Home Novel Keluarga SAKITNYA CINTA
SAKITNYA CINTA
Ramlah Rashid
11/1/2013 23:01:20
48,478
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 9

MASIH  juga dia bermenung sesampainya dia di rumah itu lewat empat puluh lima minit sebelumnya. Ezeti membiar, selepas bertanya keadaan walid dan umi, tidak ada lagi yang ditanyanya, terus membiar Mutiara  melayan perasaan sendiri.  Dia faham, selalunya jika begitu keadaan Mutiara, pasti ada sesuatu yang berat sedang difikirkan.  Bukan yang membabitkan pekerjaan tetapi peribadi. Mutiara   tidak mungkin menggendung masalah pejabat atau mahkamah keluar dari lingkup hakiki. Itu prinsib gadis itu sejak dahulu, Ezeti sudah ngerti benar.  Ezeti pula jarang mendesak diberitahu apa di dalam hati saudaranya itu, hanya menunggu gadis itu bersedia membongkar.  Dia hanya akan menjadi tempayan kosong, mendengar dan menyimpan terus.  Jika ideanya diperlukan, baharu dia mengemuka pendapat.

“Apa reaksi walid bila jumpa  Neor?”

Mutiara  angguk perlahan, terus melamun sendiri.  Ruang sepi tadi sudah sedikit tercemar dengan alunan muzik perlahan dari radio di sudut kiri.  Gemersik, tidak mengganggu tetapi benar-benar memberi ketenangan kepada Ezeti.  Cuma Mutiara   sedikit tercalar.  Jarang dia membiar irama-irama begitu mengocak damai, dia lebih gemar lengang dan sepi berbanding Ezeti.

Ezeti bangun pula, DVD dimatikan. Faham benar dia lengguk bahasa bisu Mutiara. Kembali suasana dibungkus sepi.  Mutiara   mengeluh lega, sesak fikirannya kembali berongga.  Ezeti sudah mencapai kamera berkuasa tingginya yang sejak tadi duduk elok di atas meja kopi.  Sepulang dia dari pengambaran luar, kamera itu diletak di situ beserta kaki kamera dan topi yang sering digunanya. Belum pun sempat pakaian dibuka, Mutiara   muncul dan mengambil tempat di situ.  Setelah menolak sebarang bantuan atau layanan, Ezeti meninggalkannya sendirian sementara dia ke bilik air  membersih diri dan bertukar pakaian yang lebih selesa.

“Masa Ira call beritahu keadaan walid, aku sibuk sangat.  Pengambaran tak selesai lagi, si Luna pulak tengah bercuti panjang di kampung. So, aku tak boleh mengelak.”

Luna adalah pembantunya di studio.  Mereka akan bergilir-gilir menjalankan tugas merakam foto di luar studio.  Kecuali di dalam studio, Ezeti sudah menyiapkan dua orang jurufoto berkemahiran, lulusan Institusi Pengajian Tinggi.  Untuk  pengambaran luar belum lagi dilatih mana-mana jurufoto untuk menjadi seprofesional dia.  Oleh itu dia sendiri terpaksa berkejar ke merata tempat jika Luna bercuti.

“Tak mengapa, walid tidak akan apa-apa.  Cuma sebab tak pernah ayahnya mengalami serangan jantung, umi jadi kalut.  Umi menangis sampai bengkak mata dan walid sendiri diserang panic yang melampau.  Tapi selepas doktor bagi ubat penenang, walid boleh tidur nyenyak dibantu oksigen.

“Kesian umi.”

“Kesian walid juga…” 

Mengangguk Ezeti, rasa bersalah hanya bersimpati pada Puan Sumila sedangkan yang berjuang untuk hidup adalah Tuan Jaafar.  Lelaki perkasa yang punya ciri-ciri  pemerintah berkuasa bito dan berusaha membentuk keperibadian rakyat kecil di dalam jajahannya supaya sentiasa tunduk, akur dengan setiap perintah.  Mereka tidak berhak menggeleng, jauh sekali memberi buah fikiran, hanya layak mengangguk.  

Mutiara   sudah ditakdir  menjadi penurut, hanya bijak mengangguk erti patuh, sementara Ezeti dilahirkan dengan sifat penentang dan membantah secara terangan dan senyap.  Meski dilahirkan dengan beza waktu hanya beberapa minit namun beda sifat ke duanya jauh menyimpang.  Ezeti dengan tegas membentuk jalur kehidupan sendiri sejak di sekolah rendah.  Seawal di tahun 6 sekolah rendah, bukan sahaja dia sudah betah menggeleng tetapi membentak juga.  Meski   berani bertindak menolak ketegasan Tuan Jaafar tetapi tidak pula dia mempengaruhi Mutiara.  Terserah Ira, katanya selalu.

Mutiara   juga tidak pernah menyalahkan Ezeti pada apa yang berlaku meski jauh di sudut hatinya dia impikan kesentosaan dan kebahagiaan yang dikecapi selama bergelar kanak-kanak.  Sering dia melihat Ezeti  dikerling, ditunjal kepala dan diherdik ayahnya. Pernah dia dan Ezeti mendengar luahan Tuan Jaafar kepada umi mereka rasa ketidak puasan hatinya  kerana anak sulung dilahirkan perempuan. Dia perlukan anak lelaki untuk mewarisi kepimpinannya, harta pesakanya dan melindungi keluarga juga. 

Mahu Mutiara   menyedarkan kesilapan lelaki itu namun tidak ketemu ruang yang memungkinkan lelaki ditarbiah. Namun begitu, seringnya dia merindui mesra, manja, keletah dan nakal sepanjang menjejak remaja. Kelincahan dan kenakalan gadis cilik itu mengusik dan menganggunya saban hari, mengeratkan lagi perhubungan mereka yang cuba dikekang Tuan Jaafar. Ezeti juga semakin berani menelingkah, menolak tawaran pengajian  perundangan di dalam mahupun di luar negara.  Pilihan  pertamanya, Seni Fotografi dan memilih tinggal di Malaysia sedang sekeluarganya berpindah ke Brunei, negara asal keluarga Puan Sumila. 

Mutiara   menyambung jurusan perundangan di Indonesia dan kembali ke Brunei tetapi memilih Malaysia untuk membuka pusat guaman sendiri.  Itulah cita-cita Tuan Jaafar, sebidang dan sealiran dengannya.  Bangga dia memperkenalkan konon itulah anak tunggalnya, peguam syarie wanita yang berupaya membela nasib kaum Hawa teraniaya.  Ezeti mencebir benci, bukan kerana dakwaan Mutiara   anak tunggal sedangkan dia masih bernyawa, tetapi kenyataan Tuan Jaafar, mahu melihat kaum wanita terus dibela nasibnya. Dan selepas bersara, Tuan Jaafar aktif pula menjadi penceramah bebas dan kaunselor di Jabatan Agama. Maka ke sana ke mari dia dijemput memberi ceramah betapa perlunya menghormati kaum lemah itu kerana katanya, tangan yang menghayun buaian mampu menggegar dunia!

“Oleh itu, hormati kaum ibu kita.  Tanpa kaum wanita, dunia akan sepi dan kebahagiaan tidak mungkin kita temui di mana-mana meski lelaki memiliki segunung intan.”  Lancar benar dia berhujah, tambah bersemangat dia apabila menerima tepukkan gemuruh para hadirin.

“Di belakang lelaki yang berjaya, ada wanita bergelar isteri memberi sokongan.”  Itu juga mutiara kata setiap menghakhiri ceramah.

Hebat Tuan Jaafar, tinggi diangkat oleh mata masyarakat dan berjujusan ucapan tahniah menghujani Puan Sumila, konon bertuah dikurnia suami yang begitu murni jiwanya.  Ezeti mengeluh perlahan.  Itu hanya zahirnya, hanya dia dan Mutiara yang tahu bagaimana isi batin umi mereka.  Senyum cuma di bibir, tawa hanya di mulut.  Demi maruah suami, dia membiar hati   terus diinjak lumat.  Menangis, meraung sendiri membiar diri terus dipersenda ego lelaki.  Sudah banyak kekecewaan uminya yang dilihat Ezeti, meski tidak mendengar keluhan wanita itu, tetapi semakin matang usia, Ezeti semakin mendekati jiwa kaum sejenisnya.  Mutiara   juga, namun tidak berupaya meloloskan wanita malang itu bebas dari kelongsong berapi Tuan Jaafar.

Ezeti membungkus kenangan, tidak mahu fikiran disesakkan dengan kenangan yang melukakan.  Sudah puluhan tahun berlalu, dia mahu hidup seamannya, sedamainya dan diusia yang sudah berganjak sejauh itu, dia nekat untuk memperbaiki perhubungan sekeluarga. Dia kembali ke ruang tamu, tangan yang basah lincah meramas tisu untuk mengeringkan. 

“Makan di sini, Ira?”

“Kejap lagi kita keluar, makan.”  Mutiara  menawar pula.

No, hari ni aku masak.  Kita makan yang simple-simple berdua saja.”

Mutiara   mulus, senyum seiras uminya.  Ezeti teruja, rindu kesumat pada wanita yang jauh itu, sedikit terubat.  Sudah dua tahun mereka tidak bersua berhadapan, hanya berbicara di ruang cyber melalui web cam, seminggu dua kali.  Di alam maya, ibunya tampak sihat, masih jelita dengan kehalusan kulit wanita yang terjaga rapi.  Namun sinar yang cicir dari matanya jelas pudar, tidak langsung ceria dia.

“Zet masak apa?”

“Sambal tempe, daging merah, ikan  masak kari.  Okay tak? Atau Ira nak ditambah manu yang lain?”

No, itu pun dah banyak.  Jom Ira tolong.’

“Tak payah, hari ini engkau tetamu istimewa, duduk temankan aku, aku masak sendiri.  Tempe sudah digoreng sebelum engkau ke sini, cuma nak campur-campurkan aja.”  Dia mencantum hujung jari telunjuk dengan hujung ibu jari lalu dicicip di bibir menerbit bunyi berlecit, menunjuk sedap.

Mutiara  angguk perlahan seraya bangun mahu ke dapur menemani Ezeti melengkapkan masakan. 

Di kerusi tinggi yang tersedia di table top pembahagi ruang makan dan ruang memasak, Mutiara   mencecah punggung.  Air oren sejuk yang disediakan Ezeti sejak tadi dan tidak langsung dicicipnya turut dibawa ke situ.  Mahu meneguk di situ sambil menemani Ezeti yang lincah  menyiapkan kerja memasak hidangan makanan tengah hari untuk berdua.

“Hari minggu begini sepatutnya awak berehat, kenapa rajin benar memasak?”

“Cuma hari cuti yang tak ada program inilah masa sesuai untuk makan masakan sendiri.  Kalau sibuk dengan kerja, kan kita tak ada masa untuk practice jari?”  nakal alasannya  tetap Ezeti  yang dahulu.

Kata-kata  Ezeti  membuat Mutiara   tertawa perlahan.  Tawanya juga milik Puan Sumila, Ezeti tergoda lagi.  Direnung seraut wajah yang masih manis meski tawa singkatnya sudah menghilang.

“Tiga hari di Brunei, tak dapat pun merasa masakan umi.”

Ezeti mengangguk faham.  Mengeluh dia perlahan.

“Nanti kita  melawat umi lagi.”

Mengangguk Mutiara bertalu-talu, berharap apa yang dikatakan Ezeti akan dikotakan.  Sudah berkali-kali dia mengungkap begitu tetapi akhirnya dua tahun berlalu, Puan Sumila terus membungkus rindu   sementara Ezeti tekal tidak mencemar keegoannya menjejak  kaki di tanah kelahiran umi mereka kerana adanya Tuan Jaafar di sana.

“Zet,”  diam pula. 

Ezeti menunggu ketergantungan ayat itu mengambil masa yang lama untuk disambung Mutiara.  Ezeti membiar, menunggu gadis itu bersedia sementara terus melunas kerja menumis dan menggaul di kuali.

“Walid dah terima Neor, dia suruh kami cepat-cepat kahwin.  Walid kata takut tak sempat.”  Terlalu perlahan suaranya menyudahkan ayat terahir, syahdu dan hiba sungguh.  Geruh menahan sedih.

Teringat dia bagaimana dia dan Neor bergegas dari lapangan terbang Brunei terus ke hospital sebaik  menerima panggilan   Puan Sumila memberitahu Tuan Jaafar sedang tenat di Unit Rawatan Jantung Hospital Brunei.  Sesampai di sana, dia melihat keadaan ayahnya yang segak, kuat dan gagah sebelumnya, terlantar kaku di katil hospital dengan peralatan bantuan perubatan berselirat di dada, hidung dan mulut.  Menggeleng Mutiara  berkali-kali, tidak mampu mengenang detik cemas itu.  Di hari ke tiga di situ, Tuan Jaafar menampakkan perubahan, sudah mampu membuka mata dan berpesan sepatah dua.

“Ira?”  panggilan itu membungkus lamunan Mutiara.

Mutiara   seakan faham apa di hati Ezeti, dia mengangguk perlahan.  Keruh.

“Engkau macam mana, sudah bersedia  permintaan walid?”  senduk sudah diletaknya, dia menghampiri Mutiara.

Hati menyeka air yang sudah merenik di lopak mata.  Tertunduk dia menyembunyi namun kulit wajah yang putih mulus mudah benar menjadi merah mengikut perubahan emosi.  Ezeti sudah faham benar.  Duduk dia di kerusi sama tinggi di hadapan Mutiara, antara mereka dipisahkan meja tinggi separas dada.

“Ira tak kisah, cuma kata-kata walid tu….”  Sudah tidak tertahan dia.  Semakin banyak air yang bergenang, titis. Basah sudah pipinya, menunduk pula dia menahan hiba. Dik tunduknya dia, air  jernih itu jatuh di meja kaca. Pecah menjadi renikan air.  Mutiara   mengesat basahan itu dengan tapak tangan kiri. Tangan kanan sibuk mengeringkan mata dan pipi.  Ezeti sudah mencabut beberapa helai tisu dari lubang atas kotak lalu dihulur.  Pantas Mutiara   menangkap lalu mengesat mata dan pipinya. Lama pula tisu yang sedikit berkeronyok itu dilekap ke mata, bahu berhenjut-henjut menahan tangis, Ezeti membiar.  Dia faham, Mutiara   sedang melunas sebak, memang begitu selalunya apabila dia dipaut pilu.  Ezeti menunggu Mutiara   bertenang sendiri.    Jarang dia ikut menangis.  Puan Sumila sendiri pernah menganggap dialah srikandi yang bakal melindungi Mutiara.  Senyum dia bangga disandarkan harapan begitu.

“Ayah nampak teruk sangat…”  Mutiara    yang sudah sedikit tenang, kembali sebak.  Masih juga menekup muka dengan tisu yang sudah basah.  Berhenjut-henjut lagi bahunya, semakin dipaut kesedihan.

Ezeti sudah bangun, api di dapur ditutupnya meski pasti, masakan  masih belum menjadi.  Dia sudah kembali ke meja kaca berukuran sedikit tinggi itu, tidak duduk ditempatnya semula sebaliknya menghampiri Mutiara    lalu menggosok bahu adik kembar itu, dicium kepala gadis itu perlahan.  Mutiara   terus tersedan di sebalik tisu yang semakin lencun.

“Sabar Ira, walid akan sembuh nanti, kita doakan saja.”

Terangguk-angguk Mutiara   dalam tunduknya.  Telefon bimbit Ezeti di atas meja, tidak jauh dari lengan Mutiara   bergegar dua kali sebelum bernada panggilan.  Ezeti meninggalkan bahu Mutiara, telefon bimbitnya digapai lalu dibaca nama yang terpapar di skrin.  Tidak lama masa dibazir, dia memberi salam.  Tidak kedengaran ceria, masih menumpang hiba dan pilu Mutiara   pastinya.

“Awak kat mana? Ira ada sini, marilah makan tengah hari di sini saja.”   Tidak lama menunggu apa yang mahu dinyatakan Neor, dia sudah mempelawa.

Mutiara    menoleh, Ezeti direnungnya.

“Neor, katanya dia call engkau, phone tak aktif.”

Mutiara  mencari-cari telefon bimbit dengan mata yang masih merah, sedikit membengkak.  Mata itu jatuh pada beg sandang di ruang tamu di atas sofa, lama direnung memberi maksud di dalam beg itu telefon bimbitnya berada.  Tidak pula diketahuinya kenapa telefon itu tidak betah menerima panggilan.

“Tak apa, kejap lagi Neor datang.  Kita bincang baik-baik.”

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.