorrylah, saya tak free pagi ni.  Ada temu janji penting.”

“O, okey. Lain kali saja.”

“Ya.”  Mutiara bersedia menamatkan panggilan. Kaki sibuk menekan break untuk berhenti di lampu isyarat merah. 

“Tengah hari ni free?”  Neor masih bertawar-menawar.

Mutiara mengerling jam kereta lagi, mahu memastikan waktu tika itu dan membuat pengiraan rambang jarak masa sehingga sampai waktu makan tengah hari.

“Boleh?”  Neor menerjah, bunyinya mendesak.

“Saya cuba.”

“Ok, saya dah booking set luch di restoran Paya Serai, saya tunggu di sana nanti.  Kalau free, datanglah. Saya tunggu.”  Panggilan terus dimatikan, tidak memberi peluang Mutiara berkata apa-apa lagi.

Mengeluh Mutiara perlahan, bimbang tidak berjaya melunaskan temujanji tidak rasmi itu. Namun senyum juga, berakhir penantiannya sepanjang seminggu itu.  

Aku ni umur bukan muda lagi, tapi macam budak-budak gak kadang-kadang tu. Yang  cemas sangat kenapa? Nak berharap sangat pada lelaki nak buat apa? Layan ala kadar sudah.  Dia mentertawa diri sendiri. 

 

MUTIARA  melangkah tenang, di hadapannya penyambut tetamu berjalan tertip menemani.  Dari kejauhan kelihatan Neor asyik dengan telefon pintarnya melayari internet sendirian tanpa menghirau sekitar.

Mutiara  kian berdebar, berlainan benar rasa perasaannya.  Sudah banyak ditemui termasuk kerabat-kerabat di Raja dan pemimpin peringkat tertinggi negara, tetapi belum lagi dia segementar itu.  

“Hai.”  Belum sempat dia memberi salam, Neor sudah terlebih dahulu bangun, menyapa mesra.  Tangan dihulurnya memberi maksud mempersilakan, sebaik penyambut tetamu yang mengiringi, merenggang kerusi untuk Mutiara di hadapannya.

Mutiara hanya angguk, senyum dan mengucap terima kasih dalam bahasa Inggeris. Terlalu perlahan ucapannya kepada penyambut tetamu lelaki itu dan Neor juga.  Neor mengangguk juga, turut mengucap terima kasih kepada lelaki awal dua puluhan  itu sebelum dia berlalu.

Mutiara memerhati sekitar, mencari seseorang.  “Zet mana?”

“Zet?”  Neor turut berkerut.

Sorry, saya sangka, Neor bersama Ezeti ke sini?”

No, luch ini khas untuk kita berdua aja.  You tak selesa?  Nak saya panggilkan dia?”  telefon terdampar di meja dikerlingnya.

“Nak panggil siapa?”

“Ezeti?”

No, it’s ok.  Cuma saya sangka, you akan bersama Ezeti.” Mutiara mengangguk perlahan, beberapa kali. Tersenyum lembut. 

Neor mengangguk juga perlahan, beberapa kali.  Senyum dia, berasa lega.  Suasana tenang, sudut yang sedikit tersorok dan sedikit terasing jauh dari mata-mata nakal yang memungkinkan Neor diintip.  Pun begitu, bersiap sedia juga dia.  Fesyen rambutnya di tukar, turut mengenakan kaca mata berbentuk empat segi berbingkai putih.  Tampak bergaya dengan ketampanannya tetapi tidak langsung seperti gaya dia di dunia glamour.  Dia jelas lebih berwibawa, lebih matang dan lebih berilmu.

“Saya harap, saya tidak mengganggu Ira.”

No, memang waktu makan tengah hari saya.”

Neor mengangguk dua kali, bersungguh-sungguh.  Pelayan datang meminta izin menu yang dipesan Neor mahu dihidangkan.  Neor mengangguk seraya mengucap terima kasih dalam bahasa Inggeris, perlahan.  Mutiara turut senyum dan mengangguk.

Ada pesanan lain?”

Neor memandang Mutiara, “saya memesan mengikut citarasa saya, kalau Ira  nak buat penambahan, silakan.”  Dia menunjuk senarai menu yang sedia terbentang di atas meja. 

Mutiara memerhati setiap yang ditunjuk Neor.  “Rasanya cukup, kut.”

“Ira  nak apa-apa lagi?”

No, thanks.”

Dessert?” pelayan menunjuk beberapa jenis pencuci mulut, juga di dalam senarai menu.

Neor memberi penghormatan Mutiara membuat pilihan.   Dua jenis pencuci mulut berupa campuran buah-buahan bersama ais krim menjadi pilihannya.

“Ini selepas makan, ya?”  pelayan mahukan pengesahan.

Neor dan Mutiara mengangguk hampir serentak, membenar pelayan pergi dan nantinya akan kembali lagi membawa hidangan.  Neor menekan suiz off telefon bimbitnya, lalu diletak semula di sisi lengan kanan.  Dibiar terabai.

“Kenapa tutup phone?”

“Saya tak nak diganggu selama bersama Ira.”

Mutiara senyum sinis.  Menggeleng juga perlahan.

“Saya tak biasa membiarkan diri saya terasing dengan dunia luar.”

Up to you.  Saya tak akan meminta Ira   melakukan apa yang saya lakukan.  Kalau Ira   selesa, teruskan kebiasaan itu.  Bagi saya, masa saya bersama Ira, saya hendakkan keterasingan itu.  Privacy.”

Mutiara sekadar senyum sumbing, membiar pelayan menyusun set makan tengah hari untuk dua orang.  Ezeti kata, Mutiara gemar makanan begitu, yang ringkas, tidak begitu berat tetapi lengkap.  Mutiara  jarang makan tengah hari yang berat-berat mengikut kebiasaan orang Melayu Malaysia.  Pun begitu, tidak menolak jika dijamu.  Cuma untuk memikat hati, perlulah mengikut kegemarannya.   Itu kata Ezeti kepada Neor sewaktu Neor meminta sedikit tips untuk menambat hati gadis itu.    

Lima minit hanya  memberi laluan kepada sepi.  Riang ke duanya terus menikmati hidangan dengan kembangan yang berbau mawar.  Sesekali senyum keduanya manis juga apabila mata berlaga tidak sengaja, bersinar bahagia.  Mutiara  berusaha berlagak  berani, Neor pula tampil lelaki yang bersedia melindungi.  Redup renungannya, manis senyumnya benar-benar pahlawan wanita.  Mutiara benar-benar rasa terlindung dan dilindung.

.”
Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.