MUTIARA termangu, bagai dihimpap
tualang matang, dia benar-benar terhimpit, tersepit sakit. Sakit sungguh, lemas benar menampan sinar
mata Tuan Jaafar bagaikan membakar bukan sahaja menghanguskan sekeping hati
tetapi juga sekujur tubuhnya. Panas
benar dia dalam dingin sederhana itu. Neor pula sudah dua hari menyepi, tidak
langsung pulang. Kepada Tuan Jaafar, Mutiara
menyatakan suaminya bekerja di luar Kuala
Lumpur selama seminggu.
“Ke mana dia?”
“Penang.”
“Sudah berapa hari dia ke sana?”
“Dua hari. Masih ada lima hari lagi.” Runduk perasaannya disoal Tuan Jaafar setegas
itu. Tidak takut dimarah mahupun diherdik kerana dia begitu dimanjakan, dia cuma
bimbang emosi lelaki itu akan menjejaskan kesihatannya. Dia mahu Tuan Jaafar
kekal sihat dan terus gagah untuk kehidupan uminya juga.
Puan Sumira hanya diam, sekadar
mengeluh perlahan. Mutiara sudah berjaya
mengintip, pastinya ada sesuatu yang kurang enak sedang berlaku pada Tuan
Jaafar dan perkara itu membimbangkan
Puan Sumira. Berkali-kali direnung
uminya dalam detik yang tidak panjang. Wanita itu hanya bisu, cuma bicara di
hati pastinya.
“Panggil dia balik sementara walid
ada di sini.” Perintah Tuan Jaafar
merentap anganan Mutiara yang sedikit jauh terbangnya.
“Dia bekerja.”
“Tapi walid di sini cuma tiga hari.”
“Nanti Ira dan Neor akan melawat walid.”
“Walid nak jumpa Neor sekarang, ada
perkara yang nak walid
bincang dengan dia.”
Mutiara mengeluh lagi, jernih wajah Puan
Sumira diratahnya demi menyejuk sedikit resah.
Puan Sumira diam juga, tidak mencelah meski sepatah. Tekur duduk di sisi suami, bagaikan tidak
memahami apa yang sedang dibincang anak dan suami.
“Apa yang walit nak bincangkan? Berkenaan apa?”
“Begini.” Tuan Jaafar membetul letak kaca mata di hidungnya. Terbatuk juga perlahan, bukan kerana penyakitnya
tetapi sekadar menyelesakan diri untuk satu perbincangan yang dirasakan
penting, mustahak.
Mutiara bersedia, Puan Sumira meski
turut menunggu tetapi tidak seserius Mutiara. Jelas dia sudah mengetahui apa yang mahu
dibincang suaminya dan isi perkara itu tidak disenanginya.
“Sebenarnya Neor tidak berpelajaran
tinggi. Jauh beda dengan kita. Walid sudah menyiasat siapa dia.”
Mutiara menekur, debar sudah
menyakitkan. Ditahan rasa itu, tidak
mahu sesiapa di situ sedar rasa itu. Memang
sukar merahsia sesuatu rahsia dari lelaki bernama Tuan Jaafar. Tidak lama
rahsia disembunyi, pecah dan terbongkar juga, itu yang pasti. Siapa Neor, sudah
ada di dalam buku pemerhatian lelaki itu.
Mutiara sudah membayangkan apa akan berlaku dan bakal berlaku kemudian
namun terus juga disabarkan hati, ditenangkan perasaan.
Demi sebuah cinta, suami akan kekal
dipertahan. Itu tekatnya sebaik pulang dari majlis perkahwinan. Ezeti juga bernasihat begitu, teringat dia
kesungguhan kakak itu mempertahan dia dan Neor.
“Neor di luar, yang bukan di sisi Ira. Suami Ira adalah Mior Rezamudin. So, biar siapa pun dia apabila di luar, biarlah.
Sebagai isteri yang baik, sentiasalah pertahankan suami.” Nasihat Ezeti kekal disimpan, mahu diguna
setiap masa.
“Tapi walid akan menolak dia. Walid tidak akan menerima orang seperti Neor.”
“Walid tetap walid. Tanpanya kita
tidak akan hadir di sini. Itu betul. Tetapi
jodoh rahsia Allah.
Allah sudah menetapkan jodoh Ira dengan Neor, siapa walid berbanding
Allah? So, pertahankan anugerah Allah itu demi mahligai yang sudah
dibina.” Pintar benar Ezeti.
Buat pertama kalinya fikiran kakak itu seakan lebih matang dari dia yang terkenal
cerdik dan bijak berkeputusan. Namun dia
tidak sama sekali rasa tercabar malah bangga menerima nasihat itu. Angguk dia berkali-kali, mahu menjadikan
kata-kata Ezeti sebuah jambatan, merentas lautan yang bakal menenggelamkannya
mungkin.
Dan, akhirnya gelora itu sampai juga
sebelum sempat manis bulan madu dikecapi.
Hanya seminggu berselang, Tuan Jaafar sudah bertandang dengan
nafiri peperangan, menyerang sedang dia
belum siap bersenjata. Berusaha juga dia
berlindung dengan sehelai lalang layu.
“Ada dia beritahu apa pekerjaannya?” kata-kata Tuan Jaafar mencantas ganas ingatan
Mutiara. Terhenyak Mutiara lagi selepas tersadung, sakit sungguh.
Dia diam juga, tidak bermaksud
berbohong tetapi dia terpaksa. Dalam
diamnya berusaha merangka jawapan sipi-sipi jika tidak berjaya tepat dan padat
sekali pun.
“Dia bukan ahli perniagaan tetapi
pelakon. Artis yang tak ada class.
Sijil SPM pun cuma cukup makan, orang kampung yang tak menyambung
pengajian.”
“Itu tak penting, walid…”
“Mana boleh tak penting, cuba you
fikir baik-baik, macam mana dia nak menyesuaikan diri dengan keluarga kita?” dicantas tangkas ayat pendek Mutiara.
Mutiara mengeluh perlahan. tidak berjaya direka sebarang jawapan dalam
waktu sesingkat itu.
“Apa idea yang boleh disumbangkannya
masa berbual dengan kita?”
“Tak payahlah berbincang
perkara-perkara berat dengan Neor.”
Masih lembut persis memujuk.
“Habis, kita nak berbual dan
berbincang berkenaan gosib artis? Tentang mutu lakonannya yang langsung tak berguna?
Nak berbincang berkenaan nasi lemak yang naik harga dari seringgit kepada
seringgit setengah? Atau sikap artis
wanita yang berusaha menghimpit lelaki-lelaki VIP, VVIP untuk kemewahan? Heh!
Langsung tak mengembangkan minda.”
Dari wajah serius, bertukar rona jijik.
Puan Sumira mengeluh perlahan,
dikerling Mutiara, berharap tidak terus membeli kemarahan Tuan Jaafar. Sebaiknya diturutkan sahaja supaya ketegangan
segera mengendur.
“Nak diberitahu apa pada
sahabat-sahabat walid dan keluarga kita?
Neor itu artis, pelakon dan pemuzik?
Begitu?” sudah kian meninggi dia.
“Abang, abang.
Bertenang.” Tangan Tuan Jaafar
ditepuk-tepuk perlahan, memujuk pastinya.
Begitu selalunya, Puan Sumira akan menyedarkan Tuan Jaafar dari lantunan
suara yang bagaikan guruh.
“Aku muak perangai artis-artis
perempuan menggedik menggoda kawan-kawan
aku. Dunia dah kata pergi, kubur dah kata mari, tapi lelaki-lelaki yang dah
putih rambutnya lentuk dengan godaan.
Awak tak geli? Tak jijik?” Puan
Sumira pula disanggahnya. Ditoleh tepat
ke wajah isteri di sebelah.
“Itu perangai golongan macam abang.
Golongan artis lelaki tak macam tu.” Senyum Puan Sumira berusaha menyejuk suasana.
“Zet juga fotografi.” Berani dia mencuba nasib walaupun marah jika
ada yang merendahkan kerjaya saudara kembar itu. Demi Neor, berani dia mencagar diri kakak itu. “Jurugambar juga digelar artis dan tugas Zet
bergaul dengan artis-artis.”
“Tapi sekurang-kurangnya Ezeti ada ijazah!
Suami you, hanya SPM!”
“Tapi Abang Neor bukan tak lulus SPM,
cuma dia tidak menyambung pengajian di peringkat tertinggi. Keluarganya tak
mampu.”
“Heh, lagi memalukan. Menantu aku dari keluarga miskin. Papa kedana.
Nak sekolah pun tak mampu!” Kian
keras penghinaan itu meski suara Tuan Jaafar tidak sekeras mana.
“Biarpun miskin tapi Abang Neor
berpemikiran luas. Boleh saja berbual
dari sudut apa pun.”
“S.A.P, Sijil Ambil Peperiksaan.
Itu yang you katakan berpemikiran luas? Ya, sebagai artis memang banggalah ada sijil itu, sebab
rata-ratanya artis setakat boleh menulis membaca saja. Kan?”
Sudah tidak tinggi suaranya, lebih kepada sindiran menghina.
“Apalah ada pada sijil-sijil semua
tu. Yang penting boleh berfikir. Kalau
ada ijazah sekali pun tapi suntuk fikiran, nak buat apa?” Mutiara menyanggah.
“Artis berfikiran tinggikah? Luaskah fikiran dia orang?” Panas benar membakar telinga dan perasaan. Mutiara benar-benar sakit, melecur sudah dia.
“Kerana tak berpelajaran dan tak
berfikiran tinggilah, dia jadi pelakon, penyanyi. Kerja tu tak payah fikir. Dapat lagu, nyanyi. Dapat skrip, baca. Ikut arahan pengarah. Apa susah?”
tangan digedangnya, sepuluh jari dikembangkan memberi maksud tidak ada
apa-apa.
Puan Sumira memegang tangan suaminya,
digosok belakang tangan, masih gaya
memujuk. “Jaga perasaan abang. Sakit nanti susah.”
“Walid…”
hanya itu yang termampu oleh Mutiara.
“Hidup di dunia hayalan, menghayalkan
orang lain.” Tangan dihayun tinggi ke
kiri dan kanan, arah tidak pasti. “Mereka
cerita bohong untuk melalaikan. Dunia akan hancur dik orang-orang macam suami you!” Keras lagi dia.
“Jangan cakap macam tu walid…”
“Tak betul?” pantas menyoal pula. “Habis, aku nak cakap macam mana? Nak puji
menantu yang tak berkedudukan tu? Menantu yang macam hantu?”
“Artis juga manusia biasa, macam
kita.”
“Tak sama. Serupa pun tidak. Kita berpijak di bumi yang nyata, mereka…”
“Mereka masih punya perasaan, cuma
bidang kerjayanya berbeza.” Belum sempat
Tuan Jaafar menyambung ayat, sudah dipotong Mutiara.
“Itu bukan kerjaya.” Panjang mendatar namun padat penghinaan.
“Biarlah mereka dengan hidup
mereka.” Sebaris ayat singkat Puan Sumira,
Tuan Jaafar menoleh lagi. Lama direnung,
Puan Sumira tidak menangkap mata itu, sebaliknya membelek jemari kiri yang
bermain sendiri. Tangan kanan kekal di
atas riba Tuan Jaafar.
Sebaris ayat ringkas Puan Sumira itu
bukan sahaja memeranjatkan suaminya tetapi juga si anak. Dengan juring mata, Mutiara
menikam tajam tetapi halus. Tidak
disangkanya wanita itu berani menyanggah, disebalik rasa gembira mendapat
sokongan, terselit rasa bimbang kemurkaan raja dalam keluarga itu. Puan Sumira tampak bersahaja, tidak seperti
selalu, yang sering kesal dengan kata-katanya jika ditentang mata suami yang
seperti singa lapar.
“Tengoklah, baru seminggu masuk ke
dalam keluarga kita, dah berjaya dia merubah Ira.” Menuding Mutiara tetapi mata terarah kepada
isterinya.
“Tak ada sesiapa berubah. Neor tak mungkin berjaya merubah anak abang
jadi lain. Bagi kepercayaan, Ira yang akan merubah suaminya nanti. Bagi dia masa.”
Mutiara mahu mengiakan, mahu bersetuju pendapat Puan
Sumira tetapi waktu itu telefon bimbit di atas meja kopi di hadapan sofa
bernada panggilan. Diangkat Mutiara,
dibaca skrin yang tertera perkataan ‘My Heart’, senyum terukir seminimanya.
Bersembunyi dari mata Tuan Jaafar
dan Puan Sumira. Dijawabnya juga dengan salam pertama, perlahan.
“Hai Sayang, tengah buat apa tu?” manis dan mesra benar, menyejukkan hati yang
sedang panas.
Mutiara senyum lembut, sambil memberi
isyarat minta berundur dari kelompok kecil itu, dia bangun. Mahu menjawab panggilan Neor sedikit
jauh.
“Sayang, saya balik esok pagi.”
“Bukankah selepas lima hari di sana
baru balik. Esok baru hari ke
tiga?”
“Rindu…” berbisik nakal.
Meremang bulu roma Mutiara, senyum
dia sendiri.
Dari balkoni, Mutiara kerling Tuan
Jaafar dan Puan Sumira yang kekal duduk di sofa ruang tamu. Ke dua-duanya tidak mempeduli dia.
“Tak payah tergesa-gesa kalau awak
masih ada kerja…”
“Scene
saya ditangguhkan dua hari lagi. Jadi,
esok saya cuti. Rindu sangat kat Sayang.”
“O, ok. Esok kita jumpa.” Senyum lagi dia sendiri. Dari tempatnya berdiri, dikerling lagi Tuan
Jaafar dan Puan Sumira, jelas ke duanya
sedang menumpu pada muka televisyen yang bervoleum perlahan.
“Oh ya, lupa nak beritahu, walid
dengan umi ada sini.”
“Bila sampai?”
“Baru je….”
“Ok, kirim salam pada walid dan
umi. Katakan, esok pagi-pagi saya sampai. Habis scene
malam ni, saya terus gerak ke KL.”
Kedengaran gembira mahu bertemu mentuanya. Mutiara dipeluk hiba, simpati pada Neor yang
ikhlas menerima keluarganya.
“I
miss you Sayang. Sangat-sangat.”
Lagi berbisik terang.
“Miss
you too…” juga perlahan, berbisik
manja.
Perbualan ditamatkan sebaik ucapan
salam perpisahan. Termenung dia beberapa
detik di balkoni, teruja kekasih akan pulang melunas rindu. Bimbang juga pada tindakan Tuan Jaafar yang
selalu tergesa-gesa dan membuta tuli.
Dia tidak menyetujui kerjaya Neor, pun begitu apa dayanya, Neor sudah
menjadi suami. Suami itu pula tidak
berhasrat mencari ruang rezeki lain.
Hanya seni. Akhirnya dalam redha
yang dipaksa, terpaksa dia merelakan demi cinta yang kian mekar dengan
putik-putik yang bakal membenih terus.
“MUTIARA DAN EZETI dianugerah pelajar
terbaik di universiti mereka. Ezeti juga
punya ijazah di bidangnya. You?”
“Saya berhajat untuk melanjutkan
pelajaran di bidang muzik. Bercita-cita
untuk membuka kelas muzik.” Bangga dia
memperturun angan-angan yang pernah dibentuk bersama Fifeinya lama dahulu dan
itu juga cita-citanya pada Makcik Rominah.
Sementelah Tuan Jaafar sudah mengetahui siapa dia, dia berbesar hati
mengongsikan cita-cita dan impiannya.
Mutiara sendiri baharu itu mendengar, dalam
kebimbangan penolakan orang tuanya, kagum juga dia, sekurang-kurangnya suami
itu punya cita-cita.
“Lagi-lagi muzik, lagi-lagi muzik.
Apakah sudah tidak ada bidang lain yang boleh you ceburi selain hiburan yang
melalaikan, yang menyesatkan?”
Neor bungkam dalam senyum yang
sengaja dimaniskan meski hati sakit sungguh.
Pun begitu, sabar dia. Sudah
sering mendengar dia dinista, sudah lali….
“Seni itu mulia, walid.” Digagahnya menganggap sudah lama mengenali Tuan
Jaafar.
“Siapa yang memuliakannya?” tiada sesiapa menjawab.
Bukan tidak menemui jawapan beralasan, takut didenda juga tidak jika
tersalah. Tetapi Neor dan Mutiara sengaja mahu suasana tegang itu, sedikit
nyaman. Dengan tidak membeli kemarahan Tuan
Jaafar, mereka berharap lelaki itu akan menamatkan kemurkaan.
“Bersih? Bersih!
Dari sudut apa kamu mengatakan seni hiburan itu bersih?” lagi dia menyoal. Mahu Neor menjawab pastinya.
“Tanpa muzik, dunia akan sepi.” Berani benar dia mempertaruh ayat Fifei lama
dahulu. Diam-diam Mutiara bangga dengan keberanian itu namun jauh di sudut
hatinya bimbang juga.
“Melahu sana, melahu sini, hidup tak menentu
arah. Tanpa tujuan, tanpa wawasan, itu
yang dikatakan baik? Yang you laungkan mulia?”
“Hanya kerana sesetengah orang
mengotorinya, spekulasi orang luar terus beranggapan begitu.” Kekal senyum, tidak langsung berbau
bangkangan. Dia beranggapan mereka
sedang berbual santai dengan mengangkat isu hiburan dan masyarakat. Meski di dalam hati berasa sakit namun,
dibujuk hati sendiri agar positif.
“Semua I dengar, yang buruk-buruk
belaka. Belum ada yang bersih. Semua
yang aku dengar, pelakon, penyanyi, pemuzik semuanya yang gagal sekolah. Yang tercicir. Kalau berijazah, orang tak akan jadi artis.”
Neor diam, menggeleng dalam tunduknya. Sudah terbakar dalam dada namun, terus membujuk
sendiri agar tidak menderhakai orang tua isteri yang sudah menjadi orang tuanya
juga. Sebaik akad disambut, sudah dia
berjanji untuk mengangkat Tuan Jaafar dan isteri sebagai ibu dan ayahnya. Akan dijaga hati dan perasaan ke dua mereka
sebagaimana dia menghormati ibu dan ayahnya sendiri juga.
“Semua artis low class….” Keras
tuduhannya meski mendatar, perlahan.
Berdesing lagi, merentas kesabaran Neor,
itu juga dirasakan Mutiara. Meski dia
sendiri tidak menyenangi kerjaya Neor, namun penghinaan Tuan Jaafar itu
benar-benar menyakitkannya juga.
“Walid…” dia mahu melarang namun tangannya segera
dipegang Neor, digenggam erat. Sewaktu
juring mata masing-masing berlaga, Neor menggeleng perlahan melarangnya dari menambah apa-apa di dalam bara
yang kian bernyala.
“Di mana aku nak sorokkan muka aku
kalau orang tahu menantu aku artis? Pemuzik, pelakon, penyanyi? Di mana? Pakat
bersorak semua orang, bertepuk mengejek.”
Sudah beralasan lain dia.
“Pedulikan pada semua orang itu, kita
hidup dengan nyawa kita sendiri. Tidak
menumpang sesiapa.” Perlahan suara Mutiara
namun tertusuk juga ke ulu hati Tuan
Jaafar, tajam ditikamnya mata Mutiara. Mutiara
tidak menangkap tikaman itu, berusaha juga tidak langsung cedera. Terluka juga tidak.
“Tengoklah, baru seminggu tinggal
bersama pemuzik, pelakon ni, anak awak dah berubah. Sudah berani menentang, mematah lidah saya.” Tuan Jaafar yang sudah bangun, baharu setapak
meninggalkan kerusinya, menoleh Puan Sumira pula. Ditunjuk ke arah Neor dan Mutiara, mahu
mengadu kepada isteri itu layaknya.
Puan Sumira tidak menyanggah, mengeluh
cuma, perlahan.
“Pada Allah? Tak usah
dipedulikan juga?” dia menambah.
“Apa kaitannya dengan Allah?” bersoal jawab pula Mutiara dengan Tuan
Jaafar. Neor hanya diam. Kekal menggenggam tangan Mutiara, kemas.
“Allah suruh kita bagaimana di bumi
ini? Ha?
Apa yang dikerahnya, apa yang dilaknatnya?” ke sudut agama pula Tuan Jaafar, mungkin
mahukan Mutiara tewas. Benarlah, Mutiara
tewas sudah. Mengeluh dia perlahan.
“Berhibur sampai lupa akhirat? Lupa
perintah Allah?”
“Golongan artis juga ada yang solat, walid.”
“Masa bila solat, kalau majlis secara
langsung bermula pukul 8 malam? Itu
contoh paling mudah untuk membuktikan siapa kamu orang semua.”
“Boleh saja solat dulu sebelum ke
pentas hiburan.”
“I pernah ditawar membeli sebuah meja
untuk sumbangan kerja amal, kedatangan VIP pukul tujuk setengah, artis-artis
berbaris di karpet merah menyambut, bersolek tebal, seksi. Habis tu, pukul berapa mereka solat Maghrib? Semua
uzur?” sudah seakan ahli agama Tuan
Jaafar.
Puan Sumira mencebek, mengejek suami
yang tiba-tiba cenderung bercakap isu keagamaan sedangkan diri sendiri sering
ingkar solat wajib.
“Macam-macam cara boleh mereka
lakukan untuk bersolat, kecualilah mereka yang sememangnya tak nak buat.” Puan Sumira mencelah, perlahan.
“Itulah soalnya. Berapa ramai
yang melakukannya berbanding yang ingkar?”
“Ala, yang bukan artis pun ramai yang tak
solat.” Semakin berani Puan
Sumira menelingkah. Pastinya Tuan Jaafar
tidak terdengar kerana lelaki itu sudah berdiri di balkoni dan Puan
Sumira sengaja memperlahan suara. Tujuannya
mahu menyindir suami itu tetapi tidak mahu secara terus menyakitinya.
Mutiara puas bantuan Puan Sumira, tetapi tidak bagi Neor. Dia kesal benar pada apa yang berlaku.
Tujuannya pulang hari itu bukan
sahaja kerana merindui Mutiara tetapi juga bagi merai kunjungan ibu bapa
mentuanya. Mahu beramah mesra dan
menghibur mereka. Lain yang diharapkan,
lain pula yang terhidang. Kesal benar
dia, namun disembunyi rasa itu.
“Sudahlah, perkara kecik tak usah diperbesarkan.”
Puan Sumira berusaha menyejuk bahang.
Sengaja dikuatkan suaranya untuk sampai ke pendengaran suami.
“Bukan kecik!” menengking sudah. Tengkingan yang benar-benar merentap semangat
semua.
“Jaga kesihatan abang, tak perlu
menengking, sakit dada nanti.”
“Saya berjanji akan bersembunyi dari
orang-orang yang mengenali walid. Saya tidak akan mengakui siapa saya dalam
keluarga walid dan umi. Saya berjanji…” pantas dipotong Neor. Dia berharap perhimpunan panas itu segera
berakhir.
“Bagus. Tapi bukan di Brunei saja, di Malaysia juga
orang mengenali aku. Aku juga rakyat Malaysia.
Waris dan kenalan aku bersepah di sini.
Berpuluh tahun aku naik turun tangga Mahkamah Tinggi. Banyak sudah orang-orang kenamaan yang aku
bela, ramai yang sudah menang bicara. Anak
didik aku pun ramai yang sudah berjaya menjadi lawyer terkenal.” Bongkak
benar dia mendabik.
Mengangguk lagi Neor. “Tidak akan saya uar-uarkan siapa walid dalam
kehidupan saya.” Serius, kedengaran sayu
benar oleh Mutiara. Simpati dia pada
nasib suami itu.
“Bagus, aku nak engkau rahsiakan
perkahwinan ini. Engkau dengan dunia
engkau, biar Mutiara dalam dunia
kami. Minyak dan air tak boleh
bersatu.”
Neor mengeluh perlahan, ditadah
seraut wajah kosong Mutiara. Kasih
tersimpan di situ, simpati juga nasib isteri yang terpaksa merahsiakan identiti
suami.
“Ingat, semua orang tak boleh tahu Mutiara
berkahwin dengan you. Kalau tidak, I
lebih rela Ira menyandang status janda.”
Terhenyak Neor sendiri, Mutiara juga
terpukul. Puan Sumira mengeluh berat,
menggeleng juga perlahan, berkali-kali. Kesal
benar dia.
“Anak aku tak akan rugi tak
bersuamikan lelaki macam you.” Joring
telunjuknya menunjal perasaan Neor, Mutiara juga terluka benar.
“Mutiara akan menutup firma guamannya di sini dan
berangkat ke Brunei.” Itu juga kata-kata
Tuan Jaafar sebelum menutup perbincangan panas.
Puan Sumira hanya mengeluh perlahan. Hanya itu
upayanya. Mutiara mengerling Neor, runduk. Isi dalam kerlingan itu sukar dimengerti Neor.
Meski Tuan Jaafar benar-benar mengobor
seruang hatinya, namun masih mampu disejukkannya sendiri. Tidak perlu dibujuk anak lelaki
itu, dia sudah tekal dengan kesabaran. Dunia kerjayanya sudah cukup mengajar dia
pelbagai ragam dan suasana. Pernah dimaki dan diugut bunuh di samping dipuja
dan digilai juga. Namun, pastinya isteri itu tidak gemar ugutan ayahnya. Dia menyayangi kerjaya yang sedang berkembang,
tebalnya kecintaan pada kepeguaman juga Neor tahu dan sebagai suami, Neor tetap
mahu memberi suntikan semangat.